Jumaat, Ogos 28, 2009

Pabila Si Dia Menyapa..

Pagi Jumaat itu, tenang sekali.. Damai kurasa.. Aku melirik kepada dedaunan kering yang gugur mendarat di atas tanah. Bayu pagi berpuput nyaman.. Nekad. Aku nekad. Hatiku berat mengatakan dia sememangnya jodoh buatku. Sekilas pandang aku terus berkenan kepadanya, bukan kerana nafsu yang menipu, akan tetapi setelah aku berkali-kali mendapat petunjuk yang sama, setelah aku membuat istikharah.

Dia walaupun sedikit 'mentah' pada mata kasar manusia, akan tetapi aku percaya dia mampu memikul tugas itu. Aku kenal hati budinya. Memang benar, dia anak ke-9 dalam keluarganya, seorang 'adik' daripada 12 orang adik beradik, dan kebetulan mereka adik beradik tidak ketara sangat perbezaan umur mereka, hampir sebaya dan ada juga yang dilahirkan kembar yang sudah tentulah sebaya. Kakak sulungnya pun masih belum berpunya, tidak kurang juga cantiknya, tetapi 'dia' lebih membuatkan aku tertarik kepadanya lantaran keistimewaan yang ada padanya.

Teman-temanku mungkin kebanyakannya lebih menyukai si adik kepada gadis yang aku 'pilih' seorang ini, dan menunggu-nunggu si adik yang lebih 'menarik' bagi mereka. Yela, mungkin si adik anak yang ke-10 ni lebih cantik pada mereka. Akan tetapi, bagi diriku, setelah aku mengenalinya kini,sudah pasti aku ingin 'memilikinya'. InsyaAllah.. Bagi diriku, dia ibarat permata di celahan kaca yang berkilau..ceewahh..aku bermonolog sendirian.

Mereka adik beradik, walaupun seramai 12 orang ramainya, bukanlah asing pada diriku. Bukannya aku tidak mengenali mereka. Sedari kecil lagi, aku sudah mengenali mereka. Ibu dan ayahku yang memperkenalkan mereka kepadaku. Kami bermain bersama dan menghabiskan masa memutarkan setiap jarum saat, jam dan hari bersama-sama. Aku masih ingat sewaktu kecil, aku juga diajar oleh ayahku untuk lebih 'rapat' kepada siapa di antara mereka. Kini, aku lebih mengerti semua itu. Aku sudah faham seluasnya.

Baru-baru ini, ada seorang ustaz berkongsi ilmu ini dalam kuliahnya, beliau memberikan gambaran dan ciri-ciri gadis pilihan mengikut Islam, apakah sifat dan kelebihannya, barulah aku aku lebih 'kenal' dengan ciri-ciri gadis yang sepatutnya menjadi pilihanku. Apabila aku lebih mengenalinya, barulah aku mengetahui 'dia' sangat istimewa. Sangat sesuai untuk dijadikan temanku sebelum 'dinaiktaraf' menjadi yang teristimewa, menjadi suri hati dan teman seperjuanganku di kala susah atau senang.

Dapat kurasai dia cukup serasi dengan diriku. Padaku, diriku ini mempunyai banyak songeh, akan tetapi dia boleh pula mengatakan, dia yang sebenarnya mempunyai banyak songeh. Kelakar je. Sedangkan aku boleh menerima dia seadanya. Terima sahaja baik dan buruknya. Terima sahaja kelebihan dan kekurangan dirinya. Terima sahaja sifat-sifat dan perangai yang dia ada. Setulus hatiku. Mungkin benar, tidak kenal maka tidak cinta. Aku bersyukur kami dipertemukan.

Kini, dia datang kepadaku. Mungkin rezekiku barangkali. Dia datang menghulurkan tangan, sedangkan ada sahaja insan lain yang pasti tidak mempunyai peluang seperti diriku ini. Aku terkesima. Kaku. Rezeki dan peluang datang bergolek di hadapanku, namun aku masih lagi seolah-olah tidak percaya dia datang menyapaku kini. Terkial-kial aku. Malu dan tersipu-sipu gamaknya. Entah aku masih dibuai mimpi indah. Aku ingin sekali menyambut dirinya seikhlas hatiku. Kan kuberikan dia layanan yang terbaik, selayak dia sebagai permaisuri hatiku... Perkenankanlah hasrat dan doaku Ya Allah.. Amiiin..

.........................................

Lamunanku tersentak.. Seakan-akan ia sebuah realiti, kisah yang kukhayalkan tadi. Fantasi seolah-olah realiti. Sebuah perumpamaan mungkin. Mungkin ia sekadar sebuah lamunan, namun aku merasakan ia seperti benar-benar berlaku. Apa yang pasti, ia sangat bererti buat diriku.

Aku mengamati semula kisah lamunanku sebentar tadi. Memang benar terdapat 12 bulan dalam bulan Islam ataupun bulan Hijri, dan bulan ke-9 adalah bulan Ramadhan yang mulia. Bulan ke-10 sudah tentunya bulan Syawal. Bulan Muharram yang memulai segala bulan, lagaknya seperti seorang kakak sulung dalam adik beradik keluarga tadi, kita sematkan dengan segala azam. Bulan permulaan hijrah dalam Islam. Sangat bererti dan 'cantik' untuk kita memulakan azam dan tetapkan matlamat baru. Aku pun begitu. Namun, Ramadhan kali ini lebih bererti buatku kerana aku lebih mengenalinya kini.

Aku akui, Rasulullah SAW, para sahabat dan orang-orang yang soleh, menyediakan hati dan jiwa mereka menjelang Ramadhan. Bagi mereka, seluruh hari dan jiwa tidak sabar untuk menyambut Ramadhan, kerana mereka sangat mengenali dan mencintai Ramadhan. Aku pula bagaimana? Sedangkan mereka cukup mengerti betapa lumayannya ganjaran yang disediakan Allah pada bulan ini. Lemahnya aku Ya ALLAH..

Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya manusia yang paling utama di sisi Allah
adalah yang memulakan salam di antara mereka.."

(HR Abu Daud)

Jadi, selayaknya aku, dan kita semua perlu mengucapkan salam dan memberikan sapaan kepada Ramadhan ini. Tapi, adakah aku sudah menghulurkan salam kepadanya? Sepatutnya Ramadhan ini perlu disapa dengan penuh keimanan seperti mana saranan sebuah hadis sahih untuk kita mengimarahkan Ramadhan ini dengan penuh keimanan agar beroleh keampunan dosa-dosa kita yang lalu, kerana Ramadhan juga akan menyapa kita dengan segala ganjaran dan kelebihannya. Aku sekadar mengingatkan diriku jua. Aah..terasa jauh lagi diriku ini dari mengecapi nikmat untuk menjadi yang terbaik, di kalangan umat Nabi Muhammad SAW.

Saban tahun berlalu, dan mungkin kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadhan ini sememangnya sinonim dengan kita semenjak kita masih lagi di alam kanak-kanak suatu ketika dahulu. Ingat lagi saat-saat aku baru 'bertatih' belajar pergi ke surau pada Ramadhan itu. Itupun kerana ayah yang membawaku ke sana. Kecil lagi aku ketika itu. Namun pengetahuan tentang keistimewaan, kelebihan, hikmah dan rahsia bulan Ramadhan ini, masih lagi cetek. Yakin dan pasti, ketika itu bulan Syawal lebih kita cintai berbanding bulan Ramadhan ini. Sedangkan 'usia' setiap bulan Hijri, hampir sama sahaja, sama ada 28, 29, atau 30 hari, mengikut perubahan anak bulan. Aku belum mampu membezakan yang mana emas, dan yang mana perak barangkali. Aku tersenyum sendirian.

Aku andaikan ibarat cinta, ternyata cinta kita terhadap bulan Ramadhan tidak dapat menandingi cinta kita terhadap Syawal yang memiliki Hari Raya Aidilfitri. Segala persiapan amat rapi. Bulan Syawal terasa sangat perlu diagungkan, sedangkan ia sepatutnya sekadar meraikan kemenangan setelah kita berjaya mengharungi 'madrasah tarbiyah' itu dengan sabar. Tidak hairanlah, kita sering membiarkan ia berlalu tanpa sapaan yang selayaknya. Sedih, Ramadhan dibiarkan berlalu tanpa rasa rugi, bila kita tidak memetik sebanyak-banyak 'buah taqwa' yang meranum. Aku kini bagaimana?? Aku termenung lagi. Merenungi diri. Koreksi diri melalui ilusi. Semoga cahaya Ramadhan lebih bersinar buat diriku kali ini.

Langkahanku kini terasa tenang dan damai sekali. Lapang rasanya di kepalaku. Ringan 'bebanku' selama ini terlerai sudah. Aku sudah menemui betapa istimewanya si 'dia'.. Alhamdulillah. Syukurku kepadaNya. Betapa luas nikmat dan anugerahMu. Takkan kubiarkan dirinya berlalu begitu sahaja. Sedangkan ada sahaja insan lain, ajal mereka lebih dahulu menjemput mereka, sebelum Ramadhan datang mengunjungi mereka. Kan kuusahakan yang terbaik buatmu. Antara teman dan Ramadhan. Percaya dan setia. Usaha selagi terdaya. Iringi dengan doa. Tawakkal kepadaNya. Pasti. Ramadhan..terasa lembut sekali pabila bayumu menyapa.
.


p/s: cerita ini hanyalah cerita rekaan yang diadaptasikan dari simboliknya bulan yang ke-9 dalam bulan Islam iaitu Ramadhan, dan merupakan sekadar sebuah cerpen yang direka (cereka) oleh penulis. Gadis 'khayalan' dalam cereka ini diinspirasikan dari simbolik bulan Ramadhan yang sering dilupakan kita hari ini, melalui alam fantasi penulis semata-mata.

Isnin, Ogos 17, 2009

Sabar Itu Cahaya

Sabar, ertinya tahan menempuh suatu yang sukar. ALLAH menyebut lebih 90 kali pada pelbagai tempat dalam Al-Quran; adakalanya dengan memuji orang-orang yang sabar di sisi ALLAH s.w.t. dan darjat yang disediakan oleh ALLAH untuk mereka.


Dalam Islam, sabar ada 3 darjat:

1. Sabar terhadap ketaatan

2. Sabar terhadap kemaksiatan

3. Sabar terhadap ketentuan, musibah dan dugaan


Apabila hal ini sudah diketahui, maka salah satu ciri yang dimiliki oleh para kekasih ALLAH adalah sabar dan disertakan dengan keyakinan yang kuat. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah pernah ditanya: ”Bagaimanakah caranya memperolehi suatu kepimpinan dalam agama?” Dia menjawab: ”Dengan kesabaran dan keyakinan, bukankah kamu pernah mendengar firman ALLAH dalam surah al-Sajadah ayat 24:


وجعلنا منهم أئمة يهدون بأمرنا لما صبروا وكا نوا بئايتنا يوقنون


Maksud firmanNya: Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar[1195]. Dan adalah mereka yang meyakini ayat-ayat Kami.


[1195] yang dimaksud dengan sabar ialah sabar dalam menegakkan kebenaran.



Setiap hamba ALLAH yang soleh akan diuji oleh ALLAH dengan pelbagai musibah dan dugaan. Mereka akan diuji dengan harta, anak isteri, akal, jawatan dan pangkat, dan macam macam lagi.


Jalan dakwah itu sukar dan pahit hingga jiwa yang kukuh, teguh dan bersih seperti jiwa Nabi Muhammad s.a.w. masih lagi memerlukan kepada panduan dan arahan Rabbani agar baginda bersabar dan jangan mohon disegerakan azab ke atas musuh-musuh dakwahnya yang degil itu.


Percaya atau tidak, kesulitan menempuh jalan perjuangan dakwah memerlukan kepada sesuatu yang menyenangkan hati dan memerlukan kesabaran. Kepahitan perjuangan dakwah memerlukan kepada seteguk minuman nyaman daripada madu kasih mesra Ilahi yang wangi.


Dalam kehidupan kita seharian pun sudah cukup memberikan jawapan kepada kesukaran dalam menghadapi dugaan dan cabaran itu. Terkadang kita kehilangan sesuatu yang amat-amat kita harapkan daripada seseorang, misalnya kepercayaan. Hatta dia seorang yang amat kita rapat dan percaya dengannya, kita bisa diuji dengan dugaan sebegitu.


Harga sebuah kepercayaan dan kesabaran sangat-sangat penting dalam kehidupan. Itulah yang saya dapat simpulkan, tetapi bila kita yakin dan percaya, kita juga perlu berani. Berani pada tempatnya, dan mendatangkan kebaikan pada diri sendiri dan juga orang lain.


Berani yang sebenar ialah tekad dan azam untuk terus melakukan sesuatu yang sudah difikirkan dan dipertimbangkan baik dan buruknya. Adakah ia baik untukku dan orang lain? Adakah ia demi kebaikan diriku, keluargaku dan orang lain juga? Dengan kata lain, berani dan takut, tidak selamanya berlawanan. Walaupun takut tetapi terus dilakukan, maka ia sudah dinamakan berani juga.


Ada beberapa elemen penting yang menjadi kunci dalam kehidupan ini, telah pun saya sentuh secara umum. Diharapkan sahabat-sahabat teruskan mencari ilmu tentangnya kerana ilmu itu cahaya yang akan menyuluh kehidupan kita ini.


Sabarlah dalam kehidupan kita, kerna banyak terselit pengajaran dan hikmah di sana. Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Malik al-Harith bin ’Asim al-Asy’ari r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:

والصبرُ ضياءٌ

Maksudnya: “Dan sabar itu cahaya.”

Ahad, Ogos 16, 2009

Datanglah Dengan Memiliki Nur (cahaya)

Dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah, jilid ke-12, Imam Ibn Kathir meriwayatkan bahawa Sultan Nuruddin Mahmud, merupakan salah seorang sultan Islam yang sentiasa melakukan qiyamullail pada malam hari, dan berpuasa pada siang hari.

Bahkan Imam Ibn Taimiyah pernah mengatakan tentang sultan ini : “Semoga ALLAH merahmati tulang-tulang sultan yang satu ini.” Kerana ALLAH membahagi-bahagikan ketaqwaan yang tua dengan yang muda, antara yang merah dengan yang hitam, akan tetapi ALLAH membahagi-bahagikannya kepada siapa sahaja yang DIA kehendaki. Kerana ALLAH Maha Mengetahui hati-hati yang berhak untuk mendapatkannya.

Sultan Nuruddin ini seperti diceritakan dalam sejarah, pernah satu ketika dia hanyut dalam kelalaian, tatkala dia meminta kehadiran bala tenteranya di Damsyiq, dan telah dilaksanakanlah pesta secara besar-besaran yang dihadiri oleh para amir (gabenor), para menteri, dan para panglima, serta khalayak ramai dan penduduk Damsyiq dalam suasana yang sangat ramai dan pesta yang sangat meriah.

Setelah perayaan itu selesai, salah seorang ulama’ Islam yang bernama Ibn al-Wasiti masuk dengan pakaian sederhananya, dan dia berdiri di hadapan sultan, lalu dia berkata, ”Wahai sultan yang agung, dengarkanlah dengan baik terhadap janji daripada ALLAH, Maha Raja langit dan bumi.”

Tiba-tiba orang ramai senyap dan berhenti berpesta, mereka menunggu apa yang akan diucapkan syeikh besar itu. Tuan syeikh itu berbicara kepada sultan ketika ia berada di atas singgahsana kerajaannya :

Wahai manusia yang tertipu, anggaplah dirimu,

Kini berada pada hari kiamat dan langit bergoncang,

Jika dikatakan: Nuruddin datang berserah diri.

Hati-hatilah engkau datang tanpa memiliki nur (cahaya)


Dan akhirnya, Sultan Nuruddin pun menangis di atas kelalaian dia pada ketika itu.


p/s: Hebat kan mereka? Kita bagaimana??? Fikir-fikirkan..=)

Sabtu, Ogos 15, 2009

TERIMA KASIH MAMA..=)

Mungkin aku agak sibuk dengan jadual padat sesi pengajianku semester ini, dengan tugasan setiap subjek, dengan aktiviti persatuan, program dan kerja-kerja lain yang datang menggamit kudratku ini. Namun, aku tidak pernah melupai hari-hari penting dalam bulan Ogos ini. Banyak hari-hari signifikan dan penting buat diriku.


15 Ogos pula datang bertamu dan aku lantas mengingati susuk tubuh yang mana telah gigih dan tabah membesarkan anaknya ini. Dua hari selepas sahaja hari lahirku, jika mengikut tahun Masihi. Aku tahu ketika aku dilahirkan sehingga aku berusia setahun lebih, aku agak banyak 'membebankan' mama dan abahku. Tetapi apa yang aku agak sedikit terubat lega, daripada cerita kedua ibu bapaku, setelah aku menjengah usia 2 tahun ke atas, aku telah menjadi anak yang baik buat mereka. Tidak lagi 'memberi dugaan dan cabaran' buat mereka sehari suntuk..hehehe..


Alhamdulillah.. Namun, sehingga hari ini, aku tidak boleh terus ’selesa’ dengan keadaan ini. Aku akan terus dan terus berusaha untuk menjadi anak yang baik kepada kedua ibu bapaku. Banyak lagi yang boleh aku kongsi tentang mereka, tapi cukuplah secebis kisah tentang mereka yang aku kongsikan, kerana tidak pandai aku hendak menggambarkan dan ceritakan segala jasa besar mereka. Setiap manusia barangkali punya pendapat yang sama, cuma mungkin skrip kehidupan sahaja yang berbeza.


Cerita tentang ibu selalu memiliki berjuta warna, seperti cinta ibu yang berjuta jumlahnya. Setiap orang yang sempat merasai kasih sayang seorang ibu, pasti ada jalan cerita sendiri tentang ibu mereka. Bak kata orang Indonesia, ”ibu emangnya pejuang sejati seperti cuilan cinta Ilahi..’’. Bagi diriku, speechless.. huhu.. tidak ternilai pengorbanan mereka.


Kadang-kadang ibu relakan dirinya dan redha menjadi ’single fighter’, ketika si ayah tiada di rumah, mungkin keluar seharian, dua tiga hari, seminggu, sebulan, semata-mata berjuang dan mencari rezeki yang halal untuk keluarga tercinta. Bukan tidak terasa payahnya ditinggalkan keseorangan tanpa suami tercinta di sisi, lebih-lebih lagi jika si ibu sedang sarat mengandung, tetapi suaminya tiada di sisi untuk menemani. Bukan mereka hendak mengadu dan merintih, tetapi jiwa kental seorang ibu sentiasa membujuk hatinya memahami hati seorang suami.


Hebatnya seorang ibu. Tidak dapat aku gambarkan. Semoga setiap wanita di dunia dapat menjadi ibu yang baik untuk anak-anaknya. Harapanku semoga dapatlah kiranya aku menjadi anak yang soleh dan baik buat ibu bapaku, dan sentiasa dapat mendoakan mereka walau sesibuk mana diri ini, kerana aku percaya setiap ibu bapa tidak mengharapkan balasan, tetapi cukuplah mengingati dan mendoakan mereka. Berikanlah kasih sayang seadanya buat mereka. Hargailah ibu bapa kita selagi mana mereka masih ada di sisi kita. Terima kasih mama!!

Jumaat, Ogos 14, 2009

Sehari Selepas.......

Macam-macam rasa. Perasaan yang berbaur. Gembira. Sedih. Ceria. Tenang. Bahagia. Begitulah perasaanku ketika menyambut ulangtahun kelahiranku apabila menginjak 13 Ogos baru-baru ni. Sahabat baikku tidak kira sahabat baikku yang sekian lama tidak kutemui atau sahabat baikku di tempat pengajianku kini, mengingati tarikh tersebut. Terharu diri ini bila mereka tidak lupa pada diri ini. Doa dari mereka mengiringiku, dan pastinya yang paling penting, doa daripada ahli keluargaku sendiri, terutamanya kedua ibu bapaku, buat anaknya ini.


Ada beberapa azam baru kusemat dalam diri, bermula dari saat dan detik ini. Banyak perkara yang menarik sepanjang hari pentingku. Namun begitu, ada juga perkara yang membuat diriku agak terkejut, terutamanya berita pemergian Ustaz Asri Ibrahim, vokalis kumpulan Rabbani ke rahmatullah pada sebelah pagi 13 Ogos. Jadi, ada yang sedih, dan ada yang gembira buatku pada tarikh tersebut.


Ustaz Asri yang dilahirkan pada 3 Ogos, dijemput menghadap Rabbul Jalil bila mana genap 40 tahun 10 hari umurnya. Masih muda boleh kita simpulkan. Tapi ajal seseorang di tangan tuhannya. Tiada siapa yang tahu dan tiada siapa yang dapat mengelak daripadanya.


Tidak kusangka konsert terakhirnya, Konsert Antara Dunia, anjuran GAMIS dengan kerjasama beberapa syarikat dan pertubuhan lain, termasuk Rabbani Productions sendiri, yang bertempat di Stadium Malawati Shah Alam, yang turut kuhadiri, merupakan konsert dan penampilan yang terakhir buatnya. Kebetulan persembahan kumpulan Rabbani sendiri diakhiri dengan lagu ’Pergi Tak Kembali’ pada malam tersebut, setelah sketsa berkisar ’sakaratul maut’ di pentas utama.


Mungkin peringatan buat kita semua juga, walaupun semuanya seperti satu kebetulan. Kematian sesuatu yang pasti. Tanpa mengira umur, masa dan ketikanya. Ia datang tanpa dijemput. Teringat pula bait-bait akhir lagu ’Pergi Tak Kembali’.


Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiring doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi


Jadi, marilah kita sama-sama mendoakan Ustaz Asri ’di sana’. Semoga rohnya ditempatkan bersama dengan orang-orang yang soleh. Amiiiiin.


Ada lagi cerita pada hari istimewaku itu. Adik-adik kandungku juga mendoakan abang mereka. Mama dan abahku sudah pasti tidak ketinggalan mendoakan anak mereka. Itu aku yakin dan percaya. Senang juga hatiku apabila ada dua orang sahabat baikku yang ’menemani’ diri ini. Ada juga sahabat-sahabat seperjuangan, akak-akak dan abang-abang senior mendoakan aku melalui perantaraan sms dan ada juga secara langsung. Sangat gembira dan bersyukur diri ini kerna mempunyai sahabat-sahabat dan insan seperti mereka.


Tanpa mereka, siapalah aku. Jadi, aku akan sentiasa menghargai mereka dalam hidupku ini. Blog aku ini juga merupakan antara azam baruku setelah sekian lama. Bukan tidak pernah aku membuat blog sendiri sebelum ini, tapi aku tidak ada kekuatan untuk istiqamah dalam ’melayani’ blog tersebut. Maka, pada tarikh ini, telah kubina azam yang baru, blog yang baru, dengan sisipan kemas azam-azam baruku yang lain. Diharapkan doa ahli keluarga dan sahabat-sahabat sentiasa mengiringi diriku. Amiiiin..

Khamis, Ogos 13, 2009

Kita Milik Perjuangan

Hati kecilku ini..
Berbicara..
Saat diuji..
Berat..
Betapa beratnya..
Mahu menerima sebuah hakikat..
Kenyataan dan realiti..

Mampukah aku?
Tegarkah aku?
Tamakkah aku?
Adakah aku masih ragu..
Pada setia satu perjuangan..
Yang takkan rugi kalau tanpa diriku..
Tapi aku yang rugi??
Kerna DIA tetap ada pengganti..
Mungkin yang lebih baik dari diri ini..

Ingat janji-janji kita..
Kita adalah milik perjuangan..
Di situlah cinta kita dikorbankan..
Hidup kita diabdikan..
Bersama teman kehidupan..
Bantulah kami Ya ALLAH..
Meredahi medan perjuangan ini..
Amiiin...



Terkadang hati kita mudah merungut dan mendengus, bila tiba saat kita diuji. Terasa berat beban yang mahu dipikul. Terasa dunia mahu menghempap kita. Sehinggakan seolah-olah kita mahu menafikan sebuah hakikat yang perlu ditelan dan realiti yang menduga.

Terkadang hati kita mudah terusik dan goyah dek bisikan syaitan yang sering menjengah ke dalam hati kita. Adakah aku mampu menggalas amanah perjuangan ini? Tegarkah aku melawan badai ujian mendatang, umpama Sang Belang yang ingin membaham mangsanya? Tamakkah aku menerima sebuah amanah suci bernama perjuangan? Adakah aku masih ragu. DIA tidak akan membebankan sesuatu yang tidak kita mampu. DIA juga Yang Maha Tahu. Ingatlah Firman ALLAH dalam surah at-Taubah ayat 34 yang bermaksud, ”Sekiranya jika engkau tidak mahu, Dia akan menggantikan kita dengan suatu golongan yang lain..”. Jadi, siapakah yang akan rugi? Kita kan pasti menduga apakah jawapannya. Kerana DIA tidak kan terjejas walau sedikitpun.

Ingatlah janji-janji kita, duhai abang-abang, kakak-kakak, sahabat-sahabat dan adik-adik sekalian. Janji untuk menjadi tunjang perjuangan ini, kerana kita adalah milik perjuangan. Di situlah cinta dunia kita mesti dikorbankan, kerana kita adalah milik perjuangan. Hidup kita mesti diabdikan untuk jalan perjuangan. Hidup dan mati kita hanya untuk perjuangan Islam. Hidup dan mati kita hanya untuk ALLAH Tuhan sekalian alam.

Akan tetapi perlu diingat, kita bukan keseorangan dalam perjuangan ini, janganlah terasa bebannya terlalu berat, kerana kita punya teman kehidupan untuk sama-sama hadapi perjuangan ini. Bagi yang sudah membina baitul muslim, si suami atau si isteri menjadi teman yang setia dalam perjuangan ini. Hadapilah segalanya bersama, kerana dia adalah teman kehidupan kita untuk mencapai redhaNYA.

Kita juga punya sahabat-sahabat perjuangan, sama ada bagi yang sudahpun membina baitul muslim ataupun belum, mereka masih punya sahabat-sahabat perjuangan sebagai teman mengharungi liku-liku perjuangan ini. Perlu diingat, kita semua berada dalam satu ruang lingkup jamaah, takkan pernah sunyi dalam merentasi hidup sebagai pejuang ini. Percayalah, kita takkan bisa keseorangan di jalan ini, paling tidak, DIA juga pasti akan menemani kita di jalan jihad ini.

Ya ALLAH, kepadaMU kami memohon, bantulah kami untuk meredahi medan perjuangan ini, medan yang takkan pernah sunyi daripada dugaan, ujian dan juga rintangan yang datang, kuatkanlah kami untuk mendepaninya. Kukuhkan iman kami bila hati ini diuji dan terus diuji. Jadikan kami terus istiqomah dan thabat di jalanMU Ya ALLAH.. Kabulkanlah doa kami Ya ALLAH.. Amiiiin...

CHEF, HOTEL, KEDAI MAKAN...???

Saya ingin membuat satu perumpamaan tentang pemimpin dalam sesebuah persatuan ni, tapi sudah terlalu biasa kalau nak diibaratkan dengan sebuah kapal pelayaran yang diketuai oleh seorang nakhoda. ’Boring’. (Tak dak kemajuan. Tak larat nak dengaq dah, macam orang Kedah kata la. Hehehe..) Bagi saya, memimpin sebuah persatuan ini boleh diibaratkan sama juga dengan suasana dapur sebuah hotel yang terkemuka. Bagaimana mereka membuat persediaan, pembahagian tugas, memasak dan menjaga imej hotel mereka yang terkemuka la sangat gayanya.. hehehe..

Para pimpinan ibarat chef-chef profesional dan berpengalaman luas, manakala pelanggannya adalah ahli-ahli persatuan itu sendiri. Ketua chef dan pembantu-pembantunya ataupun dalam konteks ini, pimpinan Majlis Tertinggi dan barisan exco persatuanlah yang akan menentukan resepi menarik dan menu terbaik untuk dihidangkan kepada ahli-ahlinya.

Seorang chef yang bijak, akan menyediakan hidangan kepada pelanggan mengikut citarasa dan kehendak mereka, malah yang terbaiknya, mereka menyediakan hidangan makanan yang seimbang demi kebaikan pelanggannya, bukan sekadar memikirkan keuntungan semata-mata.

Begitulah dengan suasana di dapur hotel, setiap chef dan pembantu-pembantunya ada kepakaran dan kemahiran masing-masing. Ketua chef telah pun tahu kemahiran mereka dan telah pun tetapkan tugas masing-masing dalam menyediakan sesuatu resepi dan menu. Pemfokusan gerak kerja dan tugas di dapur ini sangat penting dalam menentukan keberjayaan tahap pencapaian dan kepuasan pelanggan terhadap sesuatu resepi dan menu tadi.

Begitu juga dengan pimpinan dalam sesebuah persatuan. Kemahiran dan peranan tugas masing-masing yang bersangkut paut dengan jawatan anda, sangat penting untuk dilunaskan kewajipannya. Mereka juga mempunyai visi, misi dan matlamat yang ingin dicapai dalam sesi kepimpinan mereka. Anda dapat terjemahkan dalam situasi sebenar atau tidak perumpamaan tadi ya?? Hihihi.. Kalau dapat, baguslah anda dapat membayangkan dengan baik. Bijak-bijak.. Hehehe..

Ingatan buat para pimpinan persatuan, perlu ingat, ibaratnya kalaulah ada pelbagai tempat makan, menu yang disediakan pula lebih kurang sama, mungkin terdapat sedikit perbezaan, harga pun mungkin sedikit berbeza, dari aspek hiasan kedai makannya, tahap kebersihan kedainya, mungkin ada perbezaan, dan yang pastinya, sudah tentu ada sebuah atau dua buah kedai makan terbaik, yang menjadi pilihan dan kegemaran kita, di antara banyak pilihan kedai makan yang lain kan??

Kenapa agak-agaknya eh?? Pasti ’pakej’ yang disediakan oleh kedai makan ’favourite’ kita tadi. Dari sudut jenis makanan, kelazatan, harga berpatutan, kebersihan kedai dan makanan terjaga, dan macam-macam lagi yang akan menjadi pertimbangan kita sebagai pelanggan.

Jadi, apa konklusinya ya?? Ada juga banyak persatuan yang ada di dalam universiti dan di luar sana, dan mungkin menyediakan ’pulangan’ yang sama kepada ahlinya, tetapi mereka akan memilih terbaik di antara yang terbaik. Cream of the cream. Maka, fikir-fikirlah apa yang ingin saya sampaikan. Ingatan buat diri saya juga. Jadi, apa itu chef, hotel dan kedai makan??? Bagaimana pula yang dikatakan pimpinan, persatuan dan ’pakej’ yang disediakan untuk ahli-ahli?? Dah dapat konsepnya?? Bagus...

Oklah, cukuplah buat kali ini, dan jumpa lagi dalam lain coretan. Harap semua dapat membuka sedikit minda perkongsian kita. Wassalam..
Related Posts with Thumbnails