Jumaat, Januari 13, 2012

‘Bahasa’ Si Anak Kecil

Anak lelaki saya alhamdulillah sudah berusia dua bulan 10 hari. Menarik untuk para ibu dan ayah muda atau kepada bakal-bakal ibu bapa, yang masih belum mempunyai pengalaman sendiri, mengetahui malah memahami ‘bahasa’ si anak kecilnya nanti.

Rumah adalah sekolah pertama bagi anak-anak. Jadi, perlu kita fahami dan sediakan suasana yang kondusif setakat yang termampu ke arah itu. Berbalik kepada bahasa anak kecil tadi, jika ia menangis, adakah menangisnya kerana lapar? Menangis kerana lampin pakai buangnya sudah kebasahan? Atau paling meresahkan jika menangis itu dek kerana dirinya sakit.

Itu belum lagi dengan isyarat dan tanda-tanda lain seperti si anak kecil itu menggosok-gosokkan matanya dengan tangan kecilnya, memasukkan tangan yang dipakaikan sarung tangan ke dalam mulut, menendang-nendang seakan mahu mengangkat punggungnya ataupun merengek-rengek seakan meminta untuk kita menemaninya selalu.

Rutin waktu tidurnya, rutin waktu makannya, rutin waktu mandinya dan rutin waktu mainnya, terkadang mengikut jadual, terkadang tidak menentu juga bergantung kepada ‘mood’ atau keselesaan si anak kecil pada hari tersebut. Ibu dan ayah perlu menyediakan suasana dan keadaan yang membolehkan si anak cepat membesar mengikut acuan Islam.

Di saat merenungi mata anak kecil yang penuh dengan harapan, si ayah atau si ibu pasti tidak mahu anaknya apabila besar nanti menjadi individu yang tidak berjiwa Islam. Agama dan adab-adab sopan tidak diamalkan. Mengikut budaya barat dan terikut-ikut dengan hedonisme yang melampau. Nauzubillahiminzalik.

Alunan ayat-ayat Al-Quran, zikir-zikir seperti kalimah Laailahaillallah, tasbih, tahmid dan takbir, selawat atas Nabi atau nasyid-nasyid Islami, serta lafaz Bismillah diawali bagi memulakan sesuatu perkara, seperti ketika mahu menyusukan anak atau mengangkat anak misalnya, hendaklah dibiasakan kepada anak-anak kecil ini untuk menjadi ‘teman permainannya’. Didikan awal ini akan menjadi pasakan awal yang kuat kepada kehidupan anak kita.

Doa-doa khusus dari si ayah dan si ibu sangat-sangat bermakna buat si anak kecil ketika ini. Doa dari hati ibu dan ayah sangat diutamakan. Doakan doa-doa yang baik, malah amalkan selalu kata-kata yang positif bila ingin berkomunikasi dengan si anak. Bahasa dan tutur kata yang kita gunakan, akan disimpan dalam memori ingatannya dan akan digunakan semula apabila si anak sudah besar kelak.

Percaya atau tidak, pendedahan bahasa ibunda, bahasa antarabangsa dan bahasa ilmu kepada si anak pada ketika ini sangat bermakna buat proses pembinaan ‘kamus’ bahasa dalam memori otaknya. Sebagai contoh, kita menjadikan dan mendedahkan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda anak kita, bahasa Arab sebagai bahasa ilmunya, dan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsanya.

Kita akan mendedahkan pengunaan bahasa ini lebih awal, walaupun anak kecil ini tidak memahami setiap satunya, namun harus diingat bahawa otak ciptaan Allah ini mempunyai kehebatannya tersendiri yang mampu merekod setiap bahasa yang didengari oleh si anak kecil. Hebat kan?

Jangan kita tidak tahu, yang mana si anak kecil, yang baru lahir pun sudah dapat membezakan dan mengenalpasti sesuatu bunyi. Sebagai contoh, anak yang baru berusia dua hari hingga empat hari sudah mampu mengesan arah bunyi itu datang.

Apabila berusia empat bulan, anak kecil kita akan lebih peka dan menoleh ke arah bunyi dan suara tersebut. Apabila menginjak usia 6 bulan, anak kita semakin peka dan akan semakin sempurna apabila menjangkau usia 2 tahun. Malah, nada bunyi dan suara seperti marah, gembira dan sedih juga, dapat dikenalpasti oleh anak-anak kecil kita dengan baik.

Mudah ceritanya, anak kecil kita sebenarnya hebat dan cepat belajar dari apa yang kita sangkakan. Jangan sesekali kita memandang rendah akan kebolehannya. Tersenyum kita memikirkannya bukan? Betulkah?

Anak-anak di usia 0 hingga 2 tahun berada pada peringkat deria motor. Pada tahap ini, anak-anak akan belajar melalui derianya dengan melakukan beberapa aktiviti fizikal yang mungkin kita tidak sedari.

Sebagai contoh, memasukkan tangan ke dalam mulut, menggenggam jari tangannya, mendepakan tangannya, mengangkat-ngangkat kakinya, malah di usia 3 atau 4 bulan, si anak akan berusaha untuk meniarap. Mengangkat beban kepala sendiri dan akhirnya dengan merangkak selepas ‘menguasai’ kemahiran itu.

Jadi, sedari lahir hingga umurnya sebulan, anak kita akan meggunakan segala derianya bagi mendapatkan maklumat baru dengan meneroka dan mencari sendiri melalui interaksi atau tindak balas kepada persekitaran.

Memang ketika ini, tidaklah mereka mempunyai maklumat seperti orang dewasa, namun anak kecil ini membina pengetahuan dan belajar setiap hari. Pakar sendiri mengakui, anak kecil ketika ini memahami lebih daripada jangkaan ibu bapanya sendiri.

Sebagai contoh, hari ini anak kita akan belajar tentang cahaya. Apabila ada cahaya matahari atau lampu, dia akan memejamkan matanya. Matanya takut-takut untuk dibuka, untuk ‘menghadapi’ cahaya matahari atau cahaya lampu.

Ada juga anak kecil menggunakan ‘senjata’ menangis untuk menarik perhatian ibu bapanya atau sebagai isyarat memberitahu sesuatu. Di saat itu, menangis boleh ditafsirkan sebagai lapar, atau mungkin lampin pakai buangnya basah, atau mungkin dirinya sakit atau tidak sihat.

Jadi, bukan mustahil, melalui bunyi dan suara, atau bahasa yang kita dedahkan kepada anak kita, akan membantu anak kita mempelajari dan meneroka kehidupan di alam barunya ini dengan lebih baik. Ia suatu proses pembelajaran buat mereka.

Jika di alam janin, suasananya berbeza, namun di alam dunia, kehidupannya juga berbeza. Pendedahan yang baik, pembelajaran yang baik, pastinya akan menghasilkan tindak balas yang baik, respon yang baik, malah akan menjadikan anak kita anak yang baik insyaAllah.

Kesimpulannya, jadikan rumah kita sebagai sekolah pertama anak-anak, cuba dan usahakan untuk memahami 'bahasa' anak kecil kita dan sediakan medium pembelajaran yang baik buat mereka. Moga perkongsian yang sedikit ini, mendapat manfaat terutama buat bakal-bakal ibu bapa atau ibu-ibu dan ayah-ayah di luar sana yang sudi membaca.

muhammad thaqif bersama tok wan

ketika bercuti di kampung


Ahad, Julai 31, 2011

Diuji Dengan Denggi (3D)

Dunia hospital dirasakan begitu membuka mata ini melihat dari kaca mata hikmah akan nikmat yang Allah berikan. Hari pertama dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) agak mendebarkan. Adakah umurku di sini sahaja atau bagaimana? Bantuan oksigen diberikan serta merta. Lengan tangan dan dada dihiasi saluran air, oksigen dan sebagainya. Dilekatkan di atas dadaku apa namanya, aku pun tidak mengenali ‘alat’ itu. Kritikal pada mereka barangkali.

Apabila dipindahkan ke wad, perasaan syukur atas nikmat yang dikecapi. Masih diberikan ruang dan peluang oleh Allah untukku. Diri ini dibawa dengan katil beroda melintasi kawasan-kawasan hospital. Sempat mata ini menjeling melihat kelibat dan raut wajah yang ada di sana. Ada yang berwatak hiba dan sedih, terlihat dari air mukanya.

Akhirnya sampai juga wad khas untuk diri ini. Katil aku diletakkan berhampiran dengan kaunter ‘staff nurse’ yang berada di sebelah kananku. Air sudah berapa banyak dimasukkan melalui saluran di lenganku. Jarum mengambil darah sudah dua kali pagi itu sahaja. Hari pertama, enam kali doktor mengambil darahku untuk mengetahui keadaan kesihatan diriku.

Platlet dalam darah yang semakin menurun membuktikan wabak denggi betul-betul ‘mendiami’ diriku buat sementara waktu ini. Sah aku ditahan di wad hospital sehingga pulih. Maklum sahaja, denggi tiada ubat khusus, dan boleh meragut nyawa. Hanya perlu banyak minum dan minum air kosong sebanyak yang dapat untuk ‘menawarkan’ virus. Minum dan buang air sekerap yang dapat. Itu bagus, pesannya doktor.

Kuimbas kembali di awal gejala demam denggi ini menziarahi diri ini. Tidak kusangka, pagi hari Jumaat itu sekadar demam sedikit, sengal-sengal badan, mata sedikit terganggu dengan cahaya, namun aku masih mengagahi diri pergi mengajar hingga ke malam. Petang Jumaat itu, terkena hujan lebat juga ketika di atas motor dari Bandar Sri Damansara ke Damansara Utama. Kemudian esoknya seakan sudah kebah (doktor mengatakan sebab penangan panadol barangkali).

Kemudian hari Sabtu malamnya demam semula. Pagi Ahad kelihatan bintik-bintik merah di atas muka dan sebahagian bahu. Hari itu memang diri ini menyangka ianya demam campak, walaupun sudah pernah mengalami demam campak sewaktu kecil. Apalagi, selain berusaha mendapatkan air kelapa muda untuk mengeluarkan biji campak, air mandian daun mambu yang didoakan dengan apa yang dipelajari di Darussyifa’ menjadi ikhtiar bermula saat itu.

Terus terang, banyak lagi saat-saat penting yang tersemat kukuh dalam catatan hati ini, namun terpaksa kuringkaskan cerita. Selepas itu, doktor asyik membuat ‘kaji selidik’ dan membuat pemerhatian ke atas diriku sepanjang berada di hospital. Selain berdasarkan keputusan ujian darah, simptom-simptom demam denggi sering disoal oleh doktor setiap kali datang memeriksa diriku.

Adakah ada senak-senak perut (jika hati membengkak dan menekan bahagian perut apabila virus Denggi menyerang), ada muntah hari ini atau berdarah di mana-mana anggota badan misalnya gusi berdarah (ini untuk mengetahui sama ada dijangkiti demam denggi berdarah yang lebih berbahaya berbanding demam denggi biasa). Ada buang air kecil (untuk mengetahui ianya mengganggu sistem buah pinggang atau tidak). Ada lenguh-lenguh sendi (tanda denggi yang menyerang bahagian sendi) dan rasa hendak pitam?

Alhamdulillah aku tidak mengalami tanda-tanda yang serius kecuali ada lenguh-lenguh sendi. Sedikit sakit belakang sebelum ini. Cuma masalahnya darahku amat pekat sehinggakan doktor bertanyakan sama ada aku merokok. Aku tidak pernah merokok. Sedikit kehairanan doktor. Hasil ujian darah dari semasa ke semasa, menunjukkan kepekatan darah amat tinggi manakala platlet (sel darah kuning) dalam darahku pula semakin berkurang.

Memang pada awalnya apabila aku diperiksa, seakan-akan aku bukan mangsa demam denggi, namun tanda-tanda denggi semakin menonjolkan dirinya. Doktor perempuan melayu menjelaskan kepadaku akan kemudaratan bila platlet semakin berkurang. Aku akan berisiko muntah darah, gusi dan gigi berdarah, dan akhirnya akan disahkan denggi berdarah yang boleh menyebabkan kematian andai tidak dirawat dan dipantau rapi.

Kebetulan hari kedua, seorang pesakit disyaki demam denggi baru dipindahkan ke wad yang sama. Petang itu, di saat aku keseorangan tanpa teman di sisi, pesakit itu yang mungkin muda sedikit berbanding diriku, muntah darah agak banyak. Doktor-doktor mengelilinginya untuk memaklumkan keperluan pembedahan kecil dibuat segera. Pembedahan segera di situ juga, dilakukan serta merta untuk menyelamatkan dia. Memang agak merisaukan. Bukan di dewan bedah atau di bilik ICU, namun katilnya hanya berselang dua katil di hadapanku.

Cadar katilnya ada kesan darah. Rupanya dia disahkan dijangkiti virus air kencing tikus. Katanya dia pergi bermandi manda di sebuah peranginan air terjun sebelum ini. Kedengaran doktor memberi penerangan bahaya dan risiko virus tersebut jika tidak dibuat pembedahan segera. Selepas itu, ahli keluarganya datang dan tidak lama selepas itu dia dipindahkan ke ICU. Alhamdulillah dia masuk kembali ke wad kami di hari keempat. Mukanya ada sinar kesembuhan. Kelihatannya sudah semakin pulih dari hari pertama beliau dimasukkan ke wad.

bersambung..

Khamis, Julai 07, 2011

Kehidupan dan Keistimewaan Penguin Di Sebuah Benua Beku Di Kutub Utara

Penguin hidup di bahagian kutub planet kita. Keadaan unik kawan kutub ini ialah ia amat sejuk dan sentiasa ditutupi dengan salji dan ais. Cuacanya terlalu sejuk hingga membentuk glasier di bawah laut. Sekarang, fikirkan kesejukan yang orang-orang alami ketika bermain bola salji di musim sejuk.

Mereka merasa sejuk walaupun mereka memakai baju bulu, kot, topi, sepasang kasut dan skaf. Ketika mereka bermain bola salji, suhunya hanya sekitar 10 darjah selsius bawah paras beku. Penguin pula hidup di tempat yang suhunya rendah sehingga 400 C di bawah paras beku.

Tambahan pula, penguin tidak mempunyai kot, baju bulu atau sarung tangan, dan mereka tinggal di tempat yang jauh lebih sejuk daripada tempat kita. Mereka berjalan di atas ais tanpa kasut dan mereka tidak pula jatuh sakit.

Mereka tidak mempunyai rumah. Mereka tidur di atas ais. Jika kita berbaring di atas ais selama beberapa minit, kita pasti akan jatuh sakit. Tetapi, tiada apa-apa yang akan berlaku kepada penguin, mengapa?

Kerana Allah telah menjadikan mereka sedemikian rupa sehingga membolehkan mereka hidup di sebuah persekitaran yang sejuk. Badan penguin dan sifat-sifatnya amat berbeza daripada tubuh kita. Kerana itu, ia dapat hidup di dalam cuaca paling sejuk tanpa sebarang kesukaran.

Allah telah membaluti tubuh penguin dengan sekeping lapisan lemak yang tebal, supaya ia tidak merasa sejuk. Lapisan lemak ini melindunginya daripada merasa sejuk, dan bertindak sebagai kulit. Sedangkan, lapisan lemak di sekeliling tubuh kita amat nipis dan kerana itulah kita mudah merasa sejuk. Sebab itu juga kita perlu memakai pakaian tebal ketika cuaca sejuk.

Penguin mempamerkan kesetiaan yang hebat kepada telur dan anak-anaknya. Penguin mengeram telurnya ketika cuaca sangat sejuk. Tidak seperti makhluk lain, bukan penguin betina yang mengeramkannya tetapi si jantan.

Penguin betina hanya bertelur sebiji dan kemudian meninggalkannya kepada penguin jantan. Ia berjalan jauh untuk mendapatkan makanan kepada suami dan anaknya. Kerana mereka dikelilingi ais dan salji, ia perlu berjalan jauh untuk mendapatkan makanan.

Penguin jantan mengeram telurnya selama empat bulan penuh. Ia membawa telur ini di antara kedua kakinya dan sepanjang empat bulan ini, ia sekali pun tidak pernah meninggalkan telur ini. Jika ia melakukannya, telur tersebut akan membeku dan mati di dalam beberapa minit sahaja.

Penguin jantan ini begitu sabar, sehinggakan sepanjang empat bulan ini ia bergerak dengan telur berada di antara kedua kakinya. Kerana itulah ia tidak dapat berburu dan dan sentiasa lapar. Cuaca sangat sejuk. Jika cuaca menjadi terlalu sejuk, penguin-penguin jantan akan berkumpul bersama walaupun mereka membawa telur di kaki mereka.

Mereka menghampiri satu sama lain, membentuk bulatan, dan dengan cara ini, dapat memanaskan diri mereka. Mereka bertukar kedudukan supaya penguin yang berada di luar bulatan akan merasa panas juga.

Apabila telur tersebut hampir menetas, ibu penguin pulang daripada berburu. Ia memberi makan kepada anak kecilnya dengan makanan yang disimpan di dalam temboloknya. Untuk mencegah bayi tersebut daripada kesejukan, ibu bapanya membawanya di antara kaki mereka dan memanaskan badannya dengan tubuh mereka.

Seperti yang kita lihat, Allah telah mengurniakan makhluk hebat ini beberapa sifat yang mengkagumkan. Allah menjadikan penguin badan yang dapat melindungi dirinya daripada kesejukan, dan menjadikannya begitu taat setia.

Kerana mereka amat dedikasi, mereka memelihara anak-anak mereka. Sifat-sifat ini telah diberikan kepada penguin berjuta-juta tahun dahulu. Penguin yang hidup dahulu dan kini tidak berubah walaupun sedikit dari segi kesetiaannya.

SUBHANALLAH!!!


p/s : manusia pun terkadang tergugat kesetiaan mereka, dan banyak sekali kes di negara kita yang membuang bayi mereka sesuka hati malah merata tempat. Di mana mereka campakkan perasaan kasih dan sayang mereka?? Benar firman Allah, mafhumnya manusia ini jika mereka ini teruk, sama sahaja dengan binatang, bahkan ada yang lebih teruk dari itu. Sesat lagi menyesatkan. Cukuplah semuanya menjadi pengajaran buat kita. Semoga kita semua mempunyai kasih sayang kerana Allah. Ameen.


Selasa, Jun 28, 2011

Hatinya Terbuka Memeluk Islam Akhirnya



Lelaki India berbadan tegap itu menghempaskan dirinya ke atas sofa di ruang tamu rumahnya di Petaling Jaya. Hari ini, dia rasa terlalu letih. Pelanggan yang datang ke bank tempatnya bekerja hari ini, luar biasa ramainya. Dia cuma sempat berhenti rehat sewaktu makan tengah hari sahaja. Selepas itu, dia kembali sibuk melayan pelanggan sehinggalah habis waktu pejabat.

Lelaki itu menghidupkan TV dan kebetulan ketika itu, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam sedang berlangsung. Salah seorang ahli panelnya ialah ulama terkenal, Dato' Dr. Haron Din.

Biarpun dia bukan seorang Muslim, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bukanlah asing baginya. Selalu juga dia menonton rancangan tersebut. Malah, dia juga tahu sedikit sebanyak tentang ajaran Islam melalui rancangan tersebut. Lagipun, dia suka melihat kepetahan ahli panel itu memberi ceramah dalam bahasa Melayu, secara tidak langsung, dia boleh belajar bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih baik.

Sedang asyik mengikuti perbincangan itu, tiba-tiba, lelaki tersebut tersentak apabila mendengar Dr.Haron Din mengatakan: "Bandingan segala kebaikan amal dan usaha orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun daripada apa yang mereka telah usahakan itu. Amalan itu menjadi sia-sia akibat mereka sebenarnya berada dalam kesesatan yang jauh daripada kebenaran."

Mendengar kata-kata Dr.Haron Din, darah lelaki India itu menyirap. Perasaan marah menyelinap masuk ke dalam hatinya. Mana boleh! Itu tidak adil! Takkan Tuhan hanya menerima kebaikan orang Islam sahaja? Bagaimana dengan kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam?

Bahkan, sepanjang hidupnya, dia melihat banyak kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam, dan ada kalanya, melebihi daripada Kebaikan yang pernah dilakukan oleh orang Islam itu sendiri. Apakah segala kebaikan itu tidak diterima? Dia mula menganggap, ajaran Islam mengamalkan sikap kasta. Jika begitu ajaran Islam, bermakna ia double standard.

Rasa tidak puas hati terus menyelubungi fikiran lelaki tersebut. Lelaki India itu tekad untuk berjumpa dengan Dr.Haron Din. Dia ingin berdebat dengan ulama tersebut. Pada fikirannya, mana boleh seorang ulama mengeluarkan kenyataan yang tidak adil seperti itu, dan boleh menyentuh perasaan orang bukan Islam di negara ini seperti dirinya. Apatah lagi ia dilakukan secara terbuka di kaca TV.

Lelaki itu tahu, Dr.Haron Din bukanlah calang-calang orang, tetapi dia tidak peduli. Dia tetap mahu berjumpa dengan ulama tersebut dan mesti mencari jalan bagaimana untuk bertemu dengannya. Setelah beberapa bulan memendam niat untuk bertemu Dr.Haron Din akhirnya hasrat itu tercapai. Melalui seorang pelanggan yang dikenali ketika berurusan di bank tempatnya bekerja, lelaki itu dibawa bertemu dengan Dr.Haron Din di sebuah rumah seorang ahli perniagaan di Petaling Jaya. Dr.Haron Din mengadakan usrah di rumah ahli perniagaan tersebut pada hari Khamis malam Jumaat, seminggu sekali.

Ketika sampai di rumah ahli perniagaan tersebut, kuliah baru saja bermula. Di hadapan lebih 20 orang jemaah, kelihatan Dr. Haron Din duduk bersila sambil memegang sebuah kitab. Kebetulan pada malam itu, Haron Din mengajar tentang bab syirik. Bila ternampak muka Dr. Haron Din, hatinya menjadi panas.

Lelaki itu membulatkan tekad, selepas tamat kuliah, dia mahu berjumpa dengan Dr. Haron Din. Dia mahu mengajak Dr. Haron Din berdebat. Lelaki itu memang betul-betul tidak berpuas hati dengan kenyataan Dr. Haron Din di dalam Forum Perdana. Ia masih terngiang-ngiang di telinganya biarpun sudah beberapa bulan berlalu.

Namun, tidak disangka-sangka, segala yang dirancangnya tidak menjadi. Perasaan marah dan bengang yang bersarang dalam dirinya selama beberapa bulan itu mula surut apabila dia duduk mendengar kuliah yang disampaikan oleh ulama tersebut.

Setelah tamat kuliah yang diberikan Dr.Haron Din, lebih kurang dua jam selepas itu, semangatnya yang tadi berkobar-kobar mahu berdebat dengan ulama tersebut, kian kendur. Rupa-rupanya, dalam diam, dia mengakui, cara penyampaian, serta kupasan Dr.Haron Din yang begitu terperinci dalam bab-bab syirik, membuatkan dia rasa amat terpegun.

Sebelum ini, lelaki India itu tidak pernah mendengar penjelasan mengenai Islam dan ketuhanan seperti yang didengarnya pada malam itu. Biarpun hati lelaki berkenaan sudah mula mahu akur pada kebenaran Islam, namun egonya masih menebal. Lelaki ini memperingatkan dirinya, kedatangannya pada malam itu bukan untuk terpengaruh dengan kata-kata Dr. Haron Din, tetapi untuk mengajak ulama itu berdebat dengannya.

Akhirnya dia memutuskan untuk menangguhkan hasrat berdebat dengan Dr.Haron Din. Bukan tidak berani, tetapi sebenarnya pada malam itu segala persepsi buruknya terhadap Dr.Haron Din dan Islam telah mula berubah.

Pun demikian, lelaki itu tidak mahu mengalah dengan perasaannya. Ego yang ada dalam dirinya mengaburi kewarasan akalnya. Misinya berjumpa dengan Dr.Haron Din ialah untuk menyatakan apa yang dikatakan oleh ulama tersebut dalam Forum Perdana adalah tidak adil. Tidak lebih daripada itu.

Dan yang paling penting, tujuan dia bertemu ulama tersebut bukanlah untuk mengakui kebenaran Islam. Lelaki itu membuat perancangan sendiri. Dia akan terus mengikuti kuliah Dr.Haron Din di situ, agar dia lebih faham tentang Islam dan senang nanti untuk dia berhujah dengan ulama tersebut kelak.

Selepas itu, pada setiap malam Jumaat, lelaki berkenaan menghadiri kuliah Dr.Haron Din. Kali ini dia pergi seorang diri. Tetapi 'masalahnya' semakin lama mengikuti usrah Dr.Haron Din, semakin jelas dilihatnya kebenaran Islam. Lama-kelamaan, tujuan asal lelaki ini untuk berdebat dengan Dr.Haron Din dan mengatakan bahawa Islam agama yang double standard, bertukar menjadi sebaliknya. Setiap kali dia mengikuti usrah Dr.Haron Din, semakin hampir hatinya pada Islam. Islam itu dilihatnya tulus, lurus tanpa simpang-siur.

Niat asalnya untuk berdebat dengan Dr.Haron Din akhirnya terpadam begitu sahaja. Sebaliknya, hatinya menjadi semakin lembut dan lelaki India itu bertambah berminat untuk mengetahui tentang ajaran Islam dengan lebih mendalam.

Suatu hari ketika mengikuti usrah Dr.Haron Din di rumah ahli perniagaan tersebut, lelaki India itu mengambil peluang bertanyakan bermacam-macam soalan tentang Islam. Dia bertanya, mengapa perlu meninggalkan agamanya dan memeluk Islam? Bukankah semua agama itu sama. Bukankah Islam itu juga sama seperti agama lain, menyuruh membuat kebalkan dan meninggalkan kejahatan?

Dan yang paling penting, dia mahu tahu, kenapa Dr.Haron Din mengatakan hanya amalan orang Islam sahaja yang diterima Allah, dan amalan orang bukan Islam tidak diterima-Nya seperti yang disebut di dalam Forum Perdana Ehwal Islam tidak berapa lama dulu.

Dr.Haron Din tersenyum dan secara berkias beliau menjawab; "Untuk memudahkan saudara memahaminya, biar saya berikan contoh begini : Kita adalah seorang hamba dan tuan kita memberikan kita sebidang tanah, cangkul, benih, baja dan segala kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan tanah tersebut.

"Tuan kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti mana yang disuruh, sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain. Kemudian bila tiba di hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk meminta upah. Saudara rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan kita tidak lakukan apa yang disuruh, sebaliknya kita melakukan kerja untuk orang lain?

"Begitu jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, contohnya kerana manusia, pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan memberi balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua amalan yang kita lakukan bukan untuk Dia?"

Ternyata segala jawapan dan hujah yang diberikan oleh Dr.Haron Din atas pertanyaannya itu, membuatkan dia mati akal. Begitu juga dengan setiap hujah dan persoalan yang cuba ditimbulkan lelaki itu dengan mudah dipatahkan oleh Dr.Haron Din dengan cara yang lembut dan bijaksana, tanpa sedikit pun menyinggung perasaannya sebagai orang bukan Islam.


Setelah empat minggu berturut-turut mengikuti kuliah yang diberikan oleh Dr.Haron Din, ego yang ada di dalam dirinya hancur dengan kebenaran Islam. Akhirnya hati lelaki itu terbuka untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas itu, secara rasmi lelaki India tersebut memeluk Islam.

Dalam satu pertemuan empat mata dengan Dr.Haron Din setelah lelaki itu memeluk Islam, dia sempat bertanya mengapakah ulama tersebut mengeluarkan kenyataan seperti itu di kaca TV, sedangkan kenyataan itu boleh mengundang rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam, seperti apa yang dirasakannya.

Dr.Haron Din menjelaskan kepada lelaki India tersebut: "Memang kenyataan itu saya tujukan khusus untuk orang bukan Islam. Saya mahu orang bukan Islam berfikir tentang kehidupan, asal usul manusia dan kebenaran agama. Saya mendapat maklum balas, ramai di kalangan bukan Islam yang menonton rancangan itu. Jadi, sengaja saya bacakan ayat al-Quran itu agar mereka berfikir."


"Dan saya adalah di antara mereka yang terkena provokasi Dr.Haron Din itu. Biarpun pada peringkat awalnya saya bertemu beliau atas sebab tidak puas hati dengan kenyataannya, namun akhirnya, saya bersyukur, kerana ia menjadi penyebab yang membuatkan saya akhirnya menerima cahaya kebenaran Islam," jelas Mohammad Fitri Abdullah, 43, lelaki India yang dimaksudkan dalam cerita di atas.

Ketika Mastika menemuinya di pejabat Perkim bahagian Shah Alam di Masjid Negeri Shah Alam, Fitri berulang kali menyatakan betapa syukurnya dia mendapat hidayah biarpun pada mulanya dia langsung tidak terfikir untuk memeluk Islam.

"Seperti yang saya katakan, pada awalnya niat saya adalah untuk berdebat dengan Dr.Haron Din akibat rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya itu. Tetapi, apabila saya mendengar penjelasan beliau, ego saya jatuh dan dalam diam-diam saya mengakui, saya bukanlah orang yang layak untuk berdebat dengan beliau," jelasnya.

Sebenarnya sebelum memeluk Islam, Fitri memang seorang yang taat terhadap agamanya. Dia bukan sekadar seorang pengikut yang taat, tetapi juga bergerak aktif dalam beberapa persatuan yang berteraskan agama yang dianutinya. Selain itu, dia turut mengajar di beberapa rumah ibadat di sekitar ibu kota. Biarpun kuat terhadap agamanya, namun jauh di sudut hati, lelaki itu sering merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan agama yang dianutinya.

"Sebenarnya, agama tersebut juga mengajar pengikutnya untuk menyembah Tuhan yang satu. Di dalam kitab-kitab lama, itulah ajarannya. Tapi masalahnya, apa yang dilakukan oleh penganut agama tersebut berlainan daripada apa yang diajar di dalam kitab.

"Mereka tidak menyembah Tuhan yang satu, sebaliknya menyembah bermacam-macam Tuhan, selain dari Tuhan yang satu," tegas lelaki yang berasal dan Banting, Selangor ini. Lantaran itulah kata Fitri, hatinya sering berasa ragu dengan agama sendiri. Perasaan ini bukannya baru, malah timbul sejak dia berusia belasan tahun lagi. Dia melihat apa yang diajar di dalam kitab, dengan apa yang dipraktikkan oleh penganut agama lamanya, termasuk dirinya sendiri, ternyata bercanggah sama sekali.

"Tetapi apabila saya mendengar kuliah Dr.Haron Din, diam-diam saya mula sedar, saya memang berada dalam kesesatan yang nyata. Pertama kali mendengar ceramah beliau, sudah cukup untuk memberi kesedaran pada diri saya sekali gus berjaya mengubah pandangan saya terhadap Islam selama ini. Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan pada Dr.Haron Din," kata Fitri lagi.

Kejadian itu sebenarnya telah pun berlalu hampir 15 tahun, namun cahaya iman yang menyerap ke dalam hatinya masih lagi sesegar dulu. Malah, dari hari ke hari semakin kukuh bertapak di dalam dirinya.

Jika dahulu Fitri seorang mubaligh yang aktif menyebarkan agama lamanya, kini Fitri masih tetap begitu. "Cuma bezanya, hari ini saya bergerak di atas landasan agama yang benar iaitu Islam. Saya cukup sedih bila mendengar ada saudara seagama saya, terutamanya di kalangan orang Melayu yang sanggup keluar dari Islam. Murtad.

"Hari ini, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka, memulihkan iman mereka, dengan pelbagai usaha dan cara, termasuk berkongsi pengalaman yang saya lalui sebelum ini.

"Ini adalah tuntutan wajib buat diri saya. Dengan kelebihan yang Allah anugerahkan kepada saya, saya perlu laksanakan amanah ini biarpun berat, sebagai usaha saya membantu menyemarakkan agama Allah di muka bumi yang bertuah ini," ujarnya bersungguh-sungguh mengakhiri pertemuan kami pada petang itu.

Dr.Harun Din adalah ulama yang amat disegani dan saya sungguh sedih melihat ulama seperti beliau seolah-olah tiada tempat dalam masyarakat kita. Sungguh sukar untuk kita lihat wajah beliau di kaca televisyen sedangkan ilmu yang beliau miliki amat penting untuk kita sama-sama kongsi, pelajari dan amalkan. Rancangan Forum Perdana kini gagal menarik minat penonton Islam termasuk bukan Islam kerana kita kehilangan ulama-ulama seperti Ishak Baharom, Badrol Amin, Dr.Haron Din, dan ramai lagi. Kenapa mereka ini di gam? Disekat terus menerus? Mengapa?

Related Posts with Thumbnails