Memaparkan catatan dengan label cerita hati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cerita hati. Papar semua catatan

Ahad, Julai 31, 2011

Diuji Dengan Denggi (3D)

Dunia hospital dirasakan begitu membuka mata ini melihat dari kaca mata hikmah akan nikmat yang Allah berikan. Hari pertama dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) agak mendebarkan. Adakah umurku di sini sahaja atau bagaimana? Bantuan oksigen diberikan serta merta. Lengan tangan dan dada dihiasi saluran air, oksigen dan sebagainya. Dilekatkan di atas dadaku apa namanya, aku pun tidak mengenali ‘alat’ itu. Kritikal pada mereka barangkali.

Apabila dipindahkan ke wad, perasaan syukur atas nikmat yang dikecapi. Masih diberikan ruang dan peluang oleh Allah untukku. Diri ini dibawa dengan katil beroda melintasi kawasan-kawasan hospital. Sempat mata ini menjeling melihat kelibat dan raut wajah yang ada di sana. Ada yang berwatak hiba dan sedih, terlihat dari air mukanya.

Akhirnya sampai juga wad khas untuk diri ini. Katil aku diletakkan berhampiran dengan kaunter ‘staff nurse’ yang berada di sebelah kananku. Air sudah berapa banyak dimasukkan melalui saluran di lenganku. Jarum mengambil darah sudah dua kali pagi itu sahaja. Hari pertama, enam kali doktor mengambil darahku untuk mengetahui keadaan kesihatan diriku.

Platlet dalam darah yang semakin menurun membuktikan wabak denggi betul-betul ‘mendiami’ diriku buat sementara waktu ini. Sah aku ditahan di wad hospital sehingga pulih. Maklum sahaja, denggi tiada ubat khusus, dan boleh meragut nyawa. Hanya perlu banyak minum dan minum air kosong sebanyak yang dapat untuk ‘menawarkan’ virus. Minum dan buang air sekerap yang dapat. Itu bagus, pesannya doktor.

Kuimbas kembali di awal gejala demam denggi ini menziarahi diri ini. Tidak kusangka, pagi hari Jumaat itu sekadar demam sedikit, sengal-sengal badan, mata sedikit terganggu dengan cahaya, namun aku masih mengagahi diri pergi mengajar hingga ke malam. Petang Jumaat itu, terkena hujan lebat juga ketika di atas motor dari Bandar Sri Damansara ke Damansara Utama. Kemudian esoknya seakan sudah kebah (doktor mengatakan sebab penangan panadol barangkali).

Kemudian hari Sabtu malamnya demam semula. Pagi Ahad kelihatan bintik-bintik merah di atas muka dan sebahagian bahu. Hari itu memang diri ini menyangka ianya demam campak, walaupun sudah pernah mengalami demam campak sewaktu kecil. Apalagi, selain berusaha mendapatkan air kelapa muda untuk mengeluarkan biji campak, air mandian daun mambu yang didoakan dengan apa yang dipelajari di Darussyifa’ menjadi ikhtiar bermula saat itu.

Terus terang, banyak lagi saat-saat penting yang tersemat kukuh dalam catatan hati ini, namun terpaksa kuringkaskan cerita. Selepas itu, doktor asyik membuat ‘kaji selidik’ dan membuat pemerhatian ke atas diriku sepanjang berada di hospital. Selain berdasarkan keputusan ujian darah, simptom-simptom demam denggi sering disoal oleh doktor setiap kali datang memeriksa diriku.

Adakah ada senak-senak perut (jika hati membengkak dan menekan bahagian perut apabila virus Denggi menyerang), ada muntah hari ini atau berdarah di mana-mana anggota badan misalnya gusi berdarah (ini untuk mengetahui sama ada dijangkiti demam denggi berdarah yang lebih berbahaya berbanding demam denggi biasa). Ada buang air kecil (untuk mengetahui ianya mengganggu sistem buah pinggang atau tidak). Ada lenguh-lenguh sendi (tanda denggi yang menyerang bahagian sendi) dan rasa hendak pitam?

Alhamdulillah aku tidak mengalami tanda-tanda yang serius kecuali ada lenguh-lenguh sendi. Sedikit sakit belakang sebelum ini. Cuma masalahnya darahku amat pekat sehinggakan doktor bertanyakan sama ada aku merokok. Aku tidak pernah merokok. Sedikit kehairanan doktor. Hasil ujian darah dari semasa ke semasa, menunjukkan kepekatan darah amat tinggi manakala platlet (sel darah kuning) dalam darahku pula semakin berkurang.

Memang pada awalnya apabila aku diperiksa, seakan-akan aku bukan mangsa demam denggi, namun tanda-tanda denggi semakin menonjolkan dirinya. Doktor perempuan melayu menjelaskan kepadaku akan kemudaratan bila platlet semakin berkurang. Aku akan berisiko muntah darah, gusi dan gigi berdarah, dan akhirnya akan disahkan denggi berdarah yang boleh menyebabkan kematian andai tidak dirawat dan dipantau rapi.

Kebetulan hari kedua, seorang pesakit disyaki demam denggi baru dipindahkan ke wad yang sama. Petang itu, di saat aku keseorangan tanpa teman di sisi, pesakit itu yang mungkin muda sedikit berbanding diriku, muntah darah agak banyak. Doktor-doktor mengelilinginya untuk memaklumkan keperluan pembedahan kecil dibuat segera. Pembedahan segera di situ juga, dilakukan serta merta untuk menyelamatkan dia. Memang agak merisaukan. Bukan di dewan bedah atau di bilik ICU, namun katilnya hanya berselang dua katil di hadapanku.

Cadar katilnya ada kesan darah. Rupanya dia disahkan dijangkiti virus air kencing tikus. Katanya dia pergi bermandi manda di sebuah peranginan air terjun sebelum ini. Kedengaran doktor memberi penerangan bahaya dan risiko virus tersebut jika tidak dibuat pembedahan segera. Selepas itu, ahli keluarganya datang dan tidak lama selepas itu dia dipindahkan ke ICU. Alhamdulillah dia masuk kembali ke wad kami di hari keempat. Mukanya ada sinar kesembuhan. Kelihatannya sudah semakin pulih dari hari pertama beliau dimasukkan ke wad.

bersambung..

Khamis, Disember 02, 2010

Agen Jiwa Massa Vs Halawatul Iman 1st stage


(Suatu petang di bulan Julai itu, dua orang sahabat baik, Hafiy dan Habil sempat meluangkan masa bersama. Sambil mengambil angin petang mereka bersiar-siar sebelum mengambil tempat duduk di suatu kawasan yang lapang dan agak teduh di bawah rimbunan pepohon..)

Angin petang itu menyapa lembut, sepoi-sepoi bahasa, menenangkan. Ianya lantas mengusik-ngusik tentang sesuatu, ke daerah pemikiran dua orang sahabat, yang sedang menikmati keindahan alam ciptaan tuhan.

Hafiy : Bagaimana cinta Allah ya? Sekadar di mulut, tidak cukup kan? Macam mana nak sukat? Apa alat, dan apa ‘yardstick’nya (kayu pengukurnya) ??


Habil : Paling mudah, lihat amalan seharian diri kita sendiri setiap hari, baru dapat tahu sukatan tu macam mana kan. Iman dapat diterjemahkan kepada amal atau tidak. Ke ilmu tu, sekadar teori semata.. dengar, catat, simpan, tidak amal, malah tak sampaikan kat orang pun.. muhasabah buat kita jugak..huuh..


Hafiy : Setuju, tapi kadang-kadang amal ada, tapi iman?? Ada?? Buat sebab orang suruh, ataupun malu dengan manusia? Sedangkan cinta Allah bila buat amal sebab Dia semata-mata, risau Kekasih tak terima, kemudian lebih banyak bersungguh dan diperbanyakkanlah!! ~ Itulah halawatul iman 1st stage.. (katanya bersungguh, sambil tersenyum memandang kepada Habil)

Ahad, Oktober 31, 2010

Islam Tinggi, Tiada Yang Lebih Tinggi

Apakah ada sinar baru buat ummat Islam kini??

Hakikatnya Islam memang sentiasa tinggi,
tiada yang lebih tinggi daripadanya



Sudah lama saya tidak mencoret sesuatu ataupun berkongsi cerita dan berita, dalam ruangan kategori ‘cerita hati’ milik blog ini. InsyaAllah kali ini saya akan berkongsi sedikit apa yang saya catat sekadarnya, apa yang saya dapat, dan apa yang saya faham melalui sebuah kuliah mingguan di Masjid Ar-Rahman minggu lepas.

Saya memang minat hal-hal perundangan walaupun saya bukanlah pelajar jurusan perundangan. Pernah juga suatu ketika dahulu saya menyimpan sebuah cita-cita ingin menjadi seorang peguam. Pernah juga seorang Penolong Kanan HEM di sekolah menengah saya ketika dahulu, mengusik saya dan mencadangkan saya supaya menjadi seorang peguam. Hujahnya, biar saya seorang sahaja yang tahu..=)


Namun sejak mengetahui betapa besarnya tanggungjawab dan risiko bagi insan-insan yang terlibat dalam bidang ini, dengan matlamat kehidupan saya telah berubah kepada sesuatu yang lebih saya inginkan, saya kian menjadikan ilmu tentangnya hanya sebagai minat, tidak lagi menterjemahkan ia sebagai profesyen saya dalam kehidupan akan datang.



Selasa, September 01, 2009

Ulangtahun VS Merdeka?? Apa ceritanya..

Keadaan tidak mengizinkan untuk kucoretkan sesuatu dalam catatan blog ini, walaupun sudah berhajat dari 29hb Ogos lagi. Kemudian 30hb juga kulalui tanpa sebarang 'usikan' pada blog Nuri Aufaku ini. Semuanya hanya bersarang di mindaku. Malamnya aku ingin 'mencari' ilmu di tempat yang sedikit jauh dari rumah sewaku. Puas. Setelah habis pengisian ilmu pada malam itu, aku dapat menyoroti erti kemerdekaan dari sudut berlainan. Sangat menarik. Sejarah pemerintahan Islam disingkap satu persatu, disusuli dengan perbandingan sistem pemerintahan masa kini.

Ulangtahun kemerdekaan negara selalunya diserikan dengan pelbagai sambutan dan program yang disusun rapi. Tahun ini ulangtahun ke-52 kemerdekaan negara kita. Sudah tua usia negaraku Malaysia ini rupanya. Bulan Ogos juga ada individu-individu yang menyambut ulangtahun kelahirannya, termasuk juga aku dan ibuku. Sahabat baikku juga. Kawan-kawan dalam persatuan juga ramai menyambut ulangtahun kelahirannya dalam bulan Ogos, bulan kemerdekaan ini. Hadiah untuk sahabat baikku hanyalah sekadar mendoakan dia. Serba salah juga aku dibuatnya, akan tetapi dia yang bertegas meminta sedemikian, maka aku harus menghormati permintaan sahabatku itu.

Dalam perjalanan pulang pada malam itu, melewati suasana sederhana sambutan kemerdekaan kali ini, aku bersyukur kemerdekaan tahun ini disambut pada bulan Ramadhan. Pemerintah negara senada agar sambutan malam kemerdekaan pada tahun ini disambut secara sederhana bagi menghormati bulan Ramadhan. Jika bukan bulan Ramadhan bagaimana? Tidak ada cara selain sambutan seperti kebiasaan tersebut? Adakah kebiasaan menjadi kewajipan? Atau keperluan? Walaupun dalam suasana ekonomi yang tidak menentu? Kos keseluruhan sambutan bukan sedikit bukan? Hitung sahaja kos untuk pembiayaan bunga api pada satu malam kemerdekaan. Darabkan dengan berapa banyak tempat yang mengadakan sambutan seperti itu juga di seluruh negara. Itu baru sahaja kos untuk sambutan pada sebelah malam. Pada siangnya pula? Jika semuanya dibuat secara sederhana, pemahaman tentang erti kemerdekaan ditekankan, disertai dengan majlis solat hajat dan doa untuk keamanan negara berpanjangan, ianya lebih berbaloi dan bermanfaat. Fikirku.

Padaku, biarlah setiap tahun begini caranya, biar sederhana tetapi bererti, bukan meriah tetapi tidak 'merasai'. Bukan sedikit yang 'over' semangatnya untuk pergi ke tempat-tempat sambutan pada malam merdeka setiap tahun, akan tetapi berapa ramai yang benar-benar memahami erti kemerdekaan yang sebenar. Bukan sedikit kos untuk pembiayaan bunga api khas sempena malam sambutan kemerdekaan tersebut, akan tetapi berbaloikah harga sebuah kefahaman erti kemerdekaan itu?? Mereka memahami setelah melihat persembahan dan percikan bunga api? Mereka menjiwai setelah bersuka ria dan bersorak sana sini?

Dalam perjalanan yang aku sematkan dalam hati untuk lebih berhati-hati setelah diingatkan melalui sms, dalam aku menyelusuri malam kemerdekaan untuk menghayati malam tersebut, kelibat muda mudi yang berkeliaran mencari tempat lepak mereka untuk menyambut detik-detik kemerdekaan, dengan gaya dan fesyen berpakaian yang 'up to date' bagi mereka, dengan menunggang motorsikal agak laju dan mengikut lagak masing-masing, amat menyedihkan. Beginikah mereka yang faham dan menjiwai erti kemerdekaan yang sebenar?? Salah siapakah? Apakah punca mereka menjadi sedemikian rupa? Mari kita sama-sama renungi.

Lebih kurang pukul 12.45 pagi, selepas sahaja kami melepasi 'road block' polis, 'road block' yang kedua bagi kami pada malam itu, aku menunggu di bahu jalan, sementara menunggu dua motor sahabatku yang belum 'dilepaskan' pihak polis di tempat pemeriksaan polis tadi. Setelah mereka kelihatan, aku membiarkan mereka berada di hadapanku. Aku menunggang motor sederhana sahaja, sebelum tiba di satu simpang yang turut mempunyai selekoh, tanpa diduga, aku terlibat dengan satu kemalangan. Ingin mengelak kereta yang datang membelok secara tiba-tiba tanpa isyarat signal, aku menekan pedal brek, tetapi ternyata jalan tar yang 'dihiasi' pepasir di selekoh tersebut, 'mengalahkan' kawalan aku. Tar yang berpasir 'menyambut' aku dan motorku. Sekadar berseluar slack dan sandal biasa, memang 'rezeki' lutut dan kakiku. Tanganku yang pantas menahan ketika jatuh, menyelamatkan bahagian yang lebih berisiko tinggi iaitu kepala. Sedikit terkejut dan pening-pening, aku bangun perlahan-lahan.

Sahabatku yang membonceng motor sahabat yang berada di hadapanku, mungkin terdengar sesuatu di belakangnya, berpatah balik ke tempat 'kejadian' tersebut. Sahabatku yang jauh di hadapan pun berpusing semula ke jalan yang kami lalui tadi. Terasa kebas-kebas kaki dan lututku. Darah? Sudah tentu.. Seluar slack koyak di bahagian lutut sudah cukup untuk menceritakan segalanya. Aku berjaya mengelak kereta dan 'divider' jalan yang tidak jauh dari tempat aku 'mendarat' tetapi aku tidak dapat mengelak takdirNya yang telah tercatat aku sebagai mangsa kemalangan pada malam merdeka tersebut. Aku dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta merta.

Tiba di HKL, aku dibawa ke bilik rawatan kecemasan sementara dibawa berjumpa dengan doktor untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut. Di bilik rawatan kecemasan, aku disuntik untuk mengelakkan kancing gigi selepas kejadian tadi. Luka-luka dibersihkan. Paling 'best'nya, saat-saat pembantu doktor itu ingin mengeluarkan pasir yang 'menginap sementara' di bahagian lututku. Yela, tadi kan aku 'mendarat' kat kawasan tar berpasir sapa yang suruh. hehehe.. Selepas siap aku 'diproses', aku mengambil giliran untuk pemeriksaan lanjut.

Sempat lagi aku dan sahabat-sahabatku bersembang dan bergurau di ruangan menunggu. Menyambut merdeka di HKL. Melihat ragam manusia di sana. Ada warga Indonesia, ada warga Arab dan warga lain juga. Aku juga menahan sakit sebenarnya. Kemudian aku melihat sms dalam 'handphone'ku. Yela..lama juga menunggu di atas kerusi roda kat sana tu. Rupanya ada sms yang membuatkan aku tersenyum. Mungkin dihantar pengirimnya ketika aku menunggang motor tadi. 'Dia' baru sedar dia dah dewasa. hehehe.. (Kudoakan dia diberikan kesempatan untuk lebih belajar dan memahami erti kehidupan seorang dewasa.. Amiiin..) Patutlah semua orang akan selit dalam sms kepada dia 'soal itu'. Tapi boleh dia usik aku, kata 'something' yang aku buat tu, xsedap. Tak patut. Eh, memang patut pun. hehehe.. Tapi bila dia kata 'best' atas usaha aku sebelum itu, aku sudah cukup menghargai. Hilang sekejap rasa sakit yang aku alami.

Setelah kaki dan lututku di'x-ray', dan mengambil ubat di bahagian farmasi, kami bertolak untuk pulang. Dalam perjalanan, dalam menahan sakit bahagian luka yang 'meredahi' angin pagi kemerdekaan, kubalas sms sahabatku tadi perlahan-lahan. Aku tahu sebelum ini aku telah 'melukakan' hatinya, dan aku redha aku pula mendapat 'luka' di sebahagian anggota badanku. Mungkin kafarah dosaku. Mungkin tanda DIA sayang kepadaku. Mungkin sekadar dugaan yang menguji. Jujurnya, aku tidak berniat 'melukakannya' tetapi aku jelas telahpun melukai dirinya. Aku bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk memohon maaf dan menyatakan sesuatu. Jika aku terjaga di alam lain bagaimana?? Jika ANDA sendiri bagaimana, bila terjaga sahaja, ANDA berada di alam lain?? Terima kasih Ya ALLAH.. Tak terucap rasa syukurku.. Bagi diriku, erti ulangtahun dan kemerdekaan pada tahun ini disingkap dengan seribu cerita dan hikmah yang tersembunyi.

p/s: saya sudah menceritakan 'kisah' di malam bertuah tersebut, jadi kepada sahabat-sahabatku, cukuplah sekadar perkongsian ini eh..hehehe.. Bukan cerita yang menjadi tunjang jalan penceritaan pengalaman ini, tetapi pengajaran yang tersurat atau yang tersirat. Berhati-hati di jalan raya, walaupun kita memandu atau menunggang perlahan, tetapi orang lain belum pasti dia akan berhati-hati juga. Berdoalah agar kita semua sentiasa selamat walau di mana kita berada. Amiiin..=)

Sabtu, Ogos 15, 2009

TERIMA KASIH MAMA..=)

Mungkin aku agak sibuk dengan jadual padat sesi pengajianku semester ini, dengan tugasan setiap subjek, dengan aktiviti persatuan, program dan kerja-kerja lain yang datang menggamit kudratku ini. Namun, aku tidak pernah melupai hari-hari penting dalam bulan Ogos ini. Banyak hari-hari signifikan dan penting buat diriku.


15 Ogos pula datang bertamu dan aku lantas mengingati susuk tubuh yang mana telah gigih dan tabah membesarkan anaknya ini. Dua hari selepas sahaja hari lahirku, jika mengikut tahun Masihi. Aku tahu ketika aku dilahirkan sehingga aku berusia setahun lebih, aku agak banyak 'membebankan' mama dan abahku. Tetapi apa yang aku agak sedikit terubat lega, daripada cerita kedua ibu bapaku, setelah aku menjengah usia 2 tahun ke atas, aku telah menjadi anak yang baik buat mereka. Tidak lagi 'memberi dugaan dan cabaran' buat mereka sehari suntuk..hehehe..


Alhamdulillah.. Namun, sehingga hari ini, aku tidak boleh terus ’selesa’ dengan keadaan ini. Aku akan terus dan terus berusaha untuk menjadi anak yang baik kepada kedua ibu bapaku. Banyak lagi yang boleh aku kongsi tentang mereka, tapi cukuplah secebis kisah tentang mereka yang aku kongsikan, kerana tidak pandai aku hendak menggambarkan dan ceritakan segala jasa besar mereka. Setiap manusia barangkali punya pendapat yang sama, cuma mungkin skrip kehidupan sahaja yang berbeza.


Cerita tentang ibu selalu memiliki berjuta warna, seperti cinta ibu yang berjuta jumlahnya. Setiap orang yang sempat merasai kasih sayang seorang ibu, pasti ada jalan cerita sendiri tentang ibu mereka. Bak kata orang Indonesia, ”ibu emangnya pejuang sejati seperti cuilan cinta Ilahi..’’. Bagi diriku, speechless.. huhu.. tidak ternilai pengorbanan mereka.


Kadang-kadang ibu relakan dirinya dan redha menjadi ’single fighter’, ketika si ayah tiada di rumah, mungkin keluar seharian, dua tiga hari, seminggu, sebulan, semata-mata berjuang dan mencari rezeki yang halal untuk keluarga tercinta. Bukan tidak terasa payahnya ditinggalkan keseorangan tanpa suami tercinta di sisi, lebih-lebih lagi jika si ibu sedang sarat mengandung, tetapi suaminya tiada di sisi untuk menemani. Bukan mereka hendak mengadu dan merintih, tetapi jiwa kental seorang ibu sentiasa membujuk hatinya memahami hati seorang suami.


Hebatnya seorang ibu. Tidak dapat aku gambarkan. Semoga setiap wanita di dunia dapat menjadi ibu yang baik untuk anak-anaknya. Harapanku semoga dapatlah kiranya aku menjadi anak yang soleh dan baik buat ibu bapaku, dan sentiasa dapat mendoakan mereka walau sesibuk mana diri ini, kerana aku percaya setiap ibu bapa tidak mengharapkan balasan, tetapi cukuplah mengingati dan mendoakan mereka. Berikanlah kasih sayang seadanya buat mereka. Hargailah ibu bapa kita selagi mana mereka masih ada di sisi kita. Terima kasih mama!!

Jumaat, Ogos 14, 2009

Sehari Selepas.......

Macam-macam rasa. Perasaan yang berbaur. Gembira. Sedih. Ceria. Tenang. Bahagia. Begitulah perasaanku ketika menyambut ulangtahun kelahiranku apabila menginjak 13 Ogos baru-baru ni. Sahabat baikku tidak kira sahabat baikku yang sekian lama tidak kutemui atau sahabat baikku di tempat pengajianku kini, mengingati tarikh tersebut. Terharu diri ini bila mereka tidak lupa pada diri ini. Doa dari mereka mengiringiku, dan pastinya yang paling penting, doa daripada ahli keluargaku sendiri, terutamanya kedua ibu bapaku, buat anaknya ini.


Ada beberapa azam baru kusemat dalam diri, bermula dari saat dan detik ini. Banyak perkara yang menarik sepanjang hari pentingku. Namun begitu, ada juga perkara yang membuat diriku agak terkejut, terutamanya berita pemergian Ustaz Asri Ibrahim, vokalis kumpulan Rabbani ke rahmatullah pada sebelah pagi 13 Ogos. Jadi, ada yang sedih, dan ada yang gembira buatku pada tarikh tersebut.


Ustaz Asri yang dilahirkan pada 3 Ogos, dijemput menghadap Rabbul Jalil bila mana genap 40 tahun 10 hari umurnya. Masih muda boleh kita simpulkan. Tapi ajal seseorang di tangan tuhannya. Tiada siapa yang tahu dan tiada siapa yang dapat mengelak daripadanya.


Tidak kusangka konsert terakhirnya, Konsert Antara Dunia, anjuran GAMIS dengan kerjasama beberapa syarikat dan pertubuhan lain, termasuk Rabbani Productions sendiri, yang bertempat di Stadium Malawati Shah Alam, yang turut kuhadiri, merupakan konsert dan penampilan yang terakhir buatnya. Kebetulan persembahan kumpulan Rabbani sendiri diakhiri dengan lagu ’Pergi Tak Kembali’ pada malam tersebut, setelah sketsa berkisar ’sakaratul maut’ di pentas utama.


Mungkin peringatan buat kita semua juga, walaupun semuanya seperti satu kebetulan. Kematian sesuatu yang pasti. Tanpa mengira umur, masa dan ketikanya. Ia datang tanpa dijemput. Teringat pula bait-bait akhir lagu ’Pergi Tak Kembali’.


Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiring doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi


Jadi, marilah kita sama-sama mendoakan Ustaz Asri ’di sana’. Semoga rohnya ditempatkan bersama dengan orang-orang yang soleh. Amiiiiin.


Ada lagi cerita pada hari istimewaku itu. Adik-adik kandungku juga mendoakan abang mereka. Mama dan abahku sudah pasti tidak ketinggalan mendoakan anak mereka. Itu aku yakin dan percaya. Senang juga hatiku apabila ada dua orang sahabat baikku yang ’menemani’ diri ini. Ada juga sahabat-sahabat seperjuangan, akak-akak dan abang-abang senior mendoakan aku melalui perantaraan sms dan ada juga secara langsung. Sangat gembira dan bersyukur diri ini kerna mempunyai sahabat-sahabat dan insan seperti mereka.


Tanpa mereka, siapalah aku. Jadi, aku akan sentiasa menghargai mereka dalam hidupku ini. Blog aku ini juga merupakan antara azam baruku setelah sekian lama. Bukan tidak pernah aku membuat blog sendiri sebelum ini, tapi aku tidak ada kekuatan untuk istiqamah dalam ’melayani’ blog tersebut. Maka, pada tarikh ini, telah kubina azam yang baru, blog yang baru, dengan sisipan kemas azam-azam baruku yang lain. Diharapkan doa ahli keluarga dan sahabat-sahabat sentiasa mengiringi diriku. Amiiiin..

Related Posts with Thumbnails