Memaparkan catatan dengan label perundangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perundangan. Papar semua catatan

Khamis, Oktober 21, 2010

Kesatuan Parlimen Antarabangsa Selar Perbicaraan Anwar Berat Sebelah


Kesatuan Parlimen Antarabangsa (IPU) menyelar cara proses perbicaraan konspirasi kedua Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijalankan.

Berasaskan laporan 24 mukasurat yang dikemukakan oleh peguam pemerhati Queens Counsel kes tersebut, Mark Trowell, yang mengikuti perbicaraan berkenaan diserahkan kepada Jawatankuasa Parlimen Hak Asasi Manusia, IPU mengambil ketetapan resolusi bahawa kes pendakwaan telah dikompromi dengan prosedur yang tidak mengikut peraturan.


IPU, yang memberikan tumpuan sepenuhnya memantau kes pendakwaan tersebut sebulat suara menetapkan resolusi bahawa terdapat banyak kesalahan serta kecacatan dalam pelaksanaan pendakwaan yang dilakukan serta terdapat persoalan unsur pengumpulan bukti yang diselubungi kemusykilan.


Resolusi itu turut menyebut, "Trowel menyediakan analisis terperinci persoalan ini dan mencapai kesimpulan bahawa 'memandangkan kes pendakwa telah tercemar, kepentingan awam akan memberikan justifikasi untuk menghentikan pelaksanaan pendakwaan tersebut.

Ahad, Oktober 17, 2010

Apabila Kerajaan Mula Berniaga


Oleh - Abdul Aziz Bari


Isnin lalu Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua membangkitkan beberapa statistik yang pada saya menggerunkan. Menggerunkan kerana sebelum ini Malaysia dilaporkan mengalami kejatuhan yang sangat besar dalam sektor pelaburan asing: penurunan sebanyak 80 peratus.

Negara menerima pelaburan asing sebanyak RM 23 bilion pada 2008 tetapi merosot kepada hanya RM4.4 bilion tahun lalu. Selain gagal menarik pelabur asing Malaysia juga gagal meyakinkan rakyatnya sendiri apabila agak ramai pemodal tempatan memilih untuk melabur di luar negara.


Apa kaitan itu semua dengan perlembagaan? Pada saya itu semua menunjukkan kepada kita malapetaka yang akan timbul apabila kita melanggar ideal dan peruntukan perlembagaan. Tanda-tanda awal kelihatan sebaik sahaja Tun Salleh Abas dipecat dari jawatan Ketua Hakim Negara pada 1988. Kebelakangan ini Malaysia mendapat tempat yang corot dalam liga ketelusan dan anti rasuah dunia. Dan, ini memberi kesan negatif kepada pelabur asing.

Ahad, September 19, 2010

Menghentam Selepas Pencen


- Dr Abdul Aziz Bari
*

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini kita menyaksikan fenomena orang pencen dengan tiba-tiba menghentam institusi yang mereka pernah anggotai. Terbaru ialah Datuk Gopal Sri Ram yang baru bersara dari Mahkamah Persekutuan. Khamis lalu beliau mengkritik badan kehakiman yang didakwa gagal melindungi hak golongan minoriti.

Dua minggu sebelum itu bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan juga berbuat begitu. Musa mendakwa kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri, mengganggu tugas polis. Itu bukan kali pertama beliau berbuat demikian kerana Mac lalu Musa menyebut hal yang sama dalam satu wawancara.

Selasa, Julai 06, 2010

Bukan Setakat Penasihat Undang-Undang



OLEH : PROFESOR DR ABDUL AZIZ BARI

Meskipun Datuk Seri Mohd Nazri Tan Sri Aziz cuba menyerang keseluruhannya apa yang beliau buat dalam menangani gerak yang dimulakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim nampak defensif. Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebenarnya tidak perlu membaca peruntukan perlembagaan kerana kita sudah tahu apa isinya. Bukan itu yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang itu di Parlimen Selasa lalu.

Isu yang berbangkit dalam soal penasihat undang-undang negeri yang dihantar Jabatan Peguam ke Negara ke negeri-negeri itu ialah dakwaan sabotaj dan enggan menurut perintah. Meskipun gaji dibayar Kerajaan Negeri pegawai berkenaan – yang juga anggota Exco negeri – merujuk kepada Putrajaya dan bukan Menteri Besar. Inilah yang berlaku di Kelantan, Perak dan khabarnya di Selangor juga.

Isnin, Mei 03, 2010

Perlembagaan Dan Pengupayaan Rakyat

Oleh - Abdul Aziz Bari

Minggu lepas kita menyaksikan begitu banyak insiden yang impak dan relevannya kepada perlembagaan cukup penting. Dan ini menyebabkan sukar untuk saya memilih mana yang yang hendak diulas dalam ruangan ini. Apa pun bagi saya biarlah itu semua menjadi pemangkin kepada kesedaran rakyat; supaya mereka berasa perlu berbuat sesuatu untuk memerdekakan diri mereka. Untuk berbuat sesuatu demi mengisi ideal perlembagaan yang mahu meletakkan hala tuju pentadbiran negara di tangan mereka sendiri.


Kalau itu semua terlalu sukar untuk dihubungkan dengan rutin kehidupan mereka pun rakyat perlu sedar bahawa jika mereka tidak berbuat apa-apa mereka sendiri yang akhirnya akan membayarnya nanti. Cukai naik, kebebasan dikekang dan macam-macam lagi. Inilah yang sebenarnya hendak dielakkan oleh perlembagaan. Sebab itu bagi saya perlembagaan dan isi kandungannya bukan untuk sesuatu yang ideal semata-mata; sebenarnya di sana begitu banyak faedah dan munafaat yang boleh didapati sekiranya apa yang dituntut oleh perlembagaan – baik oleh peruntukan maupun semangatnya – dilaksanakan.

Antara insiden penting yang saya fikir relevan dengan isu-isu di atas ialah tindakan calon Pakatan Rakyat di dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim, untuk mengambil tindakan mahkamah berhubung dengan apa yang didakwanya politik wang dan serangan peribadi yang dilemparkan kepadanya sewaktu kempen.

Khamis, Januari 14, 2010

Undang-Undang Sarang Labah-Labah (Bahagian 2)


Sebenarnya fungsi Sidang Dewan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, bukanlah untuk membuat undang-undang. Kerana apa?? Kerana undang-undang telah pun dibuat oleh Allah iaitu melalui perantaraan Al-Quran, kalamNYA yang suci.

Saya memetik kata-kata seorang tokoh ulama’ berkaitan hal ini, apa yang sepatutnya dibuat oleh Dewan tersebut ialah ahli-ahlinya berbahas dengan tujuan untuk memproses pemikiran kita; mencari jalan bagaimana memanfaatkan Al-Quran itu untuk dijadikan bahan santapan rohani dan jasmani.

Dengan ini, dapatlah Al-Quran memberi rahmat kepada kita, menjadi petunjuk dan panduan kehidupan kita seharian hatta dalam kehidupan bernegara sekalipun. Undang-undang yang dibuat oleh manusia hanyalah dapat diibaratkan seperti undang-undang sarang labah-labah sahaja. Kenapa??

Isnin, Januari 11, 2010

Undang-Undang Sarang Labah-Labah (Bahagian 1)



Akhbar Sinar Harian bertarikh 10 Januari 2010 baru-baru ini melaporkan di Yangon, Myanmar, seorang kakitangan Kementerian Luar dan seorang bekas pegawai tentera Myanmar dihukum mati kerana didapati bersalah membocorkan maklumat sulit negara dan kerajaan, kepada Korea Utara.

Hukuman ke atas dua orang pesalah itu diputuskan oleh sebuah mahkamah dalam penjara Insein pada Khamis lalu. Manakala pesalah ketiga dihukum penjara selama 15 tahun atas kesalahan berkaitan. Ketiga-tiga defendan tersebut ditangkap selepas gambar dan dokumen lawatan pegawai kanan kerajaan junta Myanmar, Jeneral Thura Shwe Mann ke Korea Utara tersiar di sebuah laman web.

Isnin, November 16, 2009

Merakyatkan Perlembagaan


MERAKYATKAN PERLEMBAGAAN
Oleh : Prof Dr Abdul Aziz Bari

Petang Jumaat lalu, saya diundang untuk bercakap dalam forum bertajuk berbicara tentang Perlembagaan anjuran Majlis Peguam Malaysia. Forum itu diadakan bersempena dengan pelancaran kempen yang pada saya cuba merakyatkan Perlembagaan. Tema yang dipilih ialah Perlembagaanku; yang begitu jelas cuba hendak menanamkan sikap mengambil berat terhadap Perlembagaan di kalangan rakyat. Supaya rakyat melihat dokumen Perlembagaan sebagai sesuatu yang mereka miliki dan bukan peninggalan British di negara kita.

Pembicara lain dalam forum yang dipengerusikan oleh Datuk Ambiga Sreenivasan itu ialah Profesor Emeritus Datuk Dr Shad S Faruqi, Profesor Madya Dr Azmi Sharom dan dua orang peguam Haji Sulaiman Abdullah dan Malik Imtiaz Sarwar.

Bercakap sebagai panelis pertama saya memulakan bicara dengan menyebut betapa di negara-negara seperti Jerman dan Indonesia dokumen Perlembagaan itu dikenali sebagai undang-undang asas atau dasar (basic law). Terma Perlembagaan yang kita gunakan di sini pada saya tidak menyatakan secara langsung atau secara automatis, kedudukannya di dalam negara.

Selain itu selama ini Perlembagaan dilihat sebagai dokumen undang-undang semata-mata. Dan ini menyebabkan rakyat terbanyak, baik yang terdidik apalagi yang sebaliknya, berasa jauh dari Perlembagaan dan masalah-masalahnya. Hanya kebelakangan ini sahaja rakyat menunjukkan rasa prihatin. Itu pun kerana mereka melihat bahawa Perlembagaan telah dilanggar oleh mereka yang sepatutnya menjunjung dan mempertahankan dokumen itu dan segala ideal yang dikandungnya.

Insiden dan krisis politik di Perak begitu jelas mengisyaratkan bahawa institusi yang diamanahkan untuk membantu perjalanan Perlembagaan khususnya dan proses demokrasi umumnya gagal berbuat demikian. Apa yang rakyat lihat ialah betapa istana, perkhidmatan awam dan mahkamah seolah-olah menjadi orang suruhan ahli-ahli politik tertentu di dalam Kerajaan Persekutuan.

Selasa, November 10, 2009

Masih Relevankah Undang-Undang Negara??


Saya sekadar mahu melontarkan persoalan kepada semua dan tidak mahu mengulas panjang mengenai tajuk ini disebabkan saya bukanlah berkelayakan khusus di dalam bidang perundangan, akan tetapi saya sebagai mahasiswa anak muda negara, sudah lama memerhati dan memikirkan situasi politik negara yang semakin tidak menentu dan perkaitannya dengan undang-undang negara. Undang-undang negara kini seakan-akan boleh dieksploitasi atas kepentingan pihak tertentu dalam menjayakan agenda mereka. Inikah undang-undang yang sebenar dalam erti kata sebuah negara yang bebas dari cengkaman penjajah? Atau adakah kita masih terjajah dengan undang-undang penjajah dahulu walaupun sudah sekian lama kita mengecapi nikmat sebuah kemerdekaan?

Saya mungkin boleh memberikan pandangan berkaitan isu ini sebagai seorang rakyat yang melihat pergolakan politik negara yang agak tidak stabil pada hemat saya, namun saya tidak mahu mengulas panjang dahulu buat masa ini, kerana saya mahu memfokuskan kepada pelajaran saya di mana sekarang saya sedang berjuang menghadapi
'final exam' untuk semester ini. Akan tetapi saya 'kepilkan' di dalam blog saya salah satu isu yang berlaku sekarang mengikut pandangan Prof. Dr Abdul Aziz Bari, salah seorang pakar dalam bidang perundangan.

Banyak kes sebenarnya yang berlaku sebelum ini dikusutkan dengan kecelaruan dalam merujuk undang-undang sedia ada, yang sebenarnya tidak lagi dapat dijadikan sumber sandaran terbaik mengikut perkembangan semasa. Ada undang-undang yang perlu dikaji semula agar mengikut keperluan, kesesuaian dan perkembangan semasa kerana ianya sudah lagi tidak relevan dan ada antaranya tidak mempunyai asas yang kukuh dalam mensabitkan sesuatu kesalahan berdasarkan undang-undang sedia ada tersebut.
Related Posts with Thumbnails