
Selasa, Jun 28, 2011
Hatinya Terbuka Memeluk Islam Akhirnya

Ahad, Jun 12, 2011
Hari Bapa : Kisah Si Anak Yang Memukul Ayahnya
Di pinggir sebuah jalan raya, kelihatan ada seorang pemuda belia, berkulit coklat, berotot kuat, di tangannya sebuah tongkat keras, yang dia gunakan untuk memukul seorang lelaki tua yang telah berusia enam puluh tahun.
Orang tua itu berbadan kurus, diam tidak membalas pukulan tersebut. Orang-orang di sekitarnya berkerumun melihat mereka berdua, bermaksud hendak menghalang pemuda tersebut. Salah seorang daripada mereka berkata kepada pemuda itu, Namun sambil termengah-mengah, ayahnya berkata, "Biarkan aku, sungguh Allah Taala telah membalasku. Dahulu ketika aku masih muda, aku pernah memukul ayahku sama seperti ini, hanya kerana dia meminta sebahagian wang dariku."
Orang-orang merasa takjub kerana keadilan Allah Ta'ala. Allah berfirman, ertinya, "Dan sekali-sekali tidaklah Tuhanmu menganiaya hamba-hamba (Nya)." (Fushshilat: 46). (Aqibah Uquq al-Walidain, hal. 130-131.)

p/s : Semoga kita semua menjadi anak yang soleh, menyayangi dan menghargai jasa ibu dan ayah kita, malah mendoakan mereka berdua, kerana mereka tetap bergelar ibu dan bapa kita. Jangan kerana harta dan wang ringgit, berebutkan harta pusaka dan sebagainya, kita membiarkan sikap tamak menguasai diri, dan mereka 'dibuang' sesuka hati kita. Buang yang keruh, ambil yang jernih, walaupun mereka pernah berbuat jahat sekalipun, maafkan mereka, berlapang dada dan mulakan hidup baru. Mudah-mudahan anak-anak kita suatu hari nanti, juga menjadi anak-anak yang soleh.. Sentiasa menyayangi dan mendoakan kita.. Ameen..(",)
Sabtu, Mei 28, 2011
Magnet Cinta : "Aku Ingin Berubah"
Telefon bimbitku memberikan isyarat ada sms yang mengunjungi inbox telefon bimbit yang aku sayangi.. “Aaah..biarkan ia dulu.. nanti jela..” Gumam hati kecilku..
Seketika kemudian, kucapai jua telefon bimbitku, ternyata ada kiriman sms dari nombor yang aku kenali. Kenali nombornya tetapi tidak tahu siapakah gerangan tuan punya nombor tersebut. Nombor inilah yang selalu mengirim mesej-mesej tazkirah kepadaku tika waktu dinihari. Kadangkala mengejutkan aku dari tidur yang lena di awal pagi. Mulanya aku fikir ini tentu kerja kawan-kawan yang suka sangat menyakat aku.
Aku terkesima seketika. Mahu dijawab atau tidak. Seakan-akan mahu sahaja aku membalasnya, bertanya siapakah gerangannya? dari mana dia mendapat nombor telefonku? kenapa memilih aku untuk bersahabat seperti itu? Katanya sahabat ‘ukhuwwahfillah’.
Aku ini lepasan dari sebuah sekolah satu jantina sahaja.. semuanya perempuan ataupun mudah ceritanya Sekolah Agama Perempuan di negeri sebelah utara Malaysia.. manalah aku pandai berkawan dengan lelaki. Aku menganggap ‘dia’ lelaki kerana dia awal-awal lagi mengajak aku berkawan dan mengaku pula dia berlainan jantina denganku. Hmmm.. akhirnya aku membuat keputusan untuk membiarkan sahaja sms tadi ditinggalkan tanpa jawapan…
Teringat aku pada surat makluman daripada Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) pada petang itu. Tercatat nama penuhku, Athirah Ayuni binti Asri di atas sampul surat. Berdebar-debar aku ingin kutahu apakah isi kandungan surat tersebut. Aku tahu ini tentunya berkait dengan permohonanku untuk menyambung pelajaran di bumi Jordan. Aduhai.. Diterima atau ditolak ni...
“Sukacita dimaklumkan….” Aku berjaya dalam permohonan itu, syukurlah..
Kegembiraanku dikongsi dengan ibu, ayah, dan adik-beradikku.. Riak wajah mereka bukan dibuat-buat, ikhlas dan gembira benar untuk aku. Aku percaya, sahabat-sahabatku yang lain yang senasib denganku,
pasti sedang gembira juga seperti kegembiraan dalam keluargaku sekarang, mungkin skrip atau jalan ceritanya sahaja mungkin berbeza.
Semuanya sudah siap. Urusan dokumen, barang-barang, tiket kapal terbang dan sebagainya sudah selesai. Tinggal mahu berangkat sahaja lagi. Cepatnya masa berlalu, hari ini aku sekeluarga sudah sampai di lapangan terbang untuk menghantar aku pergi. Ketika aku dipeluk erat sebelum berpisah, aku tahu ada harapan yang tinggi buat diri ini.. Aku berjanji untuk tunaikan harapan mereka.. Akanku usahakan yang terbaik insyaAllah..
Detik Persahabatan Tersemai

Seusai aku mengambil wuduk untuk bertaqarrub kepadaNYA, telefon bimbitku menerima sms. Namun, apabila aku melihat sms tersebut, ianya sms tazkirah daripada nombor semalam sekali lagi. Ternyata setiap pagi, empunya nombor tersebut bangun seawal pagi untuk turut ‘mengejutkan’ aku dengan tazkirah dan saranan-saranannya untuk aku bertahajjud.. ‘Memang dia ni budak baik la..’ Getus hati kecilku..
“Salam.. Mohon maaf bebanyak terpaksa mengganggu enti lagi..lagi dan lagi.. tetapi percayalah, ana bukan ingin bersahabat secara salah atau yang menyimpang di sisi syara’, ana ingin mengeratkan ukhwahfillah sesama muslim dan ana pun percaya enti sebagai seorang muslimat yang dapat ana belajar sesuatu tentang kehidupan yang sementara ini..”
Itulah yang mula membuka hatiku untuk menerima salam persahabatan Akmal. Bukan sekali dua aku mengelak dan buat bodoh aje dengan sms-sms Akmal sepanjang di bumi Jordan ini. Tapi sahabatku yang seorang ini, degilnya bukan main. Sabarnya buat aku kagum yang teramat. Belum pun rasmi menjadi sahabatnya, aku sudah terasa amat dekat dengannya. Lewat sms, kami banyak berkongsi ilmu dan pengalaman. Seronoklah Akmal ni.. dia selalu tahu apa yang boleh buat aku gembira, sedih, bahagia dan yang paling penting, dia sangat baik!!
Setakat ini, kami berdua hanya mengenali hati budi melalui sms semata-mata, tanpa ada perhubungan atau pertemuan yang lain daripada itu.. Akmal memang teman dan juga sahabat rapatku pada ketika ini. Dia sangat memahami, sampai aku terasa dia lagi memahami aku daripada sahabat perempuan yang aku pernah ada. Aku bersyukur dikurniakan seorang sahabat sepertinya..
“Mungkinkah aku sudah mula menyimpan perasaan kepada Akmal??” Pertanyaan yang berlegar di benak fikiranku itu dijawab segera oleh perasaan maluku sendiri.. Tersenyum aku dibuatnya..
…………………………………………
Ketika aku asyik melayani internet, menziarahi blog sahabat-sahabat dan senior-seniorku, aku tertarik pada sebuah kata-kata yang membuatkan diri ini jejak di dunia realiti semula.
“Cinta itu adalah rasa yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada manusia, agar cinta itu membuahkan kecintaan kepada sesiapa sahaja. Dengan adanya cinta, maka wujudlah kecintaan Nabi kepada umatnya. Dengan adanya cinta, wujudlah kecintaan ibu kepada anak-anaknya. Dengan adanya cinta, wujudlah pencinta dan yang dicintai. Dengan adanya cinta, maka lahirlah perkongsian dalam rumah tangga..”
Pena kata-kata tadi dilanjutkan lagi..
“Ini bererti cinta itu sebenarnya adalah suatu ‘bahan’ yang perlu diuruskan dengan baik, mengikut kehendak penciptanya. Pasti di sana ada cara atau teknik untuk menjinakkan cinta agar tidak menjadi taufan dan ombak besar. Andaikan cinta itu sebuah bahtera yang belayar di lautan, sudah tentu nakhodanya perlu tahu bagaimana cara terbaik untuk memandu bahtera itu agar akhirnya bahtera itu mampu membawanya menuju ke destinasi yang diimpikan. Jangan pula bahtera itu dibiarkan belayar tanpa hala tuju dan melanggar ribut dan ombak sehingga karam..”
“Sebahagian remaja yang bercinta dengan pasangan yang bukan muhrim tetap merasakan bahawa mereka bersahabat kerana Allah. Mereka mengatakan bahawa mereka tidak berhubung kecuali jika ada perkara penting sahaja. Meraka tidak pernah bersua dan tidak pernah keluar berdua-duaan. Mereka tidak melakukan perkara yang haram atau melanggar syara’..”
Kenapa hatiku yang paling dalam seakan tersentuh? Tentu penulis blog ni bukan maksudkan aku (dan Akmal). Tetapi aku jadi terasa sendiri.. Aku teruskan pembacaanku..
“Andaikan seorang remaja memberitahu, ‘Ustaz, bolehkah saya menjalinkan hubungan ukhwahfillah dengan seorang muslimat? Saya hanya menulis mesej apabila perlu sahaja. Saya tidak pernah bertemu dengannya atau bercakap perkara yang tidak senonoh dengannya. Bolehkah??”
Lalu ditanya kembali, “Apa yang awak maksudkan dengan menulis mesej apabila perlu sahaja??”
“Apabila ada hal-hal penting sahaja..”
“Apakah contoh hal penting itu??”

“Erm..tanya khabar tentang pengajiannya, berkongsi ilmu dengannya. Jika dia sakit, saya akan memberi cadangan kepadanya untuk berbuat sesuatu.”
“Pentingkah bertanya khabar hal-hal sebegitu? Jika awak tidak bertanya, adakah si dia akan mati dan akan menjejaskan akidah Islam di dadanya?” Soal secara terus terang.
“Bukan itu sahaja ustaz, saya sering menasihatinya agar berbuat baik dan mencegah yang tidak baik. Kami saling memberi peringatan antara satu sama lain. Kadang-kadang saya mengejutkannya untuk bangun bertahajjud dan mengingatkan dia untuk melakukan solat sunat Dhuha..”
Eh, sama la aku dengan Akmal.. tapi macam serius je.. Tak terfikir pun aku sampai begini sekali. Hatiku mula berbolak-balik tidak tenang. Namunku teruskan jua membaca walau hatiku mulai terasa sebu. Gundah.
Apakah pandangan anda?? Adakah tindakan remaja ini wajar??
“Oh, itu usaha yang sangat baik. Adakah awak pasti dia bangun bertahajjud setelah awak kejutkan dan solat dhuha bila awak ingatkan?”
“Sudah tentu saya pasti..”
“Bagaimana awak pasti sedangkan awak tidak pernah bertemu dengannya?”
“Dia cakap sendiri.”
“Awak percaya?”
“Mestilah saya percaya.”
Jika anda berada di tempat saya, adakah anda merasakan bahawa remaja ini sudah jatuh cinta?
“Bagaimana jika suatu hari nanti awak sudah tidak menyukainya dan awak tidak lagi memberi nasihat dan peringatan. Adakah awak yakin dia akan terus melakukan ibadah itu dengan istiqamah??”
“Saya harap perkara ini tidak akan berlaku. Kalau boleh, saya mahu hubungan ini berkekalan. Saya akan sentiasa menyukainya kerana Allah.”

“Awak yakin bahawa jodoh di tangan awak?”
“Ulp! Memang jodoh bukan di tangan saya. Tapi insyaAllah saya akan jaga baik-baik.”
“InsyaAllah itu maksudnya mungkin atau pasti?”
“Mungkin…,” jawab remaja itu serba salah.
“Ok, katakan awak tidak ada jodoh dengannya? Agak-agaknya dia akan terus menjadi wanita solehah atau dia juga akan kecewa dan perangainya akan turut berubah?”
“Itu saya tidak pasti. Mungkin dia akan berubah, mungkin juga tidak.”
“Terlalu banyak kemungkinan, saya bimbang semua usaha awak hari ini akan menjadi sia-sia. Alangkah membazirnya masa dan tenaga awak jika wanita yang awak jalinkan hubungan itu ditakdirkan tidak menjadi isteri awak. Sebab awak sendiri tidak pasti adakah antara awak berdua akan punya jodoh. Jika awak ditakdirkan berpisah dengannya pula, belum tentu dia akan menjadi wanita solehah..”
“Tapi sekurang-kurangnya saya mencuba.”
“Mana lebih baik, jika awak mencari ilmu secukupnya dan mendidik seorang wanita yang sudah sah menjadi isteri awak. Masa awak tidak rugi, hasilnya juga mudah untuk dipastikan, awak tidak perlu merasa rugi atau serba salah.”
“Atau awak lebih suka menjalinkan hubungan dengan seorang yang awak tidak pasti adakah dia bakal isteri awak, lalu awak mendidiknya dalam keadaan awak tidak pasti adakah dia berubah atau sekadar bercakap kosong. Mana satu yang lebih baik??”
Remaja tersebut pasti sudah mendapat jawapannya.
“Sudah tentu lebih baik menjalinkan hubungan dengan isteri yang sah.”
Inilah yang ingin dikatakan kepada sesiapa sahaja yang ingin menjalinkan hubungan kerana Allah. Pastikan kita tidak melakukan sesuatu yang sia-sia atau belum pasti hasilnya. Alangkah ruginya jika berusaha menanam tanaman yang belum tentu menjadi milik kita. Sebaiknya biarlah miliki dahulu sekeping tanah yang jelas milik kita, lalu bercucuk tanamlah di atasnya dan nikmati hasil yang baik.
Tidak semestinya kepada lelaki sahaja apabila dalam cerita tadi ditujukan kepada lelaki, akan tetapi juga kepada perempuan yang baru ditunjukkan jalan yang sedemikian rupa.

Kukembali Di Atas Landasannya
Aku terkedu. Benar sekali maksud firman Allah dalam surah An-Nur ayat 26 yang bermaksud,
“Wanita yang buruk (perangainya) adalah untuk lelaki yang buruk dan lelaki yang buruk (perangainya) adalah untuk wanita yang buruk, wanita yang baik (akhlaknya) adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik (akhlaknya) adalah untuk wanita yang baik..”
Dek hakikat itu, pencarian pasangan hidup itu bermula dengan proses memperbaiki diri dengan memasukkan aura dan cas mahmudah ke dalam diri terlebih dahulu. Kita perlu memastikan magnet cinta di dalam jiwa kita memancarkan cas mahmudah dan nilai-nilai positif. Bermula dari situlah ia akan menarik hati orang yang sejiwa dengannya.
Tarikan magnet cinta amat kuat, maka bila kuat iman nescaya kuatlah cinta murni itu, bukannya aku perlu melayani nafsu dan bermain dengan perasaan yang tidak pasti tersebut. Wah, seperti penceramah pula aku. Namun itulah yang sebetulnya. Aku tahu. Aku perlu mendambakan kasih sayang yang mahal itu hanya untuk suamiku yang pasti kelak.
Aku lantas teringat kembali janji-janjiku kepada ahli keluargaku yang menghantarku di lapangan terbang, teringat kembali harapan seluruh ahli keluargaku yang menghantarku untuk menyambung pengajian di sini. Bukan murah kos pengajian dan segala perbelanjaan. Keluargaku bukanlah sekaya mana. Cuma tidak sampai merempat sahaja. Aku sebak lalu menangis sepuas-puasnya kerana aku seakan-akan mengkhianati janjiku dahulu. Janji untuk betul-betul belajar, dan bukannya hanyut dengan perasaan cinta sebegini.
Terbayang wajah-wajah yang aku amat-amat sayangi, wajah yang begitu banyak menumpahkan jasa untuk hidupku sepanjang 23 tahun ini. Ibu, ayah, abang, kakak, dan saudara maraku yang lain.. Aku sangat merindui mereka.. Aku pasti mahu membuktikan kepada mereka, aku di sini sama sekali tidak akan mengecewakan mereka semua..
Bahtera Cinta Yang Sebenar
Pada Akmal, aku terangkan dengan ringkas. Bahawa aku, Athirah Ayuni binti Asri sudah tidak mahu membuang masa dengan perkara remeh tanpa faedah begini. Cukuplah aku diberi peluang untuk merasai ‘seronok’ digoda syaitan, pengalaman ini sangat berharga untuk aku kenang dan syukuri. Mujurlah Akmal tidak bersoal panjang, dia sendiri mahu menata hatinya semula. Kami lantas bermaafan dan begitulah aku ‘putus’ dengannya.
Tanpa aku sedari, air mataku mengalir lagi membasahi pipi. Ya Allah.. Terima kasih kepadaMu kerana menyedarkan aku.. Ternyata cintaMu amat manis untukku teguk buat masa sekarang..dan juga akan datang.. selamanya..
“No one can turn back to past and start a new beginning, but everybody can start today to make a better ending..”
Tiada seorang pun yang mampu pulang ke masa lampau dan memulakan kehidupan baru. Tetapi semua orang boleh bermula hari ini untuk mencipta penghujung yang lebih baik. Tidak perlu terburu-buru mencari cinta, sebaliknya bersegera mempersiapkan diri terlebih dahulu. Itu yang lebih utama sekarang. Dambalah cintaNya, pasti tenang segalanya.. Pasti berbahagia menuju cinta dan redhaNya.. Ameen.. Aku Ingin Berubah!! InsyaALLAH..

p/s : Jika 'Wonderpet' tegar berpegang dengan ayat, 'apa yang penting? KERJASAMA!!..', tapi bagi kita pula bila niat baik itu datang bertamu, berubahlah dengan tekad, dengan semangat "Aku Ingin Berubah" yang kuat, berfikiran positif, percaya diri dan optimis untuk mengapai cita-cita murni kita itu.. chaiyok3..(>,<)
Jumaat, Mei 27, 2011
Pesan Si Tua

Seorang tua datang kepadaku.. dan kami saling menyapa.. senyuman tidak pernah lekang dari raut wajahnya. Beberapa minit sahaja kami sudah mesra berbicara dari hati ke hati. Dia berpesan dengan mengungkapkan sebuah pantun kiasan lama, yang bermula dari tahun 1960an lagi katanya,
Dalam semak ada duri,
Ayam kuning membuat sarang,
Orang tamak selalu rugi,
Bagai anjing dengan bayang-bayang.
Panjang umur tiada gunanya jika tidak sihat dan tidak dapat beribadat kepadaNYA. Tiada guna jika hidup lama jika menghidap pelbagai penyakit dan menyusahkan orang lain. Tiada guna sihat jika hidup merempat. Ia menghampiri kekufuran, ujarnya tulus.
Jadi, berdoalah agar kita diberi kesihatan tubuh badan dan terhindar dari penyakit untuk beribadat kepada Allah, malah pintalah diberikan rezeki cukup seadanya, agar kita tidak kufur kepadaNYA.
Persoalan rezeki sesuatu yang abstrak. Ia cukup sinonim dalam kehidupan orang melayu. Ayat yang sering kedengaran, “Ada rezeki, adalah kerjanya nanti..”, ayat yang terungkap apabila seseorang yang belum mempunyai kerjaya ataupun sedang mencari kerjaya dalam hidupnya.
Seorang tukang gunting rambut contohnya, jika dengan kerjayanya itu sudah memadai untuk menampung keperluan diri dan keluarganya, dan dia bersyukur, maka ianya lebih baik dari si kaya yang kufur nikmat terhadap kurniaan dan rezeki yang telah diberikan Allah kepadanya.
Seorang pesawah, jika tanah sawah yang diusahakannya itu sudah cukup untuk menampung kos sara hidup keluarganya, malah ia pakej sebagai senaman untuk menjaga kesihatan tubuh badannya apabila mengeluarkan peluh ketika bekerja di sawah, ianya sudah berbaloi buat kehidupannya.
Berapa ramai yang kaya tetapi mempunyai penyakit kronik, adakah mereka ini bahagia? Berapa ramai yang kaya tetapi anak-anak mereka tidak hormat kepada mereka sebagai ibu bapa, adakah terbit cahaya kebahagiaan buat mereka? Berapa ramai yang panjang umurnya malahan kaya tetapi tidak tenang hidupnya, adakah mereka boleh mendabik dada mengatakan mereka mengecapi bahagia??
Berbalik kepada pantun kiasan lama di atas, orang tamak yang gilakan harta, kejarkan kebendaan dan kekayaan, hakikatnya mereka rugi jika tidak menyandarkan kepada ‘kekayaan’ di akhirat sana.
Bagai cerita anjing dengan bayang-bayang, sudah digonggong tulang di mulutnya, namun bila sampai di titian sungai, terlihat bayang-bayangnya di air muka sungai, perasaan tamak mula berbunga.
Teruja mahu merampas tulang yang dimiliki anjing tersebut, padahal itu hanyalah ‘anjing ciptaan’ bayang-bayangnya sendiri, ia membuka mulut lalu terjatuhlah tulang yang digonggongnya ke dalam sungai lantas hilanglah juga anjing ‘ciptaan’ itu.
Maka jadilah kita orang yang beruntung. Jauhi sikap tamak dalam kehidupan sementara ini. Rezeki dari Allah sangat luas. Kejarlah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, semoga hasil usaha titik peluh kita itu diredhai Allah.
Biarpun kita hanya seorang miskin dan pendapatan pun tidak seberapa, namun berlapang dadalah dan berasa cukup dengan apa yang ada. Kerana apa? Kerana itulah lebih dipandang Allah berbanding orang yang tamakkan harta kekayaan, lantaran ianya bersandarkan usaha tangan kita sendiri dan ikhlas keranaNYA.. insyaAllah..
Jumaat, April 15, 2011
Kita Lebih Memilih Cawan, Bukan Airnya!!

Pensyarah itu hanya tersenyum dan terus menuju ke dapur untuk mengambil cawan pelbagai bentuk dan warna. Ada yang dibuat daripada tembikar, kaca dan plastik. Ada yang cantik, penuh hiasan, kelihatan mahal dan ada yang biasa saja dan murah. Pensyarah itu menjemput semua bekas anak murid itu minum menggunakan cawan pilihan mereka.
Apabila semua bekas pelajar itu mengambil cawan yang terisi air, dia pun berkata: "Jika kamu perhatikan, semua cawan yang cantik dan mahal itu diambil, yang tinggal hanya cawan yang biasa-biasa dan murah! "Begitulah lumrahnya kita hanya akan memilih yang terbaik (menurut pandangan luaran), sebenarnya itulah punca masalah dan tekanan hidup yang kita semua hadapi!"
Apa yang kita perlukan sebenarnya adalah air, bukan cawan itu, tetapi kita secara tidak sedar memilih cawan yang cantik saja! Demikianlah kehidupan ini – ibarat air.
Kerjaya, wang ringgit dan kedudukan dalam masyarakat semuanya umpama cawan yang beraneka warna itu. Semua itu adalah alat atau pemudah cara untuk meneruskan hidup tetapi kualiti hidup tidak berubah. Jika kita hanya menumpukan perhatian kepada cawan, kita tidak ada masa untuk menghargai, merasakan dan menikmati air itu!
Apa yang pensyarah itu katakan bertepatan dengan apa yang Al-Quran bentangkan mengenai jiwa manusia yang selalu berkeluh kesah dan tidak pernah rasa cukup. Pelbagai permasalahan kita berpunca daripada empat perkara:
# Kita hanya memandang dan menginginkan apa yang ada pada tangan orang lain.. Kita tidak nampak atau lupakan nikmat di dalam genggaman kita. Walhal, Allah telah berikan kepada kita. Oleh itu kita tidak rasakan `keseronokan' atau terasa nikmat dengan pemberian itu.
# Kita terlalu banyak `komplen' dan komen (mengadu) dan mengeluh serta menyalahkan keadaan sehingga kepada permasalahan sekecil-kecilnya dalam kehidupan dunia ini. Tetapi, kita sering lupa kesusahan dan penderitaan sebenar yang bakal kita hadapi di akhirat kelak.
# Kita terlalu mengejar kemewahan, kemegahan dan 'glamor' kehidupan sehingga melupakan tujuan hidup kita sebenarnya. Inilah sebenar ujian hidup yang kadang kala kita rasakan amat memeritkan untuk dihindari, pada hal kita tahu ganjarannya adalah syurga daripada Allah.
# Kita selalu menganggap kehidupan di dunia ini untuk hidup selama-lamanya. Oleh itu, kita menghabiskan seluruh sumber dalam diri semata-mata untuk membina pengaruh, mengumpul harta dan kemasyhuran diri seolah-olah `kematian' itu untuk orang lain, bukan untuk kita. Kita lupa semua kejadian akan mati dan walhal akhirat adalah kehidupan abadi.
Oleh itu, dari sekarang kita hentikan perangai suka 'komplen', komen dan berkeluh kesah. Kita hargailah kehidupan ini. Kita jalani kehidupan sebagai khalifah Allah, melakukan yang makruf, melarang perkara yang mungkar. Kita syukuri nikmat yang ada dan panjangkan nikmat ini kepada orang lain dengan memberikan khidmat menolong dan memudahkan kehidupan orang lain.
Pernah suatu ketika Saidina Ali ditanya oleh seorang lelaki: "Jika diberikan pilihan, mana satukah yang kamu pilih?, kehidupan di dunia atau mati? Jawapan baginda memeranjatkan lelaki itu: "Saya akan pilih kehidupan di dunia, melalui perjuangan dalam kehidupan ini, saya mendapat bekalan untuk mencapai keredaan Allah di akhirat kelak."
Moga seluruh perjalanan hidup kita diredhai dan dirahmati oleh Allah. Apa guna hidup seorang hamba tanpa keredhaan penciptaNYA.
manakala bersahabat dengan tukang besi,
percikkan apinya akan mencarikkan baju kita."
Semoga petikan kisah ini bermanfaat buat semua, untuk diambil pengajaran darinya...(",)
Rabu, Mac 09, 2011
Segenggam Garam

Suatu pagi, seorang anak muda yang dirundung malang bertemu seorang tua yang bijaksana. Langkah anak muda itu longlai dan air mukanya kelihatan pucat tidak bermaya serta seperti orang yang tidak bahagia. Tanpa membuang masa, anak muda itu menceritakan semua masalahnya. Impiannya tidak tercapai dan gagal dalam kehidupan dan percintaan sambil Pak Tua yang bijak itu mendengarnya dengan teliti dan saksama.
Dia kemudian mengambil segenggam garam dan meminta anak muda itu mengambil segelas air.
Dia menabur garam itu ke dalam gelas sebelum mengacaunya dengan sudu. "Cuba, minum ini dan katakan bagaimana rasanya...", ujar Pak Tua itu. "Masin sampai pahit, pahit sekali," jawab anak muda itu sambil meludah ke sisinya sedangkan Pak Tua itu tersenyum melihat telatah tamunya.
Kemudian, dia mengajak tetamunya itu untuk berjalan ke tepi telaga di dalam hutan berhampiran tempat tinggalnya. Mereka berjalan beriringan dan akhirnya sampai ke tepi perigi yang tenang itu. Pak Tua itu menabur segenggam garam ke perigi itu dan menggunakan sepotong kayu untuk mengacau dan mencipta riak air yang mengusik ketenangan telaga itu.
"Cuba ambil air dari telaga ini, dan minumlah". Sebaik anak muda itu selesai meneguk air, Pak Tua berkata: "Bagaimana rasanya?" "Segar." sahut tamunya.
"Apakah kamu rasa masin garam di dalam air itu?", tanya Pak Tua lagi. "Tidak," jawab si anak muda. Pak Tua menepuk punggung anak itu lalu mengajaknya duduk berhadapan, bersimpuh di tepi telaga itu.
"Anak muda, dengarlah. Pahitnya kehidupan adalah umpama segenggam garam, tak lebih dan tak kurang. Jumlah dan rasa pahit itu sama dan memang akan tetap sama. Tapi, kepahitan yang kita rasakan sangat tergantung dari wadah atau tempat yang kita miliki. Kepahitan itu akan diasaskan daripada perasaan tempat kita meletakkan segalanya. Itu semua akan tergantung pada hati kita.
"Jadi, saat kamu rasakan kepahitan dan kegagalan dalam hidup, hanya ada satu hal yang boleh kamu lakukan. Lapangkanlah dadamu menerima semuanya. Luaskanlah hatimu untuk menampung setiap kepahitan itu. Luaskan wadah pergaulanmu supaya kamu mempunyai persekitaran hidup yang luas. Kamu akan banyak belajar daripadanya," katanya.
Pak Tua itu terus memberikan nasihat dengan berkata: "Hatimu adalah wadah itu. Perasaanmu adalah tempat itu. Kalbumu tempat kamu menampung segalanya. Jadi, jangan jadikan hatimu itu seperti gelas, buatlah laksana telaga yang mampu merendam setiap kepahitan dan merubahnya menjadi kesegaran dan kebahagiaan."
Lalu, kedua-duanya pulang. Mereka sama-sama belajar pada hari itu. Pak Tua, si orang bijak itu, kembali menyimpan 'segenggam garam' untuk anak muda yang lain, yang sering datang padanya membawa keresahan jiwa.




