Jumaat, Ogos 28, 2009

Pabila Si Dia Menyapa..

Pagi Jumaat itu, tenang sekali.. Damai kurasa.. Aku melirik kepada dedaunan kering yang gugur mendarat di atas tanah. Bayu pagi berpuput nyaman.. Nekad. Aku nekad. Hatiku berat mengatakan dia sememangnya jodoh buatku. Sekilas pandang aku terus berkenan kepadanya, bukan kerana nafsu yang menipu, akan tetapi setelah aku berkali-kali mendapat petunjuk yang sama, setelah aku membuat istikharah.

Dia walaupun sedikit 'mentah' pada mata kasar manusia, akan tetapi aku percaya dia mampu memikul tugas itu. Aku kenal hati budinya. Memang benar, dia anak ke-9 dalam keluarganya, seorang 'adik' daripada 12 orang adik beradik, dan kebetulan mereka adik beradik tidak ketara sangat perbezaan umur mereka, hampir sebaya dan ada juga yang dilahirkan kembar yang sudah tentulah sebaya. Kakak sulungnya pun masih belum berpunya, tidak kurang juga cantiknya, tetapi 'dia' lebih membuatkan aku tertarik kepadanya lantaran keistimewaan yang ada padanya.

Teman-temanku mungkin kebanyakannya lebih menyukai si adik kepada gadis yang aku 'pilih' seorang ini, dan menunggu-nunggu si adik yang lebih 'menarik' bagi mereka. Yela, mungkin si adik anak yang ke-10 ni lebih cantik pada mereka. Akan tetapi, bagi diriku, setelah aku mengenalinya kini,sudah pasti aku ingin 'memilikinya'. InsyaAllah.. Bagi diriku, dia ibarat permata di celahan kaca yang berkilau..ceewahh..aku bermonolog sendirian.

Mereka adik beradik, walaupun seramai 12 orang ramainya, bukanlah asing pada diriku. Bukannya aku tidak mengenali mereka. Sedari kecil lagi, aku sudah mengenali mereka. Ibu dan ayahku yang memperkenalkan mereka kepadaku. Kami bermain bersama dan menghabiskan masa memutarkan setiap jarum saat, jam dan hari bersama-sama. Aku masih ingat sewaktu kecil, aku juga diajar oleh ayahku untuk lebih 'rapat' kepada siapa di antara mereka. Kini, aku lebih mengerti semua itu. Aku sudah faham seluasnya.

Baru-baru ini, ada seorang ustaz berkongsi ilmu ini dalam kuliahnya, beliau memberikan gambaran dan ciri-ciri gadis pilihan mengikut Islam, apakah sifat dan kelebihannya, barulah aku aku lebih 'kenal' dengan ciri-ciri gadis yang sepatutnya menjadi pilihanku. Apabila aku lebih mengenalinya, barulah aku mengetahui 'dia' sangat istimewa. Sangat sesuai untuk dijadikan temanku sebelum 'dinaiktaraf' menjadi yang teristimewa, menjadi suri hati dan teman seperjuanganku di kala susah atau senang.

Dapat kurasai dia cukup serasi dengan diriku. Padaku, diriku ini mempunyai banyak songeh, akan tetapi dia boleh pula mengatakan, dia yang sebenarnya mempunyai banyak songeh. Kelakar je. Sedangkan aku boleh menerima dia seadanya. Terima sahaja baik dan buruknya. Terima sahaja kelebihan dan kekurangan dirinya. Terima sahaja sifat-sifat dan perangai yang dia ada. Setulus hatiku. Mungkin benar, tidak kenal maka tidak cinta. Aku bersyukur kami dipertemukan.

Kini, dia datang kepadaku. Mungkin rezekiku barangkali. Dia datang menghulurkan tangan, sedangkan ada sahaja insan lain yang pasti tidak mempunyai peluang seperti diriku ini. Aku terkesima. Kaku. Rezeki dan peluang datang bergolek di hadapanku, namun aku masih lagi seolah-olah tidak percaya dia datang menyapaku kini. Terkial-kial aku. Malu dan tersipu-sipu gamaknya. Entah aku masih dibuai mimpi indah. Aku ingin sekali menyambut dirinya seikhlas hatiku. Kan kuberikan dia layanan yang terbaik, selayak dia sebagai permaisuri hatiku... Perkenankanlah hasrat dan doaku Ya Allah.. Amiiin..

.........................................

Lamunanku tersentak.. Seakan-akan ia sebuah realiti, kisah yang kukhayalkan tadi. Fantasi seolah-olah realiti. Sebuah perumpamaan mungkin. Mungkin ia sekadar sebuah lamunan, namun aku merasakan ia seperti benar-benar berlaku. Apa yang pasti, ia sangat bererti buat diriku.

Aku mengamati semula kisah lamunanku sebentar tadi. Memang benar terdapat 12 bulan dalam bulan Islam ataupun bulan Hijri, dan bulan ke-9 adalah bulan Ramadhan yang mulia. Bulan ke-10 sudah tentunya bulan Syawal. Bulan Muharram yang memulai segala bulan, lagaknya seperti seorang kakak sulung dalam adik beradik keluarga tadi, kita sematkan dengan segala azam. Bulan permulaan hijrah dalam Islam. Sangat bererti dan 'cantik' untuk kita memulakan azam dan tetapkan matlamat baru. Aku pun begitu. Namun, Ramadhan kali ini lebih bererti buatku kerana aku lebih mengenalinya kini.

Aku akui, Rasulullah SAW, para sahabat dan orang-orang yang soleh, menyediakan hati dan jiwa mereka menjelang Ramadhan. Bagi mereka, seluruh hari dan jiwa tidak sabar untuk menyambut Ramadhan, kerana mereka sangat mengenali dan mencintai Ramadhan. Aku pula bagaimana? Sedangkan mereka cukup mengerti betapa lumayannya ganjaran yang disediakan Allah pada bulan ini. Lemahnya aku Ya ALLAH..

Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya manusia yang paling utama di sisi Allah
adalah yang memulakan salam di antara mereka.."

(HR Abu Daud)

Jadi, selayaknya aku, dan kita semua perlu mengucapkan salam dan memberikan sapaan kepada Ramadhan ini. Tapi, adakah aku sudah menghulurkan salam kepadanya? Sepatutnya Ramadhan ini perlu disapa dengan penuh keimanan seperti mana saranan sebuah hadis sahih untuk kita mengimarahkan Ramadhan ini dengan penuh keimanan agar beroleh keampunan dosa-dosa kita yang lalu, kerana Ramadhan juga akan menyapa kita dengan segala ganjaran dan kelebihannya. Aku sekadar mengingatkan diriku jua. Aah..terasa jauh lagi diriku ini dari mengecapi nikmat untuk menjadi yang terbaik, di kalangan umat Nabi Muhammad SAW.

Saban tahun berlalu, dan mungkin kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadhan ini sememangnya sinonim dengan kita semenjak kita masih lagi di alam kanak-kanak suatu ketika dahulu. Ingat lagi saat-saat aku baru 'bertatih' belajar pergi ke surau pada Ramadhan itu. Itupun kerana ayah yang membawaku ke sana. Kecil lagi aku ketika itu. Namun pengetahuan tentang keistimewaan, kelebihan, hikmah dan rahsia bulan Ramadhan ini, masih lagi cetek. Yakin dan pasti, ketika itu bulan Syawal lebih kita cintai berbanding bulan Ramadhan ini. Sedangkan 'usia' setiap bulan Hijri, hampir sama sahaja, sama ada 28, 29, atau 30 hari, mengikut perubahan anak bulan. Aku belum mampu membezakan yang mana emas, dan yang mana perak barangkali. Aku tersenyum sendirian.

Aku andaikan ibarat cinta, ternyata cinta kita terhadap bulan Ramadhan tidak dapat menandingi cinta kita terhadap Syawal yang memiliki Hari Raya Aidilfitri. Segala persiapan amat rapi. Bulan Syawal terasa sangat perlu diagungkan, sedangkan ia sepatutnya sekadar meraikan kemenangan setelah kita berjaya mengharungi 'madrasah tarbiyah' itu dengan sabar. Tidak hairanlah, kita sering membiarkan ia berlalu tanpa sapaan yang selayaknya. Sedih, Ramadhan dibiarkan berlalu tanpa rasa rugi, bila kita tidak memetik sebanyak-banyak 'buah taqwa' yang meranum. Aku kini bagaimana?? Aku termenung lagi. Merenungi diri. Koreksi diri melalui ilusi. Semoga cahaya Ramadhan lebih bersinar buat diriku kali ini.

Langkahanku kini terasa tenang dan damai sekali. Lapang rasanya di kepalaku. Ringan 'bebanku' selama ini terlerai sudah. Aku sudah menemui betapa istimewanya si 'dia'.. Alhamdulillah. Syukurku kepadaNya. Betapa luas nikmat dan anugerahMu. Takkan kubiarkan dirinya berlalu begitu sahaja. Sedangkan ada sahaja insan lain, ajal mereka lebih dahulu menjemput mereka, sebelum Ramadhan datang mengunjungi mereka. Kan kuusahakan yang terbaik buatmu. Antara teman dan Ramadhan. Percaya dan setia. Usaha selagi terdaya. Iringi dengan doa. Tawakkal kepadaNya. Pasti. Ramadhan..terasa lembut sekali pabila bayumu menyapa.
.


p/s: cerita ini hanyalah cerita rekaan yang diadaptasikan dari simboliknya bulan yang ke-9 dalam bulan Islam iaitu Ramadhan, dan merupakan sekadar sebuah cerpen yang direka (cereka) oleh penulis. Gadis 'khayalan' dalam cereka ini diinspirasikan dari simbolik bulan Ramadhan yang sering dilupakan kita hari ini, melalui alam fantasi penulis semata-mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails