Khamis, Januari 14, 2010

Undang-Undang Sarang Labah-Labah (Bahagian 2)


Sebenarnya fungsi Sidang Dewan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, bukanlah untuk membuat undang-undang. Kerana apa?? Kerana undang-undang telah pun dibuat oleh Allah iaitu melalui perantaraan Al-Quran, kalamNYA yang suci.

Saya memetik kata-kata seorang tokoh ulama’ berkaitan hal ini, apa yang sepatutnya dibuat oleh Dewan tersebut ialah ahli-ahlinya berbahas dengan tujuan untuk memproses pemikiran kita; mencari jalan bagaimana memanfaatkan Al-Quran itu untuk dijadikan bahan santapan rohani dan jasmani.

Dengan ini, dapatlah Al-Quran memberi rahmat kepada kita, menjadi petunjuk dan panduan kehidupan kita seharian hatta dalam kehidupan bernegara sekalipun. Undang-undang yang dibuat oleh manusia hanyalah dapat diibaratkan seperti undang-undang sarang labah-labah sahaja. Kenapa??

Percaya atau tidak, dengan sarang labah-labah jika kita dapat perhatikan di atas pokok dan sebagainya, hanya lalat dan serangga-serangga kecil sahaja yang akan terperangkap atau melekat di dalamnya, akan tetapi haiwan yang lebih besar seperti burung, pasti akan terlepas, dapat meloloskan dirinya.

Begitu juga diibaratkan dengan undang-undang yang dibuat oleh manusia di dalam Dewan Rakyat, Dewan Negara mahupun di dalam sidang Dewan Undangan Negeri, ia tidak mampu menangani masalah-masalah yang wujud di dalam perundangan negara.

Contoh mudah kita melihat dalam kes sebat Kartika. Kes tersebut bertangguh hingga beberapa lama kerana tidak ada peruntukan khusus dalam artikel perundangan negara. Jika dihukum sebat, bagaimana caranya? Apakah hukuman sebat itu mengikut undang-undang sivil atau undang-undang syariah? Lebih menyedihkan, Malaysia yang dikatakan Negara Islam contoh dan progresif di mata dunia, tidak mempunyai kepakaran yang cukup untuk melaksanakan hukuman sebat tersebut.

Banyak lagi kes-kes tertunggak sejak sekian lama, yang tertangguh sejak beberapa tahun, dan akhirnya wujud kes di mana pesalahnya dilepaskan dan dibebaskan begitu sahaja dek kerana tiada peruntukan yang jelas dalam perundangan negara atau wujudnya birokrasi yang ternyata ianya sekadar undang-undang sarang labah-labah, bukan undang-undang yang dicipta oleh Penciptanya.

Selain itu, apa yang merisaukan kita juga ialah campur tangan orang-orang politik ataupun pihak luar sehinggakan ianya mengganggu gugat sistem kehakiman negara, mengakibatkan kreadibiliti dan imej sistem kehakiman negara kini semakin hancur dan punah di pandangan mata kita.

Banyak kes yang kita boleh lihat sendiri, antaranya kes pergolakan politik di Perak sebelum ini, kes pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh di Kedah, yang diperakui Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, yang sehingga kini pihak berkaitan masih tiada tindakan segera diambil, sedangkan ianya penting untuk memperjuangkan dan membela kepentingan rakyat di kawasan DUN tersebut.

Jika di Arab Saudi, apabila berlaku kes mencuri, hukuman potong tangan terus dilakukan di khalayak ramai. Begitu juga dengan kesalahan rogol, berzina dan minum arak, hukuman sebat dijatuhkan dan ianya dilaksanakan di khalayak ramai. Maka, secara tidak langsung ianya membuatkan kadar jenayah dan pelanggaran undang-undang di negara tersebut adalah rendah. Jelas terbukti, undang-undang dicipta Allah sangat cantik dan ianya adalah yang terbaik buat kita.

Sifir mudahnya, kesemua kecelaruan yang berleluasa sekarang terutama yang melibatkan hal-hal perundangan negara, setiap kes yang terdahulu akan menjadi rujukan kes untuk kes-kes yang berkaitan dengannya pada masa akan datang. Jika sistem kehakiman dan perundangan sudah dicabul hari ini, maka kes-kes tersebut akan terus dijadikan rujukan, akan terus dinilai dan diterima sebagai hujah walaupun ianya jelas mencabul sistem kehakiman itu sendiri.

Dengan kes-kes yang melibatkan ‘orang-orang besar’ kebanyakannya akan terlepas dan dibebaskan, ternyatalah undang-undang kini hanyalah seperti undang-undang sarang labah-labah!!


p/s : Andai ada kenyataan yang saya utarakan di atas, mempunyai kesalahan, terutama hal-hal berkaitan perundangan, diharapkan kepada yang lebih pakar dalam bidang ini, menegur dan memperbetulkan kenyataan saya. Tiada manusia yang sempurna. Pasti ada kesalahan. Namun, dengan kuasa yang ada pada pihak-pihak yang berkaitan, sepatutnya perundangan negara dijaga dan diusahakan untuk penambaikan dari masa ke semasa. Bukan semakin dirosakkan pihak tertentu tanpa rasa bersalah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails