Jumaat, Ogos 13, 2010

Ramai Pengajar, Sedikit Pendidik


“Mendidik manusia begitulah. Mula-mula paksa dulu, lama-lama timbul rela. Alah bisa tegal biasa. Itulah prinsip mendidik. Pertama menyampaikan, kedua membimbing.”



Bulan lalu, sewaktu mengendalikan program latihan untuk sebuah organisasi, perbezaan makna antara “tahu” dan “sedar” telah menimbulkan satu diskusi yang menarik.


“Tahu di akal. Sedar di hati..” kata saya.


“Maaf, tak jelas. Apa sebenarnya maksud awak?”


“Dengan akal kita mengetahui sesuatu.. tetapi hanya dengan hati kita menyedarinya..” tambah saya.


“Masih kabur…” akuinya terus terang.


“Kebanyakan manusia tahu dia hamba Allah, tetapi dia tak sedar dia hamba Allah,” jelas saya.


Perlahan dia mengangguk. Mungkin mula memahaminya.


“Akibatnya ramai manusia sanggup melakukan kejahatan walaupun tahu sebagai hamba Allah tidak wajar dia berbuat sedemikian.”


“Itulah akibat hanya tahu tetapi tak sedar,” dia mencelah.


“Dan itulah juga puncanya ada orang melakukan kejahatan walaupun ilmu agamanya melangit. Dia tahu tapi tak sedar.”


“Belajar tauhid sekadar hafalan, bukan penghayatan!”


“Pelajar sekolah agama pun terlibat jenayah,” tambahnya lagi.


“Hakim mahkamah syariah pun didakwa rasuah,” dia terus menambah.


Saya hanya diam.


“Bagaimana kita nak sedar?”


Tiba-tiba dia menyoal.


“Pindahkan ilmu di kepala ke dalam hati!” balas saya.


“Kita mesti mendidik bukan sekadar mengajar,” tambah saya lagi.


“Apa bezanya mendidik dan mengajar?”


“Mengajar dengan memberitahu, memahamkan dan menyampaikan…”


“Mendidik pula?” Dia menyampuk seakan tidak sabar.


“Mendidik ialah dengan mengajak, mendorong, membimbing dan memantau…”


“Jadi sekarang kiat banyak mengajar daripada mendidik?”


“Begitulah..”


“Boleh berikan contoh?”


“Mengajar sembahyang ialah dengan menyampaikan ilmunya. Tentang sah, batal, rukun dan syaratnya. Hasilnya, pelajar kita tahu sembahyang.”


“Mendidik sembahyang?”


“Mendidik lebih kepada mengajak. Kita ajak pelajar sama-sama bersembahyang dengan kita. Kita jadi role-modelnya. Jika mereka malas, kita mendorongnya. Jika salah, kita membetulkannya. Hasilnya, pelajar akan mahu sembahyang.”


“Oh, mahu sembahyang bukan sekadar tahu sembahyang.”


“Saya pernah mendengar ungkapan Inggeris – ‘I need to pray’ berbanding ‘I have to pray’. Macam mana tu?”


I need to pray tu lebih baik. Datang dari kerelaan. Manakala I have to pray tu lebih kepada paksaan. Ibadah dengan rela lebih baik daripada terpaksa.”


“Bagaimana dengan paksa rela?”


Saya senyum. Pandai dia berbahasa.


“Mendidik manusia begitulah. Mula-mula paksa dulu, lama-lama timbul rela. Alah bisa tegal biasa. Itulah prinsip mendidik. Pertama menyampaikan, kedua membimbing.”


“Jika belum berkesan, tingkatkan dorongan. Jika belum juga berjaya, baru gunakan hukuman. Paksa. Bahkan dibolehkan memukul. Bukan untuk menyakiti tetapi mendidik..”


Malang…” keluhnya pendek.


“Mengapa?” tanya saya.


“Sekarang ramai pengajar, sedikit pendidik.”


“Ilmu agama sekadar hafalan otak kiri yang tidak melahirkan tindakan. Ada yang dapat A1 dalam agama tetapi tidal solat. Ilmu hanya untuk ditumpahkan dalam kertas peperiksaan bukan dalam realiti kehidupan.”


“Belajar solat berbeza dengan belajar matematik. Tapi kini dah Nampak macam sama,” tambah saya.


“Macam mana pula tu?”


“Belajar tentang solat tidak sama dengan matematik. Belajar tentang solat wajib melaksanakannya tapi matematik tidak begitu. Awak misalnya dalam bidang kedoktoran sekarang… ada gunakan ilmu algebra yang dipelajari dulu?”


Dia senyum. Menggelengkan kepala.


“Mengapa kita kurang pendidik?”


“Eh, saya bukan pakarlah. Ini soal besar…”


“Apa salahnya kita berbincang. Inikan masalah kita. Masalah anak-anak kita,” ujarnya.


“Sebab kita tidak mendidik para pendidik!”


“Profesyen perguruan dilihat tidak menarik dari segi ganjaran. Ganjarannya masih di belakang bidang-bidang lain yang lebih hebat seperti jurutera, akauntan dan doktor…


“Sedangkan tanggungjawab, peranan dan tugasnya berat.”


“Betulkah doktor lebih hebat dari guru? Er.. er.. maksud saya pendidik?”


“Hebat dari segi apa?”


“Sebab, setiap profesyen ada keistimewaannya tersendiri. Lebih tepat kalau ditanyakan apa keistimewaan golongan pendidik?”


“Apa keistimewaan pendidik?” Dia akur.


“Ilmu adalah amal jariah. Pahalanya berterusan selepas kematian. Pendidik adalah golongan yang paling dekat dengan tugas para rasul. Kerana dia mendidik modal yang paling berharga - modal insan.”


“Jurutera hanya berdepan dengan mesin dan alat-alat teknologi tapi pendidik berdepan dengan sikap dan peribadi teknokrat itu sendiri.”


“Doktor menangani penyakit lahiriah, tapi pendidik menangani penyakit rohani.”


“Jadi, awak kata jurutera dan doktor tidak pentinglah?”


“Tidak begitu. Bukankah saya katakan tadi…masing-masing ada keistimewaannya. Yang saya tegaskan di sini ialah keistimewaan pendidik berbanding profesyen yang lain. Tetapi lain pula ceritanya kalau kita fokuskan keistimewaan jurutera dan doktor berbanding profesyen yang lain.”


Dia ketawa!


“Tetapi tidak semua orang melihat begitu. Masih ramai yang menilai sudut gaji dan ganjaran.”


“Biarlah orang lain rasa begitu tetapi golongan pendidik tidak boleh merasakan begitu. Pendidik wajib memandang tinggi profesyennya sendiri.”


“Jangan kesal kalau diri tidak dihargai tapi kesalnya kalau diri benar-benar tidak berharga. Maksudnya, pendidik mesti ada harga diri yang tinggi.”


“Barulah mereka boleh berjaya mendidik. Ganjaran pahal bukan sekadar laba. Penilaian Allah, bukan penilaian manusia. Jika tidak, pendidik hanya mengajar…”


“Dan hasilnya, pelajar hanya tahu… tapi tidak sedar!”





Oleh : Pahrol Mohd Juoi






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails