Khamis, September 30, 2010

Ground Zero : Menang Perundangan, Kalah Pendapat Awam


Oleh - Amirul Dzulkifli

Pada awal Ogos lalu, pihak berkuasa di Hamburg, Jerman, bertindak menutup Masjid Taiba atas alasan masjid berkenaan digunakan untuk merancang serangan 11 September 2001 di New York dan Washington. Menurut Kementerian Dalam Negeri Hamburg, masjid tersebut terpaksa ditutup selepas kumpulan remaja yang diradikalkan ada hubungan dengan masjid itu, kebanyakannya merupakan warganegara Jerman dengan asal-usul dari negara Islam. Sebelum ini, di Switzerland, menara tidak dibenarkan dibina untuk masjid baru.

Merentas Atlantik, masjid mencetuskan kontroversi dan polemik, seperti berlaku di Amerika Syarikat sejak beberapa bulan lalu. Kumpulan Islam di negara itu terpaksa berhadapan penentangan sengit yang tidak dijangkakan dalam usaha mereka membuka masjid di Lower Manhattan, dan di biara kosong di Staten Island. Protes juga dilaporkan berlaku di tempat-tempat lain, Sheboygan, Wisconsin; dan Dayton, Ohio. Bukan sahaja cadangan untuk menubuhkan masjid baru mendapat tentangan, bahkan masjid sedia ada turut menjadi sasaran.

Pada akhir Ogos lalu, Pusat Islam Murfreesboro di Tennessee tengah disyaki dibakar dan dilaporkan berlaku tembakan di situ. Pusat Islam yang wujud hampir 30 tahun itu mendapat perhatian nasional kerana dirancang untuk diperluas menjadi bangunan lebih besar dan dari beberapa segi berkaitan dengan cadangan membina pusat Islam yang letaknya dua blok dari tapak serangan 11 September di New York.

Majalah Time (30 Ogos 2010) muncul dengan rencana utamanya, “Is America Islamophobic?: What the anti-Mosque Uproar Tell Us about How the U.S. Regards Muslims.” Pada tahun ini, sekurang-kurangnya enam projek masjid di seluruh Amerika menghadapi tentangan sengit. Makalah tulisan Bobby Ghosh itu mendedahkan pengalaman sukar orang Islam di Amerika, seperti terpaksa ditempuhi Dr Mansoor Mirza di Sheboygan untuk memohon pembinaan masjid baru di kampung berhampiran Oostburg. Beliau tidak menjangkakan tentangan sengit, kerana sebagai doktor beliau dikenali ramai. Namun, dalam perbincangan suruhanjaya perancangan Wilson pada Februari, berlaku sesuatu yang memeranjatkan beliau sama sekali: tentangan yang sarat dengan cercaan dan penghinaan terhadap Islam. Penentangan itu tidak ada kena-mengena dengan peraturan pengezonan, tetapi kepercayaan agama. Bagi mereka yang hadir, Islam agama kebencian.

Menurut majalah itu lagi, pergelutan di Wilson yang penduduknya berjumlah 3,200 orang itu kurang mendapat perhatian nasional hingga bulan Ogos, apabila kekecohan yang lebih besar dan bising tercetus di Bandar Raya New York terhadap rancangan untuk membina pusat kebudayaan Islam dan masjid yang jaraknya dua blok dari Ground Zero. Park51, sebagaimana projek ini dikenali ialah idea Imam Feisal Abdul Rauf dan isterinya, Daisy Khan, Muslim Amerika yang terkenal dengan usaha menggalakkan dialog antara agama. (Feisal Abdul Rauf ialah anak Allahyarham Tan Sri Muhammad Abdul Rauf, reaktor pertama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.)

Apabila rancangan pembinaan di Lower Manhattan itu dimaklumkan pada awal Disember tahun lalu, boleh dikatakan tidak banyak perhatian diberikan penduduk New York khususnya, dan Amerika amnya. Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg, memaklumkan menerusi jurucakapnya bahawa Imam Feisal memberitahu beliau projek itu pada November 2009 pada majlis menyambut akhir Ramadan. Bloomberg dilaporkan menyokong rancangan itu atas alasan, “Jika sah, maka pemilik bangunan mempunyai hak untuk melakukan apakah yang mereka mahu.” Rabai Arthur Schneier, pemimpin spiritual, Park East Synagogue di East 67th Street turut menyokong. Walau bagaimanapun, Joan Brown Campbell, Pengarah Jabatan Agama di Chautauqua Institution dan bekas Setiausaha Agung Majlis Kebangsaan Gereja Christ Amerika Syarikat, yang merupakan penyokong Imam Feisal, mengakui kemungkinan reaksi hebat daripada mereka yang menentang kehadiran Muslim di Ground Zero.

Sesungguhnya, penentangan pembinaan masjid berhampiran Ground Zero, bagi sesetengah cerdik pandai, merupakan perang budaya, yang menyaksikan pelbagai pertembungan, antaranya pertembungan antara undang-undang dengan pendapat awam.

Apabila Presiden Barack Obama ketika majlis berbuka puasa di Rumah Putih, mengisytiharkan “Orang Islam mempunyai hak untuk mengamalkan agama, sebagaimana orang lain di negara ini,” beliau menunjukkan kefahaman tentang Perlembagaan Amerika yang menjamin kebebasan beragama. Dikatakan wujud rakyat Amerika yang mencurahkan kesetiaan mereka kepada Perlembagaan melebihi perbezaan agama, halangan bahasa, dan pemisahan agama. Mereka tidak mempedulikan apakah bahasa percakapan seseorang, dan apakah tuhan yang disembah.

Halangan undang-undang untuk membina pusat kebudayaan Islam berhampiran dengan Ground Zero telah diketepikan apabila pada hari Selasa 3 Ogos, Suruhanjaya Pemuliharaan Tanda Tempat Bandar Raya New York dengan sebulat suara meluluskan rancangan tersebut. Keputusan itu dianggap menandakan detik pahit manis dalam sejarah agama Amerika, memperkukuhkan komitmen negara itu terhadap kebebasan beragama – satu detik yang manis. Dan kebebasan beragama merupakan tonggak demokrasi Amerika yang menarik penduduk dari seluruh pelosok dunia untuk berhijrah ke negara itu.

Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg pada hari bersejarah itu bercakap dengan penuh semangat dalam mempertahankan projek berkenaan. “Jangan kita lupa bahawa orang Islam adalah antara yang terkorban pada 11 September dan jiran-jiran Islam kita berasa sedih bersama-sama kita sebagai penduduk New York dan Amerika. Kita akan mengkhianati nilai kita dan terjebak dalam perangkap musuh jika kita melayan orang Islam berbeza daripada orang lain.”

Namun, pendirian Bloomberg itu gagal meyakinkan penduduk New York khususnya dan Amerika amnya, bahkan berikutan kelulusan tersebut, penentangannya menjadi gempar. Sebelum ini, iaitu pada 1 Julai, tinjauan pendapat terhadap pengundi berdaftar di Bandar Raya New York menunjukkan nisbah hampir dua berbanding dengan satu, menentang rancangan oleh kumpulan Islam untuk membina masjid dan pusat kebudayaan dua blok dari Ground Zero. Tinjauan pendapat Quinnipiac University terhadap 1,183 pengundi berdaftar, menyatakan 52 peratus berbanding 31 peratus, tidak mahu Cordoba Initiative, kumpulan Islam yang berusaha meningkatkan hubungan Islam dengan masyarakat Barat membina pusat komuniti berkenaan.

Sementara tinjauan pendapat oleh Time-Abt SRBI menunjukkan 61 peratus menentang berbanding 26 peratus menyokong pembinaan masjid berhampiran Ground Zero, manakala 13 peratus tidak memberikan jawapan atau tidak tahu.

Ogos lalu bukan sahaja menyaksikan penentangan sengit terhadap cadangan pembinaan masjid tersebut, tetapi juga beberapa tinjauan pendapat seperti Pew Research Center yang melibatkan 1,003 sampel rawak - terdiri daripada orang dewasa menunjukkan pandangan kompleks penduduk Amerika terhadap projek masjid itu, dengan 51 peratus bersetuju dengan penentang pusat Islam, manakala 34 peratus menyokong. Bagaimanapun, majoriti (62 peratus) berkata orang Islam mempunyai hak sama untuk membina tempat ibadat.

Penyokong-penyokong pembinaan masjid berkata, kebebasan sepatutnya dilindungi, manakala penentang berkata, masjid sepatutnya dipindahkan ke tempat yang jauh lagi. Secara keseluruhan, 50 peratus menentang pembinaan projek yang letaknya dua blok dari tapak Pusat Dagangan Dunia, meskipun majoriti percaya pemaju mempunyai hak untuk berbuat demikian. Sebanyak 35 peratus menyokong.

Jelas bahawa penyokong masjid mempunyai hak undang-undang dan Perlembagaan untuk membina tempat ibadat di tapak harta benda persendirian. Namun, seperti pemimpin majoriti Senat, Harry Reid dan Presiden Barack Obama, Orrin G Hatch, Republikan Utah, menyatakan; “mempunyai hak undang-undang untuk membina projek tidak bermakna bijak untuk berbuat demikian.” Dengan kata lain, hak mesti disertai dengan kebijakan.

Majoriti tinjauan pendapat bersetuju bahawa Muslim mempunyai hak untuk membina masjid, tetapi mereka berpendapat tidak wajar dibina di tapak yang kontroversial itu. Meskipun cadangan itu adalah baik dari segi kebebasan beragama dan menggalakkan dialog antara agama, bahkan pusat Islam yang dirangka itu mengandungi perpustakaan, kolam renang, dan kafe adalah terbuka kepada orang ramai; namun orang ramai enggan menerimanya: “Katakan Tidak kepada Masjid.” Pastinya, penentangan itu adalah pelbagai, antaranya kebencian, ketakutan, Islamofobia, dan bahkan anti-Islam.

Menang di mahkamah undang-undang, tetapi berkesudahan kalah di mahkamah pendapat awam. Kebebasan beragama di sisi Perlembagaan dan hak dari segi undang-undang bukanlah segala-galanya. Jika sesuatu itu dilakukan berdasarkan hak tanpa mengambil kira pendapat awam, nescaya hari-hari mendatang yang dilalui terpaksa menempuh pelbagai kesukaran. Luka yang parah ini tidak mampu diubati oleh mahkamah!




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails