Khamis, November 11, 2010

Pengikut Berprinsip, Pemimpin Berintegriti

sekumpulan itik pasti mengikut 'sang ketua' ke mana sahaja
arah tujuan itik yang berada di hadapan kumpulan mereka

setiap kita dilahirkan sebagai seorang pemimpin, sama
ada pemimpin diri sendiri, keluarga atau masyarakat


Oleh : Ghazali Mayudin*


Dalam sistem demokrasi, pemimpin organisasi dipilih ahli mengikut prosedur yang ditetapkan bertunjangkan prinsip kebebasan, iaitu sesiapa yang layak bebas untuk bertanding, bebas untuk berkempen dan ahli pula bebas memilih di kalangan calon yang bertanding untuk memimpin organisasi.

Menjadi tanggungjawab ahli yang sayangkan organisasi dan perjuangan untuk memilih pemimpin yang berkaliber dan amanah untuk menerajui organisasi. Tanggungjawab ahli parti politik lebih berat lagi kerana mereka secara tidak langsung memilih bakal pemimpin kerajaan.

Sekiranya bakal pemimpin parti politik, yang kemudiannya bakal memimpin kerajaan, telah melalui tapisan yang ketat dan berkesan di peringkat parti politik, maka kemungkinan besar pemimpin kerajaan adalah mereka yang berintegriti.

Oleh itu adanya pemimpin yang korup, salah guna kuasa, sombong, mudah menabur janji tetapi liat menunaikannya, adalah disebabkan, antara lainnya, oleh ahli sendiri. Ahli gagal menyaring bakal pemimpin bagi memberikan tanggung jawab kepada pemimpin yang baik dan menolak pemimpin yang sebaliknya dalam proses yang memberikan mereka kebebasan penuh untuk membuat saringan tersebut.

Kalau sifat buruk itu hanya terserlah semasa memegang jawatan, maka ahli juga boleh menyingkirkannya dalam mesyuarat pemilihan berikutnya dan menggantikannya dengan calon yang lebih baik. Melalui proses ini, akan adalah pertukaran pemimpin di mana yang baik dipilih, yang bermasalah disingkirkan dan yang berintegriti dikekalkan.

Realiti dalam kehidupan berpolitik tidak selalunya demikian. Ramai pemimpin yang bermasalah terus dipilih berulang kali dan terus berkuasa sementara yang baik dan bersih diketepikan. Wujudnya keadaan sedemikian adalah kerana ahli telah mengabaikan prinsip amar makruf, nahi mungkar (buat baik, cegah mungkar) yang sepatutnya memayungi proses pemilihan sehingga terpilihnya calon yang baik dan tertolaknya calon yang sebaliknya.

Ada beberapa sebab yang boleh menjelaskan mengapa prinsip ini telah dikompromikan di antaranya kesetiaan yang tidak bertempat dan membabi buta, ahli yang boleh dibeli dan sikap apati atau tidak peduli di kalangan ahli.

Setia ibarat pisau, boleh digunakan untuk tujuan baik dan boleh juga disalahgunakan untuk tujuan yang merosakkan. Setia kepada pemimpin yang komited kepada perjuangan dan mengutamakan kepentingan ahli dan bukan peribadi, adalah sesuatu yang positif.

Sebaliknya setia membabi buta kepada pemimpin yang bermasalah kerana terhutang budi, hubungan peribadi dan darah atau apa juga alasan, lambat laun akan merosakkan organisasi kerana pemimpin bermasalah akan membawa masalah kepada organisasi. Kesetiaan ada hadnya dan ada tarikh luputnya, serta tidak sekali-kali menenggelamkan prinsip.

Ada juga pemimpin yang bijak memanipulasi kesetiaan pengikut. Kesetiaan kepada pemimpin disamakan dengan kesetiaan kepada organisasi, walhal ini adalah dua perkara yang berbeza. Seseorang itu mungkin tidak lagi setia atau tidak lagi memilih pemimpin yang memegang jawatan tertinggi sekalipun, tetapi ini tidak bermakna ahli tidak setia kepada organisasi.

Demi mengekalkan kuasa, pemimpin bermasalah juga pandai menyalahertikan makna perpaduan dan perpecahan. Kalau ada yang ingin bertanding untuk merebut jawatan, maka diwarwarkan kononnya terdapat usaha untuk memecahbelahkan perpaduan.

Padahal persaingan merebut jawatan adalah amalan biasa dalam organisasi yang mendakwa mengamalkan prinsip demokrasi. Oleh itu isu perpecahan dan perpaduan adalah ciptaan dan khayalan penyandang bagi mengukuhkan kesetiaan dan mendapatkan undi ahli.

Pemimpin bermasalah juga boleh mengekalkan kuasa dengan menggula-gulakan atau memberi imbuhan dalam pelbagai bentuk kepada ahli. Ahli yang sedemikian tentunya meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan perjuangan dan organisasi. Pemimpin yang sanggup menyogok untuk berkuasa pula, tidak akan keberatan untuk disogok bila berkuasa.

Kesan jangka panjang kepada organisasi memang parah kerana sebagaimana yang disebut iaitu “a person that can be bought is not worth buying” (iaitu mereka yang boleh dibeli adalah tidak bernilai). Sogokan yang berlaku dalam pemilihan menggambarkan ahli yang tidak ada prinsip dan pemimpin yang dipilih pula tidak ada integriti.

Ahli yang tidak ambil peduli atau apati juga menyumbang kepada terpilih dan kekalnya pemimpin yang bermasalah. Ahli sebegini tidak kisah dan tidak peduli siapa dan bagaimana pemimpin mentadbir organisasi. Asalkan ada yang sanggup menjalankan kegiatan organisasi dan organisasi terus wujud, maka ini telah memadai bagi ahli yang apati.

Organisasi akan diterajui oleh pemimpin yang berintegriti kalau ahli berpegang kepada prinsip semasa pemilihan, lebih vokal menyatakan kehendak, lebih berani mencabar dan mempersoalkan tindakan pemimpin serta tidak terbelenggu oleh kesetiaan yang tidak ada had dan tidak bertempat.


* Ghazali Mayudin adalah mantan Prof. Madya Program Sains Politik UKM




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails