
Seperti yang diumumkan, 1Malaysia Development Fund Bhd (1MDB) diperuntukkan RM5 bilion pada tahun 2009 melalui penerbitan bon jaminan kerajaan. Baru-baru ini, 1MDB juga bercadang mendapatkan pinjaman tambahan sebanyak RM5 bilion. Pinjaman RM5 bilion baru ini tidak akan dijamin oleh kerajaan Malaysia secara langsung, malah akan diselesaikan melalui penerbitan beberapa bon sejumlah RM10 bilion yang disokong oleh kerajaan (state-backed bonds). Ini bermaksud 1MDB akan menanggung liabiliti jangka panjang sebanyak RM15 bilion menjelang tahun 2013. Jumlah itu 4 kali ganda besar jumlahnya berbanding dengan nilai bon yang dikeluarkan untuk projek Port Klang Free Zone (PKFZ), iaitu bernilai sekitar RM3.685 bilion.
Kini bertiup kencang berita bahawa audit akaun untuk tahun fiskal yang sepatutnya berakhir pada Mac 2010 belum dapat dimuktamadkan. Terdapat spekulasi bahawa juruaudit enggan menandatangani akaun tersebut kerana terdapat banyak percanggahan. Lazimnya, juruaudit enggan menandatangani akaun yang diauditnya apabila wujud masalah serius dalam akaun tersebut. Oleh kerana jumlah yang membabitkan dana awam sebegitu besar, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjelaskan kepada khalayak samada berita mempunyai kebenaran atau tidak.













