Khamis, September 03, 2009

Keselamatan Negara Bukan Barang Gadaian!!

Ulangtahun kemerdekaan ke-52 negara baru sahaja berlalu. Pelbagai cara dan gaya sambutan walaupun secara sederhana diekspresikan untuk membuktikan kecintaan dan semangat patriotisme kepada negara. Namun, adakah kemerdekaan dan kebebasan ini akan berterusan? Persoalannya, sampai bila dan ke mana hala tujunya sebuah negara yang merdeka ini??

Dengan situasi ekonomi dunia yang tidak menentu, kestabilan politik negara yang tiada kesudahannya, soal keselamatan dan kadar jenayah yang semakin meningkat, dan pelbagai lagi isu yang tiada jalan penyelesaiannya, membuatkan kita meragui bagaimana kepimpinan yang ada sekarang, sama ada daripada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, benar-benar memperjuangkan soal keselamatan negara kita dan rakyat dari ancaman pihak luar.

Saya amat risau dengan perkembangan yang berlaku sekarang, politik perkauman mula menyerang, gejala rasuah dan salahguna kuasa yang berleluasa, dan bermacam lagi sifat dan sikap yang tidak matang telah ditunjukkan oleh kepimpinan kedua-dua pihak. Sedangkan dalam masa yang sama, ancaman daripada pihak luar, dipandang enteng oleh mereka. Adakah musuh negara itu hanya mereka yang berada di dalam negara? Kita amat khuatir sekali jika pihak luar hanya mentertawakan kita yang bergaduh sesama sendiri, dan menunggu masa untuk menyerang negara kita?? Bersediakah kita ketika itu? Padahal kita sendiri pun saling bermusuhan sesama sendiri?? Fikir-fikirkan.

Contoh mudah, saya mahu mengambil negara Republik Singapura sebagai negara jiran yang perlu kita waspada. Perlu diingat, kekadang kawan atau jiran yang baik, boleh sahaja menjadi musuh ketat kita. Saya melihat, dengan kepesatan pembangunan dan kemajuan di negara pulau tersebut, mereka boleh dikatakan berada pada kelas yang tersendiri, namun ternyata mereka tewas juga dalam beberapa aspek lain kepada Malaysia, yang kaya dengan hasil bumi, kaya dengan hasil-hasil pertanian dan galian, makanan, perindustrian dan kawasan pelancongan. Sedangkan Singapura merupakan 'Pusat Kewangan Dunia' bagi dunia sebelah timur. Boleh dikatakan semua bank-bank utama dunia ada di Singapura.

Kebijaksanaan kepimpinan negara pulau kecil itu mengurus tadbir negaranya, sehinggakan Singapura dianggap pakar ekonomi dunia sebagai 'kuasa ekonomi' dunia sebelah timur, perlu kita contohi. Pasukan ketenteraan mereka juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan kelengkapan tercanggih zaman ini. Singapura juga mempunyai hubungan yang baik dengan negara Amerika Syarikat dan Israel, yang menjadikan kepimpinan negara kita perlu lebih berhati-hati soal keselamatan negara.

Paling membimbangkan, ada sumber-sumber yang mengatakan penasihat dan jurulatih tentera Singapura didatangkan khas daripada Israel. Benar atau tidak sumber maklumat tersebut, kepimpinan negara perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan situasi ini. Tidak kita ketahui, sama ada kepimpinan negara pulau itu melihat kepentingan mereka untuk mendapatkan tanah jajahan baru untuk melunasi agenda kemajuan pembangunan, ekonomi dan politik mereka??

Sudah kita maklumi, negara kita mempunyai pelbagai isu berbangkit dengan Singapura yang masih belum diselesaikan sehingga kini. Isu air yang tidak berkesudahan zaman berzaman, isu Tambak Johor dan jambatan baru yang tidak mencapai kata putus, isu pemilikan Pulau Batu Butih yang akhirnya dimenangi oleh Singapura setelah dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Belanda, isu penggunaan ruang udara Malaysia untuk latihan tentera udara Singapura, dan banyak lagi isu tertunggak dengan negara kecil tersebut.

Saya melahirkan kebimbangan di sini jika kepimpinan negara kita berbangga dengan projek Iskandar Malaysia di Johor, sedangkan pihak yang memonopoli pelaburan berbilion ringgit di sana kebanyakannya datang dari negara Singapura. Walaupun saya bukanlah anak jati Johor yang risaukan kampung mereka tergadai, akan tetapi saya sebagai anak muda mahasiswa bimbang sekiranya kepimpinan negara sekadar berpeluk tubuh soal keselamatan negara dan bersikap tunggu dan lihat sahaja. Kita tidak mahu kita akan menyesal di kemudian hari.

Penduduk tempatan terutama di Gelang Patah, Johor seringkali merungut dan membangkitkan isu keselamatan mereka apabila ruang udara negara terutama di kawasan sekitar mereka, yang sering diceroboh tanpa kebenaran oleh tentera udara Singapura. Soal keselamatan dan hak mereka sendiri sebenarnya telah 'diceroboh' oleh tentera 'asing' tersebut. Bunyi kapal terbang dan pesawat sering mengganggu ketenteraman awam, malah ada sahaja kejadian jet atau pesawat mereka yang terhempas di dalam kawasan wilayah negara. Sudah pasti, penduduk di kawasan berkenaan sangat bimbang jika ada pesawat yang terhempas mengenai rumah, ladang dan tanah yang diusahakan mereka. Seperkara lagi, apakah tujuan sebenar mereka mengadakan latihan di ruang udara negara kita? Adakah strategi mereka menggunakan alasan latihan tentera udara, padahal untuk mengintip sejauh mana kekuatan ketenteraan dan tahap keselamatan negara??

Bukan saya ingin terlalu berprasangka buruk terhadap mereka, akan tetapi pihak kita perlu berhati-hati soal keselamatan negara. Jangan hanya bertelingkah sesama sendiri, dalam masa yang sama terus mengabaikan kepentingan yang lebih utama, iaitu keselamatan tanah air kita sendiri. Lebih-lebih lagi ada sumber akhbar dan bahan laporan yang memberitahu, terdapatnya gelagat pelancong-pelancong Singapura yang sering berbasikal saban minggu memasuki kampung-kampung, pekan kecil dan bandar di negeri Johor. Tidak boleh kita abaikan juga ialah aktiviti 'motorcross' oleh penunggang-penunggang scrambler milik warga Singapura yang selalu bereakrasi di gelanggang ladang kelapa sawit di merata Johor.

Benarkah mereka bereakrasi? Jujurkah mereka itu apabila memasuki kawasan kampung dan berlumba sesuka hati di kawasan ladang sawit? Adakah aktiviti mereka itu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa kita? Atau, tidak bimbangkah pihak berkuasa negara kita bahawa mereka sebenarnya melakukan aktiviti 2 dalam 1, iaitu 'berekreasi dan melancong sambil mengintip'? Lihat sahaja sudah beberapa kali warga Singapura yang sesat ketika mendaki Gunung Ledang di Johor, dan apakah yang mereka cari di atas gunung bermisteri itu? Adakah mereka ada tujuan yang tertentu yang tidak kita ketahui? Terpulanglah kepada anda untuk menilainya. Saya sekadar berkongsi maklumat yang diperolehi dari bahan-bahan bacaan yang ada dan sumber yang berkaitan. Itupun belum lagi dengan khabar-khabar angin pernah suatu ketika, Singapura yang dikatakan didalangi Israel, ingin menyerang negara ini. Walau ia sekadar sebuah khabar angin, kita tetap perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan, andai tidak mahu tanah air kita tergadai kepada pihak luar.

Lebih menarik, kelicikan pimpinan Singapura perlu kita amati. Lihat sahaja baru-baru ini, Lee Kuan Yew, Menteri Kanan Singapura, secara mengejut telah membuat lawatan ke negeri Kelantan dan Pulau Pinang, bertemu dengan kepimpinan Pakatan Rakyat di sana. Memang dari satu sudut, kelihatannya sangat baik bila mereka membuat lawatan untuk membina hubungan dua hala, tetapi dari sudut yang lain, kenapa lawatan Lee Kuan Yew dilakukan ke negeri-negeri Pakatan Rakyat, itupun baru-baru ini sahaja.

Bukan sebelum ini Kelantan tidak diperintah oleh Pas, iaitu sejak dari tahun 1990 lagi, bukan tidak pernah Terengganu diperintah oleh Pas, iaitu pada tahun 1999-2004, akan tetapi tidak pula Lee Kuan Yew datang membuat lawatan sebegitu. Mungkin ada agenda yang tersirat. Mungkin juga lawatan itu ada tujuan lain seperti mengintip dan merisik gaya kepimpinan Pakatan Rakyat sekarang, adakah mampu menggugat kedudukan Singapura jika Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negara suatu hari nanti. Bukan soal siapa yang mampu mengambil alih pentadbiran negara, tetapi persoalannya, apakah agenda dan motif Lee Kuan Yew sebenarnya??

Kesimpulannya, keselamatan negara amat penting untuk diambil berat oleh kepimpinan negara. Itu baru sahaja saya bawakan salah satu kemungkinan ancaman terdekat dari sebuah negara jiran kita. Itu belum lagi dengan negara Indonesia, yang wujud juga beberapa konflik baru-baru ini, hinggakan sebuah Kedutaan Malaysia di Indonesia, diserang oleh penunjuk perasaan di sana, dilontar dengan telur busuk, seperti yang dilaporkan di dalam Berita Harian.
Tindakan mereka tersebut bagi membantah kontroversi terbaru membabitkan penggunaan tarian tradisi Bali dalam promosi pelancongan Malaysia. Malah, hubungan panas sedia ada antara negara jiran itu mencapai ketegangan baru minggu lalu selepas dakwaan bahawa lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, ditiru daripada lagu Indonesia, Terang Bulan. Itu belum lagi diambil kira isu persempadanan perairan negara, yang juga sering menjadi pertikaian negara kita dengan Indonesia.

Banyak lagi sebenarnya contoh-contoh ancaman dari pihak luar yang lain. Misalnya pulau-pulau dan perairan Sabah yang turut menjadi rebutan dan pertikaian dengan negara Filipina. Jadi, tidak perlulah saya rungkaikan satu per satu, contoh-contoh ancaman dari negara lain. Cukuplah kita mengambil iktibar dan jadikan ia sebagai peringatan untuk kita, terutamanya kepada kepimpinan negara, supaya lebih mementingkan keselamatan negara kita, sekaligus menjaga hak dan keselamatan rakyat keseluruhannya, dengan sebaik-baiknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails