Keadaan tidak mengizinkan untuk kucoretkan sesuatu dalam catatan blog ini, walaupun sudah berhajat dari 29hb Ogos lagi. Kemudian 30hb juga kulalui tanpa sebarang 'usikan' pada blog Nuri Aufaku ini. Semuanya hanya bersarang di mindaku. Malamnya aku ingin 'mencari' ilmu di tempat yang sedikit jauh dari rumah sewaku. Puas. Setelah habis pengisian ilmu pada malam itu, aku dapat menyoroti erti kemerdekaan dari sudut berlainan. Sangat menarik. Sejarah pemerintahan Islam disingkap satu persatu, disusuli dengan perbandingan sistem pemerintahan masa kini.
Ulangtahun kemerdekaan negara selalunya diserikan dengan pelbagai sambutan dan program yang disusun rapi. Tahun ini ulangtahun ke-52 kemerdekaan negara kita. Sudah tua usia negaraku Malaysia ini rupanya. Bulan Ogos juga ada individu-individu yang menyambut ulangtahun kelahirannya, termasuk juga aku dan ibuku. Sahabat baikku juga. Kawan-kawan dalam persatuan juga ramai menyambut ulangtahun kelahirannya dalam bulan Ogos, bulan kemerdekaan ini. Hadiah untuk sahabat baikku hanyalah sekadar mendoakan dia. Serba salah juga aku dibuatnya, akan tetapi dia yang bertegas meminta sedemikian, maka aku harus menghormati permintaan sahabatku itu.
Dalam perjalanan pulang pada malam itu, melewati suasana sederhana sambutan kemerdekaan kali ini, aku bersyukur kemerdekaan tahun ini disambut pada bulan Ramadhan. Pemerintah negara senada agar sambutan malam kemerdekaan pada tahun ini disambut secara sederhana bagi menghormati bulan Ramadhan. Jika bukan bulan Ramadhan bagaimana? Tidak ada cara selain sambutan seperti kebiasaan tersebut? Adakah kebiasaan menjadi kewajipan? Atau keperluan? Walaupun dalam suasana ekonomi yang tidak menentu? Kos keseluruhan sambutan bukan sedikit bukan? Hitung sahaja kos untuk pembiayaan bunga api pada satu malam kemerdekaan. Darabkan dengan berapa banyak tempat yang mengadakan sambutan seperti itu juga di seluruh negara. Itu baru sahaja kos untuk sambutan pada sebelah malam. Pada siangnya pula? Jika semuanya dibuat secara sederhana, pemahaman tentang erti kemerdekaan ditekankan, disertai dengan majlis solat hajat dan doa untuk keamanan negara berpanjangan, ianya lebih berbaloi dan bermanfaat. Fikirku.
Padaku, biarlah setiap tahun begini caranya, biar sederhana tetapi bererti, bukan meriah tetapi tidak 'merasai'. Bukan sedikit yang 'over' semangatnya untuk pergi ke tempat-tempat sambutan pada malam merdeka setiap tahun, akan tetapi berapa ramai yang benar-benar memahami erti kemerdekaan yang sebenar. Bukan sedikit kos untuk pembiayaan bunga api khas sempena malam sambutan kemerdekaan tersebut, akan tetapi berbaloikah harga sebuah kefahaman erti kemerdekaan itu?? Mereka memahami setelah melihat persembahan dan percikan bunga api? Mereka menjiwai setelah bersuka ria dan bersorak sana sini?
Dalam perjalanan yang aku sematkan dalam hati untuk lebih berhati-hati setelah diingatkan melalui sms, dalam aku menyelusuri malam kemerdekaan untuk menghayati malam tersebut, kelibat muda mudi yang berkeliaran mencari tempat lepak mereka untuk menyambut detik-detik kemerdekaan, dengan gaya dan fesyen berpakaian yang 'up to date' bagi mereka, dengan menunggang motorsikal agak laju dan mengikut lagak masing-masing, amat menyedihkan. Beginikah mereka yang faham dan menjiwai erti kemerdekaan yang sebenar?? Salah siapakah? Apakah punca mereka menjadi sedemikian rupa? Mari kita sama-sama renungi.
Lebih kurang pukul 12.45 pagi, selepas sahaja kami melepasi 'road block' polis, 'road block' yang kedua bagi kami pada malam itu, aku menunggu di bahu jalan, sementara menunggu dua motor sahabatku yang belum 'dilepaskan' pihak polis di tempat pemeriksaan polis tadi. Setelah mereka kelihatan, aku membiarkan mereka berada di hadapanku. Aku menunggang motor sederhana sahaja, sebelum tiba di satu simpang yang turut mempunyai selekoh, tanpa diduga, aku terlibat dengan satu kemalangan. Ingin mengelak kereta yang datang membelok secara tiba-tiba tanpa isyarat signal, aku menekan pedal brek, tetapi ternyata jalan tar yang 'dihiasi' pepasir di selekoh tersebut, 'mengalahkan' kawalan aku. Tar yang berpasir 'menyambut' aku dan motorku. Sekadar berseluar slack dan sandal biasa, memang 'rezeki' lutut dan kakiku. Tanganku yang pantas menahan ketika jatuh, menyelamatkan bahagian yang lebih berisiko tinggi iaitu kepala. Sedikit terkejut dan pening-pening, aku bangun perlahan-lahan.
Sahabatku yang membonceng motor sahabat yang berada di hadapanku, mungkin terdengar sesuatu di belakangnya, berpatah balik ke tempat 'kejadian' tersebut. Sahabatku yang jauh di hadapan pun berpusing semula ke jalan yang kami lalui tadi. Terasa kebas-kebas kaki dan lututku. Darah? Sudah tentu.. Seluar slack koyak di bahagian lutut sudah cukup untuk menceritakan segalanya. Aku berjaya mengelak kereta dan 'divider' jalan yang tidak jauh dari tempat aku 'mendarat' tetapi aku tidak dapat mengelak takdirNya yang telah tercatat aku sebagai mangsa kemalangan pada malam merdeka tersebut. Aku dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta merta.
Tiba di HKL, aku dibawa ke bilik rawatan kecemasan sementara dibawa berjumpa dengan doktor untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut. Di bilik rawatan kecemasan, aku disuntik untuk mengelakkan kancing gigi selepas kejadian tadi. Luka-luka dibersihkan. Paling 'best'nya, saat-saat pembantu doktor itu ingin mengeluarkan pasir yang 'menginap sementara' di bahagian lututku. Yela, tadi kan aku 'mendarat' kat kawasan tar berpasir sapa yang suruh. hehehe.. Selepas siap aku 'diproses', aku mengambil giliran untuk pemeriksaan lanjut.
Sempat lagi aku dan sahabat-sahabatku bersembang dan bergurau di ruangan menunggu. Menyambut merdeka di HKL. Melihat ragam manusia di sana. Ada warga Indonesia, ada warga Arab dan warga lain juga. Aku juga menahan sakit sebenarnya. Kemudian aku melihat sms dalam 'handphone'ku. Yela..lama juga menunggu di atas kerusi roda kat sana tu. Rupanya ada sms yang membuatkan aku tersenyum. Mungkin dihantar pengirimnya ketika aku menunggang motor tadi. 'Dia' baru sedar dia dah dewasa. hehehe.. (Kudoakan dia diberikan kesempatan untuk lebih belajar dan memahami erti kehidupan seorang dewasa.. Amiiin..) Patutlah semua orang akan selit dalam sms kepada dia 'soal itu'. Tapi boleh dia usik aku, kata 'something' yang aku buat tu, xsedap. Tak patut. Eh, memang patut pun. hehehe.. Tapi bila dia kata 'best' atas usaha aku sebelum itu, aku sudah cukup menghargai. Hilang sekejap rasa sakit yang aku alami.
Setelah kaki dan lututku di'x-ray', dan mengambil ubat di bahagian farmasi, kami bertolak untuk pulang. Dalam perjalanan, dalam menahan sakit bahagian luka yang 'meredahi' angin pagi kemerdekaan, kubalas sms sahabatku tadi perlahan-lahan. Aku tahu sebelum ini aku telah 'melukakan' hatinya, dan aku redha aku pula mendapat 'luka' di sebahagian anggota badanku. Mungkin kafarah dosaku. Mungkin tanda DIA sayang kepadaku. Mungkin sekadar dugaan yang menguji. Jujurnya, aku tidak berniat 'melukakannya' tetapi aku jelas telahpun melukai dirinya. Aku bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk memohon maaf dan menyatakan sesuatu. Jika aku terjaga di alam lain bagaimana?? Jika ANDA sendiri bagaimana, bila terjaga sahaja, ANDA berada di alam lain?? Terima kasih Ya ALLAH.. Tak terucap rasa syukurku.. Bagi diriku, erti ulangtahun dan kemerdekaan pada tahun ini disingkap dengan seribu cerita dan hikmah yang tersembunyi.
p/s: saya sudah menceritakan 'kisah' di malam bertuah tersebut, jadi kepada sahabat-sahabatku, cukuplah sekadar perkongsian ini eh..hehehe.. Bukan cerita yang menjadi tunjang jalan penceritaan pengalaman ini, tetapi pengajaran yang tersurat atau yang tersirat. Berhati-hati di jalan raya, walaupun kita memandu atau menunggang perlahan, tetapi orang lain belum pasti dia akan berhati-hati juga. Berdoalah agar kita semua sentiasa selamat walau di mana kita berada. Amiiin..=)
Selasa, September 01, 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan