Sabtu, Oktober 24, 2009

Memori Syawal Itu



Syawal baru sahaja berlabuh tirainya. Fitri, seorang lelaki muda, umurnya kira-kira awal 30-an, termenung jauh di jendela pada petang itu. Beberapa ketika kemudian, kelihatan dia tersenyum sendirian. Mungkin ada peristiwa lucu atau kenangan manis yang dikenangkannya.

Dia ingat lagi, satu peristiwa sebelum menyambut kehadiran Syawal suatu tahun itu, sebelum dia pulang bercuti ke kampung halaman, dia ditimpa sakit. Hidup membujang membuatkan dirinya sakit keseorangan. Cuma dengan kehadiran seorang gadis dalam hidupnya selepas itu, banyak mengubah skrip hidupnya sebelum ini.

Pernah suatu ketika, gadis manis bernama Khairun Nisa' itu, membuatkan Fitri sup supaya sakitnya cepat sembuh. Nisa' memang gadis baik dan berbudi bahasa. Nisa' banyak meluangkan masa untuk Fitri, menemani dan bertanya khabar melalui sms dan banyak lagi. Fitri juga pernah dipinjamkan beberapa buah novel kesayangan Nisa' untuk memastikan Fitri tidak kesunyian ketika terlantar sakit.

Masih segar lagi ingatannya pada suatu petang Ramadhan, hari terakhir mereka bertemu, sebelum mereka menyambut Syawal di kampung halaman masing-masing, janji mereka untuk berbuka bersama diuji dengan hujan lebat yang mencurah bumi. Fitri yang ketika itu baru sahaja sedikit sembuh dari sakitnya, meredah hujan, memandangkan waktu semakin lewat petang, Nisa' juga telah lama sampai di tempat yang mereka janjikan bersama. Demi keselamatan Nisa' yang mungkin duduk keseorangan, dengan hujan yang lebat mencurah-mencurah, membuatkan Fitri tidak senang duduk. Nekadnya kuat, mahukan dirinya redahi sahaja hujan lebat itu, biar basah kuyup dan lencun, asalkan dirinya dapat sampai di sana segera yang terdaya.

Dalam perjalanan ke sana, sempat juga Fitri singgah untuk membeli air dan sedikit juadah ringan untuk berbuka seperti roti jala. Agak tergesa-gesa dia membeli, kerana dalam kepalanya, memikirkan keselamatan Nisa' di sana. Namun, Nisa' katanya sudah menyediakan nasi dan sup buat Fitri. Teruja Fitri bila sahaja dia mengetahui Nisa' bersusah payah untuknya. Dia tahu, Nisa' memang seorang yang sangat memahami dirinya. Pastinya dia juga mahu bersungguh-sungguh untuk menjadi lelaki yang memahami jiwa dan hati seorang gadis bernama Nisa' itu.

Setelah sampai, Nisa' menyuruh Fitri makan dahulu sebaik sahaja mereka berbuka dengan air tembikai, sementara Nisa' mahu menunaikan solat maghrib terlebih dahulu. Fitri terhibur, Nisa' mengatakan air tembikai yang dibelinya tadi, 'air tembikai tipu', sebab bukannya air tembikai yang 'solid'. hehehe.. Selepas itu, Fitri pun bingkas mahu menunaikan solat terlebih dahulu. Niat Fitri mahu mengimamkan solat maghrib dengan membacakan ayat Al-Quran yang Nisa' sukai apabila mendengarkannya. Damai dan tenang katanya. Seperti terasa ada seseorang seakan-akan menasihatinya apabila mendengarkan akan ayat dalam surah Luqman tersebut.

Akan tetapi, hasratnya tertangguh. Nisa' di sebelah tabir bahagian muslimat sudah pun solat dahulu. Fitri menghantar mesej beberapa kali kepada Nisa', memberi isyarat bersedia untuk Nisa' menjadi makmum, tetapi Nisa' mungkin tidak melihat mesej Fitri. Tiada respon dari Nisa'. Fitri berkali-kali mesej dan 'miscall' Nisa' tetapi Nisa' semacam buat tidak tahu sahaja. Pada Fitri, tidak mengapalah, mungkin lain kali sahaja. 'Mungkin rezekiku di lain hari, bukan pada hari ini..', hati kecilnya berbisik, memujuk dirinya sendiri.

Nisa' membalas mesej mengatakan dia sudah di luar. Pelik. Dia tidak dapat mesej-mesej aku sebelum solat tadi ke? Gumam Fitri sendirian. Tidak mengapa, kesabaran dan kasih sayang yang berada dalam dirinya mengatasi segalanya. Nisa' sudah melakukan yang terbaik buat dirinya sebelum ini. Malam itu mereka pulang ke kampung halaman masing-masing walaupun haluan dan destinasinya yang berlainan. Namun, masa bersama Nisa' walaupun hanya sekejap, sudah cukup membuatkan hatinya senang sekali. Tanpa diduga, Fitri mendapat dua 'hadiah' istimewa yang lain sebelum mereka berpisah. Dua kad. Satu kad raya dan satu lagi kad istimewa hasil tangan Nisa' sendiri, khas buat Fitri. Fitri sangat terharu.

................................................................

Syawal tahun itu disambut agak sederhana, dengan dilatari dengan pelbagai cerita. Walau bagaimanapun, ada cerita menarik Syawal itu. Pada hari-hari awal di bulan Syawal, suatu hari yang tidak disangka, ianya jatuh pada hari Jumaat, keluarga Fitri pergi ke rumah Nisa'. Bermula di sana hubungan mereka mula diiktiraf kedua ibu bapa mereka. Detik-detik itu sebenarnya dimulai dengan pertemuan pertama yang tidak dijangka, antara Nisa' dengan ibu Fitri dua hari sebelum itu. Ibu Fitri berkenan apabila melihat perwatakan Nisa' yang baik dan menyenangkan hati. Kemudian dua hari selepas itu, ibu dan ayah Fitri membuat keputusan untuk ziarah dan beraya ke rumah Nisa', bertemu dengan ibu dan ayah Nisa'.

Fitri dan Nisa' berpuasa enam bulan Syawal bersama-sama. 'Hari Raya' puasa enam Syawal mereka disambut bersama. Kad raya Nisa' sebelum Aidilfitri, baru Fitri balas pada 'hari raya' yang mereka sambut. 'Duit raya' juga Fitri dapat dari Nisa', siap bersampul coklat lagi, walaupun berapa jumlahnya, bukan menjadi persoalan penting, tetapi kenangan bersama itu paling utama. Jam tangan yang Nisa' hadiahkan kepada Fitri selepas jam tangan Fitri sebelum ini rosak, juga 'dirasmikan' di hadapan Nisa' pada 'hari raya' mereka. Hadiah bestday Fitri dari Nisa' juga 'dirasmikan' pada saat itu. Paling tidak dilupakan, Nisa' sendiri sudi 'memakaikan' beg Fitri dengan hadiah tersebut. Terima kasih Nisa'!! Ungkap hati Fitri. Fitri juga telah menghadiahkan sesuatu kepada Nisa' pada 'hari raya' mereka itu. Fitri hanya mengharapkan 'hadiah' istimewanya buat Nisa', bisa dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh Nisa'. Pilihan 'hadiah' berwarna biru tersebut diharap menjadi satu 'penyumbang' kepada usaha Nisa' untuk menjadi isteri yang solehah. Amiiiin..

Hujung tahun tersebut, Fitri dan Nisa' menantikan sesuatu yang amat penting bagi mereka berdua. Seperti yang dirancang, rombongan meminang datang menghulurkan tangan membina hubungan silaturrahim yang lebih murni. Pantas masa berlalu, dan tidak lama selepas itu mereka berdua dinikahkan sebelum datangnya Ramadhan dan Syawal. Semuanya berlangsung secara sederhana, dalam suasana yang didoakan semua agar mendapat barakah dan redha dari Allah. Sememangnya semua berjalan lancar pada hari tersebut.

Betapa terharunya Fitri bila kini Nisa' secara rasmi telah menjadi teman hidupnya. Nisa' merupakan 'amanah' buat dirinya kini. Dia nekad untuk berusaha sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik buat mereka berdua, keluarga mereka dan Islam. Membina baitul muslim yang menjadi permulaan maratib amal, sehinggalah ianya membantu ke arah pembentukan Khilafah Islamiyah, yakni pengakhiran kepada maratib amal tadi, juga merupakan amanah dan tanggungjawab mereka berdua kepada Islam, selain sumbangan yang termampu mereka berikan kepada perjuangan Islam itu sendiri. Walaupun Fitri tahu mereka berdua bukanlah yang terbaik, akan tetapi mereka akan berusaha untuk menjadi yang terbaik. InsyaAllah..

Tirai Syawal baru sahaja berlabuh dan berlalu. Nisa' sudah di sisi Fitri. Kenangan mereka sebelum mereka berdua selamat dinikahkan 10 tahun lalu, disoroti dengan pelbagai memori, ada yang manis, ada yang tawar dan ada yang pahit. Betapa mereka menjaga perhubungan ini agar ia terus dapat dipelihara sebelum perhubungan mereka ini diikat secara rasmi. Begitu mencabar apabila mereka berdua tidak pandai dalam menangani hal sebegitu sebelum ini. Cabaran untuk memaklumkan dan memastikan ibu bapa mereka faham keadaan mereka, seterusnya merestui dan meredhai perhubungan mereka berdua, amat getir sebenarnya. Namun, istilah 'stand together' bagi mereka berdua juga menjadi bukti kebersamaan mereka dalam mengharungi segala macam dugaan dan ujian, cabaran dan rintangan, dalam menjayakan impian dan matlamat mereka bersama, malah menjadi kunci permulaan kebahagiaan mereka berdua.

Kini, anak-anak mereka sudah pun membesar. Riang bermain tanpa menghiraukan apa yang difikirkan abi mereka, Fitri. Fitri mengucapkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana mempertemukannya dengan Nisa', yang amat memahami dirinya. 'Abang, apa yang abang menungkan tu..mari makan ngan anak-anak ni..', tiba-tiba Nisa' memanggilnya dengan senyuman melirik manis, menyedarkannya dari lamunan panjang. Fitri tersenyum sendirian sambil mendukung mesra seorang anak lelakinya, menuju ke meja makan. Anak-anak perempuan mereka pula tidak betah dan ringan tulang untuk membantu umminya di dapur walaupun baru di usia kanak-kanak. Fitri dan Nisa' tersenyum melihat telatah anak-anak comel mereka. Mereka berdua berpandangan. Senyum.. Bahagia.. Alhamdulillah..

Selepas sahaja mereka selesai makan malam pada lewat petang itu, mereka menunaikan solat maghrib secara berjamaah. Fitri mahu membacakan ayat Al-Quran yang Nisa' suka itu (dek penghayatannya terhadap ayat tersebut) , dalam solat maghrib mereka sekejap lagi. Tersenyum Fitri sekali lagi bila mengenangkan memori lamanya pada petang tadi. Kemudiannya Fitri tersedar dari lamunan setelah tiba-tiba sahaja muncul Nisa' tersenyum manis di hadapannya. Mereka berdua bingkas tersenyum bila berpandangan. Senyum Fitri melihat isteri solehah di hadapannya dan juga kerana dek pelbagai kenangan manis mereka berdua harungi bersama, senyum Nisa' mungkin kerana melihat suaminya sangat gembira dan senang pada hari tersebut. Namun, senyum yang terlukis di wajah mereka berdua, memberi tafsiran jelas erti kebahagiaan yang mereka kecapi kini.. Syukur kepadaNYA...


p/s : Cereka ini dihasilkan setelah sekarang sebenarnya tiba 'musim' saya mendapat berita-berita gembira dan juga kad-kad undangan, daripada abang-abang dan kakak-kakak senior atau sahabat-sahabat saya yang lain, tentang majlis walimah dan perkahwinan mereka. TAHNIAH diucapkan dan DIDOAKAN mereka semua agar berbahagia dengan pasangan masing-masing dan dapat bercinta sampai ke syurga sana insyaALLAH.. Amiiiin..=)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails