Sabtu, Oktober 17, 2009

Subuh Yang Terakhir

Oleh : Tongkat Jibril




BILAKAH kali yang terakhir kau ucapkan sayang?
Pada insan yang setia berkongsi susah dan senang
Luahkan isi hati andainya sudah ditakdir
Tadi Subuh yang terakhir....


1 "YAH, mana baju aku?" Pekik Salim sambil menghembuskan kepulan asap rokok dari hidungnya. Dia sudah terlewat untuk keluar bekerja. Kelihatan sang isteri terhincut-hincut membawakan sepasang seluar dan baju dari bilik. Wajahnya pucat lesi. Sudah dua hari dia demam panas. Sementelah kakinya pula luka terpijak serpihan kaca pinggan yang dipecahkan anak lelakinya semalam.

"Ini bajunya, bang...." ujar Adawiyah.


"Bodoh! Pemalas betul kau ni. Duduk rumah ni apa yang kau buat?" Salim menampar wajah isterinya tanpa belas kasihan. Dihamburkan kata cacian yang sudah lali didengar oleh Adawiyah. Sang isteri hanya tunduk memegang pipi yang kemerahan. Tidak berani melawan.


"Kenapa kau tak gosok baju ni?" Sekali lagi Salim melenting bila melihat bajunya berkedut. Dia memandang tajam ke arah Adawiyah sebelum rambut isterinya dicekak pantas. Adawiyah tersentak.

"Tadi terjatuh, bang...." Adawiyah terketar-ketar menahan kesakitan.


"Siapa suruh kau jatuhkan? Kau memang lembap! Menyesal aku kahwin dengan kau! Dasar isteri tak guna, semuanya tak dapat diuruskan dengan baik!" Salim mengherdik lagi. Dia menghempas wajah Adawiyah ke lantai. Terjatuh sang isteri menyembah lantai. Dia teresak-esak menahan kesakitan.

"Nanti aku kahwin dua, baru kau tahu!" Tengking Salim lagi. Dia segera memakai pakaian sebelum menapak keluar dari rumah. Adawiyah hanya membisu, menahan kesakitan. Dia sudah lali begitu. Dibutakan mata, dipekakkan telinga, malah dimatikan hati bila menerima sepak terajang dan herdikan suaminya.

Bukan dia tidak mahu melawan, tapi itulah tempat dia bergantung harap selama-lamanya. Dia tidak kisah dihina, kerana dia juga bukanlah daripada golongan yang berada. Dia mahu menjalankan tanggungjawab kepada suaminya dengan baik. Andai dipukul, boleh diubatkan. Namun, dia tidak mahu suaminya terkilan kerana dia gagal menguruskan makan minumnya. Tidak sekali-kali!




Bila berdekatan kadangnya makin kita leka
Bila berjauhan barulah merindu di dada
Selagi berkesempatan ucapkan terima kasih
Andai esok takkan hadir....


2 DIA termanggu menghadap samudera nan luas. Hatinya merekah dipukul rindu yang mendalam. Rindu pada guru-guru yang pernah mencurahkan ilmu kepadanya sewaktu remaja. Guru-guru yang tidak pernah jemu menasihatinya, baik dalam pelajaran atau kehidupan sehari-harinya. Kini hatinya sepi kembali dengan semua itu.

Dia sunyi.

Jiwanya kosong saban waktu. Tiada kedengaran di telinganya nasihat dan kritikan pedas daripada guru, terutamanya Guru Penolong Kanan HEM, Cik Norliza Ghazali atau mesra dengan panggilan 'Bonda' oleh semua anak didiknya. Tiada kedengaran laungan daripada warden asramanya lagi, terutamanya daripada Cikgu Asmui dan Cikgu Hamir Habeed. Tiada kedengaran laungan arahan kawad daripada Guru Penolong Kanan 1, En Mohd Yunus ketika beratur di perhimpunan pada setiap pagi. Cikgu Azizah dan Cik Yanti, Guru Kimia yang banyak membantunya. Cikgu Asrul yang sering bertikam lidah dengannya kerana cinta monyet yang diperjuangkan oleh remaja sepertinya. Tiada lagi kedengaran keriuhan teman-teman dahulu. Semuanya bergantikan desiran angin pantai yang saban hari dihembuskan padanya!

Pantasnya masa berlalu. Di sekolah sains itu, segala memorinya terpahat kaku. Segenap jiwa dan asmaranya terpateri membeku. Seluruh usaha dan pencapaiannya mengharum di situ. SEMSAS mengabadikan segala kenangan pahit manisnya dahulu. Lima tahun dia mendambakan ilmu di situ dan segalanya telah menjadi sejarah yang abadi kini. Di situ ditemuinya pelbagai suka duka. Di situ diresapi segala manhaj Islam dan ketegasan disiplin yang berguna! Di situ juga dia menemui cinta hatinya yang kini sudah terpisah membawa haluannya. Kata orang, cinta monyet!

Terima kasih guru-guruku!! Terima kasih teman, para budiman yang bekerja di dewan makan, menyajikan hidangan terbaik buat kami dahulu. Terima kasih kepada mak cik dan pak cik yang berhempas pulas di bawah terikan mentari, memastikan lapangan ilmu dan asrama itu bersih dan ceria. Terima kasih kepada seluruh warganya! Warga SEMSAS yang penuh dedikasi dan berwibawa! Diri ini tidak akan menjadi sempurna duniawi dan ukhrawi andai kalian semua tidak membantu dengan seikhlas hati!




Jika terkasar bahasa mungkin ada yang terasa
Tapi tak kedengaran rintihan kerana sayangkan
Dirimu namun di hati mampukah dilupakan?
Taburlah kemaafan jangan sebelum nyawa dipulangkan....


3 MAAFKAN abang kerana membuatkan dirimu seksa dahulu. Ampunkan dosa abang kerana menyusahkan hatimu, membuatkan air matamu kering kerana selalu menangis dahulu. Kau adik yang baik. Tiada dapat dikecapi segala jasamu padaku sejak dahulu hingga kini. Walaupun dirimu serba kekurangan, namun tidak pernah kau jadikan alasan untuk menjagaku yang terlantar lemah ini.

Si abang memandang sang adik yang sedang menanak nasi di dapur. Air matanya berlinangan. Sang adik yang cacat wajah dan sebelah kaki itu, tidak pernah mengenal erti penat dan jemu menjaganya saban waktu. Tenaganya digunakan mengambil upah membuat kerja kampung, demi mendapatkan sesuap nasi buat abang tersayang.

Kekesalan menyelubungi hati si abang. Terkilan. Mengapa dia begitu zalim ketika sihatnya dulu? Memukul dan mengherdik adik cacatnya yang tidak berdosa setiap kali bertemu? Katanya pada arwah bonda dahulu, dia malu mendapat adik sebegitu. Cacat. Tiada upaya untuk menguruskan diri. Dia tidak ingin pulang ke kampung kerana malu mempunyai saudara sebegitu! Setelah bondanya meninggal, dia ditimpa kemalangan dahsyat. Keretanya bertembung dengan lori. Dia lumpuh. Anak dan isteri menjauhkan diri. Subhanallah!

"Kejap lagi nasi masak, bang! Lepas makan nasi, baru boleh makan ubat. Adik dapat ikan lebih hari ni. Tolong Wak Darman di pekan sehari tadi. Dapatlah abang makan banyak sikit, kan? Baru boleh jalan balik, kan! Hehehe ...." Sang adik berbicara lembut dengan si abang. Dia menghela nafas panjang, sambil mengurut-urut lengan dan bahu abangnya. Kata doktor, pesakit lumpuh sebegitu perlu diurut untuk memastikan badannya tidak keras.

Air mata si abang menangis deras. Dia teresak-esak mendengar bicara adiknya. Allah, mengapa aku begitu zalim sekali dahulu? Mengapa adik yang begitu kubenci selama ini, akhirnya menjadi temanku kini? Maha Suci Engkau yang mentadbir alam, sesungguhnya inilah harta yang paling bernilai buatku!

"Maafkan abang, dik sebab berlaku zalim dengan kau dulu...."

"Adik tak kisah, bang. Dulu lain, sekarang lain, kan?" Adiknya tetap ceria. Si abang tersenyum memandang si adik. Sebentar lagi adiknya akan menyuap makan tengah hari. Setelah itu, dia akan membacakan hadis untuknya sementara menanti solat Zohor.
Mereka bersolat jemaah bersama. Alangkah!




Bilakah kali yang terakhir kau kucupi pipi?
Ayah bonda yang tak mungkin kau terbalas budi
Buktikanlah syukurmu bertuahnya kau dilahir
Andai esok takkan hadir....


4 BONDANYA terbaring lesu di atas katil. Wajahnya pucat. Ada salur tiub berselirat di hidung dan beberapa bahagian badannya. Nafas kedengaran perlahan, bersulam dengan bunyi detikan mesin penentu kadar denyutan jantung.

Sesekali, mata bonda terbuka. Bonda memandang tegak ke atas. Tiada didengarinya tangisan dan bisikan anak cucu di sisinya. Bonda lemah dalam kelubung putih, menanti masa untuk menjengah ke alam baqa.

Kata doktor, bonda semakin tenat. Peparunya semakin lemah, buah pinggangnya tidak cekap untuk berfungsi lagi hingga terpaksa dimasukkan tiub. Bonda tidak dapat makan dengan sendiri, sebaliknya diberikan tiub makanan untuk memudahkan makanan dimasukkan ke tubuhnya.

Kalau dapat diundurkan masa, ingin sekali dia menjaga bondanya. Kalau boleh diputarkan waktu, ingin sekali dia mengucup dahi bondanya, menyatakan bahawa betapa dia menyayangi srikandi itu. Kalau dapat diubah segala-galanya, dia ingin bondanya sihat kembali, tidak mahu melihat bonda lemah menanti panggilan Ilahi sebegini!

Dia kesal!

Kesal kerana membiarkan bondanya keseorangan di rumah usang. Di kampung yang penghuninya sudah berkurangan. Bonda ditinggalkan kesepian, sendirian mengurus diri. Bonda dibiarkan meniti hari tuanya tanpa limpahan kasih sayang anak-anaknya yang mencecah bilangan sembilan orang. Tanggungjawabnya selaku anak yang paling sulung dilepaskan begitu saja. Tatkala mendapat berita bahawa bondanya terjelepuk menyembah bumi ketika membeli barangan di pekan sehari, barulah semuanya tersedar! Bonda menanggung keperitan penyakit yang ditanggungnya. Alangkah!

Tidak terasa kehangatan linangan air mata mengalir di pipinya. Dia tersedu-sedan. Maafkan along, umi! Maaf kerana tidak menjaga umi sebaik-baiknya. Ampunkan dosa anak derhaka ini kerana terlalu sibuk dengan kerjaya di kota hingga lupa menjenguk bonda di kampung. Ingin sekali dia sujud di kaki bondanya, meminta ampun dan maaf.

Dia menyeka air mata, sebelum merapati bondanya. Kucupan dihadiahkan di pipi dan dahi bondanya. Bonda membuka mata tiba-tiba. Dia melirik ke arah anak sulungnya. Perlahan-lahan anak itu menempel telinga menangkap suara bondanya.

"Bonda maafkan semuanya...." Bonda berbisik sebelum matanya terkatup kembali. Kedengaran syahadah meniti lesu di bibir bonda. Mesin penentu denyutan jantung juga tidak berdetik lagi. Semuanya senyap sunyi. Sepi. Sesepi hati bonda dahulu....




Lihatlah saja isterimu berkorban sepenuh nyawa
Demi menjamin kebahagiaan anak dan suami tercinta
Buktikanlah padanya pilihan jodohmu tepat
Sebelum semua terlewat....


5 "CEPATLAH, umi! Dah lewat ni!" Laung si anak sambil memakai kasut kanvas putihnya. Sang ibu melangkah pantas sambil menjinjing bekal makanan buat anaknya. Dia keletihan menguruskan semuanya, namun tiada pernah keluhan dilampiaskan kepada mereka. Semuanya disimpan jauh di lubuk hati. Bukankah itu semua tanggungjawabnya?

"Bekal apa pulak ni?" Soal si anak.

"Bekal makan waktu rehat. Nanti tak payah beli makanan di kantin."

"Ish, tak naklah bawa bekal! Malu...." Mudah saja si anak menolak pemberian ibu tercinta. Tiada pula difikirkan penat lelah ibunya bangun seawal empat pagi, menanak nasi dan menggoreng lauk untuk bekalan anaknya ke sekolah. Dia melangkah pantas meninggalkan halaman rumah. Sang ibu hanya memerhati dengan sorotan mata, sedang bekal di tangan masih hangat terasa.

"Tepi sikit, abang dah lewat ni!" Ujar sang suami dari belakang lalu menolak isteri ke tepi. Dipakainya kasut kulit hitam yang sudah dikilatkan isterinya malam tadi. Selalunya begitu. Dia malas untuk menguruskan segala-galanya. Apa guna ada isteri, kalau tidak melakukan semua kerja rumah tangga?

"Abang nak bekal?" Soal si isteri, lembut.

"Ish, tak payah!
Mengarut aje.... ingat saya budak sekolah ke?" Balas suami. Si isteri hanya tunduk sayu. Dia melihat suaminya menghidupkan enjin motosikal. Dia melangkah pantas mendapatkan suaminya untuk bersalaman.

"Hei, tak payahlah bersalam! Abang dah lewat ni!" Tepis sang suami lantas berlalu pergi. Si isteri menahan air mata seboleh mungkin. Hatinya sebak. Dia telah berusaha membahagiakan rumah tangganya, namun anak dan suami seakan tidak menghargai. Bukannya mahu pujian selangit tinggi, namun cukup sekadar ucapan terima kasih meniti di pinggir bibir....

Lafazkan rasa cinta andainya sudah ditakdir
Tadi Subuh yang terakhir....



Biodata:
TONGKAT Jibril atau nama sebenarnya, Muhammad Alyas Abul Jalil dilahirkan pada 27 Februari 1989, adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (Semsas), Kuantan Pahang. Antara cerpennya yang mendapat tempat dalam media arus perdana ialah Panca Warisan, Minhaj Hakiki, Abang Mus dan Talkin Buat Umi. Novel remajanya, Nobat Kasih diterbitkan Cerdik Publication Sdn Bhd pada 2006 dan kini bergiat sepenuh masa dalam dunia penulisan kreatif.


p/s: Macam mana coretan kisah dalam cerpen tadi? Beesstt?? ;p Semuanya realiti dalam masyarakat kita sekarang bukan?? Hidup ini penuh ranjau.. Hadapi dengan hati yang celik dan tabah.. Pandang kepada 'ibrah dan hikmah.. Bukan sekadar menyanggah.. Jangan dilupa dan alpa, HARGAILAH insan-insan yang menemani dan mewarnai hidup kita ini, sebelum kita sudah tidak punya kesempatan lagi.. Sebelum ada yang pergi tak kembali..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails