Biarpun dia bukan seorang  Muslim, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bukanlah asing baginya.  Selalu juga dia menonton rancangan tersebut. Malah, dia juga tahu  sedikit sebanyak tentang ajaran Islam melalui rancangan tersebut.  Lagipun, dia suka melihat kepetahan ahli panel itu memberi ceramah dalam  bahasa Melayu, secara tidak langsung, dia boleh belajar bertutur dalam  bahasa Melayu dengan lebih baik.
Sedang asyik mengikuti perbincangan itu, tiba-tiba, lelaki tersebut tersentak apabila mendengar Dr.Haron Din mengatakan: "Bandingan  segala kebaikan amal dan usaha orang-orang yang kufur ingkar terhadap  Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang  kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun daripada apa yang  mereka telah usahakan itu. Amalan itu menjadi sia-sia akibat mereka  sebenarnya berada dalam kesesatan yang jauh daripada kebenaran."
Mendengar kata-kata Dr.Haron Din,  darah lelaki India itu menyirap. Perasaan marah menyelinap masuk ke  dalam hatinya. Mana boleh! Itu tidak adil! Takkan Tuhan hanya menerima  kebaikan orang Islam sahaja? Bagaimana dengan kebaikan yang dilakukan  oleh orang bukan Islam?
Bahkan, sepanjang hidupnya, dia  melihat banyak kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam, dan ada  kalanya, melebihi daripada Kebaikan yang pernah dilakukan oleh orang  Islam itu sendiri. Apakah segala kebaikan itu tidak diterima? Dia mula  menganggap, ajaran Islam mengamalkan sikap kasta. Jika begitu ajaran  Islam, bermakna ia double standard.
Rasa tidak puas hati terus  menyelubungi fikiran lelaki tersebut. Lelaki India itu tekad untuk  berjumpa dengan Dr.Haron Din. Dia ingin berdebat dengan ulama tersebut.  Pada fikirannya, mana boleh seorang ulama mengeluarkan kenyataan yang  tidak adil seperti itu, dan boleh menyentuh perasaan orang bukan Islam  di negara ini seperti dirinya. Apatah lagi ia dilakukan secara terbuka  di kaca TV.
Lelaki itu tahu, Dr.Haron Din  bukanlah calang-calang orang, tetapi dia tidak peduli. Dia tetap mahu  berjumpa dengan ulama tersebut dan mesti mencari jalan bagaimana untuk  bertemu dengannya. Setelah beberapa bulan memendam niat untuk bertemu  Dr.Haron Din akhirnya hasrat itu tercapai. Melalui seorang pelanggan yang  dikenali ketika berurusan di bank tempatnya bekerja, lelaki itu dibawa  bertemu dengan Dr.Haron Din di sebuah rumah seorang ahli perniagaan di  Petaling Jaya. Dr.Haron Din mengadakan usrah di rumah ahli perniagaan  tersebut pada hari Khamis malam Jumaat, seminggu sekali.
Ketika sampai di rumah ahli  perniagaan tersebut, kuliah baru saja bermula. Di hadapan lebih 20 orang  jemaah, kelihatan Dr. Haron Din duduk bersila sambil memegang sebuah kitab.  Kebetulan pada malam itu, Haron Din mengajar tentang bab syirik. Bila  ternampak muka Dr. Haron Din, hatinya menjadi panas.
Lelaki itu membulatkan tekad,  selepas tamat kuliah, dia mahu berjumpa dengan Dr. Haron Din. Dia mahu  mengajak Dr. Haron Din berdebat. Lelaki itu memang betul-betul tidak berpuas  hati dengan kenyataan Dr. Haron Din di dalam Forum Perdana. Ia masih  terngiang-ngiang di telinganya biarpun sudah beberapa bulan berlalu.
Namun, tidak disangka-sangka,  segala yang dirancangnya tidak menjadi. Perasaan marah dan bengang yang  bersarang dalam dirinya selama beberapa bulan itu mula surut apabila dia  duduk mendengar kuliah yang disampaikan oleh ulama tersebut.
Setelah tamat kuliah yang  diberikan Dr.Haron Din, lebih kurang dua jam selepas itu, semangatnya yang  tadi berkobar-kobar mahu berdebat dengan ulama tersebut, kian kendur.  Rupa-rupanya, dalam diam, dia mengakui, cara penyampaian, serta kupasan  Dr.Haron Din yang begitu terperinci dalam bab-bab syirik, membuatkan dia  rasa amat terpegun.
Sebelum ini, lelaki India itu  tidak pernah mendengar penjelasan mengenai Islam dan ketuhanan seperti  yang didengarnya pada malam itu. Biarpun hati lelaki berkenaan sudah  mula mahu akur pada kebenaran Islam, namun egonya masih menebal. Lelaki  ini memperingatkan dirinya, kedatangannya pada malam itu bukan untuk  terpengaruh dengan kata-kata Dr. Haron Din, tetapi untuk mengajak ulama itu  berdebat dengannya.
Akhirnya dia memutuskan untuk  menangguhkan hasrat berdebat dengan Dr.Haron Din. Bukan tidak berani,  tetapi sebenarnya pada malam itu segala persepsi buruknya terhadap Dr.Haron  Din dan Islam telah mula berubah.
Pun demikian, lelaki itu tidak  mahu mengalah dengan perasaannya. Ego yang ada dalam dirinya mengaburi  kewarasan akalnya. Misinya berjumpa dengan  Dr.Haron Din ialah untuk  menyatakan apa yang dikatakan oleh ulama tersebut dalam Forum Perdana  adalah tidak adil. Tidak lebih daripada itu.
Dan yang paling penting, tujuan  dia bertemu ulama tersebut bukanlah untuk mengakui kebenaran Islam.  Lelaki itu membuat perancangan sendiri. Dia akan terus mengikuti kuliah  Dr.Haron Din di situ, agar dia lebih faham tentang Islam dan senang nanti  untuk dia berhujah dengan ulama tersebut kelak.
Selepas itu, pada setiap malam  Jumaat, lelaki berkenaan menghadiri kuliah Dr.Haron Din. Kali ini dia pergi  seorang diri. Tetapi 'masalahnya' semakin lama mengikuti usrah Dr.Haron  Din, semakin jelas dilihatnya kebenaran Islam. Lama-kelamaan, tujuan  asal lelaki ini untuk berdebat dengan Dr.Haron Din dan mengatakan bahawa  Islam agama yang double standard, bertukar menjadi sebaliknya. Setiap  kali dia mengikuti usrah Dr.Haron Din, semakin hampir hatinya pada Islam.  Islam itu dilihatnya tulus, lurus tanpa simpang-siur.
Niat asalnya untuk berdebat  dengan Dr.Haron Din akhirnya terpadam begitu sahaja. Sebaliknya, hatinya  menjadi semakin lembut dan lelaki India itu bertambah berminat untuk  mengetahui tentang ajaran Islam dengan lebih mendalam.
Suatu hari ketika mengikuti  usrah Dr.Haron Din di rumah ahli perniagaan tersebut, lelaki India itu  mengambil peluang bertanyakan bermacam-macam soalan tentang Islam. Dia  bertanya, mengapa perlu meninggalkan agamanya dan memeluk Islam?  Bukankah semua agama itu sama. Bukankah Islam itu juga sama seperti  agama lain, menyuruh membuat kebalkan dan meninggalkan kejahatan?
Dan yang paling penting, dia  mahu tahu, kenapa Dr.Haron Din mengatakan hanya amalan orang Islam sahaja  yang diterima Allah, dan amalan orang bukan Islam tidak diterima-Nya  seperti yang disebut di dalam Forum Perdana Ehwal Islam tidak berapa  lama dulu.
Dr.Haron Din tersenyum dan secara  berkias beliau menjawab; "Untuk memudahkan saudara memahaminya, biar  saya berikan contoh begini : Kita adalah seorang hamba dan tuan kita  memberikan kita sebidang tanah, cangkul, benih, baja dan segala  kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan tanah tersebut.
"Tuan kita suruh kita  usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti mana yang disuruh,  sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain. Kemudian bila tiba di  hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk meminta upah. Saudara  rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan kita tidak lakukan apa  yang disuruh, sebaliknya kita melakukan kerja untuk orang lain?
"Begitu jugalah simboliknya di  dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan kebaikan, bukan kerana  Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, contohnya kerana manusia,  pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan memberi balasan  di atas amal perbuatan kita sedangkan semua amalan yang kita lakukan  bukan untuk Dia?"
Ternyata segala jawapan dan  hujah yang diberikan oleh Dr.Haron Din atas pertanyaannya itu, membuatkan  dia mati akal. Begitu juga dengan setiap hujah dan persoalan yang cuba  ditimbulkan lelaki itu dengan mudah dipatahkan oleh Dr.Haron Din dengan  cara yang lembut dan bijaksana, tanpa sedikit pun menyinggung  perasaannya sebagai orang bukan Islam.
Setelah empat minggu  berturut-turut mengikuti kuliah yang diberikan oleh  Dr.Haron Din, ego yang  ada di dalam dirinya hancur dengan kebenaran Islam. Akhirnya hati lelaki  itu terbuka untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas itu, secara rasmi  lelaki India tersebut memeluk Islam.
Dalam satu pertemuan empat mata  dengan Dr.Haron Din setelah lelaki itu memeluk Islam, dia sempat bertanya  mengapakah ulama tersebut mengeluarkan kenyataan seperti itu di kaca TV,  sedangkan kenyataan itu boleh mengundang rasa tidak puas hati di  kalangan bukan Islam, seperti apa yang dirasakannya.
Dr.Haron Din menjelaskan kepada  lelaki India tersebut: "Memang kenyataan itu saya tujukan khusus untuk  orang bukan Islam. Saya mahu orang bukan Islam berfikir tentang  kehidupan, asal usul manusia dan kebenaran agama. Saya mendapat maklum  balas, ramai di kalangan bukan Islam yang menonton rancangan itu. Jadi,  sengaja saya bacakan ayat al-Quran itu agar mereka berfikir."
"Dan saya adalah di antara  mereka yang terkena provokasi Dr.Haron Din itu. Biarpun pada peringkat  awalnya saya bertemu beliau atas sebab tidak puas hati dengan  kenyataannya, namun akhirnya, saya bersyukur, kerana ia menjadi penyebab  yang membuatkan saya akhirnya menerima cahaya kebenaran Islam," jelas 
Mohammad Fitri Abdullah, 43, lelaki India yang dimaksudkan dalam cerita di atas.
Ketika Mastika menemuinya di  pejabat Perkim bahagian Shah Alam di Masjid Negeri Shah Alam, Fitri  berulang kali menyatakan betapa syukurnya dia mendapat hidayah biarpun  pada mulanya dia langsung tidak terfikir untuk memeluk Islam.
"Seperti yang saya katakan, pada  awalnya niat saya adalah untuk berdebat dengan Dr.Haron Din akibat rasa  tidak puas hati terhadap kenyataannya itu. Tetapi, apabila saya  mendengar penjelasan beliau, ego saya jatuh dan dalam diam-diam saya  mengakui, saya bukanlah orang yang layak untuk berdebat dengan beliau,"  jelasnya.
Sebenarnya sebelum memeluk  Islam, Fitri memang seorang yang taat terhadap agamanya. Dia bukan  sekadar seorang pengikut yang taat, tetapi juga bergerak aktif dalam  beberapa persatuan yang berteraskan agama yang dianutinya. Selain itu,  dia turut mengajar di beberapa rumah ibadat di sekitar ibu kota. Biarpun  kuat terhadap agamanya, namun jauh di sudut hati, lelaki itu sering  merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan agama yang dianutinya.
"Sebenarnya, agama tersebut juga  mengajar pengikutnya untuk menyembah Tuhan yang satu. Di dalam  kitab-kitab lama, itulah ajarannya. Tapi masalahnya, apa yang dilakukan  oleh penganut agama tersebut berlainan daripada apa yang diajar di dalam  kitab.
"Mereka tidak menyembah Tuhan  yang satu, sebaliknya menyembah bermacam-macam Tuhan, selain dari Tuhan  yang satu," tegas lelaki yang berasal dan Banting, Selangor ini.  Lantaran itulah kata Fitri, hatinya sering berasa ragu dengan agama  sendiri. Perasaan ini bukannya baru, malah timbul sejak dia berusia  belasan tahun lagi. Dia melihat apa yang diajar di dalam kitab, dengan  apa yang dipraktikkan oleh penganut agama lamanya, termasuk dirinya  sendiri, ternyata bercanggah sama sekali.
"Tetapi apabila saya mendengar  kuliah Dr.Haron Din, diam-diam saya mula sedar, saya memang berada dalam  kesesatan yang nyata. Pertama kali mendengar ceramah beliau, sudah cukup  untuk memberi kesedaran pada diri saya sekali gus berjaya mengubah  pandangan saya terhadap Islam selama ini. Mungkin itulah kelebihan yang  Allah berikan pada Dr.Haron Din," kata Fitri lagi.
Kejadian itu sebenarnya telah  pun berlalu hampir 15 tahun, namun cahaya iman yang menyerap ke dalam  hatinya masih lagi sesegar dulu. Malah, dari hari ke hari semakin kukuh  bertapak di dalam dirinya.
Jika dahulu Fitri seorang  mubaligh yang aktif menyebarkan agama lamanya, kini Fitri masih tetap  begitu. "Cuma bezanya, hari ini saya bergerak di atas landasan agama  yang benar iaitu Islam. Saya cukup sedih bila mendengar ada saudara  seagama saya, terutamanya di kalangan orang Melayu yang sanggup keluar  dari Islam. Murtad.
"Hari ini, menjadi tanggungjawab  saya untuk membantu mereka, memulihkan iman mereka, dengan pelbagai  usaha dan cara, termasuk berkongsi pengalaman yang saya lalui sebelum  ini.
"Ini adalah tuntutan wajib buat  diri saya. Dengan kelebihan yang Allah anugerahkan kepada saya, saya  perlu laksanakan amanah ini biarpun berat, sebagai usaha saya membantu  menyemarakkan agama Allah di muka bumi yang bertuah ini," ujarnya  bersungguh-sungguh mengakhiri pertemuan kami pada petang itu.
Dr.Harun Din adalah ulama  yang amat disegani dan saya sungguh sedih melihat ulama seperti beliau  seolah-olah tiada tempat dalam masyarakat kita. Sungguh sukar untuk kita  lihat wajah beliau di kaca televisyen sedangkan ilmu yang beliau miliki  amat penting untuk kita sama-sama kongsi, pelajari dan amalkan.  Rancangan Forum Perdana kini gagal menarik minat penonton Islam termasuk  bukan Islam kerana kita kehilangan ulama-ulama seperti 
Ishak Baharom, 
Badrol Amin, Dr.Haron Din, dan ramai lagi. Kenapa mereka ini di gam? Disekat terus menerus? Mengapa?