Ahad, November 15, 2009

Kehijauan Kedah Tarikan Baru Pelancongan


Gambar-gambar dan pemandangan di sekitar Gunung Jerai

Kehijauan Kedah Tarikan Baru Pelancongan

Bagi diri saya, dengan ketenangan dan kesejukan mata memandang kehijauan pemandangan sawah padi yang terbentang luas, Gunung Jerai yang melatari pemandangan sebagai puncak tertinggi di Kedah, dengan pelbagai tempat perkelahan dan air terjun menarik untuk dikunjungi, dipakejkan juga dengan tempat-tempat pelancongan terkenal seperti Pulau Langkawi, menjadikan ia merupakan aset bernilai yang patut dibanggakan oleh segenap lapisan rakyat Kedah.

Jikalau sebelum ini saya coretkan artikel tentang Kedah bakal menjadi negeri bersih dan indah, kini negeri Kedah juga mampu mengorak langkah menjadi sebuah negeri destinasi pelancongan berkonsepkan kehijauan, yang mana ianya dijangka akan menjadi tumpuan dan daya tarikan kepada para pelancong dalam mahupun luar negara.

Konsep kehijauan ini dipilih untuk dijadikan daya tarikan utama kepada negeri Kedah kerana negeri ini bukan sahaja dikelilingi dengan sawah padi malahan kawasan seperti Gunung Keriang dan Gunung Jerai turut menjadi faktor utama.

Antara salah satu promosi yang akan dibuat Kerajaan Negeri Kedah bagi menarik pelancong datang melihat konsep yang akan dibawakan ini adalah dengan cara membawa masuk pelancong yang pergi ke Pulau Langkawi, tidak kiralah pelancong tempatan mahupun luar negara untuk datang melihat sendiri konsep kehijauan tersebut.

Selain itu, kawasan taman rekreasi di sepanjang Sungai Kedah juga, terutama di kawasan pusat bandar akan diberi tumpuan dengan menjalankan kerja-kerja pembersihan terlebih dahulu sebelum dilakukan penambahbaikan, seterusnya menjadikan kawasan tersebut sebagai salah satu daya tarikan pelancongan di negeri ini.

Exco Kerajaan Negeri Kedah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Pembangunan Masyarakat serta Sumber Tenaga Manusia dan Hal Ehwal Masyarakat India, YB. S Manikumar dipetik berkata, konsep kehijauan tidak hanya akan ditumpukan kepada kawasan sungai sahaja malahan ia turut menumpukan kepada keindahan floranya.

Malah beliau juga menjelaskan bermula tahun hadapan, negeri Kedah bakal menjadi pusat pelancongan berasaskan kehijauan apabila kesemua penelitian dan perancangan untuk merealisasikannya selesai pada hujung tahun ini.

Tambahnya lagi, beliau yakin dengan konsep ini kerana negeri Kedah dapat membawa masuk lebih ramai pelancong dari luar yang menggemarkan suasana kehijauan, dan ini secara tidak langsung dapat menambahkan lagi pendapatan rakyat tempatan dan membuka peluang untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Saya amat bersetuju dengan kenyataan Exco Kerajaan Negeri Kedah tersebut kerana ia jelas satu lagi bukti kukuh Kerajaan Negeri Kedah mendahulukan kepentingan rakyat. Saya pasti jika ia terlaksana, ia mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat malah memberikan kesempatan terbaik buat mereka untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka agar menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Sebelum ini daerah Yan diwartakan sebagai Daerah Pelancongan, kerana di daerah Yan sahaja sudah terdapat bermacam-macam destinasi yang sesuai untuk dikunjungi pelancong tempatan dan luar negara, apatah pula Gunung Jerai sememangnya terpasak di tengah-tengah keluasan sawah padi yang menghijau. Di sana juga selain kawasan peranginan Gunung Jerai, terdapat banyak air terjun, kawasan perkelahan dan tempat-tempat menarik di sekitar kaki gunung berkenaan seperti Air Terjun Seri Perigi, Air Terjun Titi Hayun, Air Terjun Batu Hampar, Tangga Kenari 1000 Tahun, perkampungan Sungai Raga dan lain-lain lagi. Terdapat juga di sana Taman Rekreasi Pantai Murni yang letaknya tidak jauh dari pekan Yan.

Banyak lagi sebenarnya tempat-tempat menarik di negeri Kedah yang berpotensi dijadikan destinasi terbaik untuk sektor pelancongan di negeri ini. Tempat-tempat tadi hanyalah sebahagian contoh tempat-tempat menarik dari salah satu daerah di negeri Kedah, belum lagi dinyatakan tempat-tempat menarik dari daerah-daerah yang lain lagi. Setiap daerah mempunyai tempat-tempat menarik dan keistimewaannya sendiri. Jadi saya kira sangat tepat pada masanya apabila Kerajaan Negeri mahu merancakkan sektor pelancongan di Negeri Jelapang Padi ini.

Namun, apa yang dikatakan oleh YB. S Manikumar ada benarnya, apabila beliau ada menyatakan kehijauan yang wujud di negeri Kedah juga adalah salah satu daripada kekuatan terhadap pelancongan yang ada di negeri tersebut dan beliau turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan mengkaji secara menyeluruh lokasi yang strategik dan kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan di sana.

Malah, beliau sebelum ini turut menjelaskan, bahawa permintaan masyarakat kini yang gemarkan destinasi pelancongan dan membina kediaman di kawasan kehijauan turut dijadikan salah satu faktor mengapa konsep kehijauan dipilih di negeri Kedah.

Bagi saya sebagai seorang rakyat Kedah, mengalu-alukan segala cadangan dan usaha ke arah tujuan tersebut, namun apa diharapkan ialah Kerajaan Negeri dapat melakukan sesuatu agar semua perancangan yang dirancang dapat dilaksanakan tanpa banyak masalah yang mendatang. Kita juga mendoakan ia akan berjaya malah dapat merealisasikan Kedah sebagai pusat pelancongan berkonsepkan kehijauan, sekaligus memberi manfaat dan faedah kepada rakyat Kedah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails