Ahad, Julai 31, 2011

Diuji Dengan Denggi (3D)

Dunia hospital dirasakan begitu membuka mata ini melihat dari kaca mata hikmah akan nikmat yang Allah berikan. Hari pertama dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) agak mendebarkan. Adakah umurku di sini sahaja atau bagaimana? Bantuan oksigen diberikan serta merta. Lengan tangan dan dada dihiasi saluran air, oksigen dan sebagainya. Dilekatkan di atas dadaku apa namanya, aku pun tidak mengenali ‘alat’ itu. Kritikal pada mereka barangkali.

Apabila dipindahkan ke wad, perasaan syukur atas nikmat yang dikecapi. Masih diberikan ruang dan peluang oleh Allah untukku. Diri ini dibawa dengan katil beroda melintasi kawasan-kawasan hospital. Sempat mata ini menjeling melihat kelibat dan raut wajah yang ada di sana. Ada yang berwatak hiba dan sedih, terlihat dari air mukanya.

Akhirnya sampai juga wad khas untuk diri ini. Katil aku diletakkan berhampiran dengan kaunter ‘staff nurse’ yang berada di sebelah kananku. Air sudah berapa banyak dimasukkan melalui saluran di lenganku. Jarum mengambil darah sudah dua kali pagi itu sahaja. Hari pertama, enam kali doktor mengambil darahku untuk mengetahui keadaan kesihatan diriku.

Platlet dalam darah yang semakin menurun membuktikan wabak denggi betul-betul ‘mendiami’ diriku buat sementara waktu ini. Sah aku ditahan di wad hospital sehingga pulih. Maklum sahaja, denggi tiada ubat khusus, dan boleh meragut nyawa. Hanya perlu banyak minum dan minum air kosong sebanyak yang dapat untuk ‘menawarkan’ virus. Minum dan buang air sekerap yang dapat. Itu bagus, pesannya doktor.

Kuimbas kembali di awal gejala demam denggi ini menziarahi diri ini. Tidak kusangka, pagi hari Jumaat itu sekadar demam sedikit, sengal-sengal badan, mata sedikit terganggu dengan cahaya, namun aku masih mengagahi diri pergi mengajar hingga ke malam. Petang Jumaat itu, terkena hujan lebat juga ketika di atas motor dari Bandar Sri Damansara ke Damansara Utama. Kemudian esoknya seakan sudah kebah (doktor mengatakan sebab penangan panadol barangkali).

Kemudian hari Sabtu malamnya demam semula. Pagi Ahad kelihatan bintik-bintik merah di atas muka dan sebahagian bahu. Hari itu memang diri ini menyangka ianya demam campak, walaupun sudah pernah mengalami demam campak sewaktu kecil. Apalagi, selain berusaha mendapatkan air kelapa muda untuk mengeluarkan biji campak, air mandian daun mambu yang didoakan dengan apa yang dipelajari di Darussyifa’ menjadi ikhtiar bermula saat itu.

Terus terang, banyak lagi saat-saat penting yang tersemat kukuh dalam catatan hati ini, namun terpaksa kuringkaskan cerita. Selepas itu, doktor asyik membuat ‘kaji selidik’ dan membuat pemerhatian ke atas diriku sepanjang berada di hospital. Selain berdasarkan keputusan ujian darah, simptom-simptom demam denggi sering disoal oleh doktor setiap kali datang memeriksa diriku.

Adakah ada senak-senak perut (jika hati membengkak dan menekan bahagian perut apabila virus Denggi menyerang), ada muntah hari ini atau berdarah di mana-mana anggota badan misalnya gusi berdarah (ini untuk mengetahui sama ada dijangkiti demam denggi berdarah yang lebih berbahaya berbanding demam denggi biasa). Ada buang air kecil (untuk mengetahui ianya mengganggu sistem buah pinggang atau tidak). Ada lenguh-lenguh sendi (tanda denggi yang menyerang bahagian sendi) dan rasa hendak pitam?

Alhamdulillah aku tidak mengalami tanda-tanda yang serius kecuali ada lenguh-lenguh sendi. Sedikit sakit belakang sebelum ini. Cuma masalahnya darahku amat pekat sehinggakan doktor bertanyakan sama ada aku merokok. Aku tidak pernah merokok. Sedikit kehairanan doktor. Hasil ujian darah dari semasa ke semasa, menunjukkan kepekatan darah amat tinggi manakala platlet (sel darah kuning) dalam darahku pula semakin berkurang.

Memang pada awalnya apabila aku diperiksa, seakan-akan aku bukan mangsa demam denggi, namun tanda-tanda denggi semakin menonjolkan dirinya. Doktor perempuan melayu menjelaskan kepadaku akan kemudaratan bila platlet semakin berkurang. Aku akan berisiko muntah darah, gusi dan gigi berdarah, dan akhirnya akan disahkan denggi berdarah yang boleh menyebabkan kematian andai tidak dirawat dan dipantau rapi.

Kebetulan hari kedua, seorang pesakit disyaki demam denggi baru dipindahkan ke wad yang sama. Petang itu, di saat aku keseorangan tanpa teman di sisi, pesakit itu yang mungkin muda sedikit berbanding diriku, muntah darah agak banyak. Doktor-doktor mengelilinginya untuk memaklumkan keperluan pembedahan kecil dibuat segera. Pembedahan segera di situ juga, dilakukan serta merta untuk menyelamatkan dia. Memang agak merisaukan. Bukan di dewan bedah atau di bilik ICU, namun katilnya hanya berselang dua katil di hadapanku.

Cadar katilnya ada kesan darah. Rupanya dia disahkan dijangkiti virus air kencing tikus. Katanya dia pergi bermandi manda di sebuah peranginan air terjun sebelum ini. Kedengaran doktor memberi penerangan bahaya dan risiko virus tersebut jika tidak dibuat pembedahan segera. Selepas itu, ahli keluarganya datang dan tidak lama selepas itu dia dipindahkan ke ICU. Alhamdulillah dia masuk kembali ke wad kami di hari keempat. Mukanya ada sinar kesembuhan. Kelihatannya sudah semakin pulih dari hari pertama beliau dimasukkan ke wad.

bersambung..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails