Jumaat, Januari 13, 2012

‘Bahasa’ Si Anak Kecil

Anak lelaki saya alhamdulillah sudah berusia dua bulan 10 hari. Menarik untuk para ibu dan ayah muda atau kepada bakal-bakal ibu bapa, yang masih belum mempunyai pengalaman sendiri, mengetahui malah memahami ‘bahasa’ si anak kecilnya nanti.

Rumah adalah sekolah pertama bagi anak-anak. Jadi, perlu kita fahami dan sediakan suasana yang kondusif setakat yang termampu ke arah itu. Berbalik kepada bahasa anak kecil tadi, jika ia menangis, adakah menangisnya kerana lapar? Menangis kerana lampin pakai buangnya sudah kebasahan? Atau paling meresahkan jika menangis itu dek kerana dirinya sakit.

Itu belum lagi dengan isyarat dan tanda-tanda lain seperti si anak kecil itu menggosok-gosokkan matanya dengan tangan kecilnya, memasukkan tangan yang dipakaikan sarung tangan ke dalam mulut, menendang-nendang seakan mahu mengangkat punggungnya ataupun merengek-rengek seakan meminta untuk kita menemaninya selalu.

Rutin waktu tidurnya, rutin waktu makannya, rutin waktu mandinya dan rutin waktu mainnya, terkadang mengikut jadual, terkadang tidak menentu juga bergantung kepada ‘mood’ atau keselesaan si anak kecil pada hari tersebut. Ibu dan ayah perlu menyediakan suasana dan keadaan yang membolehkan si anak cepat membesar mengikut acuan Islam.

Di saat merenungi mata anak kecil yang penuh dengan harapan, si ayah atau si ibu pasti tidak mahu anaknya apabila besar nanti menjadi individu yang tidak berjiwa Islam. Agama dan adab-adab sopan tidak diamalkan. Mengikut budaya barat dan terikut-ikut dengan hedonisme yang melampau. Nauzubillahiminzalik.

Alunan ayat-ayat Al-Quran, zikir-zikir seperti kalimah Laailahaillallah, tasbih, tahmid dan takbir, selawat atas Nabi atau nasyid-nasyid Islami, serta lafaz Bismillah diawali bagi memulakan sesuatu perkara, seperti ketika mahu menyusukan anak atau mengangkat anak misalnya, hendaklah dibiasakan kepada anak-anak kecil ini untuk menjadi ‘teman permainannya’. Didikan awal ini akan menjadi pasakan awal yang kuat kepada kehidupan anak kita.

Doa-doa khusus dari si ayah dan si ibu sangat-sangat bermakna buat si anak kecil ketika ini. Doa dari hati ibu dan ayah sangat diutamakan. Doakan doa-doa yang baik, malah amalkan selalu kata-kata yang positif bila ingin berkomunikasi dengan si anak. Bahasa dan tutur kata yang kita gunakan, akan disimpan dalam memori ingatannya dan akan digunakan semula apabila si anak sudah besar kelak.

Percaya atau tidak, pendedahan bahasa ibunda, bahasa antarabangsa dan bahasa ilmu kepada si anak pada ketika ini sangat bermakna buat proses pembinaan ‘kamus’ bahasa dalam memori otaknya. Sebagai contoh, kita menjadikan dan mendedahkan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda anak kita, bahasa Arab sebagai bahasa ilmunya, dan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsanya.

Kita akan mendedahkan pengunaan bahasa ini lebih awal, walaupun anak kecil ini tidak memahami setiap satunya, namun harus diingat bahawa otak ciptaan Allah ini mempunyai kehebatannya tersendiri yang mampu merekod setiap bahasa yang didengari oleh si anak kecil. Hebat kan?

Jangan kita tidak tahu, yang mana si anak kecil, yang baru lahir pun sudah dapat membezakan dan mengenalpasti sesuatu bunyi. Sebagai contoh, anak yang baru berusia dua hari hingga empat hari sudah mampu mengesan arah bunyi itu datang.

Apabila berusia empat bulan, anak kecil kita akan lebih peka dan menoleh ke arah bunyi dan suara tersebut. Apabila menginjak usia 6 bulan, anak kita semakin peka dan akan semakin sempurna apabila menjangkau usia 2 tahun. Malah, nada bunyi dan suara seperti marah, gembira dan sedih juga, dapat dikenalpasti oleh anak-anak kecil kita dengan baik.

Mudah ceritanya, anak kecil kita sebenarnya hebat dan cepat belajar dari apa yang kita sangkakan. Jangan sesekali kita memandang rendah akan kebolehannya. Tersenyum kita memikirkannya bukan? Betulkah?

Anak-anak di usia 0 hingga 2 tahun berada pada peringkat deria motor. Pada tahap ini, anak-anak akan belajar melalui derianya dengan melakukan beberapa aktiviti fizikal yang mungkin kita tidak sedari.

Sebagai contoh, memasukkan tangan ke dalam mulut, menggenggam jari tangannya, mendepakan tangannya, mengangkat-ngangkat kakinya, malah di usia 3 atau 4 bulan, si anak akan berusaha untuk meniarap. Mengangkat beban kepala sendiri dan akhirnya dengan merangkak selepas ‘menguasai’ kemahiran itu.

Jadi, sedari lahir hingga umurnya sebulan, anak kita akan meggunakan segala derianya bagi mendapatkan maklumat baru dengan meneroka dan mencari sendiri melalui interaksi atau tindak balas kepada persekitaran.

Memang ketika ini, tidaklah mereka mempunyai maklumat seperti orang dewasa, namun anak kecil ini membina pengetahuan dan belajar setiap hari. Pakar sendiri mengakui, anak kecil ketika ini memahami lebih daripada jangkaan ibu bapanya sendiri.

Sebagai contoh, hari ini anak kita akan belajar tentang cahaya. Apabila ada cahaya matahari atau lampu, dia akan memejamkan matanya. Matanya takut-takut untuk dibuka, untuk ‘menghadapi’ cahaya matahari atau cahaya lampu.

Ada juga anak kecil menggunakan ‘senjata’ menangis untuk menarik perhatian ibu bapanya atau sebagai isyarat memberitahu sesuatu. Di saat itu, menangis boleh ditafsirkan sebagai lapar, atau mungkin lampin pakai buangnya basah, atau mungkin dirinya sakit atau tidak sihat.

Jadi, bukan mustahil, melalui bunyi dan suara, atau bahasa yang kita dedahkan kepada anak kita, akan membantu anak kita mempelajari dan meneroka kehidupan di alam barunya ini dengan lebih baik. Ia suatu proses pembelajaran buat mereka.

Jika di alam janin, suasananya berbeza, namun di alam dunia, kehidupannya juga berbeza. Pendedahan yang baik, pembelajaran yang baik, pastinya akan menghasilkan tindak balas yang baik, respon yang baik, malah akan menjadikan anak kita anak yang baik insyaAllah.

Kesimpulannya, jadikan rumah kita sebagai sekolah pertama anak-anak, cuba dan usahakan untuk memahami 'bahasa' anak kecil kita dan sediakan medium pembelajaran yang baik buat mereka. Moga perkongsian yang sedikit ini, mendapat manfaat terutama buat bakal-bakal ibu bapa atau ibu-ibu dan ayah-ayah di luar sana yang sudi membaca.

muhammad thaqif bersama tok wan

ketika bercuti di kampung


3 ulasan:

  1. wahhhh.. dah besar pun thaqif.. masa berlalu terasa pantas seeperti ustaz faris dan zaujati baru berkahwin.. hehe.. tahniah atas kelahira khalifah sulung

    BalasPadam
  2. Perkongsian yang sungguh bermakna akh...:)

    BalasPadam

Related Posts with Thumbnails