Rabu, November 25, 2009

Bantuan Khairat Kematian Di Kedah Melibatkan Semua Kaum


Golongan miskin semua kaum di Kedah akan menerima bantuan RM500 melalui khairat kematian 'kifalah' bagi pengurusan jenazah anggota keluarga mereka yang meninggal dunia?? Benarkah begitu??


Benar seperti yang telah diperkatakan itu, dan inilah antara sebahagian perkara yang Kerajaan Negeri Kedah sekarang berikan kepada rakyat Kedah, dalam Bajet Kedah 2010 baru-baru ini, sebagai langkah bagi melunasi hasrat Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat Kedah sendiri, tanpa mengenal nilai agama dan batasan perkauman selaras usaha Kerajaan Negeri mahu merealisasikan ’Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’.


Jelas di sini, Kerajaan Negeri telah berusaha untuk mendengar rintihan rakyat dan golongan yang kurang berkemampuan di Kedah, dengan menyediakan skim bantuan tersebut malah banyak tindakan Kerajaan Negeri dilihat sebagai usaha terbaik dalam mendahulukan kepentingan rakyat.

Rabu, November 18, 2009

Bajet 2010 Kedah : Ekonomi Meningkat Seiring Dengan Kebajikan Dan Kesejahteraan Rakyat


Disediakan oleh : Faiz Hj. Othman

ALOR SETAR, 17 Nov. 2009 – Kerajaan Negeri Kedah di bawah pimpinan Y.A.B Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak telah menggariskan beberapa keperluan baru bagi meningkatkan ekonomi Negeri Kedah serta kebajikan terhadap rakyat.

Dalam sesi ucapan ketika membentangkan Bajet 2010, terdapat beberapa perkara penting yang menjadi nadi pengurusan ekonomi yang cekap dan baik oleh kerajaan negeri Kedah antaranya :

* Sehingga Ogos 2009, Kedah menerima kelulusan pelaburan berjumlah RM 837, 345, 329 iaitu merupakan negeri kelima mendapat pelaburan tertinggi di Malaysia selepas Sarawak, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

* Pengurangan hasil tanah berikutan langkah kerajaan memberi rebet kepada hasil tanah sebanyak 50% berjaya ditampung melalui peningkatan hasil di bidang-bidang berikut :

* Kenaikan kutipan royalti bahan batuan sebanyak RM 19 juta tahun ini kerana usaha penguatkuasaan dan pengurusan yang rapi oleh Pejabat-Pejabat Tanah.

* Kenaikan hasil balak daripada RM 8 juta setahun sebelum ini kepada RM35 juta pada tahun 2009 kerana polisi atau dasar tender terbuka yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri.

Selasa, November 17, 2009

Tahniah Kerajaan Kedah, Syabas E-Idaman




”Syabas, syarikat kontraktor, E-Idaman yang baru saja mengambil alih tugas kerja pelupusan sisa pepejal di daerah Padang Terap yang sebelum ini di bawah tanggungjawab MDPT. Nampak perbezaan yang amat ketara, harap tingkatkan lagi mutu perkhidmatan.” - IDRIS HUSAIN


Begitulah kenyataan salah seorang rakyat Kedah yang memberi reaksi di dalam ruangan Interaktif Sinar Harian Edisi Utara baru-baru ini. Selain itu, saya ada juga menghubungi kenalan dan saudara saya yang menetap di kawasan berhampiran bandar raya Alor Setar, dua tiga hari selepas sahaja saya mengetahui tentang pengambilalihan syarikat ini, lantas bertanyakan mereka perkembangan tahap kebersihan dan prestasi Syarikat E-Idaman di sana. Responnya juga positif. Bertambah baik dari sebelum ini. Alhamdulillah.

Berikutan artikel di dalam blog saya sebelum ini memaklumkan mengenai pengambilalihan operasi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam oleh Syarikat Environment Idaman Sdn. Bhd. (EISB) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Kedah berkuatkuasa mulai 1 November lalu, maka saya mahu ’melampirkan’ sedikit perkembangan di Kedah sekarang buat tatapan dan makluman kita. Moga perubahan ini akan berkekalan dan bertambah baik dari masa ke semasa, bukannya hanya seperti ’hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.

Masalah Rakyat Didengari Kerajaan Negeri


Warga Emas Syukur Dapat Rumah Baru

YAN - Setiap kali mendengar guruh atau melihat langit mendung, seorang warga tua, Atikah Md Isa, 69, dari Kampung Kuala Bangka, Sungai Limau, dekat sini tidak senang duduk kerana keadaan rumahnya yang uzur.

Menurutnya, pada ketika itu, dengan kudrat yang ada, dia terkial-kial menggunakan plastik bagi menutupi bumbung rumahnya.

Katanya, tindakan dengan menyediakan besen atau timba dilakukan bagi menadah air bagi mengelakkan lantai rumah basah untuk dia tidur.

Pada masa yang sama, katanya, dia terpaksa pula memindahkan barangan rumah ke tempat yang lebih selamat bagi mengelak ianya mengalami kerosakan.

Malah dia juga sentiasa berada dalam keadaan ketakutan kerana bimbang di hempap bumbung jika hujan lebat disertai angin kuat ekoran rumahnya yang tidak lagi selamat untuk didiami.

Isnin, November 16, 2009

Merakyatkan Perlembagaan


MERAKYATKAN PERLEMBAGAAN
Oleh : Prof Dr Abdul Aziz Bari

Petang Jumaat lalu, saya diundang untuk bercakap dalam forum bertajuk berbicara tentang Perlembagaan anjuran Majlis Peguam Malaysia. Forum itu diadakan bersempena dengan pelancaran kempen yang pada saya cuba merakyatkan Perlembagaan. Tema yang dipilih ialah Perlembagaanku; yang begitu jelas cuba hendak menanamkan sikap mengambil berat terhadap Perlembagaan di kalangan rakyat. Supaya rakyat melihat dokumen Perlembagaan sebagai sesuatu yang mereka miliki dan bukan peninggalan British di negara kita.

Pembicara lain dalam forum yang dipengerusikan oleh Datuk Ambiga Sreenivasan itu ialah Profesor Emeritus Datuk Dr Shad S Faruqi, Profesor Madya Dr Azmi Sharom dan dua orang peguam Haji Sulaiman Abdullah dan Malik Imtiaz Sarwar.

Bercakap sebagai panelis pertama saya memulakan bicara dengan menyebut betapa di negara-negara seperti Jerman dan Indonesia dokumen Perlembagaan itu dikenali sebagai undang-undang asas atau dasar (basic law). Terma Perlembagaan yang kita gunakan di sini pada saya tidak menyatakan secara langsung atau secara automatis, kedudukannya di dalam negara.

Selain itu selama ini Perlembagaan dilihat sebagai dokumen undang-undang semata-mata. Dan ini menyebabkan rakyat terbanyak, baik yang terdidik apalagi yang sebaliknya, berasa jauh dari Perlembagaan dan masalah-masalahnya. Hanya kebelakangan ini sahaja rakyat menunjukkan rasa prihatin. Itu pun kerana mereka melihat bahawa Perlembagaan telah dilanggar oleh mereka yang sepatutnya menjunjung dan mempertahankan dokumen itu dan segala ideal yang dikandungnya.

Insiden dan krisis politik di Perak begitu jelas mengisyaratkan bahawa institusi yang diamanahkan untuk membantu perjalanan Perlembagaan khususnya dan proses demokrasi umumnya gagal berbuat demikian. Apa yang rakyat lihat ialah betapa istana, perkhidmatan awam dan mahkamah seolah-olah menjadi orang suruhan ahli-ahli politik tertentu di dalam Kerajaan Persekutuan.

Ahad, November 15, 2009

Royalti: Keikhlasan UMNO ditagih


Royalti: Keikhlasan UMNO ditagih
Oleh - Dr. Aisar Yee Abdullah


Terengganu, Sabah dan Sarawak masing-masing dibayar royalti petroleum yang ditemui di pesisir pantai negeri-negeri berkenaan. Jumlah royalti yang dibayar adalah mengikut jumlah minyak yang ditemui. Di bawah Petroleum Development Act, Petronas dikehendaki membayar lima peratus daripada nilai petroleum yang ditemui di daratan atau di pesisir pantai mana-mana negeri di Malaysia.

Petronas berupa penyumbang besar kepada hasil Kerajaan Pusat. Pada 2008, bayaran Petronas kepada Kerajaan Pusat dalam bentuk dividen, cukai dan cukai eksport membentuk 45 peratus daripada pendapatan kerajaan. Kerajaan Negeri yang hanya menerima lima peratus sahaja daripada royalti petroleum mendapat manfaat besar dan mampu membangun negeri dari kadar sekecil itu. Tersergamnya masjid-masjid indah di Terengganu mempamerkan nikmat itu.

Kelantan mula membuat tuntutan mendapatkan royalti petroleum. Gerakan membuat tuntutan itu diperhebat semasa kempen pilihan raya kecil Manek Urai. Isu kemunduran Manek Urai yang dibangkitkan UMNO menjadikan Kelantan lebih ghairah menuntut royalti membangunkan negerinya.

Kelantan menuntut, berdasarkan perjanjian yang ditandatanganinya di antara Tengku Razaleigh, Pengerusi Petronas merangkap Ketua Eksekutifnya (ketika itu) yang mewakili Petronas dan Datuk Haji Mohamed Nasir mewakili Kerajaan Kelantan, ia berhak dibayar royalti.

Kehijauan Kedah Tarikan Baru Pelancongan


Gambar-gambar dan pemandangan di sekitar Gunung Jerai

Kehijauan Kedah Tarikan Baru Pelancongan

Bagi diri saya, dengan ketenangan dan kesejukan mata memandang kehijauan pemandangan sawah padi yang terbentang luas, Gunung Jerai yang melatari pemandangan sebagai puncak tertinggi di Kedah, dengan pelbagai tempat perkelahan dan air terjun menarik untuk dikunjungi, dipakejkan juga dengan tempat-tempat pelancongan terkenal seperti Pulau Langkawi, menjadikan ia merupakan aset bernilai yang patut dibanggakan oleh segenap lapisan rakyat Kedah.

Jikalau sebelum ini saya coretkan artikel tentang Kedah bakal menjadi negeri bersih dan indah, kini negeri Kedah juga mampu mengorak langkah menjadi sebuah negeri destinasi pelancongan berkonsepkan kehijauan, yang mana ianya dijangka akan menjadi tumpuan dan daya tarikan kepada para pelancong dalam mahupun luar negara.

Konsep kehijauan ini dipilih untuk dijadikan daya tarikan utama kepada negeri Kedah kerana negeri ini bukan sahaja dikelilingi dengan sawah padi malahan kawasan seperti Gunung Keriang dan Gunung Jerai turut menjadi faktor utama.

Banjir Di Kedah Bertambah Buruk


ALOR SETAR, 14 Nov : Keadaan banjir di Kedah semakin buruk hari ini dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 1,062 orang membabitkan 255 keluarga berbanding 679 orang malam tadi.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata sebanyak 13 pusat pemindahan telah dibuka di tiga daerah iaitu masing-masing enam di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu manakala satu di Padang Terap.

"Daerah Kubang Pasu mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi apabila seramai 711 orang membabitkan 158 keluarga diarahkan berpindah selepas rumah mereka dinaiki air," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jumaat, November 13, 2009

“Berpaut di dahan cintaNya’’



Oleh : Muhamad Faris Mohd Zaini


“Berpaut di dahan cintaNya’'

Umpama kaca dan permata, kadang-kadang manusia sering tertipu dengan pandangan mata dunia yang menipu. Ibarat fatamorgana yang disangka air ketika berada di padang pasir yang kering kontang dan tandus. Keliru. Keliru dek keindahan dunia yang bersifat sementara.


Lihat betapa hebatnya Dia yang Maha Agung lagi Maha Pencipta. Manusia yang bertuhankan sains dan teknologi pun, belum mampu menandingi dan menyaingi kehebatanNya. Dia menganugerahkan senjata akal kepada manusia, namun terkadang kecerdikan akal tersebut sering disalahguna. Jarang sekali dimaksimumkan penggunaannya untuk merenung dan menikmati kehebatan ciptaanNya. Bukankah begitu adalah lebih baik buat kita sebagai hambaNya? Lihatlah betapa kerdil dan lemahnya kita di hadapanNya..

Di mana tautan dan ’ikatan’ di antara diri kita dan Al-Khaliq? Bagaimanakah caranya untuk kita mempertautkan kembali hati dan jiwa kita benar-benar hanya kepadaNya? Dan segala-segalanya adalah kerana Dia??=)

Rabu, November 11, 2009

Kedah Bakal Bersih Dan Indah??


Dengan mengorak selangkah lagi ke hadapan, saya memuji langkah kerajaan Negeri Kedah yang mendengar suara hati rakyat dan melakukan sesuatu yang amat-amat dinantikan oleh rakyat Kedah. Jika sebut sahaja mengenai sampah, ia telah pun menjadi isu hangat yang sering diperkatakan dan menjadi bualan mulut sebahagian penduduk di negeri Kedah, terutamanya penduduk yang menetap di persekitaran bandar raya Alor Setar sejak beberapa tahun lalu.


Sebelum ini, kita acap kali mendengar sebahagian rungutan dan laporan daripada penduduk setempat yang menyuarakan rasa kurang senang mereka dengan tahap kebersihan di sekitar kawasan mereka, malah ia bukan perkara baru kerana seringkali juga permasalahan ini dipaparkan di dada akhbar.

Selasa, November 10, 2009

Masih Relevankah Undang-Undang Negara??


Saya sekadar mahu melontarkan persoalan kepada semua dan tidak mahu mengulas panjang mengenai tajuk ini disebabkan saya bukanlah berkelayakan khusus di dalam bidang perundangan, akan tetapi saya sebagai mahasiswa anak muda negara, sudah lama memerhati dan memikirkan situasi politik negara yang semakin tidak menentu dan perkaitannya dengan undang-undang negara. Undang-undang negara kini seakan-akan boleh dieksploitasi atas kepentingan pihak tertentu dalam menjayakan agenda mereka. Inikah undang-undang yang sebenar dalam erti kata sebuah negara yang bebas dari cengkaman penjajah? Atau adakah kita masih terjajah dengan undang-undang penjajah dahulu walaupun sudah sekian lama kita mengecapi nikmat sebuah kemerdekaan?

Saya mungkin boleh memberikan pandangan berkaitan isu ini sebagai seorang rakyat yang melihat pergolakan politik negara yang agak tidak stabil pada hemat saya, namun saya tidak mahu mengulas panjang dahulu buat masa ini, kerana saya mahu memfokuskan kepada pelajaran saya di mana sekarang saya sedang berjuang menghadapi
'final exam' untuk semester ini. Akan tetapi saya 'kepilkan' di dalam blog saya salah satu isu yang berlaku sekarang mengikut pandangan Prof. Dr Abdul Aziz Bari, salah seorang pakar dalam bidang perundangan.

Banyak kes sebenarnya yang berlaku sebelum ini dikusutkan dengan kecelaruan dalam merujuk undang-undang sedia ada, yang sebenarnya tidak lagi dapat dijadikan sumber sandaran terbaik mengikut perkembangan semasa. Ada undang-undang yang perlu dikaji semula agar mengikut keperluan, kesesuaian dan perkembangan semasa kerana ianya sudah lagi tidak relevan dan ada antaranya tidak mempunyai asas yang kukuh dalam mensabitkan sesuatu kesalahan berdasarkan undang-undang sedia ada tersebut.

Sabtu, November 07, 2009

Hidup Bola?? Di Mana 'Goal'nya..


Hidup bola? Makan bola? Tidur pun bola? Hehehe.. Mungkin kemeriahan sebegini lebih dirasai pada musim Piala Dunia berlangsung. Namun, pada Sabtu malam ni pastinya bagi peminat bola sepak tempatan, sesuatu yang amat dinanti-nantikan. Final bola sepak Piala Malaysia, piala berprestij di bumi Malaysia la katakan.. (walaupun kualiti permainan tu entah la camna kan.. hehehe..) Akan tetapi, saya pasti tetap menyokong bola sepak negara..terutamanya pasukan Kedah..=)

Pasukan mana yang akan menjulang trofi Piala Malaysia 2009 bakal terjawab di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam sabtu ini, adakah skuad The Red Warriors yang juga diberi jolokan nama lain sebagai skuad Kijang, ataupun skuad Hoben Jang Hoben atau nama lainnya skuad Rusa yang akan menempa kejayaan tahun ini? Setelah 2 tahun berturut-turut Kedah merangkul 3 piala sekaligus dalam satu musim, maka untuk tahun ini, sama-sama kita nantikan siapa yang akan bergelar juara.

Ahad, November 01, 2009

Istishhadiyah

Istishhadiyah

Oleh : Ahkarim




NURFAH mati seperti dijadualkan, sungguhpun terlewat hampir lima belas minit. Mayatnya tidak dikembalikan kepada ibunya Farhah. Farhah pun tidak mengharap akan mendapat kembali mayat anak sulungnya.

Penduduk sekitar Kampung Termin sudah menyediakan sebuah keranda kosong, sebaik mendapat berita yang mengesahkan bahawa anak gadis Kampung Termin sudah mati. Gambar Nurfah sebesar 8 x 12 inci telah dicetak sebanyak 20 keping dan dilekatkan di papan sepanduk.

Besok seluruh warga Kampung Termin akan keluar berarak. Keranda kosong akan diselimut dengan bendera hijau. Keranda akan diusung oleh enam pemuda berbadan sasa. Sepanduk yang memuatkan gambar Nurfah dan beratus lagi sepanduk lain akan dijulang oleh pemuda dan pemudi Barisan Jihad.

Related Posts with Thumbnails