Sabtu, Mei 28, 2011

Magnet Cinta : "Aku Ingin Berubah"



klik iklan di atas untuk ke Laman MO


Telefon bimbitku memberikan isyarat ada sms yang mengunjungi inbox telefon bimbit yang aku sayangi.. “Aaah..biarkan ia dulu.. nanti jela..” Gumam hati kecilku..

Seketika kemudian, kucapai jua telefon bimbitku, ternyata ada kiriman sms dari nombor yang aku kenali. Kenali nombornya tetapi tidak tahu siapakah gerangan tuan punya nombor tersebut. Nombor inilah yang selalu mengirim mesej-mesej tazkirah kepadaku tika waktu dinihari. Kadangkala mengejutkan aku dari tidur yang lena di awal pagi. Mulanya aku fikir ini tentu kerja kawan-kawan yang suka sangat menyakat aku.

Aku terkesima seketika. Mahu dijawab atau tidak. Seakan-akan mahu sahaja aku membalasnya, bertanya siapakah gerangannya? dari mana dia mendapat nombor telefonku? kenapa memilih aku untuk bersahabat seperti itu? Katanya sahabat ‘ukhuwwahfillah’.

Aku ini lepasan dari sebuah sekolah satu jantina sahaja.. semuanya perempuan ataupun mudah ceritanya Sekolah Agama Perempuan di negeri sebelah utara Malaysia.. manalah aku pandai berkawan dengan lelaki. Aku menganggap ‘dia’ lelaki kerana dia awal-awal lagi mengajak aku berkawan dan mengaku pula dia berlainan jantina denganku. Hmmm.. akhirnya aku membuat keputusan untuk membiarkan sahaja sms tadi ditinggalkan tanpa jawapan…

Teringat aku pada surat makluman daripada Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) pada petang itu. Tercatat nama penuhku, Athirah Ayuni binti Asri di atas sampul surat. Berdebar-debar aku ingin kutahu apakah isi kandungan surat tersebut. Aku tahu ini tentunya berkait dengan permohonanku untuk menyambung pelajaran di bumi Jordan. Aduhai.. Diterima atau ditolak ni...

“Sukacita dimaklumkan….” Aku berjaya dalam permohonan itu, syukurlah..

Kegembiraanku dikongsi dengan ibu, ayah, dan adik-beradikku.. Riak wajah mereka bukan dibuat-buat, ikhlas dan gembira benar untuk aku. Aku percaya, sahabat-sahabatku yang lain yang senasib denganku, pasti sedang gembira juga seperti kegembiraan dalam keluargaku sekarang, mungkin skrip atau jalan ceritanya sahaja mungkin berbeza.

Semuanya sudah siap. Urusan dokumen, barang-barang, tiket kapal terbang dan sebagainya sudah selesai. Tinggal mahu berangkat sahaja lagi. Cepatnya masa berlalu, hari ini aku sekeluarga sudah sampai di lapangan terbang untuk menghantar aku pergi. Ketika aku dipeluk erat sebelum berpisah, aku tahu ada harapan yang tinggi buat diri ini.. Aku berjanji untuk tunaikan harapan mereka.. Akanku usahakan yang terbaik insyaAllah..


Detik Persahabatan Tersemai

Seusai aku mengambil wuduk untuk bertaqarrub kepadaNYA, telefon bimbitku menerima sms. Namun, apabila aku melihat sms tersebut, ianya sms tazkirah daripada nombor semalam sekali lagi. Ternyata setiap pagi, empunya nombor tersebut bangun seawal pagi untuk turut ‘mengejutkan’ aku dengan tazkirah dan saranan-saranannya untuk aku bertahajjud.. ‘Memang dia ni budak baik la..’ Getus hati kecilku..

“Salam.. Mohon maaf bebanyak terpaksa mengganggu enti lagi..lagi dan lagi.. tetapi percayalah, ana bukan ingin bersahabat secara salah atau yang menyimpang di sisi syara’, ana ingin mengeratkan ukhwahfillah sesama muslim dan ana pun percaya enti sebagai seorang muslimat yang dapat ana belajar sesuatu tentang kehidupan yang sementara ini..”

Itulah yang mula membuka hatiku untuk menerima salam persahabatan Akmal. Bukan sekali dua aku mengelak dan buat bodoh aje dengan sms-sms Akmal sepanjang di bumi Jordan ini. Tapi sahabatku yang seorang ini, degilnya bukan main. Sabarnya buat aku kagum yang teramat. Belum pun rasmi menjadi sahabatnya, aku sudah terasa amat dekat dengannya. Lewat sms, kami banyak berkongsi ilmu dan pengalaman. Seronoklah Akmal ni.. dia selalu tahu apa yang boleh buat aku gembira, sedih, bahagia dan yang paling penting, dia sangat baik!!

Setakat ini, kami berdua hanya mengenali hati budi melalui sms semata-mata, tanpa ada perhubungan atau pertemuan yang lain daripada itu.. Akmal memang teman dan juga sahabat rapatku pada ketika ini. Dia sangat memahami, sampai aku terasa dia lagi memahami aku daripada sahabat perempuan yang aku pernah ada. Aku bersyukur dikurniakan seorang sahabat sepertinya..

“Mungkinkah aku sudah mula menyimpan perasaan kepada Akmal??” Pertanyaan yang berlegar di benak fikiranku itu dijawab segera oleh perasaan maluku sendiri.. Tersenyum aku dibuatnya..

…………………………………………


Ketika aku asyik melayani internet, menziarahi blog sahabat-sahabat dan senior-seniorku, aku tertarik pada sebuah kata-kata yang membuatkan diri ini jejak di dunia realiti semula.

“Cinta itu adalah rasa yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada manusia, agar cinta itu membuahkan kecintaan kepada sesiapa sahaja. Dengan adanya cinta, maka wujudlah kecintaan Nabi kepada umatnya. Dengan adanya cinta, wujudlah kecintaan ibu kepada anak-anaknya. Dengan adanya cinta, wujudlah pencinta dan yang dicintai. Dengan adanya cinta, maka lahirlah perkongsian dalam rumah tangga..”

Pena kata-kata tadi dilanjutkan lagi..

“Ini bererti cinta itu sebenarnya adalah suatu ‘bahan’ yang perlu diuruskan dengan baik, mengikut kehendak penciptanya. Pasti di sana ada cara atau teknik untuk menjinakkan cinta agar tidak menjadi taufan dan ombak besar. Andaikan cinta itu sebuah bahtera yang belayar di lautan, sudah tentu nakhodanya perlu tahu bagaimana cara terbaik untuk memandu bahtera itu agar akhirnya bahtera itu mampu membawanya menuju ke destinasi yang diimpikan. Jangan pula bahtera itu dibiarkan belayar tanpa hala tuju dan melanggar ribut dan ombak sehingga karam..”

“Sebahagian remaja yang bercinta dengan pasangan yang bukan muhrim tetap merasakan bahawa mereka bersahabat kerana Allah. Mereka mengatakan bahawa mereka tidak berhubung kecuali jika ada perkara penting sahaja. Meraka tidak pernah bersua dan tidak pernah keluar berdua-duaan. Mereka tidak melakukan perkara yang haram atau melanggar syara’..”

Kenapa hatiku yang paling dalam seakan tersentuh? Tentu penulis blog ni bukan maksudkan aku (dan Akmal). Tetapi aku jadi terasa sendiri.. Aku teruskan pembacaanku..

“Andaikan seorang remaja memberitahu, ‘Ustaz, bolehkah saya menjalinkan hubungan ukhwahfillah dengan seorang muslimat? Saya hanya menulis mesej apabila perlu sahaja. Saya tidak pernah bertemu dengannya atau bercakap perkara yang tidak senonoh dengannya. Bolehkah??”

Lalu ditanya kembali, “Apa yang awak maksudkan dengan menulis mesej apabila perlu sahaja??”

“Apabila ada hal-hal penting sahaja..”

“Apakah contoh hal penting itu??”

“Erm..tanya khabar tentang pengajiannya, berkongsi ilmu dengannya. Jika dia sakit, saya akan memberi cadangan kepadanya untuk berbuat sesuatu.”

“Pentingkah bertanya khabar hal-hal sebegitu? Jika awak tidak bertanya, adakah si dia akan mati dan akan menjejaskan akidah Islam di dadanya?” Soal secara terus terang.

“Bukan itu sahaja ustaz, saya sering menasihatinya agar berbuat baik dan mencegah yang tidak baik. Kami saling memberi peringatan antara satu sama lain. Kadang-kadang saya mengejutkannya untuk bangun bertahajjud dan mengingatkan dia untuk melakukan solat sunat Dhuha..”

Eh, sama la aku dengan Akmal.. tapi macam serius je.. Tak terfikir pun aku sampai begini sekali. Hatiku mula berbolak-balik tidak tenang. Namunku teruskan jua membaca walau hatiku mulai terasa sebu. Gundah.

Apakah pandangan anda?? Adakah tindakan remaja ini wajar??

“Oh, itu usaha yang sangat baik. Adakah awak pasti dia bangun bertahajjud setelah awak kejutkan dan solat dhuha bila awak ingatkan?”

“Sudah tentu saya pasti..”

“Bagaimana awak pasti sedangkan awak tidak pernah bertemu dengannya?”

“Dia cakap sendiri.”

“Awak percaya?”

“Mestilah saya percaya.”

Jika anda berada di tempat saya, adakah anda merasakan bahawa remaja ini sudah jatuh cinta?

“Bagaimana jika suatu hari nanti awak sudah tidak menyukainya dan awak tidak lagi memberi nasihat dan peringatan. Adakah awak yakin dia akan terus melakukan ibadah itu dengan istiqamah??”

“Saya harap perkara ini tidak akan berlaku. Kalau boleh, saya mahu hubungan ini berkekalan. Saya akan sentiasa menyukainya kerana Allah.”

“Awak yakin bahawa jodoh di tangan awak?”

“Ulp! Memang jodoh bukan di tangan saya. Tapi insyaAllah saya akan jaga baik-baik.”

“InsyaAllah itu maksudnya mungkin atau pasti?”

“Mungkin…,” jawab remaja itu serba salah.

“Ok, katakan awak tidak ada jodoh dengannya? Agak-agaknya dia akan terus menjadi wanita solehah atau dia juga akan kecewa dan perangainya akan turut berubah?”

“Itu saya tidak pasti. Mungkin dia akan berubah, mungkin juga tidak.”

“Terlalu banyak kemungkinan, saya bimbang semua usaha awak hari ini akan menjadi sia-sia. Alangkah membazirnya masa dan tenaga awak jika wanita yang awak jalinkan hubungan itu ditakdirkan tidak menjadi isteri awak. Sebab awak sendiri tidak pasti adakah antara awak berdua akan punya jodoh. Jika awak ditakdirkan berpisah dengannya pula, belum tentu dia akan menjadi wanita solehah..”

“Tapi sekurang-kurangnya saya mencuba.”

“Mana lebih baik, jika awak mencari ilmu secukupnya dan mendidik seorang wanita yang sudah sah menjadi isteri awak. Masa awak tidak rugi, hasilnya juga mudah untuk dipastikan, awak tidak perlu merasa rugi atau serba salah.”

“Atau awak lebih suka menjalinkan hubungan dengan seorang yang awak tidak pasti adakah dia bakal isteri awak, lalu awak mendidiknya dalam keadaan awak tidak pasti adakah dia berubah atau sekadar bercakap kosong. Mana satu yang lebih baik??”

Remaja tersebut pasti sudah mendapat jawapannya.

“Sudah tentu lebih baik menjalinkan hubungan dengan isteri yang sah.”

Inilah yang ingin dikatakan kepada sesiapa sahaja yang ingin menjalinkan hubungan kerana Allah. Pastikan kita tidak melakukan sesuatu yang sia-sia atau belum pasti hasilnya. Alangkah ruginya jika berusaha menanam tanaman yang belum tentu menjadi milik kita. Sebaiknya biarlah miliki dahulu sekeping tanah yang jelas milik kita, lalu bercucuk tanamlah di atasnya dan nikmati hasil yang baik.

Tidak semestinya kepada lelaki sahaja apabila dalam cerita tadi ditujukan kepada lelaki, akan tetapi juga kepada perempuan yang baru ditunjukkan jalan yang sedemikian rupa.



Kukembali Di Atas Landasannya

Aku terkedu. Benar sekali maksud firman Allah dalam surah An-Nur ayat 26 yang bermaksud,

“Wanita yang buruk (perangainya) adalah untuk lelaki yang buruk dan lelaki yang buruk (perangainya) adalah untuk wanita yang buruk, wanita yang baik (akhlaknya) adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik (akhlaknya) adalah untuk wanita yang baik..”

Dek hakikat itu, pencarian pasangan hidup itu bermula dengan proses memperbaiki diri dengan memasukkan aura dan cas mahmudah ke dalam diri terlebih dahulu. Kita perlu memastikan magnet cinta di dalam jiwa kita memancarkan cas mahmudah dan nilai-nilai positif. Bermula dari situlah ia akan menarik hati orang yang sejiwa dengannya.

Tarikan magnet cinta amat kuat, maka bila kuat iman nescaya kuatlah cinta murni itu, bukannya aku perlu melayani nafsu dan bermain dengan perasaan yang tidak pasti tersebut. Wah, seperti penceramah pula aku. Namun itulah yang sebetulnya. Aku tahu. Aku perlu mendambakan kasih sayang yang mahal itu hanya untuk suamiku yang pasti kelak.

Aku lantas teringat kembali janji-janjiku kepada ahli keluargaku yang menghantarku di lapangan terbang, teringat kembali harapan seluruh ahli keluargaku yang menghantarku untuk menyambung pengajian di sini. Bukan murah kos pengajian dan segala perbelanjaan. Keluargaku bukanlah sekaya mana. Cuma tidak sampai merempat sahaja. Aku sebak lalu menangis sepuas-puasnya kerana aku seakan-akan mengkhianati janjiku dahulu. Janji untuk betul-betul belajar, dan bukannya hanyut dengan perasaan cinta sebegini.

Terbayang wajah-wajah yang aku amat-amat sayangi, wajah yang begitu banyak menumpahkan jasa untuk hidupku sepanjang 23 tahun ini. Ibu, ayah, abang, kakak, dan saudara maraku yang lain.. Aku sangat merindui mereka.. Aku pasti mahu membuktikan kepada mereka, aku di sini sama sekali tidak akan mengecewakan mereka semua..


Bahtera Cinta Yang Sebenar

Pada Akmal, aku terangkan dengan ringkas. Bahawa aku, Athirah Ayuni binti Asri sudah tidak mahu membuang masa dengan perkara remeh tanpa faedah begini. Cukuplah aku diberi peluang untuk merasai ‘seronok’ digoda syaitan, pengalaman ini sangat berharga untuk aku kenang dan syukuri. Mujurlah Akmal tidak bersoal panjang, dia sendiri mahu menata hatinya semula. Kami lantas bermaafan dan begitulah aku ‘putus’ dengannya.

Tanpa aku sedari, air mataku mengalir lagi membasahi pipi. Ya Allah.. Terima kasih kepadaMu kerana menyedarkan aku.. Ternyata cintaMu amat manis untukku teguk buat masa sekarang..dan juga akan datang.. selamanya..


“No one can turn back to past and start a new beginning, but everybody can start today to make a better ending..”


Tiada seorang pun yang mampu pulang ke masa lampau dan memulakan kehidupan baru. Tetapi semua orang boleh bermula hari ini untuk mencipta penghujung yang lebih baik. Tidak perlu terburu-buru mencari cinta, sebaliknya bersegera mempersiapkan diri terlebih dahulu. Itu yang lebih utama sekarang. Dambalah cintaNya, pasti tenang segalanya.. Pasti berbahagia menuju cinta dan redhaNya.. Ameen.. Aku Ingin Berubah!! InsyaALLAH..



p/s : Jika 'Wonderpet' tegar berpegang dengan ayat, 'apa yang penting? KERJASAMA!!..', tapi bagi kita pula bila niat baik itu datang bertamu, berubahlah dengan tekad, dengan semangat "Aku Ingin Berubah" yang kuat, berfikiran positif, percaya diri dan optimis untuk mengapai cita-cita murni kita itu.. chaiyok3..(>,<)


Jumaat, Mei 27, 2011

Pesan Si Tua


Seorang tua datang kepadaku.. dan kami saling menyapa.. senyuman tidak pernah lekang dari raut wajahnya. Beberapa minit sahaja kami sudah mesra berbicara dari hati ke hati. Dia berpesan dengan mengungkapkan sebuah pantun kiasan lama, yang bermula dari tahun 1960an lagi katanya,

Dalam semak ada duri,

Ayam kuning membuat sarang,

Orang tamak selalu rugi,

Bagai anjing dengan bayang-bayang.


Panjang umur tiada gunanya jika tidak sihat dan tidak dapat beribadat kepadaNYA. Tiada guna jika hidup lama jika menghidap pelbagai penyakit dan menyusahkan orang lain. Tiada guna sihat jika hidup merempat. Ia menghampiri kekufuran, ujarnya tulus.

Jadi, berdoalah agar kita diberi kesihatan tubuh badan dan terhindar dari penyakit untuk beribadat kepada Allah, malah pintalah diberikan rezeki cukup seadanya, agar kita tidak kufur kepadaNYA.

Persoalan rezeki sesuatu yang abstrak. Ia cukup sinonim dalam kehidupan orang melayu. Ayat yang sering kedengaran, “Ada rezeki, adalah kerjanya nanti..”, ayat yang terungkap apabila seseorang yang belum mempunyai kerjaya ataupun sedang mencari kerjaya dalam hidupnya.

Seorang tukang gunting rambut contohnya, jika dengan kerjayanya itu sudah memadai untuk menampung keperluan diri dan keluarganya, dan dia bersyukur, maka ianya lebih baik dari si kaya yang kufur nikmat terhadap kurniaan dan rezeki yang telah diberikan Allah kepadanya.

Seorang pesawah, jika tanah sawah yang diusahakannya itu sudah cukup untuk menampung kos sara hidup keluarganya, malah ia pakej sebagai senaman untuk menjaga kesihatan tubuh badannya apabila mengeluarkan peluh ketika bekerja di sawah, ianya sudah berbaloi buat kehidupannya.

Berapa ramai yang kaya tetapi mempunyai penyakit kronik, adakah mereka ini bahagia? Berapa ramai yang kaya tetapi anak-anak mereka tidak hormat kepada mereka sebagai ibu bapa, adakah terbit cahaya kebahagiaan buat mereka? Berapa ramai yang panjang umurnya malahan kaya tetapi tidak tenang hidupnya, adakah mereka boleh mendabik dada mengatakan mereka mengecapi bahagia??

Berbalik kepada pantun kiasan lama di atas, orang tamak yang gilakan harta, kejarkan kebendaan dan kekayaan, hakikatnya mereka rugi jika tidak menyandarkan kepada ‘kekayaan’ di akhirat sana.

Bagai cerita anjing dengan bayang-bayang, sudah digonggong tulang di mulutnya, namun bila sampai di titian sungai, terlihat bayang-bayangnya di air muka sungai, perasaan tamak mula berbunga.

Teruja mahu merampas tulang yang dimiliki anjing tersebut, padahal itu hanyalah ‘anjing ciptaan’ bayang-bayangnya sendiri, ia membuka mulut lalu terjatuhlah tulang yang digonggongnya ke dalam sungai lantas hilanglah juga anjing ‘ciptaan’ itu.

Maka jadilah kita orang yang beruntung. Jauhi sikap tamak dalam kehidupan sementara ini. Rezeki dari Allah sangat luas. Kejarlah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, semoga hasil usaha titik peluh kita itu diredhai Allah.

Biarpun kita hanya seorang miskin dan pendapatan pun tidak seberapa, namun berlapang dadalah dan berasa cukup dengan apa yang ada. Kerana apa? Kerana itulah lebih dipandang Allah berbanding orang yang tamakkan harta kekayaan, lantaran ianya bersandarkan usaha tangan kita sendiri dan ikhlas keranaNYA.. insyaAllah..

Related Posts with Thumbnails