Rabu, Mac 03, 2010

Bukan Sekadar Teori


Sudah lama 'menyepi' dari 'mengisi' laman blog sendiri. Banyak perkara dan pengalaman yang dilalui sepanjang tempoh 'uzlah' ataupun menyepikan diri ini. Bukan apa, ada sahaja 'halangan-halangan' yang tidak dapat dielakkan. Walaupun ada sudah saya nukilkan tulisan tentang tajuk sebelum ini yang ada tulisan sambungannya, namun tulisannya berada di dalam laptop saya yang sedang 'cuti sakit' sudah sekian lama. Betapa 'kehilangannya' memberi impak besar dan mengajar saya erti sebuah kehilangan. Bukan mudah. Namun perlu bersyukur kerana ia bukan kehilangan yang selama-lamanya. Ada sahaja rakan-rakan kita yang kehilangan orang yang tersayang seperti ibu, ayah, adik, dan ada juga yang kehilangan barang peribadi seperti laptop dan sebagainya. Lagilah terasa akan kehilangannya. Ringkas ceritanya, mungkin saya sendiri tidak mampu 'cover' segala merba cerita, ilmu, pengalaman dan seumpamanya sepanjang 'sepinya' blog ini. Akan tetapi saya ingin berkongsi sedikit pengalaman dan ilmu yang dipelajari buat anda kali ini, antaranya ialah tentang satu ilmu 'bergelar' teori mikro sosiologi.

Pertamanya dalam teori mikro sosiologi ini, termaktub teori pertukaran yakni difokuskan hal-hal yang berkaitan dengan idea ataupun fikiran kita. Teori ini menghuraikan bahawa setiap individu saling mempercayai antara satu sama lain apabila berlaku proses sosiologi. Teori kedua ialah teori interaksi simbolik, yang boleh juga dikaitkan dengan bahasa. Teori ini menyatakan bentuk komunikasi memainkan peranan yang sangat penting dalam hubungan sesama manusia. Teori ketiga pula ialah teori etnomethodologi yakni perkaitan dengan persekitaran kita. Ertinya bagaimana kita dapat memahami fenomena dan sesuatu keadaan melalui persekitaran dan suasana. Teori keempat pula ialah teori positivisme iaitu perkaitan dengan nilai. Bagaimana fenomena sosial boleh diukur secara objektif.

Jadi, dari sepanjang 2 bulan kebelakangan ini, saya dapat melihat, memerhati, merasai, mendengar luahan hati kawan, dan macam-macam lagi. Apa yang menariknya bagi saya, semuanya 'menghidupkan' watak-watak yang bertepatan dengan teori-teori yang saya nyatakan tadi. Setiap individu dan manusia ada ketikanya saling mempercayai antara satu sama lain, dan apabila kena pada masa, tempat, suasana dan orangnya. Soal kepercayaan sesuatu yang sangat subjektif dan rumit untuk dijelaskan, tetapi ia sememangnya sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Cermin diari kehidupan anda sehari-hari. Pasti anda akan menjumpai maksud tersebut.

Banyak contoh juga yang saya dapat lihat yang agak selari dengan teori kedua, iaitu betapa bentuk komunikasi memainkan peranan yang sangat penting dalam hubungan sesama manusia. Miss communication sahaja bisa membuatkan orang lain salah faham terhadap kita, atau bentuk arahan yang dikeluarkan oleh seorang pengarah sebagai contohnya, kepada rakan seperjuangan dalam program atau persatuan, tidak akan sampai maksud yang sebenarnya. Penafsiran maksud yang tidak dikawal oleh penuturnya, boleh mengakibatkan salah faham oleh penerima dan mungkin boleh memberi kesan negatif kepada interaksi sosiologi yang wujud tadi. Awas, walaupun ianya sekadar ungkapan ayat sms..hehehe..

Teori ketiga pula ialah teori etnomethodologi yakni perkaitan dengan persekitaran kita. Erti yang kita boleh ambil daripadanya ialah bagaimana kita dapat memahami fenomena dan sesuatu keadaan melalui persekitaran dan suasana. Contoh dalam hal ini, jika kita melihat seseorang tersebut mukanya kelihatan seperti berserabut, pakaiannya atau rupanya mungkin sedikit kusut masai kelihatannya, jadi dia barangkali mempunyai masalah, sama ada masalah kesihatan, masalah peribadi yang lain seperti tekanan, 'down', dan masalah lain-lain lagi.

Kita lihat pula kepada teori keempat iaitu teori positivisme yang memberi makna perkaitan dengan nilai. Bagaimana fenomena sosial boleh diukur secara objektif. Banyak sebenarnya yang ingin dikongsi tentang pengalaman meneliti kisah atau luahan kehidupan individu lain. Tidak terkecuali juga mungkin apa sahaja yang diri kita sendiri yang mengalaminya. Contohnya kehidupan seorang adik yang baru bertatih dalam dunia barunya bermusafir ke negara orang untuk menuntut ilmu. Bagaimana nilai positif yang wujud dalam usaha dia untuk menghadapi fenomena sosial barunya itu dengan bersungguh-sungguh. Begitu juga dengan contoh hidup sepasang pasangan hidup yang sedang mengecap nikmat kebahagiaan dan wujud fenomena sosial yang positif antara mereka, akan membentuk nilai-nilai yang juga positif misalnya wujudnya kemesraan dan rasa kasih antara mereka. Akan wujud sikap bertanggungjawab, saling percaya, setia dan banyak lagi.

Hmm..cukuplah dahulu buat kali ini. Ini pun bersyukur sangat dapat meluangkan masa dalam ruang-ruang masa yang ada, walaupun ia direalisasikan apabila tergerak hati mahu ke sebuah cyber cafe berdekatan kampus. InsyaALLAH, ada rezeki 'Nuri Aufa' akan setia mengisi kembali tanah yang gersang ini. Ameen..=)

p/s: Kita hidup bukan sekadar untuk berteori tetapi kita menempuhi jalan-jalan yang sebenarnya telahpun merealisasikan banyak teori yang kita sendiri sebenarnya pun tidak tahu tentang teori tersebut. Panjang lagi perjalanan kita..('',)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails