Isnin, Mac 15, 2010

Derita Bekalan Air Terputus 28 Tahun di Negeri Sembilan

Mahzan menadah air sebagai persediaan menghadapi bekalan air yang
sentiasa terputus di Felda Palong 8, Negeri Sembilan semalam.


(Petikan dari Akhbar Kosmo, laporan muka surat 11, laman bahagian 'Negara')

JEMPOL - Ketika kebanyakan rakyat di negara ini menikmati kemudahan asas yang sempurna, lain pula ceritanya bagi 1,200 penduduk di Felda Palong 7 dan Palong 8 di sini yang terpaksa berhadapan dengan masalah bekalan air terputus hampir setiap hari.

Masalah tersebut dipercayai berpunca daripada tekanan air yang rendah sekali gus menyebabkan air gagal disalurkan secara berterusan kepada kira-kira 500 buah rumah di kawasan terlibat.

Malah lebih menghairankan masalah tersebut sudah berlanjutan hampir 28 tahun dan sehingga kini tiada tanda-tanda kesusahan penduduk terbabit yang rata-ratanya peneroka, akan berakhir.

Seorang penduduk, Mahzan Jidin, 61, berkata, penduduk di sini tidak pernah mendapat bekalan air selama 24 jam sehari kerana pada waktu siang bekalan air akan terputus.

"Bekalan air akan kembali pulih ketika lewat malam dan pada waktu itulah kami akan bersengkang mata menadah air sebagai simpanan bekalan waktu siang.

"Keadaan ini menyebabkan aktiviti harian kami terhad kerana terpaksa bergantung pada air yang ditadah dan kami juga terpaksa berjimat-cermat," katanya.

Seorang lagi penduduk, Hasan Basri, 54, berkata, kebanyakan rumah penduduk di sini membina kolah yang besar dan membeli beberapa tong tambahan untuk simpanan.

"Bagi penduduk yang mempunyai bilangan keluarga yang kecil, simpanan air itu mungkin mencukupi untuk kegunaan harian seperti mandi, memasak dan membasuh pakaian.

"Bagaimanapun, bagi keluarga besar, sudah tentu amat menyusahkan mereka lebih-lebih lagi apabila tiba musim perayaan dan musim cuti sekolah," ujarnya.

Menurutnya, penderitaan penduduk lebih parah apabila mengadakan majlis perkahwinan sehingga terpaksa meminta ihsan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) bagi menghantar bekalan air dengan lori tangki.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ridzuan Jaklan, 54, berkata, masalah tekanan air rendah mungkin berpunca daripada keadaan paip yang sudah terlalu lama tidak berganti dan seringkali pecah.

Jelasnya, beberapa orang penduduk sudah membuat aduan beberapa kali kepada SAINS dan sehingga kini tidak ada sebarang tindakan proaktif diambil untuk mengatasi masalah berkenaan.


p/s : Sudah 52 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, namun ada lagi rakyat negara ini yang menderita disebabkan bekalan air yang sering terputus. Lebih memilukan ianya berlaku di sebuah negeri semenanjung Malaysia yang tidak kurang majunya. Wakil rakyat dan pimpinan Kerajaan Negeri, tolonglah atasi masalah ini segera. Realisasikan slogan 'Rakyat Didahulukan' di negeri anda. Di Kedah, setahu saya kerajaan Negeri Kedah telah berusaha sedaya mereka walaupun baru 2 tahun memerintah Kedah. Di Jempol, Negeri Sembilan, ianya sudah berlarutan hampir 28 tahun rakyat menderita dan ditimpa kesusahan. Apakah kesudahannya?? Apa reaksi anda??? Bersyukurlah rakyat Kedah, yang mungkin lebih bernasib baik dari nasib penduduk di tempat lain yang tidak mendapat nikmat air secukupnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails