Sabtu, Mac 13, 2010

Manifesto Dunia & Akhirat, Ingatan Buat Pemimpin Rakyat


Saya tertarik melihat gambar muka depan akhbar Sinar Harian dan berita mengenainya pada muka surat kedua, berita tentang Menteri Besar Kelantan yang mengimamkan solat hajat memohon hujan atau solat sunat Istisqa di Padang Perdana, Kota Bharu. Lebih 2000 rakyat Kelantan, bersama-sama pemimpin Kerajaan Negeri dan pegawai tinggi kerajaan menunaikan solat itu, berikutan keadaan kemarau yang berpanjangan di seluruh negara sekarang.

Solat tersebut yang bermula pada jam 8.30 pagi itu diimamkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Padang Perdana yang bersebelahan dengan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, dekat Kota Bharu. Apa yang menginsafkan kepada lebih 2000 hadirin yang turut serta untuk solat sunat memohon hujan tersebut ialah ketika mana solat sunat Istisqa awal pagi tersebut baru sahaja rakaat pertama dilakukan, hujan mula turun membasahi bumi.

Apa yang boleh dibanggakan dan sangat baik untuk dijadikan contoh teladan ialah kehadiran secara bersama-sama pada majlis tersebut sehinggalah ia melibatkan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Faudzi Che Mamat, Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamat, dan Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad.

Ketika mana Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang membaca surah Al-Fatihah pada rakaat pertama, hujan lebat mula membasahi ribuan jemaah yang turut serta menunaikan solat tersebut. Hujan membasahi bumi menunjukkan kuasa Ilahi yang sentiasa mendengar rintihan dan permohonan hamba-hambaNya.

Sebagai catatan, Solat Istisqa tersebut merupakan kali kedua diadakan di Kelantan selepas kali pertama dianjurkan beberapa tahun yang lalu akibat kemarau panjang. Tuan Guru Nik Aziz yang ditemui berkata, beliau bersyukur kerana menganggap doa rakyat Kelantan memohon diturunkan hujan itu dimakbulkan Allah SWT.

"Syukur, kita solat Istisqa hari ini mendapat sambutan baik dan di tengah-tengah solat, turun hujan."

"Saya sendiri ditunjukkan oleh Allah SWT dengan air hujan yang pertama hari ini. Sangat-sangat besarlah harapan dan mudah-mudahan Allah beri kita kebahagiaan di dunia dan akhirat."

"Tiada erti kita bahagia di dunia tetapi akhirat kelak kita masuk neraka. Dengan sebab itu, saya berusaha supaya rakyat Kelantan faham bahawa kesusahan yang berlaku atas dunia ini adalah berpunca dari dosa," katanya.

Begitulah sedikit petikan kata-kata yang keluar dari mulut seorang Menteri Besar di negara kita. Alangkah bagus sekiranya apa yang baik, seperti mana yang dilakukan oleh seorang Menteri Besar negeri tersebut dicontohi oleh pimpinan-pimpinan negeri lain, apatah lagi oleh kepimpinan negara kita.

Kepimpinan yang baik akan sentiasa memikirkan masalah ummah dan rakyatnya, dan bagaimana mahu mengajak rakyat yang dipimpinnya menuju ke jalan yang dijanjikan syurga, jalan-jalan yang Dia redhai. Kerana pemimpin akan disoal akan amanah mereka di akhirat sana, bagaimana tanggungjawab dan amanah mereka untuk membawa rakyat pimpinannya ke arah kebenaran dan jalan landasan syariat yang diredhai.

Buat pimpinan-pimpinan di luar sana, contohi apa yang baik, jangan sesekali lupa kita bukan sahaja perlu mentadbir negeri atau negara, akan tetapi perlu 'mentadbir' iman, aqidah dan akhlak rakyat pimpinannya. Sudah tertunaikah anda?? Ingat 'manifesto' dunia dan akhirat kita juga yaa..hehehe..sekadar peringatan..=)


p/s : Letakkan ke tepi perbezaan parti politik, bawakan agenda dakwah kepada masyarakat dalam kawasan setempat, ingatan ikhlas buat para pimpinan kawasan dan masyarakat. Gunakan kuasa dan amanah yang ada dengan sebaiknya sebelum ia menjadi 'dosa yang tidak tertanggung' oleh kita. Nau'zubillahi min zalik. Sekadar mengingatkan sesama kita, insan yang sering alpa dan leka..




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails