Jumaat, April 23, 2010

'Minyak' Yang Kekeringan (Kebetulan Juga Bersempena Hari Buku)



Sebuah motor pasti tidak akan mampu bergerak jika tangki minyak motornya itu kosong. Walhal semua komponen yang lain seperti enjin, plug, bateri motor dan semuanya berada dalam keadaan yang baik. Hanya kerana minyak!! Ternyata, tanpa minyak, motor tersebut sudah tentu tidak dapat dipacu untuk sampai ke destinasi yang dimatlamatkannya.

Saya tertarik apabila membaca suatu cerita dari sebuah majalah, ceritanya begini; ada seorang penulis Zionis telah menulis sebuah buku tentang segala perancangan dan modus operandinya untuk menghancurkan dunia Islam. Perbuatannya itu dikritik oleh rakan seperjuangannya kerana ia boleh membuka rahsia perancangan mereka. Penulis Zionis tersebut dengan selambanya menjawab kritikan itu dengan katanya, “Jangan takut…orang Islam tidak akan membaca buku saya!”

Lihatlah betapa teruknya umat Islam disindir sedemikian rupa kerana entengnya umat ini terhadap budaya membaca. Hatta apa komen seorang tokoh Yahudi terhadap kelembapan budaya membaca umat Islam? Dia berkata: “Kita tidak takut dengan orang Islam. Sebabnya orang Islam kini adalah umat yang tidak membaca!”. Sinis sekali bukan??

Saya ingin memetik kata-kata Abdul Fattah Abu Ghuddah seorang pakar ilmuan Islam, yang mana beliau pernah mengungkapkan dalam kitabnya Safhat min Sabri al-‘Ulama :

“Buku itu tidak akan memberikan kepada anda sebarang rahsia kandungannya kecuali jika anda sudah membaca secara keseluruhannya.”

Jika kita tanya kepada diri kita, sudah berapa banyak buku atau bahan bacaan ilmiah yang telah kita habiskan. Jawab seikhlas hati. Berapa banyak yang sudah dihabiskan. Walaupun belum lagi ditanya bagaimana pula dengan kefahaman terhadap bacaan tersebut, bagaimana penguasaan terhadap ilmu tersebut dan bagaimana dengan pengamalannya pula. Betapa miskinnya ilmu kita bukan??

Pelik bukan, sedangkan menuntut ilmu itu fardu ke atas setiap orang Islam dan penuntut ilmu akan didoakan keampunan oleh semua makhluk termasuk ikan-ikan di lautan, menurut sebuah hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. Malah, wahyu pertama juga menyuruh kita untuk membaca. Dalam wahyu pertama yang diturunkan terdapat 5 ayat yang membuktikan kepentingan membaca. Dalam 5 ayat pertama surah Al-‘Alaq itu juga tersirat 2 syarat supaya membaca mencapai matlamatnya:

Pertama,
“Bacalah dengan RABBmu yang telah menciptakan.”

Ertinya, bacalah sesuatu yang diredhai dan disukai oleh Allah. Jangan membaca sesuatu yang dimurkaiNya. Membaca mesti didasari oleh niat kerana Allah untuk member kebaikan kepada alam dan seluruh penghuninya.

Kedua,
“Bacalah dan RABBmulah yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia dengan pena. Dialah yang mengajar manusia dengan pena. Dialah yang mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Ertinya, jangan angkuh apabila mendapat ilmu daripada membaca kerana ilmu itu datang daripada Allah. Dan jangan sombong kepada sesama manusia kerana ilmu itu bertujuan memberi khidmat kepada manusia bukan untuk dibanggakan.

Dr. Raghib al-Sirjani mendedahkan satu statistik membaca dalam kalangan masyarakat Jepun, Eropah, Arab dan Malaysia sendiri. Hasilnya adalah seperti berikut:

Jepun – membaca 40 buah buku setahun
Eropah – membaca 10 buah buku setahun
Arab – membaca 20 helaian setahun
Malaysia – membaca 2 buah buku setahun


Pada tahun 1996, kajian menunjukkan rakyat Malaysia membaca 2 buah buku setahun dan pada tahun 2005, satu kajian lagi dijalankan ke atas 60 441 orang mendapati tabiat membaca rakyat Malaysia masih 2 buah buku setahun.
Jenis bahan bacaan yang dibaca pula adalah seperti berikut:

Surat khabar – 77.4%
Majalah – 3%
Buku – 3%
Komik – 1.6%

(Sumber:
The Star, 16 Julai 2006)


Maka, kebetulan bersempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia pada 23 April ini, kita semua meletakkan segunung harapan agar budaya membaca dan kegiatan penerbitan buku di negara kita, akan berterusan dan terus bertambah dari masa ke semasa. Kita memerlukan buku-buku yang memberi ilmu bermanfaat, yang luas pemasarannya dan mampu dibeli oleh orang ramai, bukan sekadar bahan bacaan picisan semata-mata.

Masyarakat umum terutamanya generasi muda harus disemai dengan amalan membaca untuk masa depan mereka. Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak kecilnya belajar dan bertatih untuk menjadikan membaca sebagai hobi mereka. Ini kerana ia tidak lain dan tidak bukan sebagai usaha mendapatkan ilmu melalui pendidikan sepanjang hayat yang juga satu daripada lapan nilai dalam
Gagasan 1Malaysia
(entah rakyat Malaysia tahu ke tidak, 8 nilai dalam Gagasan 1Malaysia tuu ye.. hehehe..)

Bernama melaporkan, Profesor Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar yang mewakili Gabungan Penulis Nasional (Gapena) turut berpendapat, umumnya ramai rakyat Malaysia sendiri masih tidak sedar tentang kewujudan Hari Buku ini. Adakah mereka tidak mengetahui dek kerana mereka tidak membaca?? hehehe.. kita pula gi mana ya?? =)

Buat akhirnya, ingatan buat diri saya dan juga rakan-rakan sekalian, jadikanlah amalan membaca ini sebagai hobi dan sesuatu yang amat penting dalam hidup kita kerana ia merupakan sebahagian daripada wadah keilmuan yang sangat berguna dalam membentuk generasi berilmu.

Ibarat motor yang kekeringan atau kehabisan minyak, tanpa diisi semula dengan minyak, mana mungkin motor tersebut akan bergerak dan seterusnya sampai di destinasi yang menjadi matlamat pemandunya. Betapa pentingnya peranan minyak ini bukan?
Tanpa membaca untuk mendapatkan ilmu, mana mungkin amalan kita memandu ke arah taqwa, kerana ilmu itu imam segala amalan, dan semuanya itu sebagai bekalan terbaik kita untuk destinasi kita yang kekal abadi!!


p/s : Kalaulah peribahasa kita ada yang berbunyi, "Membaca Jambatan Ilmu", tidak syak lagi membaca ni anak kunci ilmu pengetahuan, dan ilmu pula penggerak setiap amalan. Nasihat Imam Syafi'i, "Jika kamu inginkan dunia, hendaklah dengan ilmu. Jika kamu inginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu. Dan jika kamu inginkan kedua-duanya, juga dengan ilmu.." (",)




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails