Rabu, April 14, 2010

Sokong Hasrat Parlimen Mahasiswa Dilaksana



(Artikel ini diterbitkan dalam Berita Harian, 19 April 2010, boleh rujuk & search dengan kata kunci 'Parlimen Mahasiswa' di laman Arkib Akhbar Pusat Sumber BTP, KPM)


Apabila hasrat Parlimen Mahasiswa ingin dilaksanakan baru-baru ini, ia bakal mencetuskan fenomena dan impak yang besar kepada mahasiswa di seluruh negara dalam menyuarakan pendapat mereka, dan secara tidak langsung ia sebenarnya menjadi salah satu saluran suara rakyat yang inginkan suatu perubahan positif, dalam penambahbaikan urusan pemerintahan dan pentadbiran negara.

Ianya seakan-akan mengiktiraf golongan mahasiswa ini untuk menjadi agen semak dan imbang kepada kerajaan, atas kapasiti mereka sebagai golongan yang berpelajaran dan berpendidikan tinggi. Selayaknya mereka juga mempunyai hak dan ruang untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat, akan tetapi melalui cara dan medium yang berbeza.

Dengan jumlah bilangan anak muda dan golongan belia di seluruh negara kini semakin bertambah, Parlimen Mahasiswa diharap dapat menjadi medium untuk wakil pimpinan mahasiswa seluruh negara untuk menyatakan pandangan, memberikan kritikan membina dan melontarkan idea segar mereka, demi memperjuangkan agenda rakyat terutamanya golongan muda seperti mereka yang akan menjadi pimpinan negara juga pada suatu hari nanti.

Namun, pembentukan Parlimen Mahasiswa hanya akan dapat dilaksanakan selepas kerajaan mewartakan pindaan perlembagaan universiti awam tidak lama lagi. Malah ia
perlu menunggu penggazetan pindaan perlembagaan universiti, dan kini ianya berada pada peringkat Peguam Negara.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohammad Khaled Nordin, dipetik dalam BERNAMA semalam mengatakan proses pindaan perlembagaan universiti awam yang melibatkan 18 universiti awam itu kini berada pada peringkat terakhir. Beliau juga berkata kerajaan dalam proses meminda perlembagaan universiti awam supaya ianya selaras dengan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU).

Diharapkan Parlimen Mahasiswa ini dapat dijadikan medium terbaik untuk pimpinan-pimpinan mahasiswa memberikan buah fikiran dan menyatakan idealisme mereka, untuk membanteras kebejatan sosial yang melanda golongan belia dan anak muda seangkatan dengan mereka di negara ini. Banyak masalah-masalah yang perlu dibendung kini, memerlukan idea dan tindakan yang progresif dari pimpinan-pimpinan mahasiswa yang menganggotai Parlimen Mahasiswa kelak.

Tanpa diragukan, jika Parlimen Mahasiswa yang akan dilaksanakan kelak tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak, ia bukan sahaja dapat dijadikan sandaran penting dan dapat dijadikan salah satu kayu ukur terbaik, malah ianya dapat menjadi agen semak dan imbang terpenting, dalam memperjuangkan isu belia dan anak muda khususnya, tidak terkecuali juga isu-isu rakyat dan masyarakat. Tidak cukup dengan itu, ianya juga diharap dapat memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju negara, untuk kepentingan dan kebaikan kita bersama.




Juga boleh dilawati di laman berikut :

http://pspbtp.wordpress.com/2010/04/19/parlimen-mahasiswa-suara-pelajar/













Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails