Ahad, Oktober 31, 2010
Islam Tinggi, Tiada Yang Lebih Tinggi
Sudah lama saya tidak mencoret sesuatu ataupun berkongsi cerita dan berita, dalam ruangan kategori ‘cerita hati’ milik blog ini. InsyaAllah kali ini saya akan berkongsi sedikit apa yang saya catat sekadarnya, apa yang saya dapat, dan apa yang saya faham melalui sebuah kuliah mingguan di Masjid Ar-Rahman minggu lepas.
Saya memang minat hal-hal perundangan walaupun saya bukanlah pelajar jurusan perundangan. Pernah juga suatu ketika dahulu saya menyimpan sebuah cita-cita ingin menjadi seorang peguam. Pernah juga seorang Penolong Kanan HEM di sekolah menengah saya ketika dahulu, mengusik saya dan mencadangkan saya supaya menjadi seorang peguam. Hujahnya, biar saya seorang sahaja yang tahu..=)
Namun sejak mengetahui betapa besarnya tanggungjawab dan risiko bagi insan-insan yang terlibat dalam bidang ini, dengan matlamat kehidupan saya telah berubah kepada sesuatu yang lebih saya inginkan, saya kian menjadikan ilmu tentangnya hanya sebagai minat, tidak lagi menterjemahkan ia sebagai profesyen saya dalam kehidupan akan datang.
Tindakan Tidak Sejalan Dengan Ucapan
Seringkali kita dengar Firman Allah s.w.t yang berbunyi :
يآيها الناس انّ خلقنكم من ذكر وانثى وجعلنكم شعوباً وّقبآئل لتعارفوا انّ اكرمكم عند الله اتقكم انّ الله عليم خبير - سورة الحجرات : 13
Maksudnya : “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.”
(Surah Al-Hujurat : ayat 13)
Antara semangat mengikut perkauman dan bangsa, harus diteliti kewajarannya. Sememangnya kita diciptakan berbangsa-bangsa, namun untuk kita saling kenal mengenali, berbaik-baik, melakukan dakwah, sehinggalah kita mengajak mereka kepada Islam, kerana tidak ada taqwa jika mereka baik namun tidak berada dalam keimanan yang sebenar.
Untuk makluman, PM India Dr. Manmohan Singh diiringi isterinya Gursharan Kaur, datang ke Malaysia pada hujung bulan Oktober ini sempena lawatan 3 harinya ke Malaysia, termasuklah untuk merasmikan ‘Little India’ di ibu kota, iaitu di Brickfields, yang salah satu kemuncak atur cara lawatan itu. Jika sebelum ini, ‘Little India’ sebenarnya sudah wujud di Klang, saya pun pernah sangat dengan kawasan tersebut ketika saya belajar di sebuah sekolah di Klang suatu ketika dahulu.
Little India sudah wujud dan akan ada pertambahan tempat baru, China Town pun sudah wujud, Kampung Jawa di Klang pun memang wujud. Malah ada bas khas untuk ke Kg. Jawa dan Sri Muda di Klang sana. Kampung Melayu pula adakah ianya wujud? Mungkinlah komuniti kampung melayu di Kampung Baru, tetapi ianya mungkin akan terkubur selepas kerajaan mahu mendirikan Menara Warisan 100 tingkat di kawasan tersebut.
Ianya mungkin sekadar persoalan, namun hakikatnya perjuangan melayu yang diperjuangkan sesetengah individu atau kumpulan, ke mana matlamat akhirnya?? Melayu terbela atau tidak pada hari ini? Kampung Melayu pun tidak ada, malah hak-hak keistimewaan orang Melayu dan Islam khususnya semakin terhakis.
Asam Garam Medan Dakwah
Saya ingin berkongsi sebuah cerita benar dari seorang pengkuliah. Cerita seorang India. Dia merupakan pemandu lori. Suatu hari dia perlu memandu lori untuk membawa pesanan ke Kota Bharu, Kelantan. Apabila sudah berada di negeri Kelantan, tiba-tiba lorinya rosak. Dipendekkan cerita, dia pun pergi mencari rumah berdekatan untuk mendapatkan pertolongan.
Apabila tiba di sebuah rumah, keluarlah seorang lelaki tua yang sudah berumur. Maka India tadi menceritakan hal lorinya yang rosak. Selepas mengetahui cerita sebenar,lelaki tua itupun memberikan kunci keretanya kepada India tadi untuk mencari bengkel membaiki lori yang berdekatan.
Setelah India tadi memandu kereta tersebut ke bengkel berdekatan, tauke bengkel tersebut bertanya kepada India tersebut, “You curi kereta ini ke? Mana you ambil ini kereta?”. Tauke itu pun terus terang katakan kereta tersebut adalah kereta milik Menteri Besar Kelantan. Tetapi India tadi tidak tahu bahawa lelaki tua itu sebenarnya Menteri Besar Kelantan.
Selepas dia menceritakan semuanya kepada tauke tersebut, barulah tauke itu faham. India tersebut mengakui dia kurang ambil tahu hal politik. Pernah dengar nama Menteri Besar Kelantan namun dia tidak kenal rupanya. Betapa mulianya hati seorang Menteri Besar, menolong orang yang belum pun dikenali, tanpa mengira warna kulit, asalkan ianya berada dalam kesusahan. Akhirnya India tersebut memeluk Islam. Selepas dari kejadian itu, India muslim itu selalu memberi bantuan kepada orang Islam.
Konsep dan asam garam dalam medan dakwah. Kadang-kadang kita perlu berseni dalam medan ini. Bagaimana mahu membiakkan dakwah bil hal yang harmoni? Bagaimana mahu mendekati golongan sasar kita, tanpa mengira had umurnya. Apatah lagi dakwah kita terhadap non-muslim.
Kadang-kadang kita terpaksa berdepan dengan orang-orang yang dekat dengan diri kita sendiri. Nabi Ibrahim pun perlu menentang ayahnya demi kebenaran, Nabi Yusuf ditentang adik beradiknya sendiri, Nabi Muhammad s.a.w sendiri ditentang kuat oleh ayah saudara sendiri seperti Abu Lahab dan Abu Jahal.
Kelemahan Sistem Yang Ada
Jumlah RM2.3 bilion adalah hasil peringkat kerajaan pusat dari hasil judi yang disatukan. Ini dapatan pada tahun 2009 di Kementerian Kewangan. Belum lagi dicampur tahun 2010 yang belum berakhir. Hasil dari judi inilah kerajaan Pusat gunakan untuk membayar gaji 1.2 juta penjawat awam dan termasuklah segala pembiayaan projek pembangunan tidak terkecuali untuk masyarakat Islam. Akan tetapi mengapa isu hasil judi di Pulau Pinang menjadi isu hentaman pihak tertentu sedangkan sudah diakui hasilnya sudah diasingkan, namun tiada tentangan terhadap kerajaan pusat?
Lim Guan Eng menegaskan kerajaan Pulau Pinang tidak menggunakan wang judi untuk diberikan kepada warga emas. Ianya turut diakui oleh beberapa lagi badan yang diiktiraf. Ianya hasil dari penjimatan kerajaan negeri sendiri. Sudah dua kali kerajaan Pulau Pinang mendapat pengiktirafan dari Ketua Audit Negara tentang pengurusan kewangan terbaik dalam negara di samping mendapat pujian dari badan anti-rasuah antarabangsa iaitu Transparency International.
Di Pulau Pinang, jumlah warga emas 110 ribu orang, dan masing-masing mendapat RM100 seorang. Walaupun sekadar RM100 seorang, namun cukup bermakna buat rakyat bawahan terutama warga emas tambahan pula dengan kos sara hidup yang tinggi sekarang ini dan kuasa membeli sekarang yang sangat terhad. Jadi, kita wajib ‘masuk’ dan turun ke medan bagi yang mampu, kerana apa?? Kerana untuk memperlahankan kerosakan yang ada sekarang. Sebelum dapat mengambil alih pemerintahan sedia ada sekarang secara menyeluruh, dan bawa dengan cara Islam.
Sistem yang ada sekarang adalah sistem peninggalan British, yang mana ianya hanya untuk mencari siapa yang bersalah dan siapa yang tidak bersalah. Sekadar perkongsian, mahkamah majistret ada dua, iaitu kelas pertama dan kelas kedua. Ada pula dalam sesetengah mahkamah majistret tidak dipanggil Hakim, tetapi Hakimnya dipanggil sebagai pegawai undang-undang sahaja.
Mahkamah majistret pula tidak boleh sampai menjatuhkan hukuman gantung atau mati. Sistem yang ada tidak menyiasat siri-siri skandal kes tersebut, namun hanya untuk membuktikan siapa bersalah dan siapa yang terlibat dalam kes tersebut. Kecuali apabila kes di bawah mahkamah tinggi, barulah boleh dijatuhkan hukuman gantung mandotori.
Kuasa majistret misalnya, dalam mahkamah majistret kelas pertama, hanya boleh menjatuhkan hukuman tidak boleh melebihi 10 tahun sebagai contoh. Contohnya, 5 tahun penjara, denda 10 ribu, atau hukuman sebatan, atau kedua-duanya sekali. Mahkamah majistret kedua lagilah tidak ada kuasa yang mutlak.
Hakim sendiri, hanya boleh gunakan laporan, keterangan dan penghujahan yang disampaikan ketika dalam mahkamah sahaja, ketika perbicaraan berlangsung. Apabila berada di luar mahkamah, hakim tidak boleh menggunapakai atau mengambil ia sebagai bukti untuk menjatuhkan penghakiman kes.
Jelas, sistem yang ada sekarang hanyalah untuk menutup kes atau menutup babak-babak perbicaraan sahaja. Bukan betul-betul untuk membela yang teraniaya. Sudah banyak kes yang memihak kepada yang salah lantaran bukti dari pihak yang teraniaya tidak kukuh, walaupun responden sepatutnya boleh disabitkan dengan hukuman yang berat.
Peguambela ataupun pendakwaraya yang ada sekarang, jika mereka pandai memanipulasikan kod undang-undang yang ada, dengan berbekalkan penghujahan yang bernas dengan fakta kes yang ada, pasti dia akan menang kes walaupun dia berada di pihak yang salah pada hakikatnya.
Hakikatnya kita perlu pertahankan hak kita. Orang Cina misalnya walaupun tinggal di setinggan, kemudian kawasan tersebut akan dirobohkan dengan dijanjikan pampasan dengan jumlah yang tertentu, namun selagi mana dia tidak mendapat pampasan tersebut, dia tidak akan sama sekali berpindah dari kawasan setinggan tersebut, sebab itu haknya.
Kenapa saya menyebut begitu, selagi sistem yang ada tidak dibubar dan diganti dengan sistem yang baru, selagi itulah masalah akan berpanjangan. Hak kita sebagai rakyat yang merdeka, bukannya sampai 53 tahun merdeka, kita masih terjajah dengan sistem peninggalan penjajah.
Secara sinisnya, di Malaysia jika mahu mencuri, biarlah berbaloi. Jika sekadar mencuri selipar di masjid atau mencuri barang bernilai RM100 ke bawah di sebuah kedai, bila tertangkap, akan dipenjara 6 bulan sebagai contoh, atau mungkin juga diminta membayar denda.
Namun bagi yang mencuri enjit jet, bagi yang mencuri secara terancang melibatkan banyak pihak atasan mungkin, bagi yang mencuri secara terancang dalam projek-projek bernilai jutaan ringgit, mungkin akan terlepas selepas dibicarakan. Ataupun mungkin mereka tidak akan didakwa pun kerana mereka mempunyai ‘kekebalan’ yang wujud atas kelemahan sistem yang ada kini.
KESIMPULAN
Laa izzah illa bil jihad..
Undang-undang ‘panel court’ ini, yang diimankan dalam negara kita sejak 202 tahun yang lalu, perlukan kepada pembaharuan. Kembali kepada fitrah. Islam adalah syumul untuk semua. Islam bukan sekadar ubudiyah semata-mata, akan tetapi digunakan dan diaplikasikan dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi kita.
Wajiblah kita bersama pemimpin yang mahu menegakkan dan memperjuangkan undang-undang Islam. Kita sendiri bagi yang memahami susur galur sistem yang ada ini, wajib ke medan untuk tolong sekadar kemampuan masing-masing agar Islam kembali di atas, tertegaknya Islam di atas keruntuhan undang-undang jahiliyah. Ameen..
p/s : saya sekadar berkongsi dan menyampaikan sekadar apa yang saya tahu. Sampaikan walaupun satu ayat kan. Ada yang lebih tahu, cubalah berikan pandangan, ulasan atau kritikan yang membina.. (“,) Wallahu a'lam..
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan