Selasa, November 10, 2009
Masih Relevankah Undang-Undang Negara??
Saya sekadar mahu melontarkan persoalan kepada semua dan tidak mahu mengulas panjang mengenai tajuk ini disebabkan saya bukanlah berkelayakan khusus di dalam bidang perundangan, akan tetapi saya sebagai mahasiswa anak muda negara, sudah lama memerhati dan memikirkan situasi politik negara yang semakin tidak menentu dan perkaitannya dengan undang-undang negara. Undang-undang negara kini seakan-akan boleh dieksploitasi atas kepentingan pihak tertentu dalam menjayakan agenda mereka. Inikah undang-undang yang sebenar dalam erti kata sebuah negara yang bebas dari cengkaman penjajah? Atau adakah kita masih terjajah dengan undang-undang penjajah dahulu walaupun sudah sekian lama kita mengecapi nikmat sebuah kemerdekaan?
Saya mungkin boleh memberikan pandangan berkaitan isu ini sebagai seorang rakyat yang melihat pergolakan politik negara yang agak tidak stabil pada hemat saya, namun saya tidak mahu mengulas panjang dahulu buat masa ini, kerana saya mahu memfokuskan kepada pelajaran saya di mana sekarang saya sedang berjuang menghadapi 'final exam' untuk semester ini. Akan tetapi saya 'kepilkan' di dalam blog saya salah satu isu yang berlaku sekarang mengikut pandangan Prof. Dr Abdul Aziz Bari, salah seorang pakar dalam bidang perundangan.
Banyak kes sebenarnya yang berlaku sebelum ini dikusutkan dengan kecelaruan dalam merujuk undang-undang sedia ada, yang sebenarnya tidak lagi dapat dijadikan sumber sandaran terbaik mengikut perkembangan semasa. Ada undang-undang yang perlu dikaji semula agar mengikut keperluan, kesesuaian dan perkembangan semasa kerana ianya sudah lagi tidak relevan dan ada antaranya tidak mempunyai asas yang kukuh dalam mensabitkan sesuatu kesalahan berdasarkan undang-undang sedia ada tersebut.
Sebagai contoh mudah, kes peralihan kuasa negeri Perak, kes hukuman sebat Kartika, kes kekosongan kerusi Dun Kota Siputeh di Kedah, isu lompat parti dan banyak lagi kes yang dilihat pada saya ianya berpunca akibat kecelaruan dan ketidakrelevanan undang-undang yang ada sekarang. Ini hanyalah pendapat peribadi dan perspektif dari kaca mata seorang rakyat biasa. Tidak tahulah bagaimana pula pandangan pakar perundangan terhadap isu yang saya lontarkan ini.
Berkaitan isu peralihan kuasa di Perak dan isu kekosongan kerusi Dun Kota Siputeh di Kedah, adakah Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah (UTKK) tidak diterima pakai dengan sebaiknya? Adakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ataupun badan-badan lain boleh membuat keputusan tanpa merujuk dan menghormati Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah? Adakah keputusan mahkamah boleh bercanggah apabila mendapat arahan pihak-pihak tertentu?
Pelik tetapi benar. Namun itulah yang berlaku di sebuah negara yang dikatakan mengamalkan sistem demokrasi. Dari rakyat dan untuk rakyat. Pentakrifan asas demokrasi itu sendiri pun belum tentu dapat dipenuhi tuntutannya di negara ini. Seandainya undang-undang itu betul dan semua mahkamah mendasarkan keputusannya atas undang-undang yang termaktub, masakan boleh terjadi percanggahan dan kecelaruan seperti kes siapakah Menteri Besar yang sah di Perak?? Adakah hak rakyat Perak juga diketepikan dalam hal ini?? Fikir-fikirkan.
Adakah penafsiran Artikel 16 (6), Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dinafikan pihak tertentu kerana ianya jelas menyatakan jawatan Menteri Besar hanya boleh dikosongkan apabila tiga perkara ini berlaku, iaitu Menteri Besar meletakkan jawatannya, berlakunya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), dan berlakunya sebarang undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dalam DUN??
Dan sebenarnya kes kekosongan kerusi Dun Kota Siputeh di Kedah juga berlaku mengikut peruntukan undang-undang, apabila Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail mengisytiharkan Datuk Abu Hasan Sarif telah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas ADUN Kota Siputeh itu gagal menghadiri sesi DUN dua kali berturut-turut pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, yang jelas menyalahi Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah (UTKK).
Cukuplah dahulu sebahagian persoalan-persoalan yang saya ingin lontarkan buat renungan dan perkongsian bersama. Berikut adalah artikel seorang pakar dalam bidang perundangan, mengenai salah satu isu yang berlaku kini, dan perkaitannya sehingga beliau menyimpulkan bahawa undang-undang sekarang sudah lapuk dan memberi kesan terhadap negara. Jadi, adakah undang-undang negara kini masih relevan, terpulanglah kepada anda semua..=)
Undang-undang lapuk dan kesannya
Oleh - Abdul Aziz Bari
Minggu lalu Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengejutkan semua pihak dan mungkin Datuk Seri Chua Soi Lek sendiri apabila beliau menyatakan bahawa Chua adalah timbalan presiden MCA yang sah. Sebelum ini musuh politiknya yang juga Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat menggunakan mekanisme dalam parti itu untuk memecat Chua dan kemudian melantik salah seorang naib presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai, bagi mengisi tempat yang kosong akibat pemecatan tokoh MCA Johor itu. Dengan keputusan Pendaftar Pertubuhan itu keadaan jadi lebih kelam kabut dan kita menjangka satu siri pergelutan mahkamah akan menyusul.
Dari satu sudut keadaan kelam kabut itu memang sudah semacam menjadi tradisi MCA. Ini kerana konflik Ong dan Chua yang cukup membingungkan ini bukanlah yang pertama. Konflik yang tidak kurang hebat pernah terjadi pada pertengahan 1980an selepas parti itu kehilangan presidennya Tan Koon Swan yang terpaksa menjalani hukuman akibat masalah perniagaannya. Ini membawa kepada pergelutan antara pemangku presiden Datuk Dr Neo Yee Pan dan Datuk Dr Ling Liong Sik yang akhirnya berjaya menjadi presiden parti. Sebelum itu konflik dalaman MCA juga menyebabkan tokoh-tokoh penting terkeluar dari parti, seperti Tun Dr Lim Chong Eu (1959) dan Tun Dr Lim Kheng Yaik (1973).
Saya tidak berhajat hendak membincangkan politik MCA di sini. Saya cuma hendak menceritakan senario yang menyebabkan kuasa Pendaftar Pertubuhan timbul. Mungkin ada yang berpendapat bahawa tindakan Pendaftar Pertubuhan itu dipaksa oleh krisis MCA itu sendiri. Ini memang sukar hendak dinafikan terutamanya jika kita mengikuti pergolakan dalam parti itu sejak beberapa bulan yang lalu.
Apa pun sebelum tindakan mengejut itu Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata bahawa Pendaftar Pertubuhan tidak akan campur. Kenyataan itu logik kerana Pejabat Pendaftar Pertubuhan terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri yang Hishammuddin menterinya. Bagaimanapun apabila Pendaftar Pertubuhan menyatakan bahawa Chua adalah timbalan presiden yang sah timbul telahan bahawa ia menandakan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berfikiran sebaliknya.
Tetapi itu tidak pelik kerana sebagai ketua kabinet Najib boleh membuat arahan lain; termasuk yang bertentangan dengan apa yang dikeluarkan oleh seorang anggota kabinet. Dan Pendaftar Pertubuhan sebagai seorang pegawai perkhidmatan awam sukar untuk menolaknya.
Memang undang-undang tidak memberi kuasa untuk menteri atau Perdana Menteri memberi arahan kepada pegawai kerajaan bagaimana ia hendak menjalankan kuasa-kuasa yang telah diletakkan di tangannya oleh sesebuah akta Parlimen. Tetapi dalam isu-isu seperti kedudukan timbalan presiden MCA ini saya tidak fikir seorang pegawai kerajaan berani berbuat sesuatu tanpa merujuk kepada kerajaan. Ini kerana tindakan itu akan membawa kesan langsung terhadap kedudukan kerajaan yang salah satu anggotanya ialah parti MCA.
Sebab itu saya berpendapat perubahan nada Pendaftar Pertubuhan dalam soal pendaftaran Pakatan Rakyat sebagai sebuah entiti politik sebagaimana Barisan Nasional bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Dan saya tidak fikir para pemimpin Pakatan jahil benar tentang undang-undang dan masalah-masalah dasar berhubung dengan pendaftaran pertubuhan dan seumpamanya. Kita tahu bagaimana pendaftaran parti-parti politik yang diketahui rapat dan disukai oleh parti yang memerintah diluluskan dengan begitu pantas. Sebelum itu SPR sering membangkitkan pelbagai masalah teknikal tentang Pakatan apabila mereka mahukan layanan yang sama sebagaimana yang SPR berikan kepada Barisan.
Undang-undang utama yang menangani persoalan-persoalan berhubung dengan pertubuhan di Malaysia ialah Akta Pertubuhan 1966. Selain daripada Pendaftar Pertubuhan menteri juga turut mempunyai kuasa di bawah undang-undang ini. Peruntukan ini pernah dibangkitkan apabila UMNO diharamkan oleh mahkamah pada 1987. Keputusan ini timbul apabila pihak yang tewas dalam pertandingan jawatan presiden UMNO ketika itu – Team B yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah – membawa kes itu ke mahkamah. Ramai pemerhati yang berpendapat bahawa keputusan mahkamah itu disukai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kerana keputusan mahkamah itu membolehkan beliau menyisihkan para penentangnya di dalam Team B. Tanggapan ini diperkukuhkan oleh keengganan Mahathir – ketika Menteri Dalam Negeri – mematuhi permintaan Team B supaya beliau menggunakan kuasanya dalam akta berkenaan bagi memulihkan UMNO yang telah pun diharamkan oleh mahkamah. Sebaliknya Mahathir menubuhkan UMNO Baru. Di sisi undang-undang inilah sebenarnya UMNO yang ada sekarang. Ia bukan UMNO yang ditubuhkan pada 1946 oleh Datuk Onn Jaafar itu. Di sisi undang-undang UMNO yang itu telah mati.
Kuasa-kuasa yang ganjil yang bertentangan dengan demokrasi ini pernah ditentang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau menjadi Presiden Abim pada 1981. Ketika itu kerajaan, melalui menterinya Tan Sri Ghazali Shafie, membuat pelbagai pindaan kepada Akta Pertubuhan. Anwar tahu bahawa pindaan-pindaan itu cuba hendak mengekang kebebasan dan pergerakan pertubuhan-pertubuhan yang hari ini kita kenali dengan nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Berdasarkan kepada beberapa paparan yang dihuraikan di atas kita dapat melihat betapa Akta Pertubuhan 1966 ini tidak selari atau boleh menafikan hak berpersatuan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10(1). Selain undang-undang ini pelbagai sekatan turut dikenakan di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959. Kesan yang sama juga dibawa oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Jika kita teliti benar-benar alasan yang dibenarkan oleh perlembagaan saya tidak pasti apakah semua akta yang dinyatakan di atas tadi sah di sisi perlembagaan. Bagaimanapun tidak ada yang boleh dibuat kerana untuk melakukan penelitian demikian kita perlu ke mahkamah dan ini sudah cukup untuk kita semua membuat keputusan bahawa itu adalah kerja yang sia-sia dan membuang masa!
Saya sering mengatakan bahawa negara yang betul-betul komited dengan demokrasi tidak akan mengizinkan sekatan sebagaimana yang dibenarkan oleh perlembagaan kita itu. Sebab itu Perlembagaan Amerika Syarikat menyatakan dengan jelas bahawa hak bercakap, berkumpul secara aman dan menubuhkan persatuan tidak boleh disekat hatta oleh Kongres (yang merupakan badan perundangan mereka). Ketiga-tiga hak ini terlalu asas sifatnya. Demokrasi yang sebenar tidak akan wujud tanpanya. Atau sekiranya hak-hak ini disekat oleh pihak eksekutif atau badan perundangan.
Saya juga telah menyebut beberapa kali tentang betapa perlunya kita menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji undang-undang yang ada bagi memastikan bahawa undang-undang yang ada selaras dengan keperluan dan perkembangan semasa. Ini perlu supaya undang-undang yang lapuk, yang bukan sahaja memeningkan kepala tetapi juga menghabiskan wang rakyat, dimansuhkan sahaja. Buat masa ini begitu banyak agensi, jabatan dan pegawai yang kita gajikan untuk melakukan perkara-perkara yang bukan sahaja tidak berguna tetapi menyusahkan kita.
*Profesor Dr Abdul Aziz Bari merupakan pensyarah undang-undang di UIAM, Gombak.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan