Oleh - Abdul Aziz Bari
Minggu lepas kita menyaksikan begitu banyak insiden yang impak dan relevannya kepada perlembagaan cukup penting. Dan ini menyebabkan sukar untuk saya memilih mana yang yang hendak diulas dalam ruangan ini. Apa pun bagi saya biarlah itu semua menjadi pemangkin kepada kesedaran rakyat; supaya mereka berasa perlu berbuat sesuatu untuk memerdekakan diri mereka. Untuk berbuat sesuatu demi mengisi ideal perlembagaan yang mahu meletakkan hala tuju pentadbiran negara di tangan mereka sendiri.
Kalau itu semua terlalu sukar untuk dihubungkan dengan rutin kehidupan mereka pun rakyat perlu sedar bahawa jika mereka tidak berbuat apa-apa mereka sendiri yang akhirnya akan membayarnya nanti. Cukai naik, kebebasan dikekang dan macam-macam lagi. Inilah yang sebenarnya hendak dielakkan oleh perlembagaan. Sebab itu bagi saya perlembagaan dan isi kandungannya bukan untuk sesuatu yang ideal semata-mata; sebenarnya di sana begitu banyak faedah dan munafaat yang boleh didapati sekiranya apa yang dituntut oleh perlembagaan – baik oleh peruntukan maupun semangatnya – dilaksanakan.
Antara insiden penting yang saya fikir relevan dengan isu-isu di atas ialah tindakan calon Pakatan Rakyat di dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim, untuk mengambil tindakan mahkamah berhubung dengan apa yang didakwanya politik wang dan serangan peribadi yang dilemparkan kepadanya sewaktu kempen.
Kita juga membaca dalam akhbar kontroversi yang timbul di Kedah berhubung dengan soalan seorang ADUN Pakatan dalam DUN itu tentang kuasa Sultan sebagai ketua agama negeri. Seorang anggota kerabat di raja dan para pemimpin UMNO Kedah berang dengan soalan itu.
Secara kebetulan ketika kempen di Hulu Selangor pun isu berhubung dengan kedudukan dan kuasa Sultan sebagai ketua agama juga berbangkit apabila Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan mengengkari titah Sultan Selangor yang tidak membenarkan masjid digunakan untuk kempen politik. Dengan tidak semena-mena Yang di-Pertuan Agong juga dilaporkan mengambil tindakan yang drastik di Pulau Pinang. Ada laporan yang mengatakan persepsi itu timbul akibat manipulasi Umno. Saya sendiri berasa hairan kerana scenario yang sama tidak pula berlaku di Melaka, Sabah atau Sarawak yang juga berketuakan Yang di-Pertuan Agong dalam soal agama.
Belum pun isu-isu itu reda atau bergerak lebih lanjut timbul pula laporan tentang tindakan polis menembak mati seorang remaja berumur 14 tahun di Shah Alam. Sebagaimana biasa polis mendakwa macam-macam; kononnya remaja itu hendak merempuh merekalah dan macam-macam lagi. Tapi kali ini dakwaan polis itu nampaknya makin tidak meyakinkan. Sebelum ini seorang ibu tunggal yang berumur awal 30an juga dikatakan ditembak oleh pihak polis. Alasan polis juga sama dengan apa yang mereka katakan dalam insiden terbaru di Shah Alam itu.
Tak semena-mena tragedi Memali – di mana sekumpulan penyokong Pas terbunuh tatkala cuba menghalang tangkapan oleh pihak polis pada hujung 1986 – timbul di Dewan Negara apabila Tunku Aziz Ibrahim membuat soalan. Saya tidak pasti mengapa senator yang mewakili Pulau Pinang dan DAP mebangkitkan soal itu. Apa pun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein menafikan yang tragedi itu berlaku ekoran perintah oleh menteri berkenaan ketika itu, Tun Musa Hitam.
Sementara itu, Rabu lalu peguam Perancis yang mewakili Suaram, Joseph Breham, tiba di Kuala Lumpur untuk memulakan kerja berhubung dengan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pembelian kapal selam Scorpene untuk TLDM oleh Kerajaan Malaysia. Isu ini melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang merupakan Menteri Pertahanan ketika itu. Pada saya ini cukup menarik kerana meskipun ini bukan kali pertama tuduhan skandal dan rasuah membabitkan pembelian senjata berlaku inilah kali pertama tindakan sedemikian diambil. Ia jelas menunjukkan kesedaran yang tinggi di kalangan sebahagian rakyat tentang kedudukan dan hak mereka. Mereka tidak lagi boleh diremehkan dengan mengatakan pembelian senjata ini soal keselamatan dan dengan itu sensitif dan tidak boleh dibangkitkan.
Kebelakangan ini sektor pertahanan dan keselamatan ini begitu mendapat perhatian. Malangnya ia bukan sesuatu yang positif. Dari soal syarikat Israel Apco yang menjadi perunding kerajaan kepada penglibatan perisik Yahudi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Sebelum itu, Ahli Parlimen DAP, Tony Pua membongkar kos yang memakan belanja berbilion ringgit untuk membekalkan makanan kepada anggota-anggota tentera. Selepas itu beliau menimbulkan soalan kenapa kerajaan membelanjakan hampir RM30 juta untuk membeli kasut anggota wanita. Hujung minggu lalu Pua mempersoalkan mengapa kerajaan membayar harga yang cukup mahal – dikatakan RM8 bilion – bagi membeli APC untuk tentera darat. Setakat ini, sebagaimana biasa, Kementerian Pertahanan hanya mengeluarkan penafian demi penafian.
Isu-isu yang disebut tadi melibatkan banyak perkara, isu dan peruntukan perlembagaan. Mungkin ada yang akan saya sentuh dalam ruangan ini pada masa akan datang. Tetapi yang agak jelas bagi saya ialah bahawa itu semua berlaku kerana intisari dan asas perlembagaan tidak dipatuhi.
Di mana-mana negara pun perlembagaan menuntut pembatasan kuasa. Selain itu ia juga mewajibkan ketelusan. Ini dilakukan dengan memperincikan kuasa yang diberikan; termasuk menekankan apa yang dipanggil doktrin pengasingan kuasa. Untuk mempastikan ini berlaku dan mencapai matlamatnya mahkamah diberi tanggung jawab yang tertentu.
Malangnya ini tidak berlaku dan rakyat terpaksa membayar harganya dengan menubuhkan agensi-agensi tertentu seperti Suhakam. Ini sebenarnya tidak perlu jika mahkamah bebas dan kreatif. Tidak beku dan jumud. Suaram terpaksa menggunakan proses undang-undang di Perancis kerana di sana ada beberapa peruntukan yang tidak wujud di sini. Dan kita tahu sikap dan keberanian hakim-hakim kita.
Kuasa mutlak dalam pengertian yang sebenar tidak wujud. Baik dalam konteks Islam mahupun perlembagaan itu sendiri. Sebab itu tidak salah untuk menyoal. Baik Raja atau Perdana Menteri setiap kuasa itu ada sebab dan batasannya. Kalau penggunaan kuasa ini menimbulkan masalah – baik secara langsung atau sebaliknya – kita boleh bertanya. Dan ini tidak harus dianggap menderhaka.
* Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 20 tahun.
Isnin, Mei 03, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan