Khamis, Mac 11, 2010

Isu Air Dipolitikkan?? - Sekadar Secebis Analisis


Akhir-akhir ini, banyak isu yang melatari cerita-cerita dan menghiasi media-media semasa seringkali membuatkan kita gusar dan resah. Apatah lagi jika kita sebagai rakyat biasa yang hanya 'menerima', mendengar dan mendongakkan kepala di hadapan televisyen semata-mata. Bagi yang lebih baik sedikit, mungkin akan menatapi dada akhbar juga sebagai rujukan tambahan. Malah yang lebih baik, ada yang berinisiatif mencari medium-medium alternatif lain seperti internet dan sebagainya. Saya sebagai salah seorang anak muda mahasiswa, menyeru kepada rakan-rakan yang lain agar kita lebih berinisiatif dan berusaha membuka minda dengan membaca semua berita dan maklumat dari pelbagai sumber, biarlah ianya dari sumber kerajaan Barisan Nasional atau kerajaan Pakatan Rakyat, ataupun penulisan yang tidak memihak kepada mana-mana pihak sekalipun, asalkan ia dapat dijadikan sumber sebelum dibuat perbandingan dan ditimbang tara oleh diri kita sendiri.

Isu setempat di Kedah sedang panas dengan beberapa isu sebenarnya, namun saya mahu isu tersebut diatasi atas dasar untuk kepentingan rakyat dan bukan untuk dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Sebagai contohnya isu air yang sebenarnya melanda seluruh negara dengan adanya beberapa negeri telah pun diarahkan untuk dibuat catuan air. Negeri-negeri lain seperti Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Kelantan sudah melaksanakan catuan air. Syabas di Selangor adalah antara operator air terbaik negara waktu ini juga menghadapi masalah hingga terpaksa mencatu bekalan air. Namun di Kedah, kita disajikan dengan pelbagai kritikan terus kepada kerajaan Negeri berkenaan isu air terutama dalam media arus perdana kini. Benarkah dakwaan tersebut? Pernah media menyiarkan jawapan sekurang-kurangnya jawapan balas seorang wakil bagi pihak kerajaan negeri Kedah untuk menjawab isu tersebut?? Malulah sedikit bagi yang mahu membuat demontrasi tentang isu air jika tidak mengetahui fakta sebenar..

Awal tahun ini, Menteri Besar Kedah melahirkan rasa kesal dengan pihak-pihak tertentu yang telah mencetuskan keresahan di kalangan rakyat Kedah dengan isu kenaikan tarif air di negeri ini setelah Jabatan Bekalan Air (JBA) dikorporatkan awal tahun ini. Rakyat perlu memahami perbezaan besar di antara pengkorporatan dengan pengswastaan. Pengkorporatan dari JBA ke Syarikat Air Darul Aman (SADA) bermula 1 Januari 2010 adalah untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dan memuaskan kepada pengguna terutamanya rakyat Kedah. Untuk itu kerajaan negeri melalui SADA sedang giat memperbaiki paip-paip yang bocor dan akan memastikan setiap premis kediaman atau perniagaan akan mendapat bekalan air yang memuaskan buat rakyat Kedah sendiri.

Terbaru, kerajaan negeri Kedah didakwa telah menswastakan urusan bekalan air serta menaikkan kadar tarif air di negeri ini, lantas ia dijawab tegas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB. Dato’ Ir Haji Amiruddin Hamzah yang ianya merupakan suatu pembohongan kepada rakyat, beliau menjawab dalam siri penerangan kerajaan negeri yang diadakan di dewan Majlis Daerah Pendang baru-baru ini.

Amiruddin yang juga Ahli Lembaga Pengarah SADA turut menyangkal dakwaan bahawa tarif air dinaikkan melalui pengkorporatan tersebut.

Beliau dipetik menyatakan, sekiranya kerajaan negeri ingin menaikkan tarif air, tindakan itu sememangnya wajar memandangkan kali terakhir tarif air negeri ini disemak adalah pada tahun 1983. Pun begitu tegasnya, kerajaan negeri tidak akan menaikkan tarif tersebut demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Kedah.

Sedangkan pada ketika ini tarif air di Kedah merupakan kedua terendah di Malaysia iaitu 40 sen seliter padu. Paling tinggi, negeri yang dikatakan paling maju, negeri Menteri yang mengkritik Kedah adalah negeri yang mundur baru-baru ini, iaitu Sabah, 90 sen seliter padu, sekali ganda Kedah. Kemudian diikuti Melaka 63 sen dan Johor 61 sen seliter padu.

Adakah ini suatu penswastaan? Realitinya SADA ini sahamnya 100 peratus dipegang kerajaan negeri. Kerajaan negeri Kedah tidak swastakan cuma ianya dikorporatkan, yakni ia diurus tadbir sebagai sebuah syarikat. Sebagai syarikat, tatakerja menjadi lebih cepat, malah kurang prosedurnya. Itu untuk kemudahan dan kepentingan rakyat Kedah juga kan??

Bagi menjelaskan perbezaan antara penswastaan dengan pengkorporatan, katanya, “Yang menswastakan perkhidmatan air ini ialah kerajaan dahulu yang memerintah Kedah. Kerajaan dahulu telah menswastakan rawatan bekalan air kepada Syarikat Air Utara Indah”.

Sedangkan rawatan air katanya, merupakan bahagian paling mudah dalam urusan perbekalan air berbanding kerja-kerja penyaluran, perpaipan, pembaikan, penyiasatan dan seumpamanya yang sangat sukar.

“Kerajaan dahulu juga menswastakan bekalan air di Langkawi. Beban itu hari ini kerajaan sekarang yang tanggung.

“Langkawi ini kosnya kalau kita buat sendiri di bawah SADA akan lebih efisyen. Masa itu (sebelum diswastakan) kosnya hanya 70 sen seliter padu, tiba-tiba bila swasta harganya melambung RM1.92 seliter padu. Ini cerdikkah?” tempelak YB Amiruddin .

Maklumnya, kesan penswastaan dilakukan itu menyebabkan kerajaan negeri perlu menanggung tambahan kos sebanyak RM5 juta berbanding hasil yang dikutip setiap tahun.

Jadi, sudah terang lagi bersuluh, masalah air di Kedah sekarang tidak ada sangkut paut dengan kelemahan pengurusan kerajaan negeri sekarang ataupun kelemahan SADA. Ia juga sebenarnya bersangkut paut dengan musim kemarau dan panas yang melanda seluruh negara kini.


Sebagai contoh, Johor adalah negeri yang diperintah kerajaan BN, kalau kerajaan itu cekap, mengapa Johor juga menghadapi krisis air sekarang, sedangkan operatornya juga antara yang terbaik waktu ini, dan Johor adalah pembekal air kepada Singapura? Negeri Sembilan tidak pernah diperintah kerajaan selain dari BN, tetapi kena mencatu air sekarang. Maka, tidak perlulah ‘menyerang’ kerajaan negeri tertentu sahaja, tanpa liputan berita yang sama di negeri yang mengalami masalah yang sama malah lagi kritikal sehingga terpaksa dicatu airnya.


Perlu diingat buat rakyat Kedah, semua prasarana dan infra air di Kedah sekarang dibuat di zaman kerajaan BN, kerana kerajaan PR tidak pernah memerintah Kedah selama 50 tahun lebih ini, dengan kerajaan BN sebelum ini telah berhutang RM1.6 bilion kepada kerajaan pusat. Banyak paip sudah berkarat dan sering pecah. Malah, prasarana dan infrastruktur air yang sepatutnya berada 5 tahun di hadapan unjuran keperluan air domestik, kini agak ketinggalan di belakang.


Pengalaman penswastaan di negeri Kedah ini banyak mencatatkan ia diiktiraf sebagai merugikan. Contohnya kerajaan dahulu telah menswastakan bekalan air di Langkawi kepada Teliworks. Ekoran dari itu tahun lalu sahaja Kerajaan Negeri terpaksa membayar sebanyak RM 39 juta kepada Teliworks sedangkan kutipan hasil air hanya mencecah RM14.5 juta. Ini tidak termasuk bayaran kepada Loji Air Utara di Sungai Petani dan bebanan bayaran ini akan ditanggung Kerajaan Negeri sehingga tahun 2020.


“Kita tidak mahu mendedahkan kepada siapa projek ini diswastakan dan cara syarat penswastaan yang merugikan Kerajaan Negeri, pihak syarikat tidak bertanggungjawab ke atas jumlah kutipan balik. Mereka juga tidak bertanggungjawab terhadap kerugian akibat kecurian air atau kerosakan, paip bocor akan ditanggung oleh kerajaan,” kata YB Amiruddin lagi.


Tetapi perlu kita amati juga, berdasarkan sumber dari Setiausaha Politik MB Kedah, bekalan dan pengurusan air di Langkawi yang diswastakan kepada sebuah syarikat kroni MCA itu mendatangkan kerugian kepada kerajaan negeri hampir 20 sen bagi setiap liter. Hingga 2020, unjuran kutipan hasil tahunan ialah RM35 juta, tetapi kerajaan kena bayar kepada syarikat itu lebih RM70 juta setahun.


Dalam pada itu, YB. Dato’ Ir Haji Amiruddin dipetik mengatakan bahawa Kerajaan Negeri Kedah sudahpun berkorban dengan tidak menebang balak dipinggir kawasan tadahan air demi menjaga kepentingan bekalan air untuk kegunaan yang pelbagai. Persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk membayar RM100 juta setahun atas ‘pengorbanan’ tersebut masih tidak ditunaikan sehingga kini.

Sumber dari Setiausaha Politik MB Kedah juga jelas menyatakan sejak awal mengambil alih kerajaan ini YAB MB Kedah telah mengutarakan isu yang sangat besar untuk diangkat oleh kerajaan dan rakyat Kedah iaitu: Kedah harus dibayar RM100 juta setahun atas ‘pengorbanan’ kerajaan negeri dan rakyat menyediakan bekalan air bagi kegunaan pertanian di utara semenanjung. ‘Pengorbanan’ yang juga disebutkan oleh YB Amiruddin itu disebut sebagai Carbon Money atau Payment Of Environment Sevices (PES). Dengan air yang ditakung dalam empangan di Kedah, yang ditadah oleh hutan-hutan yang tidak diusik di negeri ini, maka sektor pertanian khususnya padi dapat ditanam 2 kali setahun di kawasan MADA Kedah dan Perlis hingga ke Pulau Pinang. Air Kedah juga menjadi sumber kegunaan domestik dan industri di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Hasil dari pertanian dan industri ini kebanyakannya mengalir kepada Kerajaan Pusat dalam bentuk cukai dan penyumbang kepada KDNK negara.


Kedah menjadi jelapang padi kerana tadahan air ini, Pulau Pinang berjaya mengangkat Syarikat Pengurusan Bekalan Airnya ke papan Utama Bursa Malaysia kerana sumber air Kedah. 63% beras untuk rakyat Malaysia datang dari jelapang padi yang disalirkan oleh air Kedah. Maka, pengorbanan rakyat Kedah untuk negara harus dibayar oleh Kerajaan Pusat dengan peruntukan RM100 juta setahun. Tapi tidak ramai rakyat Kedah bangkit menyokong tuntutan ini. Masa BN memerintah dahulu pun, tuntutan ini tidak diperjuangkan sepenuhnya, walaupun dari satu bakul politik yang sama.


Timbalan Menteri Pertanian & Asas Tani dari Jitra tiba-tiba baru ini membuat kenyataan menghentam kerajaan negeri Kedah akibat isu air dengan berkata walaupun kemarau bertahun-tahun, bekalan air di Kedah tidak akan terjejas kerana Kedah banyak empangan. Sedangkan empangan itu untuk pengairan pertanian yang di bawah kementeriannya. Sepatutnya nada ucapannya perlulah mencerminkan gaya seorang kepimpinan negara dan berdasarkan fakta, bukan memberikan contoh sebegitu, dilihat seumpama melawan kuasa Yang Maha Kuasa pula. Nau’zubillah.


Minggu lalu, difahamkan SADA telah memohon kepada JPS untuk melepaskan takungan dalam Empangan Beris ke Sungai Muda kerana banyak( inlet) rumah pam sudah tergantung kerana air sungai surut kerana kemarau. Akibat kepanasan yang melampau, berlaku banyak kehilangan air proses pemeluapan dan NRW (Non Reveniew Water). Rumah pam dan tangki SADA sudah beroperasi pada tahap maksimum, kalau ditambah lagi pressure ke atas kelengkapan ini, ia boleh rosak sepenuhnya.


Maka dari maklumat-maklumat ini, rakyat Kedah perlulah menilai dari pelbagai aspek berkaitan isu air di Kedah ini, agar tidak hanya ‘mendengar’ dari sebelah pihak semata-mata. Saya hanya membantu melalui petikan-petikan sumber alternatif yang ada. Ringkasnya, bukan hanya di Kedah, namun ada sahaja tempat lain di dalam negara yang lebih teruk kerana tidak pernah merasai nikmat bekalan air yang bersih walaupun negara sudah 52 tahun lebih mencapai kemerdekaan.



p/s : Tapislah semua isu dengan tapisan akal yang waras, emosi yang stabil, beserta iman yang sihat, agar kita lebih ‘relevan’ dan ‘jejak’ di bumi realiti..=)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails