Jumaat, Julai 16, 2010

Suatu Kisah Kepimpinan Teladan

Cuaca di luar sangat panas terik. Ketika itu sahabat Nabi s.a.w., Saidina Uthman bin Affan r.a. sedang berehat di rumahnya. Dari jendela rumahnya dia dapat melihat seorang lelaki yang sudah berumur, berjalan terhoyong-hayang menutupi mukanya dari kepanasan dan debu yang berterbangan.

Saidina Uthman kehairanan. Siapakah lelaki yang sanggup berjalan di tengah panas itu sedangkan orang lain semuanya berteduh, di kala hari yang panas begitu terik sedemikian rupa. Pasti dia berada di dalam kesusahan. Lantas dia membuat andaian sendiri.

Kemudian, lelaki itu kelihatan memegang seekor lembu pada tali kekangnya. Saidina Uthman memanggil lelaki yang tidak dikenali dari jauh itu, supaya berteduh di rumahnya dari panas terik, selain ingin mengetahui siapakah gerangan lelaki tersebut.

Setelah lelaki itu tiba di halaman rumahnya, Saidina Uthman terperanjat kerana ternyata rupa-rupanya dia ialah Amirul Mukminin Khalifah Umar Al-Khattab. Saidina Uthman segera keluar dari rumahnya dan bertanya, “Engkau dari mana wahai Amirul Mukminin?”

Saidina Umar menjawab, “Sebagaimana yang engkau melihat, aku sedang mengheret lembu ini.”

“Siapakah pemiliknya?” Tanya Saidina Uthman dengan penuh kehairanan, bagi mendapatkan kepastian. Sebab biasanya Saidina Umar tidak begitu menghiraukan harta bendanya sendiri.

“Ini adalah kepunyaan anak-anak yatim yang telah terlepas dari kandangnya dan berlari di jalan. Aku telah mengejarnya sehinggalah aku dapat menangkapnya.”

Saidina Uthman bertanya lagi, “Tidak adakah orang lain yang boleh melakukan pekerjaan itu selain engkau, bukankah engkau seorang Khalifah?”

Saidina Umar menjawab dengan tegas, “Siapakah yang bersedia menebus dosaku di hari perhitungan kelak? Mahukah orang itu memikul tanggungjawabku di hadapan Allah? Kekuatan adalah amanah bukan kehormatan.”

Maka Khalifah Umar Al-Khattab pun meneruskan perjalanannya. Saidina Uthman hanya melihatnya pergi dengan air matanya jatuh berguguran membasahi pipi. “Engkau merupakan cermin sebagaimana seharusnya menjadi kewajipan seorang pemimpin negara dan merasa berat dirasakan oleh Khalifah selepasmu.”

Sedikit kesimpulan dari perkongsian cerita ini, pemimpin yang beriman sebegitu, merasa bimbang dan resah dengan jawatan dan amanah yang disandangnya kerana tanggungjawab itu sungguh berat. Berbeza sekali dengan manusia pada zaman ini yang mana mereka berlumba-lumba ingin mendapatkan jawatan, tanpa mengira ianya melobi atau rasuah, supaya dapat menggunakan kuasa dan wang yang ada padanya.


p/s : Pemimpin negara kita hari ini bagaimana pula ya? Apakah masih ada di dalam hati-hati mereka tentang tanggungjawab mereka terhadap rakyat? Rakyat yang memberi kepercayaan kepada mereka, seharusnya mereka membalas kepercayaan tersebut, dengan menjaga kepentingan rakyat, mendengar rintihan dan luahan hati rakyat.. Amanah dan kepercayaan dari rakyat, wasilah untuk berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk membebankan rakyat..=p



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails