Jumaat, Mei 27, 2011

Pesan Si Tua


Seorang tua datang kepadaku.. dan kami saling menyapa.. senyuman tidak pernah lekang dari raut wajahnya. Beberapa minit sahaja kami sudah mesra berbicara dari hati ke hati. Dia berpesan dengan mengungkapkan sebuah pantun kiasan lama, yang bermula dari tahun 1960an lagi katanya,

Dalam semak ada duri,

Ayam kuning membuat sarang,

Orang tamak selalu rugi,

Bagai anjing dengan bayang-bayang.


Panjang umur tiada gunanya jika tidak sihat dan tidak dapat beribadat kepadaNYA. Tiada guna jika hidup lama jika menghidap pelbagai penyakit dan menyusahkan orang lain. Tiada guna sihat jika hidup merempat. Ia menghampiri kekufuran, ujarnya tulus.

Jadi, berdoalah agar kita diberi kesihatan tubuh badan dan terhindar dari penyakit untuk beribadat kepada Allah, malah pintalah diberikan rezeki cukup seadanya, agar kita tidak kufur kepadaNYA.

Persoalan rezeki sesuatu yang abstrak. Ia cukup sinonim dalam kehidupan orang melayu. Ayat yang sering kedengaran, “Ada rezeki, adalah kerjanya nanti..”, ayat yang terungkap apabila seseorang yang belum mempunyai kerjaya ataupun sedang mencari kerjaya dalam hidupnya.

Seorang tukang gunting rambut contohnya, jika dengan kerjayanya itu sudah memadai untuk menampung keperluan diri dan keluarganya, dan dia bersyukur, maka ianya lebih baik dari si kaya yang kufur nikmat terhadap kurniaan dan rezeki yang telah diberikan Allah kepadanya.

Seorang pesawah, jika tanah sawah yang diusahakannya itu sudah cukup untuk menampung kos sara hidup keluarganya, malah ia pakej sebagai senaman untuk menjaga kesihatan tubuh badannya apabila mengeluarkan peluh ketika bekerja di sawah, ianya sudah berbaloi buat kehidupannya.

Berapa ramai yang kaya tetapi mempunyai penyakit kronik, adakah mereka ini bahagia? Berapa ramai yang kaya tetapi anak-anak mereka tidak hormat kepada mereka sebagai ibu bapa, adakah terbit cahaya kebahagiaan buat mereka? Berapa ramai yang panjang umurnya malahan kaya tetapi tidak tenang hidupnya, adakah mereka boleh mendabik dada mengatakan mereka mengecapi bahagia??

Berbalik kepada pantun kiasan lama di atas, orang tamak yang gilakan harta, kejarkan kebendaan dan kekayaan, hakikatnya mereka rugi jika tidak menyandarkan kepada ‘kekayaan’ di akhirat sana.

Bagai cerita anjing dengan bayang-bayang, sudah digonggong tulang di mulutnya, namun bila sampai di titian sungai, terlihat bayang-bayangnya di air muka sungai, perasaan tamak mula berbunga.

Teruja mahu merampas tulang yang dimiliki anjing tersebut, padahal itu hanyalah ‘anjing ciptaan’ bayang-bayangnya sendiri, ia membuka mulut lalu terjatuhlah tulang yang digonggongnya ke dalam sungai lantas hilanglah juga anjing ‘ciptaan’ itu.

Maka jadilah kita orang yang beruntung. Jauhi sikap tamak dalam kehidupan sementara ini. Rezeki dari Allah sangat luas. Kejarlah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, semoga hasil usaha titik peluh kita itu diredhai Allah.

Biarpun kita hanya seorang miskin dan pendapatan pun tidak seberapa, namun berlapang dadalah dan berasa cukup dengan apa yang ada. Kerana apa? Kerana itulah lebih dipandang Allah berbanding orang yang tamakkan harta kekayaan, lantaran ianya bersandarkan usaha tangan kita sendiri dan ikhlas keranaNYA.. insyaAllah..

2 ulasan:

  1. pesanan buat diri Nadh.. maceh kamu.. :)

    Nadh nak kongsi cerita 100 Letters of LOVE
    . baru ciap ja ni. rajin kalau komen ya. Nadh baru belajar buat cerita ni.. :) Mungkin dengan teguran sahabat semua dapat improve skill menulis Nadh. Maceh ya. :)

    BalasPadam
  2. Nadh, dh baca cerita Nadh, best sangaat.. ada bakat besar ni.. tQ dtg sini yuk..=p

    BalasPadam

Related Posts with Thumbnails