Khamis, Oktober 28, 2010

Siri 1 : Bajet Penawar Keperluan Rakyat Atau Sekadar Pembaziran??


Dalam kehidupan seharian, dalam sehari-hari atau dalam seminggu, mungkin akan ada nada dialog-dialog ini..

Dialog si ibu kepada anaknya untuk pergi ke kedai dan pasar :

“Mat, pergi kejap belikan susu, gula, minyak masak, tepung, ayam, kopi…..”

Bukannya begini :

“Mat, pergi kejap belikan beg tangan berjenama, kasut berjenama, pewangi berjenama, dompet berjenama, pewarna rambut, kelambu…..”

Berbilion-bilion diumumkan, apa rakyat dapat pada keesokan harinya? Apakah nelayan-nelayan dapat bot baru bagi menggantikan bot-bot kecil yang sudah dimamah usia? Rakyat yang mana hanya makan ikan kering sebagai menu harian, esoknya sudah dapat makan lauk ayam dan daging? Pengumumannya hanya penyedap halwa mata dan telinga.

Banyak lagi rakyat yang merempat di negara sendiri namun yang kaya akan terus kaya, yang miskin terus kekal miskin. Bajet 2009 pun ada banyak projek tidak terlaksana dengan baik malah peruntukannya bukan ‘totally’ rakyat merasainya. Ingin menumpang nikmat kekayaan hasil mahsul negara, namun harus ditunggu sampai bila??

Sabtu, Oktober 23, 2010

Hina Islam Terang-Terangan, Apa Pendirian Kita??


Pada pandangan saya, sudah terang lagi bersuluh bahawasanya jika jahil seseorang itu, janganlah sampai memberikan kesan yang buruk kepada agama, apatah lagi sampai menghina Islam sedemikian rupa. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pun ada, Mufti-Mufti pun ada, ulama' muda Umno pun ada, Ulama' Pas pun ada, ulama' tanpa kepentingan politik pun ada. Tegur-tegurlah. Rujuk-rujuklah. Apa lagi kalau bukan isu Festival Busana Muslim yang diadakan 9 Ogos lalu di Monte Carlo.

Sakitnya mata dan hati bila kejadian ini yang sudah berlaku pada Ogos yang lalu, baru dapat diketahui umum baru-baru ini. Bagi yang ambil peduli, sebenarnya sebelum itu, festival tersebut juga telah diadakan di ibu kota, Malaysia yang kita cintai ini. Terang-terangan menghina Islam, menghina Nabi Muhammad s.a.w. yang kita cintai. Jikalau dahulu kita marah dan kecam Salman Rushdie kerana menulis dan menghina Nabi, dan kemudiannya kita memboikot Denmark kerana tersebarnya karikatur menghina Nabi, namun kali ini bagaimana? Tambahan pula ada yang terlibat sememangnya orang Islam (cuma jahil).

Ini bukanlah isu ataupun perkara yang main-main. Pendapat peribadi, seandainya memang jalan kebenaran perlu dituntut, bawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan. Sahabat-sahabat bolehlah rujuk pendapat Ustaz Zaharuddin Abd Rahman dan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin tentang isu ini.. Baca, teliti dan fahami sebaik-baiknya.. Klik sahaja link di bawah, bagi pembaca blog ini..

Khamis, Oktober 21, 2010

Kesatuan Parlimen Antarabangsa Selar Perbicaraan Anwar Berat Sebelah


Kesatuan Parlimen Antarabangsa (IPU) menyelar cara proses perbicaraan konspirasi kedua Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijalankan.

Berasaskan laporan 24 mukasurat yang dikemukakan oleh peguam pemerhati Queens Counsel kes tersebut, Mark Trowell, yang mengikuti perbicaraan berkenaan diserahkan kepada Jawatankuasa Parlimen Hak Asasi Manusia, IPU mengambil ketetapan resolusi bahawa kes pendakwaan telah dikompromi dengan prosedur yang tidak mengikut peraturan.


IPU, yang memberikan tumpuan sepenuhnya memantau kes pendakwaan tersebut sebulat suara menetapkan resolusi bahawa terdapat banyak kesalahan serta kecacatan dalam pelaksanaan pendakwaan yang dilakukan serta terdapat persoalan unsur pengumpulan bukti yang diselubungi kemusykilan.


Resolusi itu turut menyebut, "Trowel menyediakan analisis terperinci persoalan ini dan mencapai kesimpulan bahawa 'memandangkan kes pendakwa telah tercemar, kepentingan awam akan memberikan justifikasi untuk menghentikan pelaksanaan pendakwaan tersebut.

Santa 'Pak Haji' : TV3 Didenda RM50 000


Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) telah dikenakan denda maksimum RM50,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana menyiarkan iklan kontroversinya berhubung sambutan Aidilfitri yang lalu.

Iklan yang disiarkan oleh stesen televisyen swasta
pertama itu didakwa menyentuh sensitiviti umat Islam.


Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum memaklumkan kepada Dewan Rakyat hari, siasatan SKMM mendapati iklan berkenaan “menghina dan mengapi-apikan”.

Penjelasan itu sebagai menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli parlimen bebas yang mewakili Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin yang ingin tahu mengenai tindakan kerajaan ke atas TV3 kerana menyiarkan iklan “Sinari Lebaran”.

Rabu, Oktober 20, 2010

Kebebasan Media Malaysia : Terburuk Dalam Tempoh 9 Tahun


Kedudukan Malaysia jatuh 10 anak tangga kepada 141 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2010 (boleh klik di sini bagi pembaca blog ini) - menunjukkan pencapaian yang terendah dalam tempoh sembilan tahun - dalam senarai 178 buah negara di seluruh dunia.

Malaysia gagal memanfaatkan peningkatan kedudukannya pada tahun lalu yang naik satu anak tangga dari 131 kepada 132.

Isu-isu yang mungkin menjejaskan kedudukan Malaysia termasuk siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap video kepala lembu Malaysiakini, penangkapan penulis blog RPK dan pengharaman buku kartunis Zunar.

Isnin, Oktober 18, 2010

Bajet 2011 Gagal Zahirkan MBE, ETP



Walaupun banyak yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), namun tiada satu pun daripada polisi itu yang dizahirkan dalam Bajet 2011.

Bercakap dalam forum anjuran DAP di Petaling Jaya malam tadi, pakar dan ahli politik Pakatan Rakyat berkata bajet yang diumumkan Jumaat lalu, gagal menyerlahkan program "transformasi" kerajaan untuk menjadikan Malaysia masyarakat berpendapatan tinggi.


Pensyarah perniagaan Universiti Malaya (UM) Cheong Kee Cheok tidak menemui kaitan antara bajet pertama era 'transformasi' Najib dan dasar-dasar barunya itu.

"Tidak ada petunjuk tentang bagaimana untuk mengaitkan bajet ini dengan ETP. Ada beberapa pelaburan infrastruktur, tapi persoalannya di mana ianya dilaburkan? Hanya sedikit untuk mengaitkannya dengan MBE," katanya.

Bajet : Tersirat Di Sebalik Cuti Bersalin 90 Hari


PEMBERIAN cuti bersalin sebanyak 90 hari berbanding 60 hari sebelum ini kepada penjawat awam wanita menimbulkan dua reaksi berbeza.

Ketika Presiden Persatuan Kesihatan Ibu dan Bayi Malaysia (MAMANEH), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj bersetuju dengan fleksibiliti menentukan sendiri tempoh cuti bersalin, Perunding Rakan Sebaya Penyusuan Ibu Malaysia, Nor Kamariah Mohd Alwi pula berpendapat ia hanya mengehadkan bilangan anak buat wanita bekerjaya.

Mengulas lanjut, Nor Kamariah berkata, mengikut peruntukan itu, cuti 90 hari daripada 300 hari perkhidmatan itu sama dengan cuti bersalin 90 hari untuk anak pertama hingga tiga saja.

“Sebelum ini, kerajaan memberikan cuti dua bulan dengan peruntukan 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatan dan bilangan itu bersamaan dengan tempoh cuti bersalin hingga anak kelima. Sekarang, bilangan cuti bertambah, tetapi dengan peruntukan sama 300 hari. Ini bermakna cuti hanya untuk sehingga anak ketiga, jika wanita terbabit mahu mengambil cuti sehingga 90 hari setiap kali bersalin,” katanya.

Ahad, Oktober 17, 2010

Apabila Kerajaan Mula Berniaga


Oleh - Abdul Aziz Bari


Isnin lalu Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua membangkitkan beberapa statistik yang pada saya menggerunkan. Menggerunkan kerana sebelum ini Malaysia dilaporkan mengalami kejatuhan yang sangat besar dalam sektor pelaburan asing: penurunan sebanyak 80 peratus.

Negara menerima pelaburan asing sebanyak RM 23 bilion pada 2008 tetapi merosot kepada hanya RM4.4 bilion tahun lalu. Selain gagal menarik pelabur asing Malaysia juga gagal meyakinkan rakyatnya sendiri apabila agak ramai pemodal tempatan memilih untuk melabur di luar negara.


Apa kaitan itu semua dengan perlembagaan? Pada saya itu semua menunjukkan kepada kita malapetaka yang akan timbul apabila kita melanggar ideal dan peruntukan perlembagaan. Tanda-tanda awal kelihatan sebaik sahaja Tun Salleh Abas dipecat dari jawatan Ketua Hakim Negara pada 1988. Kebelakangan ini Malaysia mendapat tempat yang corot dalam liga ketelusan dan anti rasuah dunia. Dan, ini memberi kesan negatif kepada pelabur asing.

Sabtu, Oktober 16, 2010

Konsert Adam Lambert Dan Bajet Pinggirkan Mahasiswa

Dengan segala masalah sosial yang kritikal melanda masyarakat sekarang, saya mewakili suara dan pandangan anak muda mahasiswa, amat geram, kecewa, sedih dan marah bila mana beberapa orang pimpinan kerajaan dan parti politik, membuat kenyataan membantah konsert artis gay, Adam Lambert yang mana ianya dipandang sebagai suatu tindakan yang ekstrim. Bukanlah hanya kerana ianya datang dari mulut pimpinan Barisan Nasional, akan tetapi ianya lebih menyedihkan bila mana ianya keluar dari mulut salah seorang Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia sendiri.


Demostrasi secara aman tersebut yang disertai Dewan Pemuda PAS Pusat dengan penyertaan ahli-ahli Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), yang mewakili mahasiswa dari pelbagai kampus, adalah bagi membuka minda masyarakat, betapa penerapan dan pengaruh nilai-nilai budaya songsang yang sememangnya wajib dibendung. Jika tidak dibendung, dikhuatiri dan amat dibimbangi ianya akan melarat seterusnya menjadi ikutan dan budaya masyarakat kita pula. Sebelum ianya membarah dalam masyarakat, biarlah ianya dicegah sebelum terlambat.

Konspirasi Illuminati : Kenapa Yahudi Inginkan Baitulmaqdis

Misi penting Yahudi untuk membina semula Solomon Temple


Aktiviti ritual atau penyembahan syaitan


Sedikit lakaran tentang Solomon Temple


Pada masa Nabi Daud dan Sulaiman, para Yahudi semuanya taat kepada Allah. Nabi Sulaiman mempunyai satu mukjizat iaitu sangat kaya, menguasai angin, jin, mesgastua. Pada zaman tersebut jin tunduk kepada Nabi Sulaiman dan mereka banyak membawakan emas kepada Nabi Sulaiman sehinggakan di bawah laut pun Ifrit tolong ambilkan.

Masa Nabi Sulaiman mengarahkan pembinaan Masjid Al-Aqsa, semua jin patuh dengan perintah tersebut dan mereka membuat dengan bersungguh-sungguh bersama dengan para Yahudi dan manusia lain sampaikan mereka tidak sedar kewafatan Nabi Sulaiman.


Nabi Sulaiman wafat ketika berdiri atau duduk atas kerusi semasa memerhatikan jin dan manusia membina Masjid Aqsa. Sampai masa siap sepenuhnya, barulah kewafatan baginda dipertunjukkan dengan anai-anai makan tongkat baginda dan jasad baginda terjatuh. Ini nak menunjukkan bahawa jin juga tidak mengetahui perkara ghaib.

Jumaat, Oktober 15, 2010

Cerita Di Sebalik Negara Berpendapatan Tinggi



Kerajaan pimpinan PM Dato' Seri Najib Tun Razak telah membentangkan dan melancarkan sebuah program pembangunan yang 'agak besar' semalam (Bajet 2011) kerana mahu menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 yang mana ketika itu Malaysia akan tergolong dalam kategori negara maju.

Menjelang tahun 2020, keluaran dalam negeri kasar (KDNK) per kapita negara dijangka akan berada pada tahap RM46,000 (US$15,000) berbanding dengan RM23,000 (US$7,500) pada tahun 2010.

Selama beberapa Pelan Rancangan Malaysia, kerajaan merupakan penggerak kepada pembangunan ekonomi negara tetapi apabila Najib menyedari bahawa kerajaan tidak lagi mengetahui semuanya dalam banyak hal pembangunan ekonomi, maka kali ini pihak swasta akan diberi penghormatan untuk menjadi kepala keretapi. Pihak swasta adalah drebar kepada pembangunan ekonomi untuk 10 tahun mendatang ini.

Selasa, Oktober 12, 2010

Kerajaan Perlu Tegas Elak Nahas Berulang

Gambar bas ekspres yang menghempap kereta Myvi

Laporan akhbar mengenai nahas tersebut


Sungguh menyayat hati bila berita di dada-dada akhbar memaparkan 12 orang maut dan ramai lagi mangsa cedera parah dalam nahas lebuh raya baru-baru ini. Ia membabitkan 2 buah bas, 3 buah kereta dan juga van. Ternyata kini, jalan raya sudah menjadi ‘sungai maut’ bagi insan-insan yang tidak berdosa, membuatkan diri kita turut bersimpati dan bersedih atas kematian mangsa-mangsa nahas tersebut.

Adakah di sana membuktikan sistem pengangkutan awam di negara kita ini tidak lagi menjamin keselamatan penumpangnya? Di manakah silapnya? Di mana pula pihak berkuasa yang bertanggungjawab yang tentunya ada perkaitan dalam kes sebegini?? Apa peranan kerajaan?

Di mana penguatkuasaan had laju, penguatkuasaan pemasangan kotak hitam dan pemasangan lampu amaran untuk memantau had kelajuan terutama bagi bas-bas ekspres? Adakah pemantauan pihak berkuasa sekadar bersifat semasa ataupun sekadar bermusim sahaja? Terbayarkah harga dan nilai nyawa yang dipertaruhkan, akibat kelalaian pihak-pihak tertentu?

Isnin, Oktober 11, 2010

Dasar Lupus Kereta Lama Susahkan Rakyat Tidak Berkemampuan


Oleh Fazli Othman


SHAH ALAM 11 Okt - Dasar kenderaan tamat hayat (ELV) dalam Bajet 2011 akan memberi impak negatif dan merupakan malapetaka kepada rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail berkata dasar itu sekaligus membuktikan keputusan kerajaan sebelum ini untuk mengeluarkan kereta buatannya sendiri adalah salah.

Menurut beliau, di antara negara ASEAN, Malaysia merupakan negara tunggal mengeluar dan memasang keretanya sendiri.

"Saya yakin dasar ini hanya untuk menyelamatkan industri automotif negara yang kini mencapai peringkat ketepuan. Dari segi kualiti berbanding kereta buatan luar negara, kita masih lagi ketinggalan dan disebabkan tidak laku di pasaran tempatan maka isu kereta lama yang dikatakan tidak selamat dan tidak mesra alam dijadikan alasan.

Kerajaan Pusat Tangguh GST Lagi, Ada Makna Ke?


Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang sepatutnya dikuatkuasakan oleh kerajaan sekali lagi ditangguhkan - langkah yang selalunya diambil apabila bakal menghadapi pilihan raya umum.

Namun, menurut taklimat kepada editor kanan, cukai baru itu tetap akan dilaksanakan tetapi kerajaan buat masa ini memerlukan masa yang lebih panjang.

Sebelum ini,
cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dijadualkan dilaksana pada Mac tahun ini ditangguhkan dengan alasan kerajaan kini mendapatkan maklumbalas daripada orang ramai.

Cukai daripada
cukai barangan dan perkhidmatan (GST) itu dikatakan mahu menambahkan pendapatan negara yang sekarang ini banyak bergantung kepada royalti minyak yang dibekalkan oleh Petronas.
Related Posts with Thumbnails