Sungguh menyayat hati bila berita di dada-dada akhbar memaparkan 12 orang maut dan ramai lagi mangsa cedera parah dalam nahas lebuh raya baru-baru ini. Ia membabitkan 2 buah bas, 3 buah kereta dan juga van. Ternyata kini, jalan raya sudah menjadi ‘sungai maut’ bagi insan-insan yang tidak berdosa, membuatkan diri kita turut bersimpati dan bersedih atas kematian mangsa-mangsa nahas tersebut.
Adakah di sana membuktikan sistem pengangkutan awam di negara kita ini tidak lagi menjamin keselamatan penumpangnya? Di manakah silapnya? Di mana pula pihak berkuasa yang bertanggungjawab yang tentunya ada perkaitan dalam kes sebegini?? Apa peranan kerajaan?
Di mana penguatkuasaan had laju, penguatkuasaan pemasangan kotak hitam dan pemasangan lampu amaran untuk memantau had kelajuan terutama bagi bas-bas ekspres? Adakah pemantauan pihak berkuasa sekadar bersifat semasa ataupun sekadar bermusim sahaja? Terbayarkah harga dan nilai nyawa yang dipertaruhkan, akibat kelalaian pihak-pihak tertentu?
Daripada pengamatan kesan perlanggaran kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam nahas ini, kemudian dengan hasil maklumat dapatan yang diambil dari kenyataan saksi terdiri daripada penumpang bas itu sendiri dan juga saksi di tempat kejadian, membuktikan bas ekspres tersebut dipandu laju hinggakan ianya tidak dapat dikawal dan tercampak ke atas jalan yang bertentangan.
Kita tidak mahu menyalahkan satu-satu pihak 100% akan tetapi jadikanlah nahas ini sebagai iktibar buat semua pihak yang berkenaan. Harga sebuah nyawa yang melayang amat bernilai buat insan-insan tersayang. Dek kerana kecuaian pihak-pihak tertentu, ianya turut meragut nyawa insan yang tidak bersalah.
Tidak perlu menunggu musim perayaan barulah penguatkuasaan diketatkan, pemantauan dilaksanakan, Ops Sikap dilancarkan untuk meminimakan kemalangan jalan raya, akan tetapi ianya hendaklah bersifat berterusan dan dipantau dari semasa ke semasa.
Sama ada pihak pengurusan bas ekspres, pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), polis trafik, dan agensi-agensi yang berkaitan, mestilah melipatgandakan usaha mereka ke arah penambahbaikan keselamatan para penumpang di atas jalan raya di negara ini.
Jika suatu ketika dahulu, pernah digembar-gemburkan bahawa seorang polis trafik ataupun penguatkuasa akan dihantar pihak berkuasa untuk menyamar sebagai orang biasa dalam setiap bas ekspres bagi memantau pemanduan dan keselamatan bas tersebut, namun sehingga ke hari ini adakah ianya masih ‘beroperasi’?
Seperti yang kita ketahui, had laju maksimum bagi bas ekspres ataupun kenderaan berat seperti lori ketika di atas jalan raya hanyalah 90 km/j. Namun seringkali kita melihat betapa gahnya bas atau lori memotong laju kenderaan lain yang ternyata melebihi had laju, ketika di atas jalan raya, tanpa memikirkan keselamatan penumpang dari kenderaan yang lain!!
Pihak LPKP, JPJ dan polis trafik misalnya boleh bekerjasama bagi membanteras sikap pemandu yang tidak bertanggungjawab ini dengan mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap mereka. Sebagai contoh, pemandu atau bas ekspres yang tidak mematuhi peraturan harus didenda setimpal dan dibatalkan lesennya. Bagi pemandu bas yang melakukan kesalahan berat berulang kali sebagai contohnya, nama mereka boleh disenaraihitamkan daripada menjadi pemandu bas di mana-mana syarikat bas atau agensi yang berkaitan. Hal ini berkaitan dengan nyawa!
Antara kaedah lainnya, kuatkuasakan semula pemasangan kotak hitam dan lampu amaran had kelajuan terutama bagi bas-bas ekspres. Pemeriksaan dan pemantauan yang kerap dari pihak berkuasa terhadap syarikat-syarikat bas perlu dilaksanakan. Kementerian yang berkenaan juga boleh mengambil tindakan segera yang sewajarnya. Pihak pengurusan bas pula, perlulah memastikan jadual perjalanan bas di bawah kendalian syarikat mereka tidak terlalu padat terutamanya bagi mengelakkan pemandu bas tidak mendapat rehat yang secukupnya.
Diharapkan dengan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat seterusnya kerjasama erat dan keprihatinan dari semua pihak, dapat memainkan peranan berkesan bagi mengelakkan nahas ngeri seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa hadapan. Kepada semua pemandu, jadilah pemandu berhemah demi insan yang tersayang! Kepada kerajaan, ambil tindakan segera terhadap kes ini dan prihatinlah terhadap rakyat seperti slogan 'rakyat didahulukan' itu, jangan hanya sekadar indahnya sebuah kata-kata!!Juga boleh dilihat di laman berikut :
:: KedahLanie ::: Kerajaan Perlu Tegas Elak Nahas Berulang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan