Khamis, Oktober 28, 2010

Siri 1 : Bajet Penawar Keperluan Rakyat Atau Sekadar Pembaziran??


Dalam kehidupan seharian, dalam sehari-hari atau dalam seminggu, mungkin akan ada nada dialog-dialog ini..

Dialog si ibu kepada anaknya untuk pergi ke kedai dan pasar :

“Mat, pergi kejap belikan susu, gula, minyak masak, tepung, ayam, kopi…..”

Bukannya begini :

“Mat, pergi kejap belikan beg tangan berjenama, kasut berjenama, pewangi berjenama, dompet berjenama, pewarna rambut, kelambu…..”

Berbilion-bilion diumumkan, apa rakyat dapat pada keesokan harinya? Apakah nelayan-nelayan dapat bot baru bagi menggantikan bot-bot kecil yang sudah dimamah usia? Rakyat yang mana hanya makan ikan kering sebagai menu harian, esoknya sudah dapat makan lauk ayam dan daging? Pengumumannya hanya penyedap halwa mata dan telinga.

Banyak lagi rakyat yang merempat di negara sendiri namun yang kaya akan terus kaya, yang miskin terus kekal miskin. Bajet 2009 pun ada banyak projek tidak terlaksana dengan baik malah peruntukannya bukan ‘totally’ rakyat merasainya. Ingin menumpang nikmat kekayaan hasil mahsul negara, namun harus ditunggu sampai bila??

Ini bajet rakyat atau bajet berbaur politik??

Maksudnya, rakyat jelas bajet ini setiap kali diumumkan, ianya hanya untuk orang-orang tertentu sahaja, untuk kepentingan tertentu, bukannya kehendak rakyat, malah menjadi gula-gula pilihan raya, yang mana pengagihan kepada pihak itu pun, belum ada jaminan tidak akan berlaku ketirisan.

Berbalik kepada Bajet kali ini. Beg tangan paling banyak orang beli setahun sekali atau dua kali mengikut kemampuan. Inikan pula beg tangan berjenama. Kasut juga serupa, mungkin 2 tahun sekali dua kali, atau setahun 2 kali bagi golongan sederhana dan bawahan. Dompet pula, itu pun akan ditukar bila mana yang sedia ada sudah koyak. Rakyat biasa bagi yang mahu beli baru, yang harga RM10 pun melambak-lambak dekat pasar malam atau Mydin.

Pewarna rambut pula? Ini yang parah. Bagi saya, ini serupalah mahu menggalakkan perempuan tidak bertudung. Bagi golongan itu, rugi jika diwarnakan rambut, tetapi tidak dapat menayangkannya bukan? Mungkin juga boleh meramaikan lelaki untuk mewarnakan rambut. Paling menyedihkan bila saya melihat budak-budak berumur dalam lingkungan sekolah rendah sudah mewarnakan rambut.

Apakah relevannya cukai beg tangan berjenama, kasut, beg dompet, pewarna rambut, seluar, seluar dalam dan beberapa barang lagi, dikurangkan cukainya? Semuanya bagi barang-barang berjenama sahaja, dan apa faedahnya kepada orang-orang kampung dan masyarakat biasa umumnya??

Sedih. Terharu. Orang-orang kampung terpaksa mengikat perut dan menahan lapar untuk dapatkan keperluan yang cukup, buat keluarga dan anak-anak. Mereka turun ke laut, turun ke sawah, menjadi buruh dan sebagainya, walaupun sudah berumur, demi sesuap nasi.

Harga gula, beras, ayam, ikan, sayur, minyak masak, petrol, tepung, gas, dan susu dinaikkan, sudah pasti mereka akan berjuang untuk mendapatkan keperluan tersebut demi anak-anak yang masih kecil. Orang-orang miskin pula, kekadang ramai anaknya, adakah kerajaan sedar akan kehidupan rakyat bawahan seperti ini?

Jika tol 5 tahun tidak naik, ada jaminan minyak petrol tidak akan naik?? Penduduk kampung mungkin bukan setiap hari akan menggunakan tol, namun petrol pastilah digunakan oleh kenderaan mereka, walaupun mereka sekadar ‘memakai’ motor Honda 70.

Apa perlunya membina bangunan 100 tingkat bernilai RM5 bilion sedangkan pada masa yang sama rakyat susah dan derita apabila berdepan kenaikan harga barang keperluan?? Bangunan dan ruang niaga dalam bangunan KLCC pun masih banyak yang kosong. Sewanya amat mahal. Ini soal rakyat yang tidak mampu. Jadi, berbaloikah bangunan 100 tingkat??

Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad menyifatkan isu Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang tidak sekalipun disentuh di dalam Belanjawan 2011 membuktikan ketakutan kerajaan untuk bersikap telus dengan rakyat berhubung kedudukan sebenar ekonomi negara.

Kerajaan dibelenggu ketakutan jika mereka cuba membuat unjuran mengenai kemasukan FDI kerana rakyat tahu laporan antarabangsa menunjukkan betapa Malaysia sudah hilang daya saing dan mendapat FDI paling corot di kalangan negara rantau Asia.

"Perdana Menteri tidak menyentuh langsung mengenai aspek-aspek bukan ekonomi seperti ketelusan, usaha melawan rasuah, kehakiman bebas dan sebagainya yang memberi kesan kepada ekonomi serta menjadi pertimbangan penting kepada pelabur asing," komen Khalid kepada pihak media di lobi Parlimen.

Tambah beliau, belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya menonjolkan imej berbelanja tanpa memberitahu rakyat bagaimana kerajaan akan memperolehi atau meningkatkan pendapatan.

Sedangkan Malaysia akan terjejas tanpa FDI. Gagal mendapat FDI, sekarang kerajaan hendak menggunakan wang EPF dan PNB. Pengurusan dalaman akan membawa kepada banyak penyelewengan kerana lazimnya CAT tak diguna pakai.

Yang akan menjadi mangsa nanti adalah penyimpan wang kerana pulangan akan merosot. Mana-mana negara membangun yang tidak mendapat FDI yang memberangsangkan, tidak akan berjaya dalam ekonominya. Belanjawan kali ini tidak berjaya untuk mempengaruhi kemasukan FDI. Mungkin 'capital outflow' akan lebih meningkat.

Ini pula apa yang saya petik dari blog-blog yang ada dalam laman internet, yang jelasnya ia kemahuan rakyat :

Apa yang penduduk Malaysia mahukan dari belanjawan negara 2011. Mereka mahu supaya :

  1. Harga bawang putih yang naik RM2.50 sekilo diturunkan pada harga baru RM1.60 sekilo.
  2. IPCMC alat untuk mengawal aktiviti polis tetap diadakan supaya keadilan dilihat dilaksanakan.
  3. Ombudsman - jentera menilai dan menerima aduan orang ramai terhadap penjawat awam dan politikus di Malaysia dikuatkuasakan kewujudannya serta merta.
  4. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia diletakkan di bawah Parlimen dan tidak lagi di bawah kawalan Perdana Menteri.
  5. Hakim-hakim akan dilantik oleh satu jawatankuasa khas parlimen. Peruntukan diberikan dalam belanjawan untuk Jabatan Kehakiman. Bebaskan badan ini dari cengkaman eksekutif.
  6. Konsep baru insuran kenderaan diwujudkan di mana pengguna tidak akan dibebankan dengan premium yang mencekik darah.
  7. Harga susu, ikan, tepung, ayam, gula, cabai, sayur-sayuran, roti dan keperluan dapur dimansuhkan cukai jualannya serta merta sama seperti yang dilakukan terhadap barangan kelambu, seluar dalam, minyak pewangi dan sebagainya.
  8. Duti impot kenderaan akan dikurangkan 70% sama seperti di negara Thailand, Singapura, Indonesia dan lain-lain negara yang dipimpin oleh manusia bertamadun.
  9. Jalur lebar akan dibekalkan percuma kepada masyarakat di kampung-kampung sebagai agenda mencelikkan mereka yang buta IT.
  10. Kadar baru tol dengan penurunan 40% berkuatkuasa serta merta.
  11. Semua sekolah agama rakyat akan dibiaya percuma termasuk bayaran utilitinya ditanggung oleh kerajaan.
  12. Semua menteri dan penjawat akan diwajibkan mengistiharkan harta berkuatkuasa pagi 01 Januari 2011.
  13. Hak asasi akan diperluaskan lagi selari dengan kehendak rakyat dan NGO.
  14. Peguam Negara diberi peruntukan untuk mengkaji perlembagaan Reid bagi digantikan dengan hukum hudud.
  15. Tambang pengangkutan awam diturunkan 40% sesuai dengan kekayaan minyak negara bagi memudahkan orang kampung menikmati kemudahan kapalterbang, keretapi, bas, lori dan lain-lain lagi.
  16. SPR juga diletakkan di bawah jawatankuasa khas parlimen.
  17. Pembiayaan untuk mendapatkan hak pendidikan diberikan percuma sehingga ijazah pertama.
  18. Kementerian kesihatan dirombak dan masyarakat diberikan rawatan kelas pertama secara percuma tanpa perlu menunggu lama.
  19. Hapuskan segera 'menternak' rasuah di PDRM, Pejabat Tanah, JKR, Jabatan Kastam , Jabatan Pengangkutan Jalan dan Imigresen.
  20. Kembalikan kebebasan media dan hapuskan akta-akta dracula.
  21. Cuti bersalin yang baru. Cuti yang diumumkan sama seperti jumlah sebelum ini.
  22. Kecilkan saiz kabinet Malaysia dan perkhidmatan awam.
  23. Hapuskan cukai bahan-bahan binaan rumah supaya pembeli dapat menikmati harga rumah pertama yang lebih rendah.
  24. Turunkan kadar pinjaman rumah dan kenderaan penjawat awam pada 1%.


Inilah di antara apa yang rakyat harapkan tetapi tidak dapat. Ada sebarang penambahan dari anda??


p/s : akan bersambung dalam siri yang kedua selepas ini.. insyaAllah.. ada sedikit masalah sebelum ini, sehingga terpaksa 'menyimpan' lama artikel tentang isu yang ingin dikongsi, dari awal lagi sebenarnya..=)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails