Khamis, Oktober 22, 2009

Di Sebalik.....


Akhbar Kosmo baru-baru ini ada melaporkan dakwaan wujudnya sindiket yang mengaut keuntungan lumayan, hasil eksploitasi mereka terhadap orang kurang upaya (OKU) di sekitar Lembah Klang. Rata-rata tempat jika kita amati, sudah menjadi kebiasaan apabila kita sedang duduk makan di kedai makan atau medan selera, kemudiannya didatangi dengan orang buta yang dipimpin oleh seorang wanita atau lelaki celik yang menjual sama ada tisu, surah Yasin, kalendar, kad yang mengandungi surah Al-Quran ataupun pelekat al-Quran.

Walaupun alasan mereka mungkin untuk menampung keperluan kehidupan sehari
an, golongan cacat penglihatan ini dipercayai ada di antara mereka yang berselindung di sebalik sindiket pengemis yang mengaut untung berpuluh-puluh ribu ringgit sebulan bagi setiap seorang orang kurang upaya (OKU) di bawah jagaan mereka.

Pendedahan itu dilaporkan di dalam akhbar Kosmo, oleh Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, (Presma)
, Datuk Jamarulkhan Kadir yang mendakwa ada di kalangan mereka menerima pendapatan sehingga mencecah RM20,000 sebulan, malah beliau menyifatkan ia sebagai satu 'manipulasi terancang' sindiket tertentu yang berniat memeras kudrat OKU yang mana sebahagian besarnya adalah orang tempatan. Bukan itu sahaja, dikatakan juga, perolehan pendapatan daripada mengemis itu kemudiannya dibahagikan 50-50 antara OKU dan orang yang menemaninya.

Menerusi pengalamannya, beliau sendiri pernah menyaksikan empat OKU cacat penglihatan dibawa menaiki van dan kemudian diarahkan mengemis secara bergilir-gilir secara intensif di kawasan deretan kedai makan di sekitar Bangsar di sini. Menurut Jamarulkhan lagi, hasil siasatan Presma juga mendapati dalam tempoh satu jam, seorang OKU dan pasangannya berupaya meraih kutipan sekurang-kurangnya RM100.

Ini bermakna, jika dihitung selama lapan jam bekerja bagi tempoh 25 hari sahaja, katanya, mereka mampu memperoleh pendapatan paling kurang sebanyak RM20,000 sebulan. Justeru, tidak hairanlah jika kita melihat mereka yang mengemis pada waktu malam hingga dinihari ini dikatakan ada antara mereka yang hidup mewah berdasarkan kereta mewah yang membawa mereka dalam 'kerjaya' harian mereka masing-masing.

Saya juga baru-baru ini, suatu malam ketika menikmati hidangan makan malam di sebuah kedai makan, pernah didatangi seorang lelaki buta yang sedikit berumur, yang dipimpin tangannya oleh seorang wanita celik di kawasan Medan Selera Bukit Angkasa, sambil membawa 'buah tangan' mereka seperti selalunya. Akan tetapi apa yang membuatkan saya sedikit curiga terhadap mereka, kalaulah mereka betul-betul mahu mengemis demi sesuap nasi, atau jalan rezeki mereka hanya dilihat melalui cara tersebut, mengapa mereka berdua terlalu tergesa-gesa berjalan dari satu kedai ke satu kedai. Kasihan dengan kudrat lelaki tua yang buta, terpaksa berjalan laju, dipimpin wanita tadi, seakan-akan dihambat oleh masa dan mungkin 'sesuatu'.

Saya ingin tahu apakah yang berada di sebalik 'kekalutan' mereka berdua, lantas saya menghabiskan makanan saya dengan secepat yang mungkin, sementara mereka akan mengambil masa untuk berpatah balik sekejap lagi. Apabila saya membayar harga makanan yang dimakan, saya terus mendapatkan motorsikal saya, dan mengekori mereka berdua dari jauh. Memang laju mereka berdua jalan. Dari Medan Selera Bukit Angkasa, mereka bergerak ke kawasan kedai makan di hadapan Kedai Seven Eleven, yang tidak jauh dari Blok 20, kemudian mereka berjalan pantas menuju ke deretan kedai-kedai makan berdekatan Pantai Permai.

Modus operandinya mudah, 'bermodalkan' sedikit buah tangan seperti tisu dan sebagainya, kemudian bertemankan orang yang buta matanya, dan 'pasangan' ini pula berjalan pantas, dari satu kawasan tumpuan ramai ke satu kawasan yang lain, meminta simpati rakyat Malaysia yang terkenal dengan peramah dan pemurah ini, menghulurkan wang untuk mereka.

Saya terus mengekori mereka berdua, ada yang saya ekori mereka dengan motorsikal, dan ada tempat lain yang mereka tujui, saya ekori dengan berjalan kaki sahaja, setelah saya 'parking' motor saya di tempat yang saya mudah untuk 'akses' dan terus mengekori tanpa menghilangkan jejak mereka berdua. Saya konon-kononnya mahu membeli makanan juga di tempat makan yang mereka singgahi, dan saya juga 'menyamar' sedikit seperti memakai jaket sedangkan mereka singgah di meja makan saya awal tadi, saya memakai baju melayu. Ada yang saya turun dari motor dengan helmet masih lagi di kepala dan sebagainya lagi, agar mereka tidak mengesyaki mereka sedang diekori.

Destinasi terakhir mereka di kawasan sekitar ini berakhir di sebuah restoran yang pernah juga saya dan kawan-kawan kunjungi jika mahu 'merasai' keenakan ayam golek di sana. Restoran ini bertentangan juga dengan Flat Pantai Permai, tetapi di sebelah hujung jalan, sebelum masuk ke highway, jalan keluar sebelah kirinya akan melalui Angkasapuri. Saya terus mengekori, dan akhirnya mereka berdua kelihatan tergesa-gesa meninggalkan restoran tersebut, menuju ke arah sebuah van rusa warna hijau yang siap menunggu mereka berdua, di hujung jalan berhampiran jalan keluar ke highway tadi.

Yang mengejutkan saya, bukan mereka berdua sahaja, tetapi ada lagi pasangan lain yang menjadi 'mangsa' kepada sindiket terbabit. Kelihatan dua tiga orang lelaki, masing-masing mengarahkan mereka masuk ke dalam van dengan segera, dan terus laju meluncur keluar mengikut highway. Sayangnya saya tidak dapat melihat jelas nombor plat van tersebut kerana saya tidak boleh terlalu rapat dengan van tersebut, memandangkan ada lelaki yang 'berkawal' di sana, mungkin memerhatikan keadaan sekeliling. Apabila mereka meluncur laju, saya terus mengejar dengan motor saya sekurang-kurangnya untuk mendapatkan nombor plat van mereka, tetapi saya kehilangan jejak mereka apabila mereka terus meluncur laju ke arah Bangsar dan Pusat Bandar.

Sedikit hampa, saya membuat keputusan untuk berpatah balik menuju sekitar kawasan rumah sewa saya kembali, sejurus selepas itu. Akan tetapi, apa yang saya perolehi daripada peristiwa pada malam tersebut, saya coretkan di sini, sekadar mahu berkongsi pengalaman dengan semua, rupa-rupanya sindiket sebegitu sememangnya wujud. Kita kasihankan orang buta atau yang cacat dan sebagainya dengan menghulurkan sedikit wang ringgit yang kita ada, akan tetapi rupa-rupanya mereka dieksploitasi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab seperti itu.

Yang terkini, jika mengikut fakta perolehannya, terdapat lebih dari 20,000 orang yang cacat penglihatan di Malaysia dan jumlahnya sebenarnya lebih ramai kerana terdapat juga sebahagian besar dari mereka yang tidak mendaftarkan diri dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ini kerana mereka semua sepatutnya perlu mendaftarkan diri mereka untuk mendapatkan kad pengenalan diri masing-masing.

Mengikut peruntukan undang-undang, perbuatan orang buta bersama dengan orang yang celik meminta derma dari meja ke meja, di restoran dan medan selera atau di kedai-kedai makan, dianggap satu kesalahan kerana ia dikategorikan sebagai perbuatan mengemis. Takrifan mengemis ialah kelakuan yang dikira perbuatan yang mendorong pemberian sedekah termasuklah menyanyi, berlakon, menunjukkan kemahiran tertentu, menawarkan sesuatu untuk jualan atau selainnya.

Mereka yang terlibat boleh didakwa di bawah Akta Orang-orang Papa 1977 (Akta 183) dan jika mereka berjaya ditangkap, mereka akan dimasukkan ke dalam institusi JKM untuk sementara waktu, tidak melebihi 30 hari atau sebulan untuk disiasat. Selepas disiasat, mahkamah boleh memerintahkan mereka dihantar ke Desa Binadiri untuk menjalani tempoh pemulihan.

Maka, pihak yang berkenaan perlu mengambil langkah segera untuk mengekang sindiket yang dilaporkan semakin berleluasa ini. Kita kasihankan orang-orang buta dan OKU yang lain, yang hanya mungkin terpaksa mengikut arahan sindiket yang 'menaungi' mereka. Kita sebagai orang yang tahu, mungkin boleh membantu mereka dengan melaporkan kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk tindakan lanjut. Niat kita untuk memberi sedekah itu baik, tetapi biarlah sedekah kita itu bukan disalurkan kepada sindiket-sindiket ini, sebab kita mahu sedekah kita disalurkan kepada tempat yang betul dan diredhai, malah dapat membantu orang yang betul-betul memerlukan..=)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails