Sabtu, Oktober 31, 2009

Percaturan Minda Seorang Pemimpin


MERENUNG KEBIJAKSANAAN ALMARHUM USTAZ FADZIL NOOR

Oleh : MOHAMED HANIPA MAIDIN


Sahabat baik saya, Saudara Muhaimin Sulam pada masa ini sedang menulis tesis Phd beliau mengenai mantan Presiden PAS iaitu Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Muhaimin memberitahu saya dalam menyediakan tesisnya beliau telah antara lain menemubual Tun Mahathir bagi mendapatkan pandangannya tentang Almarhum.

Tun Mahathir memberitahu Muhaimin bahawa beliau amat menghormati Almarhum dan mengakui bahawa meskipun Almarhum adalah pemimpin pembangkang namun beliau banyak belajar dari Almarhum.

Seorang lagi pemimpin yang ditemubual oleh Muhaimin adalah Lim Keng Yeik iaitu mantan Presiden Gerakan. Lim Keng Yeik juga menghormati kebijaksanaan Almarhum.

Dalam kesempatan ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang dua insiden yang saya pernah lalui bersama dengan Almarhum. Dua insiden itu bagi saya menunjukkan ketelitian dan kebijaksanaan Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Insiden pertama adalah apabila saya menjadi penterjemah beliau semasa beliau ditemubual oleh seorang wartawan Austria. Temubual itu berlangsung di Pejabat Harakah di Jalan Pahang. Memandangkan saya secara kebetulan ada di situ Almarhum mengajak saya untuk hadir di temubual itu sekaligus menjadi penterjemah beliau.

Banyak soalan yang diajukan oleh wartawan tersebut kepada Almarhum. Dalam banyak jawapan yang diberikan oleh Ustaz Fadzil, saya amat tertarik dengan jawapan yang beliau berikan kepada satu soalan yang saya kira satu soalan untuk memerangkap beliau.

Wartawan Austria itu bertanya kepada Ustaz Fadzil apakah yang PAS akan lakukan kepada perniagaan judi di Genting Highland jika PAS ditakdirkan memerintah Malaysia?

Sebelum Ustaz Fadzil menjawab soalan tersebut saya tertanya-tanya bagaimanakah Ustaz Fadzil akan menjawab soalan tersebut. Saya dapat merasakan bahawa wartawan Austria itu mahukan Ustaz Fadzil Noor menjawab bahawa PAS akan menutup pusat judi di Genting Highland kerana judi adalah haram menurut Islam. Saya percaya jika begitulah jawapan Ustaz Fadzil Noor maka itulah yang dimahukan oleh wartawan barat itu bagi menunjukkan bahawa gerakan Islam seperti PAS adalah ekstrim dan jika memerintah maka kononnya hak orang buka Islam akan tergugat.

Saya jenuh memikirkan bagaimanakah Ustaz Fadzil akan menjawab soalan tersebut. Sebelum Ustaz Fadzil ditanya soalan itu saya ada membaca di akhbar The Star yang diterbitkan sebelum temubual itu tentang jawapan yang diberikan oleh pemimpin PAS yang lain bahawa PAS akan menutup pusat perjudian itu jika PAS memerintah Malaysia. Saya merasakan meskipun jawapan itu tidak salah dari sudut agama namun menjawab secara sebegitu akan menguatkan persepsi di kalangan orang bukan Islam yang tidak memahami Islam bahawa itulah PAS sebuah parti yang ekstrim.

Mari kita lihat kebijaksanaan Ustaz Fadzil menjawab soalan yang saya nyatakan di atas.

Beliau menjawab lebih kurang begini: “ Bagi kita (PAS) ada isu yang lebih besar dari isu yang kamu bangkitkan tersebut. Bagi kita (PAS) isu tentang penyalahgunaan kuasa, isu rasuah , isu pencabulan hak asasi dan isu pencabulan sistem demokrasi dalam negara, ini adalah isu-isu besar yang rakyat mahukan kita (PAS) membuat perubahan jika kita ditakdirkan mengambil alih kuasa dari Barisan Nasional.”

Sebaik sahaja saya mendengar jawapan itu saya berkata dalam hati memang layaklah Ustaz Fadzil menjadi pemimpin saya. Jawapan yang amat bijaksana. Beliau tidak kata beliau tidak akan haramkan judi oleh itu tidak boleh dituduh PAS sudah menggadai prinsip. Cara beliau mengalih (divert) persoalan yang dibangkitkan amat menakjubkan.

Dalam satu insiden yang lain saya kebetulan berkesempatan makan tengah hari bersama beliau di kantin Parlimen. Semasa makan tersebut beliau menceritakan kepada saya tentang isu yang berlaku di Parlimen. Beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak begitu senang hati dengan cara ahli-ahli Parlimen Umno menyerang pentadbiran Taliban di Afghanistan. Ustaz Fadzil memberitahu cara Umno menyerang Taliban adalah dengan cara yang tidak adil kerana tidak langsung menceritakan aspek positif pemerintah Taliban khususnya kejayaan Taliban menyelesaikan isu dadah di negara itu.

Ustaz Fadzil memberitahu saya pada mulanya beliau ingin bangun dan membela Taliban yang diserang secara tidak adil oleh Umno. Namun beliau menyatakan bahawa beliau berfikir panjang sebelum meneruskan hasratnya itu. Beliau menyatakan bahawa beliau amat khuatir dan bimbang jika beliau bangun membela Taliban yang diserang secara tidak adil oleh Umno, PAS akan dilihat membela Taliban . Apabila PAS dilihat membela Taliban, ujar Ustaz Fadzil, maka rakyat negara ini akan dimomokkan oleh Umno bahawa PAS adalah sama dengan Taliban. Dan ini, dari segi politik, akan menyukarkan PAS untuk menangkis serangan Umno itu dalam keadaan Umno menguasai media massa. Maka beliau mengambil keputusan tidak bangun untuk membela Taliban.

Sekali lagi saya lihat kebijaksanaan Ustaz Fadzil. Beliau amat teliti dan cermat dalam mengambil satu-satu pendirian. Meskipun apa yang beliau ingin buat itu betul (membela pihak yang diserang secara tidak adil) namun, sebagai pemimpin beliau memikirkan kesan apa yang beliau buat itu. Inilah antara lain kualiti seorang pemimpin - sentiasa memikirkan kesan sesuatu tindakan yang ingin dilakukan.

Apa yang Ustaz Fadzil lakukan tersebut, bagi saya, adalah mencontohi apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Bagi kita yang menekuni sirah Rasulullah S.A.W pasti akan tahu bagaimana kisah Rasulullah s.a.w. dan pemimpin Munafiq Abdullah bin Ubay bin Salul . Meskipun diminta oleh para sahabat untuk membunuh Abdullah bin Ubay, namun Rasulullah S.A.W enggan melakukan hal tersebut. Rasullullah S.A.W menolak saranan para sahabat tersebut kerana tidak mahu dikatakan orang selepas itu bahawa Muhammad telah membunuh sahabatnya sendiri.

Kita lihat juga peristiwa penaklukan bumi Palestin pada tahun 637 Masihi oleh Saidina Umar Al-Khattab. Semasa Saidina Umar berada di dalam gereja, waktu solat pun tiba. Paderi menyuruh beliau bersembahyang dalam gereja tersebut. Saidina Umar dengan penuh hikmah menolak pelawaan tersebut . Umar jelaskan pada Paderi tersebut sekiranya beliau sembahyang di situ, kaum muslim akan ingin mengingati peristwa bersejarah itu dengan mendirikan masjid di tempat itu (gereja itu) dan jika itu berlaku kaum muslim akan memusnahkan gereja itu.

Lihatlah sikap seorang pemimpin. Sentiasa memikirkan kesan apa yang ingin dilakukan.
Moga kita dapat mengambil pengajaran dari kisah di atas.




ULASAN:


Ini merupakan kisah hidup dan qudwah hasanah sebuah model kepimpinan yang mendepani arus semasa. Percaturan strategi dan cara fikir Ustaz Fadzil Noor menunjukkan kematangannya sebagai seorang pemimpin. Amat sukar mencari seorang pemimpin seperti beliau pada masa sekarang. Percakapan dan perlakuannya diteliti malah difikirkan secara holistik, akan kesan serta akibat dari perkara tersebut. Ada lagi contoh dari tokoh-tokoh yang lain, tetapi saya suka mengambil contoh dari seorang tokoh besar yang dilahirkan di Kedah dan beliau juga sudah lama pergi meninggalkan kita.


Almarhum Ustaz Fadzil Noor bukan sahaja pemimpin berkaliber dalam politik akan tetapi pemimpin yang lengkap dari pelbagai aspek. Kerendahan hati budi, berjiwa rakyat, senang didekati, mudah menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, selain lantang memperjuangkan keadilan dan kebenaran, serta menentang kezaliman dan kebatilan.


Sorotan Kisah

Berikut adalah sedutan sebahagian artikel tulisan Ahmad Lutfi Othman, Ketua Pengarang Harakah sekarang, yang bertarikh 30 Jun 2002 : -

Kesederhanaan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor banyak diperkatakan bukan saja oleh pendokong jamaah Islam tetapi juga seteru politiknya. Sikap ramah dan kebapaannya membuatkan bukan saja pimpinan PAS yang mendapat asuhan terus darinya sebak mengenangnya, tetapi rakyat biasa yang sesekali dapat berjumpanya pun tidak dapat melupakannya.

Seorang pembantu rapatnya memberitahu, dalam keadaan sakit sekalipun, sewaktu membuat pemeriksaan di hospital, Almarhum tetap beratur panjang, seperti pesakit lain juga, untuk mendapatkan ubat. Malah seorang kerani Telekom di Alor Setar, melihatkan Almarhum berdiri dalam deretan untuk membayar bil telefon, langsung mengisi borang keahlian PAS.

Bagi petugas di Pejabat Agung PAS, menyantuni Almarhum adalah pengalaman berharga yang akan menjadi lipatan kenangan sampai bila-bila. Sebelum menyewa rumah khas, Almarhum kerap tidur di ibu pejabat parti ataupun pejabat Harakah. “Selalu sangat Ustaz Fadzil tidur di atas sofa di pejabat agung. Dia tak mahu menyusahkan orang lain,” kata seorang aktivis parti.

Bagi sesiapa yang selalu berkunjung ke Jalan Pahang Barat, tidak sukar untuk menyapa Almarhum di Restoran Haslam ataupun gerai Kak Ros di depan Harakah. Dengan nada suaranya yang agak perlahan, namun gurau senda dan cerita lucunya mudah mencetuskan keceriaan berpanjangan. (Ini diakui sendiri oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Dr Ismail Ibrahim; lihat Utusan Malaysia, Khamis lalu). Kita tidak merasa terasing atau kekok meskipun baru pertama kali berdepan dengannya. Kemesraan cukup mudah berputik.

Jika menerima undangan, Almarhum pasti tidak mengecewakan meskipun dalam keadaan uzur. Misalnya, ketika saya melangsungkan majlis perkahwinan di Kampung Raja, Kubang Pasu, 11 tahun lalu, bila mengetahui Almarhum sedang sakit, saya tidak mahu membebankannya untuk hadir bersama. Justeru, saya hanya menghantar kad melalui pos, sekadar makluman. Saya risau jika mengundangnya secara lisan Almarhum terpaksa bersusah payah datang meraikannya.

Namun, pada petang hari kenduri, Almarhum tiba-tiba muncul. Wajahnya menggambarkan keuzuran yang ditanggungnya. Bersama dua tiga orang lagi dari Pejabat PAS Kedah, Almarhum langsung ke dalam rumah. Rupanya untuk duduk bersila pun Almarhum tak mampu, tetapi jamuan tetap dijamahnya walaupun saya kira menu juadah pantang bagi penyakitnya.


Kesimpulan

Kredibiliti Almarhum Ustaz Fadzil Noor memang diakui oleh kebanyakan orang yang mengenali diri dan hati budi beliau. Malah pada hari pengkebumian jenazah beliau, lautan manusia berjumlah ratusan ribu yang datang untuk menziarahi jenazah beliau. Akhbar Harakah bertarikh 24 Jun 2002 melaporkan, lebih 100,000 membanjiri kawasan Muassasah Darul Ulum Pokok Sena bagi memberi penghormatan terakhir kepada Presiden PAS Allahyarham Dato’ Haji Fadzil Mohd. Noor.

Orang ramai yang datang dari seluruh pelusuk negara mula membanjiri Muassasah Darul Ulum pada jam 12 tengahari sebaik sahaja mendapat berita yang menyedihkan itu dan jalan yang menuju ke Muassasah dari Alor Setar mula sesak pada jam 3 petang. Selepas itu jalan dua hala sejauh kira-kira 20 km itu penuh sesak dengan kenderaan yang menuju ke situ dan beribu-ribu kenderaan terkandas sehingga jam 11 malam malam.

Malah Sultan Kedah dan Raja Muda Kedah juga berkenan mencemar duli untuk menziarahi jenazah beliau. Sultan Kedah, Tuanku Haji Abdul Halim Muadzam Shah, telah menziarahi jenazah beliau semasa berada di HUKM lagi. Raja Muda Kedah, Tunku Haji Abdul Malik Ibni Al-Marhum Tunku Sultan Badlishah dan Tuanku Raja Puan Muda, Tunku Hajjah Sharifah Raudzah Binti Al-Marhum Sultan Hisshamuddin Alam Shah berkenan menziarahi pusara Almarhum Dato' Haji Fadzil Mohd. Noor di Muasasah Darul Ulum, Pokok Sena pada keesokkannya, sehari selepas pengkebumian.

Jelas keperibadian beliau yang sabar, bertolak ansur, berjiwa rakyat, dan lain-lain lagi memikat hati semua yang mengenali beliau. Kepimpinan melalui teladan jelas terpampang menerusi susur galur kehidupannya. Maka, pemimpin pada masa sekarang perlu mencontohi segala aspek keperibadian beliau, antara lainnya perkara yang sering dilupakan kini, seperti berfikir kesan serta akibat sebelum bercakap atau mengambil sebarang tindakan. Perkara kecil tetapi sangat penting sebagai bila sudah bergelar pemimpin..


Al-Fatihah buat Almarhum Ustaz Fadzil Noor..



Sebenarnya banyak lagi kisah-kisah tentang Dato' Hj. Fadzil Mohd Noor ataupun diri yang lebih sinonim dengan panggilan Ustaz Fadzil Noor ini.. Beliau sangat disenangi malah dikagumi kawan dan lawan kerana ketokohannya sebagai seorang pemimpin. Anak jati kelahiran Kedah ini berjiwa rakyat dan mempunyai karisma yang tersendiri. Untuk mengetahui serba sedikit mengenai latar belakang dan kisah hidup beliau, boleh juga melayari di laman berikut :-

www.tranungkite.net/lama/fadzil.htm
www.pas.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=1188&Itemid=92



p/s : Banyak pemimpin masa kini tidak berfikir sebelum bercakap atau menabur janji kepada rakyat, tetapi rakyat terus tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.. Jadilah pemimpin yang sentiasa menyelami dan mendiami hati rakyat!! =)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails