Rabu, Disember 30, 2009

Mazhab vs Parti Politik : Kefahaman Yang Perlu Dikupas (Bahagian Pertama)


Apabila kita memasuki sebuah daerah, dan melihat kekerapan yang banyak terhadap bahan binaan yang bernama masjid atau surau, yang binaannya jelas tersergam indah pula, mungkin kita senang hati bila melihatnya. Selain sejuk hati melihatnya, kita juga tiada masalah untuk singgah berhenti di sana jika sudah masuk waktu solat. Berbanding apabila kita melalui sebuah daerah, kebarangkalian untuk menemui sebuah masjid atau surau amat susah, dan kekerapannya sedikit pada pandangan mata kita, sudah tentu boleh merimaskan kita.


Namun perlu diingat, mengapa di Padang, Indonesia, tempat di mana berlakunya gempa bumi yang dahsyat sebelum ini, fakta yang diperoleh daripada pihak yang bertugas membantu mangsa kejadian gempa bumi secara langsung di sana, terdapat banyak surau-surau yang dibina dalam sesuatu kawasan tetapi pada hakikatnya ia sunyi dari diimarahkan qaryah dan penduduk setempat. Adakah ini suatu ’muhasabah tersirat’ daripada Allah buat kita?? Atau adakah ia suatu ancaman dan amaran keras daripadaNYA?? Kuantiti ATAU kualiti?? Majoriti ATAU keadilan hakiki dan akauntabiliti?? Bagaimana pula dengan pengaplikasiannya jika hal ini bersangkutan dengan mazhab atau parti politik?? Ada kata kuncinya dalam fikiran anda?? Hehehe..


Kata kunci yang pertama yang perlu dipasak terlebih dahulu dalam minda kita ialah Islam tidak menyerahkan kepada masyarakat atau individu untuk menentukan nilai baik atau buruk, benar atau palsu, halal atau haram, tetapi nilai ini berdasarkan wahyu. Sekiranya sesuatu yang ditetapkan oleh Islam sebagai benar, maka benarlah ia selama-lamanya walaupun majoriti menentangnya kerana kebenaran itu tidak bergantung kepada majoriti yang kebanyakannya mengikut dzon (dugaan), bukan ’ilmu, sebagaimana firman Allah :

وما يتّبع أكثرهم إلاًََّ ظناّ...

Ertinya : Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja..

(Surah Yunus : ayat 36)


Jadi, amalan seseorang itu mesti berdasarkan kepada hukum yang telah ditetapkan Allah dan tidak boleh mengikut fikiran atau nafsu semata-mata, apatah lagi jika sekadar andaian kosong atau bacaan politik semata-mata. Kita tidak boleh berpegang dengan keputusan majoriti semata-mata kerana apa?? Kerana dzon (dugaan), sangkaan dan andaian ini, TIDAK BOLEH SAMA SEKALI menggantikan kebenaran walaupun ramai yang mengikut dzon iaitu majoriti yang mahukan keputusan itu walaupun ia belum pun pasti bertepatan dengan kebenaran mengikut Islam.


Mazhab yang wujud sebenarnya jika dikaji dan diteliti, sememangnya bukan hanya terikat kepada empat mazhab seperti mazhab Syafie, mazhab Maliki, mazhab Hanafi dan mazhab Hambali sahaja, tetapi banyak lagi antaranya mazhab Auza’i dan Tsauri. Contoh empat mazhab tadi sebenarnya baru contoh-contoh yang berlatarkan mazhab-mazhab fiqh, sedangkan terdapat banyak lagi mazhab-mazhab pemikiran yang wujud. dan jangan sesekali melupai terdapat juga mazhab-mazhab aqidah seperti mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah, Syiah, dan banyak lagi kumpulan-kumpulan kecil yang wujud seperti Wahabi dan sebagainya. Sahabat-sahabat boleh mencari dan mengkajinya sendiri.


Perbezaan, selain merupakan dhorurat (kemestian), ia juga merupakan rahmat terhadap umat ini dan kebebasannya dalam erti kata memberi kemudahan kepada umat ini. Khalifah Umar Abdul Aziz, berdasarkan ilmu dan pandangannya yang tajam, memandang perbezaan para sahabat itu sebagai rahmat dan kebebasan. Beliau berkata: ”Aku tidak senang jika para sahabat Rasulullah s.a.w tidak berselisih pendapat, seandainya mereka tidak berselisih pendapat nescaya tidak ada rukhsah (keringanan) bagi kita”. Ertinya dengan perselisihan pendapat itu, mereka memberikan kepada kita kesempatan memilih pendapat-pendapat dan ijtihad mereka. Ia juga merupakan sunnatul ikhtilaf bagi kita dalam masalah-masalah ijtihadiyah tanpa merosakkan ukhuwah sesama Muslim.


Saya tidak mahu membahaskan panjang berkaitan mazhab, tetapi ringkasnya sebenarnya mazhab yang kekal juga antara salah satu faktornya kerana mempunyai pengikut yang masih ramai. Majoriti masih berpegang kepada mazhab yang empat seperti mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali. Manakala mazhab Auza’i dan Tsauri misalnya tidak mempunyai pengikut majoriti sehingga semakin hari semakin hilang ditelan zaman. Namun, tidak semestinya majoriti menentukan kebenarannya, tetapi hendaklah kembali kepada cara dan ketentuan mengikut Islam.


Merujuk kepada ayat 118-119 dalam surah Hud, para ahli tafsir menyebutkan bahawa Al-Hasan berkata: ”Orang-orang yang mendapat rahmat Allah tidak akan berbeza pendapat hingga membahayakan mereka. Perselisihan mereka berkaitan masalah-masalah ijtihadiyah yang tidak ada nas yang tegas. Bahkan perselisihan mereka itu beralasan kerana Allah Maha Mengetahui bahawa perbezaan pendapat seperti ini pasti akan terjadi, lalu dicipta suatu kaedah yang perlu dipegang dalam masalah ini iaitu firman Allah dalam ayat 59 surah An-Nisa’ yang bermaksud, ”Kemudian jika kamu berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan RasulNya (Sunnah)”.


Majoriti bukan bererti benar, sehinggalah Islam yang meletakkan ia sebagai benar mengikut hukum yang ditetapkan Allah. Wallahu a’lam..


p/s : sambungan kupasan tajuk ini akan menemui anda dalam pertemuan yang akan datang insyaAllah..=)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails