Jumaat, Disember 25, 2009

Pekan Melayu, Pekan Cina Dikekalkan



ALOR SETAR, 24 Dis - Bangunan rumah kedai lama di Pekan Melayu dan Pekan Cina di bandar raya ini akan dikekalkan dan diperindah sebagai bangunan warisan.


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, manakala sebahagian lagi bangunan lama berdekatan Alor Ria akan diroboh berikutan struktur bangunan yang kurang stabil.

Menurutnya, walaupun mempunyai nilai sejarah, namun deretan rumah kedai lama berdekatan Alor Ria itu terpaksa diroboh dan akan dibangunkan menjadi kompleks perniagaan dan hotel.


“Pihak pemaju telahpun berbincang mengenai projek ini dengan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan bermula tahun depan, proses merancang pembangunan projek ini akan dimulakan untuk mendapat kelulusan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, deretan rumah kedai lama yang masih kukuh di Pekan Melayu dan Pekan Cina pula akan diselia dari semasa ke semasa bagi memastikan ia tetap kukuh dan menjadi daya tarikan pelancong.

“Disebabkan kebanyakan kedai lama itu milik persendirian, kita akan berbincang dengan persatuan komuniti Pekan Melayu dan Pekan Cina supaya mereka sentiasa dapat memastikan bangunan itu indah dan bersih,” katanya.

Mengulas mengenai pembanguan ‘Infill Development’ dalam bandar sebagai usaha menghidupkan bandar-bandar lama yang bersejarah agar aktiviti perniagaan di kawasan pemuliharaan bangunan itu rancak, beliau berkata, ia hanya bersifat sementara dan tidak membahayakan orang ramai.

“Struktur binaannya bukan kekal dan tempat perniagaan adalah kereta tolak yang boleh diubah. Oleh itu, ia tidak menjadi penghalang kepada pihak bomba sekiranya berlaku kebakaran di deretan kedai lama itu,” katanya.

Menurutnya, paip bomba di kawasan berkenaan tidak terhalang dengan struktur binaan dan kajian telah dibuat terhadap struktur besi berbumbung sedia ada supaya tidak menjejaskan keselamatan.

“Kita turut memberi penerangan kepada peniaga-peniaga di situ supaya memberi kerjasama apabila lorong-lorong tersebut diperlukan untuk tujuan penyelenggaraan dan kecemasan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi perancangan jangka panjang, peniaga-peniaga di situ akan dipindahkan ke Pekan Rabu 2, yang dicadangkan dibina di tapak letak kereta berhadapan Pekan Rabu sedia ada.

“Cadangan itu masih di peringkat pelan pembangunan dan ini antara usaha kita membantu peniaga di situ termasuk kawasan sekitar bandar raya ini mendapatkan tempat untuk berniaga,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails