Jumaat, Oktober 29, 2010

Siri 2 : Bajet Penawar Keperluan Rakyat Atau Sekadar Pembaziran??


Derita dan denyut nadi rakyat bawahan tidak pernah diambil kira dengan sebaiknya. Pihak-pihak tertentu yang mendapat kelebihan semua itu. Kita mahu harga barang turun. Kita mahu harga makanan dan barang keperluan harian turun. Tapi yang turun? Beg tangan, kasut, sut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut,pakaian malam, seluar dan seluar dalam serta wangi-wangian, termasuklah kelambu. Itupun yang berjenama.

Apakah ini yang kita mahu? Apakah ini yang orang kampung mahukan? Apakah ini yang mampu menaikkan taraf ekonomi negara. Apakah keperluan ini hari-hari kita beli? Tidak!! Kita tidak mahu mendengar projek berbillion ringgit bangunan pencakar langit. Kita hanya mahukan ekonomi yang ‘berjiwa rakyat’. Lebih dekat di hati rakyat. Rakyat mempersoalkan rasional kerajaan memperuntukan ratusan juta malah berbilion ringgit yang entah ke mana hasilnya.

Misalnya projek pembinaan istana negara berharga RM394.8 juta kemudian dinaikkan kepada RM649 juta. Manakala semasa kontrak itu diberikan pada Oktober 2008 ia dinaikkan kepada RM811 juta. Ini bermakna kenaikan kos projek itu sebanyak tiga kali. Begitu juga halnya dalam projek PKFZ dan projek-projek mega kerajaan yang lainnya. Projek Empangan Bakun di Sarawak contohnya. Adakah ada jaminan projek-projek yang diumumkan baru-baru ini tidak ada sebarang penambahan peruntukan kemudian hari??

Dalam bajet 2011 apabila kerajaan menghapuskan cukai pembelian telefon bimbit sebanyak 10%. Jika kita gembira dengan penghapusan cukai tersebut, kita silap membuat jangkaan. Adakah kita akan membeli telefon setiap hari? Ada yang mengatakan ianya bagus sebabnya orang kampung boleh pakai blackberry Torch dan IPhone. Sedangkan semua itu bukanlah keperluan bagi diri mereka.

Mereka mengharapkan keperluan harian contohnya harga beras yang lebih rendah, harga gula, tepung, ayam atau daging dan sayur-sayuran akan turun. Ini yang mereka perlukan. Membanting tulang empat kerat kerana mahukan keperluan harian seperti barang-barang di atas. Ada atau tidak, kerajaan memberikan peruntukan sedemikian rupa?

Rakyat semakin hairan apabila berjuta-juta duit rakyat yang sepatutnya diberikan kepada saluran yang betul mengenai pendidikan disalurkan kepada satu badan yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan. Sebanyak RM111 juta telah diberikan kepada PERMATA. Kenapa PERMATA mendapat keistimewaan tersebut?

Jumlahnya lebih banyak berbanding peruntukan yang diberikan untuk sekolah agama rakyat di seluruh negara, iaitu RM95 juta. Sedangkan ilmu agama lebih perlu diutamakan dengan masalah sosial yang melanda kini. Adakah isteri Perdana Menteri seorang Menteri Pelajaran atau Menteri Wanita dan Keluarga? Kenapa tidak disalurkan sahaja kepada Kementerian Pelajaran di bawah seliaan Timbalan Perdana Menteri sendiri?

Saya tertarik ada yang mempersoalkan ekonomi apa yang kita mahukan. Idealistik atau realistik. Ya kita mahu yang realistik. Realistik agar rakyat dapat menikmati suatu perubahan yang positif dengan penurunan harga barang. Realistik rakyat boleh menarik nafas lega apabila harga ubat atau yang berkaitan dengan kesihatan diturunkan.

Itulah yang realistiknya selain daripada menyuntik peruntukan khas seperti pakej rangsangan untuk memacu ekonomi negara. Sudah berapa lama kita merdeka. Banyak bangunan tinggi yang kita sudah ada. Banyak projek mega seperti Litar Lumba Sepang dan banyak lagi. Sudah berapa banyak sekolah bestari dan berprestasi tinggi yang kita ada. Tapi jujur dengan diri kita, apakah pencapaian kita? Agak malu kita jika dibandingkan dengan Cuba.

Cuba sebuah negara yang tidak punya bangunan pencakar langit. Namun dari sudut pendidikan Cuba meninggalkan kita jauh. Kita yang hebat dalam bangunan hanya dapat 88.9% peningkatan dalam pendidikan jauh tertinggal di belakang Cuba yang mendapat 99.8%. Ini yang kita mahu. Ini yang rakyat perlukan.

Itu belum dikupas soal kesihatan di mana dari semua sudut Cuba jauh meninggalkan kita. Ya, sebuah negara yang mundur bangunan tapi rakyat senang hati, gembira, sihat dan rasa selamat. Cukuplah saya katakana masalah kebanjiran pendatang asing yang tidak terkawal, amat-amat merunsingkan rakyat. Negara sudah tidak selamat dengan kehadiran rakyat asing yang semakin meningkat.

Mungkin ramai ahli politik kata ini Bajet PRU. Saya katakan ini Bajet golongan kaya. Kenapa? Belanjawan yang tidak menguntungkan rakyat bawahan. Belanjawan yang hanya bermanfaat buat golongan tertentu. Tetapi yang lebih parah, golongan atas yang mengambil manfaat dari projek-projek yang dapat melalui tender dalam sesuatu projek untuk Bajet kali ini. Bagaimana dengan nasib rakyat bawahan yang lain??

Ini belum lagi diambil kira keperluan belia dan anak muda mahasiswa, yang sepatutnya diberi peruntukan yang sewajarnya, akan tetapi dalam Bajet kali ini kementerian ini mendapat peruntukan antara yang terendah. Sedangkan merekalah bakal pimpinan negara akan datang. Dengan masalah sosial dan kerosakan akhlak muda-mudi sekarang, amat-amat penting peruntukan khas bagi Kementerian Belia untuk membentuk generasi muda yang lebih berakhlak dan bermoral, dengan program-program membina sahsiah dan keperibadian yang unggul!!


-ADAKAH DENGAN BAJET INI TRANSFORMASI NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI AKAN BERHASIL? ADA KERAJAAN MEMBERI PENYELESAIAN TERHADAP PENURUNAN MENDADAK FDI NEGARA?? ADAKAH RAKYAT BERBANGGA DENGAN BAJET KALI INI? RAKYAT MENDAPAT MANFAAT DARI BANGUNAN 100 TINGKAT TERSEBUT?? BEG TANGAN, KASUT, SUT, DOMPET, PEWARNA RAMBUT, PAKAIAN MALAM, SELUAR, SELUAR DALAM, WANGI-WANGIAN DAN KELAMBU MEMANG SATU ‘KEJUTAN’ ISTIMEWA BUAT RAKYAT JELATA.. TAHNIAH!!


p/s : Alhamdulillah, setelah sekian lama ‘menyimpan’ artikel tentang bajet ini. Namun saya tidak mengulas kesemuanya kerana sudah ada artikel-artikel lain dalam blog ini sudah menjelaskan mengenainya sebelum ini. Ini mungkin sekadar luahan, olahan dan mungkin juga sekadar perkongsian buat semua rakyat Malaysia yang patut ambil tahu tentang pengurusan hasil pendapatan dan perbelanjaan negara kita!! Kerajaan hanya sebagai pentadbir dan pengurus. Duit Bajet adalah duit rakyat, dan sepatutnya UNTUK RAKYAT!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails