Rabu, November 25, 2009

Bantuan Khairat Kematian Di Kedah Melibatkan Semua Kaum


Golongan miskin semua kaum di Kedah akan menerima bantuan RM500 melalui khairat kematian 'kifalah' bagi pengurusan jenazah anggota keluarga mereka yang meninggal dunia?? Benarkah begitu??


Benar seperti yang telah diperkatakan itu, dan inilah antara sebahagian perkara yang Kerajaan Negeri Kedah sekarang berikan kepada rakyat Kedah, dalam Bajet Kedah 2010 baru-baru ini, sebagai langkah bagi melunasi hasrat Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat Kedah sendiri, tanpa mengenal nilai agama dan batasan perkauman selaras usaha Kerajaan Negeri mahu merealisasikan ’Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’.


Jelas di sini, Kerajaan Negeri telah berusaha untuk mendengar rintihan rakyat dan golongan yang kurang berkemampuan di Kedah, dengan menyediakan skim bantuan tersebut malah banyak tindakan Kerajaan Negeri dilihat sebagai usaha terbaik dalam mendahulukan kepentingan rakyat.


Daripada Bajet Kedah 2010 yang dibentangkan oleh Kerajaan Negeri dalam sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, bermulanya tahun depan iaitu pada tahun 2010, golongan miskin semua kaum di Kedah akan menerima bantuan RM500 melalui khairat kematian 'kifalah' bagi pengurusan jenazah anggota keluarga mereka yang meninggal dunia.


Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dipetik berkata menerusi skim bantuan itu, mereka akan mendapatkan bantuan wang tersebut jika terdapat anggota keluarga mereka seperti ibu bapa atau anak yang meninggal dunia.

"Kifalah bertujuan memberi bantuan segera kepada rakyat miskin yang kehilangan anggota keluarga dan wang itu boleh digunakan untuk pengurusan jenazah dan sebagainya," katanya di Alor Setar.

Katanya, bantuan tersebut menjadi salah satu bukti bahawa Kerajaan Negeri komited untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik atau miskin tanpa mengira kaum dan fahaman politik.

"Menerusi bantuan ini, rakyat daripada semua kaum dan tanpa mengira fahaman politik boleh menghubungi wakil rakyat atau ketua kampung masing-masing untuk membuat permohonan Kifalah jika berlaku kematian anggota keluarga mereka," katanya.


Dari reaksi rakan-rakan mahasiswa saya yang lain, pendekatan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri sekarang ini telah membuka mata banyak pihak, malah ada yang mengakui keselesaan mereka dengan pemerintahan Kerajaan Kedah sekarang. Sebagai contoh, perbelanjaan hasil negeri diurus dan dibelanjakan secara berhemah, malah ini diakui sendiri oleh Ketua Audit Negara selepas proses pengauditan dibuat dan Kerajaan Negeri Kedah mendapat pujian atas prestasi memberansangkan tersebut.


Apapun diharapkan prestasi Kerajaan Negeri dapat dipertingkatkan lagi demi kesejahteraan rakyat Kedah, malah menepati slogan ’rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’, agar ia dapat menjayakan aspirasi Perdana Menteri, akan tetapi mengikut acuan Kerajaan Negeri Kedah itu sendiri. Dari rakyat negeri ini diamanahkan, dan untuk rakyatlah kalian berbakti. Tahniah Kerajaan Negeri Kedah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails