Jumaat, November 13, 2009

“Berpaut di dahan cintaNya’’



Oleh : Muhamad Faris Mohd Zaini


“Berpaut di dahan cintaNya’'

Umpama kaca dan permata, kadang-kadang manusia sering tertipu dengan pandangan mata dunia yang menipu. Ibarat fatamorgana yang disangka air ketika berada di padang pasir yang kering kontang dan tandus. Keliru. Keliru dek keindahan dunia yang bersifat sementara.


Lihat betapa hebatnya Dia yang Maha Agung lagi Maha Pencipta. Manusia yang bertuhankan sains dan teknologi pun, belum mampu menandingi dan menyaingi kehebatanNya. Dia menganugerahkan senjata akal kepada manusia, namun terkadang kecerdikan akal tersebut sering disalahguna. Jarang sekali dimaksimumkan penggunaannya untuk merenung dan menikmati kehebatan ciptaanNya. Bukankah begitu adalah lebih baik buat kita sebagai hambaNya? Lihatlah betapa kerdil dan lemahnya kita di hadapanNya..

Di mana tautan dan ’ikatan’ di antara diri kita dan Al-Khaliq? Bagaimanakah caranya untuk kita mempertautkan kembali hati dan jiwa kita benar-benar hanya kepadaNya? Dan segala-segalanya adalah kerana Dia??=)

Marilah kita sama-sama mendaki semula dari anak tangga yang pertama. Perbetulkan niat dan amal kita. Segala perbuatan dan pekerjaan kita, didasarkan dengan niat ikhlas kepadaNya. Tiada cinta lain yang perletakannya lebih tinggi daripada cintaNya. Cintailah Allah, Rasul dan ahli keluarga baginda dan para sahabat dengan sebenar-benar cinta. Hatta cintalah kepada sesiapapun, insan-insan yang kita sayangi seperti emak dan ayah kita, suami atau isteri kita, akan tetapi cintaNya tetap cinta yang utama. Realitinya adakah begitu??? Renungkan kembali.

Ujian dan dugaan juga seringkali menyinggahi ke atas batang tubuh kita yang kerdil ini, mungkin berkali-kali dan mungkin juga sudah lali bagi sesetengah orang mungkin. Namun terkadang seakan kita sudah tidak terdaya lagi menghadapinya, apatah lagi mengharunginya dengan hati yang kental dan tabah. Seakan-akan redha itu tidak pernah wujud dalam helaian kamus hidup kita. Seakan-akan tidak pernah terakam dalam minda kita dek nasihat ustaz dan ustazah, penceramah-penceramah agama ataupun penceramah-penceramah motivasi sebelum ini.

Terngiang-ngiang firman Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud, ”Allah S.W.T. tidak akan membebankan seseorang itu melainkan sesuai dengan kemampuannya..”, yang membuatkan kita terpana seketika. Mampukah aku?? Tegarkah aku mengharungi semua ini?? Lantera hati ini bisa mendengar ungkapan tadhiyyah iaitu pengorbanan seorang hamba kepada Allah, yang ianya juga tersisip dalam rukun isyrin yang dinukilkan oleh Imam Hassan Al-Banna.

Namun persoalannya, sejauh manakah perletakan iman kita terhadapNya?? Adakah akar akidah kita berpasak teguh mencengkam kukuh di dalam sanubari kita?? Rungkaikan persoalan-persoalan tersebut dengan membanyakkan muhasabah diri kita sahabat-sahabat.. Adakah kita berpaut di dahan cintaNya??.. Fikirkanlah..=)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails