Selasa, November 17, 2009

Masalah Rakyat Didengari Kerajaan Negeri


Warga Emas Syukur Dapat Rumah Baru

YAN - Setiap kali mendengar guruh atau melihat langit mendung, seorang warga tua, Atikah Md Isa, 69, dari Kampung Kuala Bangka, Sungai Limau, dekat sini tidak senang duduk kerana keadaan rumahnya yang uzur.

Menurutnya, pada ketika itu, dengan kudrat yang ada, dia terkial-kial menggunakan plastik bagi menutupi bumbung rumahnya.

Katanya, tindakan dengan menyediakan besen atau timba dilakukan bagi menadah air bagi mengelakkan lantai rumah basah untuk dia tidur.

Pada masa yang sama, katanya, dia terpaksa pula memindahkan barangan rumah ke tempat yang lebih selamat bagi mengelak ianya mengalami kerosakan.

Malah dia juga sentiasa berada dalam keadaan ketakutan kerana bimbang di hempap bumbung jika hujan lebat disertai angin kuat ekoran rumahnya yang tidak lagi selamat untuk didiami.

Namun semalam, Atikah boleh menarik nafas lega apabila segala igauan ngerinya selama ini bakal berakhir dalam masa terdekat apabila ada pihak sudi membantu untuk membina rumah baru buatnya.

Atikah yang terpaksa hidup dalam serba kekurangan secara bersendirian selepas kematian suami 5 tahun lalu tidak sama sekali menyangka nasibnya akan berubah selepas di lawati oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah, Aishah Ghazali dan Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar.

Katanya, dia dimaklumkan Kerajaan Negeri akan membina sebuah rumah baru bagi menggantikan rumah lamanya di bawah Program Membasmi Kemiskinan dalam usaha membantu penduduk yang tidak berkemampuan.

“Semasa hidup bersama suami dulu, kami hanya bekerja mengambil upah melakukan kerja-kerja kampung dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Dengan pendapatan tidak menentu, kami tidak mampu membina rumah baru sedangkan makan pun hanya bergantung harap melalui bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Ketika ditemui, Atikah terharu dengan komitmen Aishah dan Firdaus yang berjanji untuk membina rumah barunya.

Sementara itu, Aishah berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat terutama golongan yang memerlukan bantuan.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa memikirkan bentuk bantuan yang boleh disalurkan bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik di negeri ini agar mereka dapat hidup dengan sempurna selain bersama menikmati hasil pembangunan negeri ini.


(Sinar Harian Edisi Utara, 17 Nov 2009)



p/s : diharapkan Program Membasmi Kemiskinan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha membantu penduduk yang tidak berkemampuan, dapat dilaksanakan secara telus dan berjalan lancar, dalam memastikan hak dan kepentingan rakyat diutamakan..=)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails