Faham dan keyakinan tersebut telah dan sedang mereka perjuang dan pertahankan samada dengan tulisan, lisan (perkataan), perbuatan dan juga dengan menggertak, mengejek, mengancam dan menghentam, bahkan membunuh. Di tengah-tengah ummat Islam yang “fanatik” dan berkeyakinan teguh, mereka berani menolak dan mengatakan dasar sekular dijadikan dasar negara.
Di tengah-tengah masyarakat kaum Muslimin yang “fanatik” dan berkeyakinan, mereka tidak segan-segan dan malu mengatakan tidak bersetuju kepada cita-cita hendak menjadikan Malaysia sebagai Negara Islam.
“Kebencian yang hebat telah lahir dan mulut mereka, dan apa yang tersimpan dalam hati mereka lebih besar lagi.”
(Surah Ali-’Imran: Ayat 118)
Begitulah peringatan ALlah Subhanahu wa Ta’ala, di dalam al-Qur’an. Apa yang tersimpan di dalam hati meneka itu lebih besar lagi dan apa yang sudah mereka katakan itu! Memang tidak semua perasaan benci dan anti itu mereka hamburkan dengan kata-kata, lisan dan tulisan.
Tidakkah kita yang bergelar Muslimin mendengar majlis-majlis yang di adakan oleh parti yang tidak berdasarkan kepada Islam? Betapa tangkasnya mereka bercakap di hadapan orang ramai mengejek penegak-penegak dan pejuang-pejuang yang menegakkan hukum ALLah, mengejek orang-orang yang berpolitik berdasarkan kepada Islam, mengejek umat Islam yang memperjuangkan ‘aqidah Islam?
Kita semua telah mendengar dan telah menyaksikannya. Mendengar dan menyaksikan orang dengan mulut-mulut mereka hendak meruntuhkan Iman dan Tauhid umat Islam. Hendak meruntuhkan keyakinan dan aqidah kaum muslimin.
Hendak memadamkan cahaya Ilahi dari bumi Malaysia ini. Dan mengekalkan sistem kufur laknatuLLah! Hendak mematah, meremuk-redamkan sendi kekuatan perjuangan umat Islam. Semua itu telah kita dengar dan lihat, dari mulut dan kata perbuatan mereka. Dan setiap kata berjawab, setiap gayung bersambut. Kata telah kita jawab, gayungnya telah kita sambut. Usaha hendak menindas Islam tidak terhenti sampai di situ.
Tidak cukup dengan lisan dan tulisan semata-mata.Mereka sentiasa merencanakan, membuat jangka maksud hendak melumpuhkan potensi ummat Islam, mematahkan segenap persediaan dan kekuatan ummat Islam.
Mereka datang ke dalam masyarakat kaum Muslimin, ikut serta memperbaiki, membina masjid dan madrasah (surau), meramaikan tabligh dan dakwah. Mereka hendak merebut hati dan simpati kaum Muslimin. Mereka menanam “budi kebajikan” kepada kaum Muslimin.
Mereka menghamburkan harta kekayaan kepada kaum Muslimin, memberikan bantuan (subsidi), memberikan sumber hidup dan kemakmuran kepada kaum Muslimin. Mereka menarik dan memikat kaum Muslimin dengan keuntungan duniawi yang dekat, laba dan keuntungan, pangkat dan kedudukan, jabatan dan jawatan.
Tidak kurang pula mereka menempuh jalan kasar dan biadab. Menculik dan membunuh ‘ulama’ dan zu’ama’ Islam. Menghamburkan fitnah dan tuduhan, bahawa pemimpin Islam penjenayah, komunis dan sebagainya.
Menuduh betapa ruginya, kaum Muslimin berpolitik sendiri - menyebabkan sekolah pondok dan madrasah terpinggir, dakwah dan tabligh agama menjadi sepi, masjid dan surau menjadi lengang dan sebagainya.
Mereka menyeru dan mengajak kepada apa yang dinamakan persatuan nasional, bersatu di atas dasar kebangsaan dan perkauman, tapi isinya meruntuhkan persatuan dan potensi ummat Islam.
Pendeknya segala jalan, segala kesempatan, segala kemungkinan mereka tempuh; mereka gunakan untuk memukul dan menghancurkan potensi ummat Islam, memecah dan mencerai-beraikan jamaah kaum Muslimin, merosak-binasakan ukhuwwah kaum Muslimin.
Jamaah dan ukhuwwah Islamiyyah yang mengatasi dan mengalahkan ikatan parti dan organisasi buatan fikiran, hasil ijtihad dan perhitungan. Jamaah dan ukhuwwah yang dipersambung dan diperhubung-hubungkan oleh tali ghaib dan ‘ajaib, tali Tauhid, tali seiman dan seaqidah.
Itulah usaha lawan-lawan serta musuh-musuh Islam untuk menghancurkan nur Ilahi. Itulah usaha dan rencana musuh ‘aqidah Islam, golongan yang anti dan benci berlakunya hukum-hukum ALLah dalam negara. Mereka membuat rencana, ALLah pun membuat rencana:
“Dan ketika orang-orang kafir itu membuat rencana terhadap kamu, hendak menangkap kamu, membunuh binasakan kamu, mengusir kamu supaya jangan menyebarkan Islam); mereka membuat rencana, ALLah pun membuat rencana, dan ALLahlah pembuat rencana yang paling utama.”
(Surah Al-Anfal: Ayat 30)
Sesungguhnya rencana ALLah adalah seutama-utama rencana. Sebaik-baik Perancang. Masing-masing golongan dengan keyakinan dan pendiriannya berusaha dan berencana merebut kemenangan, mencari pengikut dan penyokong sebanyak mungkin dalam masyarakat, dengan segala daya dan ikhtiar. Melumpuhkan kekuatan Islam dengan segala cara dan usaha. “Menawarkan” pendirian, keyakinan dan ‘aqidahnya, dengan segala bujukan dan tipu muslihat.
Pendirian menentang pendirian. Keyakinan melawan keyakinan. Perjuangan melawan perjuangan. Di tengah-tengah keadaan yang sedemikian itu, kepada golongan yang sedemikian itu, tiadalah yang layak menjadi pendirian kaum Muslimin selain dari yang telah dikatakan oleh al-Qur’an dalam surah al-An’am ayat 135:
“Katakan olehmu wahai bangsaku!, bekerjalah kamu menurut pendirianmu, aku pun bekerja menurut pendirianku; kelak akan diketahui siapa yang akan menang pada akhirnya, sungguh! tidak akan mendapat kemenangan orang-orang yang zalim.”
(Surah al-An’am: Ayat 135)
Kemenangan perjuangan tidak cukup hanya dengan menjawab kata, menyambut gayung semata-mata. Kemenangan perjuangan adalah dengan rencana dan usaha; pengorbanan dan kesungguhan; siasah, taktik dan penuh strategi; susunan dan pembentukan, dengan kekuatan dan organisasi yang teguh jitu.
Kemenangan tidak mungkin ditebus dengan air ludah, tetapi dengan memerah tenaga, daya dan fikiran, harta dan kekayaan, melengkapkan segala syarat dan alat, memenuhi segala pesan dan suruhan, patuh dan tunduk kepada titah perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Di tengah-tengah sorak sorai yang riuh-gemuruh seperti sekarang ini; di tengah-tengah badai dan gelombang fitnah dan ujian; di saat kita umat Islam seluruhnya sedang menghadapi bahaya dan bencana, ujian dan cubaan, maka wajiblah kaum Muslimin merapatkan barisan, memperbaiki hubungan persaudaraan, memelihara ukhuwwah dan jamaah..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan