Pilihanraya untuk perlembagaan, majlis pembuat undang-undang dasar negara yang tetap, perlembagaan yang dikehendaki oleh ummat dan rakyat Islam, yang diharapkan-harapkan oleh manusia seluruhnya. Di dalamnya tergambar dengan tegas dan jelas akan cita-cita, harapan dan perubahan seluruh rakyat, fikiran dan pandangan masyarakat seluruhnya.
Perlembagaan dan undang-undang negara yang akan menjadi sumber atau pokok kepada perundangan negara di zaman yang mendatang. Perlembagaan atau undang-undang dasar baru yang tetap di atas ‘aqidah, di mana jelas dikatakan hukum atau peraturan apa yang akan dipakai dan dilaksanakan dalam negara Malaysia masa hadapan.
Perlembagaan baru yang akan menjadi pegangan dan pedoman, bukan sahaja bagi ‘angkatan’ kita sekarang, tetapi juga anak cucu keturunan kita berabad-abad yang akan datang, generasi demi generasi. Selain untuk perlembagaan, majlis pembuat undang-undang dasar, pilihanraya ditujukan untuk memilih para anggota parlimen atau pun dewan perwakilan rakyat.
Dewan Perwakilan Rakyat (parlimen) sebagai Dewan Penggubalan Undang-undang dan dasar negara (Dewan Legislatif) yang akan membuat segala undang-undang negara, mengendalikan pekerjaan pemerintah, Dewan Eksekutif (Pentadbiran).
Dewan Perwakilan Rakyat yang sungguh-sungguh menggambarkan aliran yang hidup dalam masyarakat. Parlimen yang betul-betul menjadi perwakilan rakyat, yang dipilih oleh rakyat, yang dipercayai oleh rakyat — ahlul halli wal ‘aqdi, orang yang berhak menentukan, mengatur dan menetapkan.
Maka sungguhlah pilihanraya umum akan datang, akan mempengaruhi perjalanan sejarah negara dan kehidupan umat bangsa kita zaman yang akan datang. Akan menentukan timbul atau tenggelamnya agama Islam masa yang akan datang. Akan menentukan tegak atau rebahnya ummat Islam masa yang akan datang.
Pilihanraya umum akan menjawab dengan bahasanya yang tersendiri, keyakinan dan kepercayaan apa sebenarnya yang hidup di dalam masyarakat kita. Falsafah dan pandangan hidup apa yang sebenarnya berurat dan berakar dalam masyarakat kita. Warna apa yang sebenarnya menjadi corak dan mencorak jiwa masyarakat kita.
Apakah “hijau” atau “biru”? Setengah hijau atau setengah biru? Kepercayaan apakah sebenarnya yang didokong oleh rakyat terbesar dan golongan terbesar dan masyarakat ummat Islam Malaysia? Apakah ideologi hijau atau ideologi merah atau ideologi belang? Apakah ideologi komunis ataukah sosialis? Apakah nasionalisma ataukah islam? Apakah demokrasi ala British atau adakah berparlimen?
Segala pertanyaan di atas akan dijawab oleh rakyat pada waktu pilihanraya umum yang akan datang ini. Pertanyaan itu perlu dijawab, kala Malaysia ingin merempuh kemajuan dalam ertikata yang sebenarnya.
Kemajuan dalam ertikata hidup dan kehidupan. “Maju” ke kanan atau ke kiri! “Maju” tidak ke kanan tidak ke kiri, tapi lurus ke muka. Maju ke muka memberikan tafsir atas Rukun Negara, agar tidak kabur atau samar seperti sekarang.Maju ke hadapan memberi “isi” yang sungguh-sungguh dan ucapan kehidupan manusia Malaysia.
Pendeknya pilihanraya umum akan bertanya kepada kita, dasar apa, hukum apa, peraturan apa yang kita inginkan berlaku dalam negara Malaysia ini. Apakah ianya sekadar hukum ‘aqal dan fikiran semata-mata, atau adakah hukum Allah?
Apakah dasar Islam, atau adakah ghairul Islam. Ghairul Islam (bukan Islam), ia boleh bercorak komunis atau nasionalis (kebangsaan). Dan boleh bercorak apa sahaja dengan berbagai-bagai istilah serta kata.
Semuanya itu ghairul Islam, semuanya itu bukan Islam. Semuanya itu ciptaan fikiran, buatan ‘aqal manusia semata mata. Semuanya itu menolak hukum ALLah, menolak hukum Islam. Semuanya itu anti hukum ALLah, anti dasar Islam. Semuanya itu tiada mengakui ada dan perlunya jambatan antara dunia dan akhirat.
Semuanya itu tiada mengakui ada dan perlunya kesatuan antara bumi dan langit. Semuanya itu tiada mengakui ada dan perlunya keseimbangan antara jasmani dan rohani. Semuanya itu tiada mengakui ada dan perlunya keseimbangan antara lahir dan batin.
Semuanya itu memecah kehidupan kemanusiaan dalam dua belahan yang terpisah. Belah, pecah dan terpisahnya antara dunia dan akhirat. Belah, pecah dan terpisahnya antara bumi dan langit. Belah, pecah dan terpisahnya antara jasmani dan rohani. Belah, pecah dan terpisahnya antara agama dan negara. Belah, pecah dan terpisahnya antara Islam dan politik. Belah, pecah dan terpisahnya antara hukum Ilahi dan hidup masyarakat.
Pendeknya, semuanya itu hendak memisahkan Islam dari negara dan masyarakat. Hendak memisahkan atau menolak hukum ALLah dari ikut serta mengatur negara dan masyarakat. Semuanya itu anti dan menolak Malaysia ini dari menjadi negara yang berdasarkan kepada Hukum ALLah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan