Jumaat, Mei 21, 2010

Siri 1 : Perlembagaan Ciptaan Penjajah


Telah hampir 53 tahun negara kita merdeka, memiliki negara sendiri, yang kita katakan berdaulat ke luar dan ke dalam. Dalam waktu selama itu, kita belum dapat menciptakan suatu perbuatan yang asasi, merubah bentuk dan susunan serta isi dan kehidupan masyarakat kita.

Kabinet jatuh dan berdiri, terumbang ambing oleh pergerakan arus dalam Dewan Perwakilan Rakyat (Parlimen) yang tidak mencerminkan aliran yang hidup dalam masyarakat Malaysia, tidak mewakili pandangan ramai, kerana datangnya ke sana bukan kerana pilihan, tetapi bersifat sebuah angkatan.

Umat Islam yang diakui golongan terbesar dalam masyarakat MaIaysia dalam Parlimen yang sekarang adalah golongan minoriti (golongan kecil). Tidaklah hairan, dalam perjalanan Parlimen sekarang ini, umat Islam yang memperjuangkan ‘aqidah Islam tidak mungkin mengemukakan atau memperjuangkan soal-soal yang prinsip dan dasar, kerana selalu kalah suara.

Dikalahkan oleh golongan besar, golongan yang tidak mewakili ‘aqidah Islam, walaupun mereka mengaku sebagai umat Islam. Dewan Perwakilan Rakyat (Parlimen) yang demikian itu adalah sifatnya sementara.

Faham Kedaulatan Rakyat, belum pernah dilaksanakan, rakyat berdaulat, belum pernah ditanya dan diminta suaranya, siapa yang dipercayainya sebagai wakilnya dalam dewan-dewan perwakilan rakyat.

Undang-undang Dasar Negara pun sifatnya sementara. Undang-undang Dasar yang (ada) sekarang, bukanlah hasil dan pekerjaan tangan dan fikiran para wakil yang dipilih oleh rakyat. Rukun Negara yang dipuja oleh segolongan kecil dari masyarakat Malaysia, bukanlah wujud (dengan) kehendak rakyat banyak, kerana pengertiannya masih kabur dan samar.

Tidak ada penjelasan dan penafsirannya. Dan tidak akan ada penjelasan dan penafsirannya, sebelum pilihanraya umum dilaksanakan. Oleh kerananya, negara kita berdiri di atas dasar yang goyah dan goyang. Tidak tegak di atas dasar dan sendi, yang teguh dan tegap.

Undang-undang Dasar atau Rukun Negara yang dipegang oleh beberapa orang ianya dianggap sebagai falsafah negara, tidak mungkin memberi kepuasan kepada rakyat kebanyakan, kerana isinya tidak tegas.

Ambillah sebagai contoh rukun yang pertama, Kepercayaan Kepada Tuhan. Setiap kepala manusia Malaysia mempunyai tafsiran sendiri tentang Kepercayaan Kepada Tuhan itu. Kenyataan sehari-hari menunjukkan, bahawa pengertian Kepercayaan Kepada Tuhan dalam negara Malaysia, hanyalah sekadar semboyan, bahkan menjadi ubat bius penidur-nyenyakan kaum Muslimin.

Kepercayaan Kepada Tuhan tidak digunakan untuk amar ma’ruf dan nahi munkar. Kepercayaan Kepada Tuhan tidak digunakan untuk menegakkan yang ma’ruf dan memerangi yang munkar. Kepercayaan Kepada Tuhan tidak diwujudkan (bagi) melakukan hukum dan syari’at Islam.

Kepercayaan Kepada Tuhan tidak digunakan (bagi) menegakkan tauhid, menghancurkan syirik. Kepercayaan Kepada Tuhan tidak digunakan sebagai tempat bertahkim, mengembalikan segala urusan, setiap sengketa perselisihan.

Begitu juga dengan rukun-rukun yang lain, Kedaulatan undang-undang, Keluhuran Perlembagaan, Kesopanan dan Kesusilaan, apatah lagi Ketaatan Kepada Raja dan Negara.

Bagaimanakah faham Kedaulatan Undang-undang? Apakah pula falsafah Kesopanan dan Kesusilaan? Apakah dengan menghilangkan hak perseorangan?

Suara rakyat belum pernah didengar lagi setakat ini bagi menjawab pertanyaan di atas. Apa dan bagaimana perlaksanaan faham Kedaulatan Undang-undang. Apakah rakyat yang melanggar undang-undang, maka mereka dianggap bersalah, pegawai dan pemerintah yang mencabul dan menodai undang lantas mereka itu tidak salah?

Apa dan bagaimanakah perlaksanaan faham kedaulatan rakyat (demokrasi)? Apakah benar suara rakyat adalah suara Tuhan? Apakah betul segala kebenaran itu ukurannya adalah suara terbanyak, setengah tambah satu?

Seperti demokrasi Barat? Ataukah seperti Eropah Timur yang terkenal dengan demokrasi sentralisma (pemusatan)? Ataukah memang begitu faham dan falsafah demokrasi dalam Islam, dan apakah dalam Islam ada demokrasi? Sepertimana yang didokong oleh juhala’ kini?

Halal dan haram menurut suara terbanyak, separuh ditambah satu? Kalau begitu, tentunya faham demokrasi yang ada sekarang ini, adalah faham separuh ditambah satu. Selama mana pungutan suara rakyat sebagai perlaksanaan kepada kedaulatan rakyat, faham seumpama itu tidak mungkin berubah, meskipun bertentangan dengan hukum dan hudud Islam.

Begitu juga dengan orang-orang yang duduk mengemudikan negara, baik Perdana Menteri, atau Menteri-Menteri Kabinet yang lain. Mereka itu belumlah menggambarkan hasil dan pilihan rakyat, tidak semestinya orang kepercayaan rakyat.

Orang yang dipercayai Iman dan Islamnya, ‘aqidah dan keikhlasannya, sebagai orang yang diserahkan untuk mengendalikan pemerintahan. Dan kedudukan Perdana Menteri sendiri, apakah benar hanya sebagai lambang, atau simbol yang tidak boleh diganggu gugat? Lantas tidak boleh diminta untuk bertanggungjawab di muka Dewan Perwakilan Rakyat seperti sekarang?

Segala persoalan di atas, tidak mungkin dipecahkan oleh parlimen yang ada
sekarang, atau dicari jawapannya dalam undang-undang dasar yang ada sekarang.

Baik parlimen atau pun perlembagaan yang ada sekarang, ianya adalah bersifat sementara, sekali-kali tidak menggambarkan kehendak dan keinginan rakyat, kerana perlembagaan itu adalah ciptaan penjajah, bukannya ummat Islam.

Maka pilihanraya umum yang akan datang, akan menghentikan segala sifat
sementara itu, Insya’ ALLah.. Sama-samalah kita doakan..=)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails