Khamis, Mei 13, 2010

PM Baru Britain Paling Muda Dalam Tempoh Hampir 200 Tahun

CAMERON (kiri) bersama Timbalannya, Clegg di luar 10 Downing Street di London,

semalam selepas membentuk kerajaan.



LONDON: David Cameron, pemimpin muda yang memodenkan parti berhaluan kanan yang pernah dipimpin ikon politik Britain Margaret Thatcher, dilantik Perdana Menteri kelmarin berikutan peletakan jawatan Gordon Brown, sekali gus menamatkan kemelut pilihan raya yang menyaksikan kembalinya parti Konservatif mengetuai kerajaan campuran selepas 13 tahun di bawah pemerintahan Parti Buruh.


Mengikut amalan, Ratu Elizabeth II melantik Cameron sebagai Perdana Menteri di Buckingham Palace – yang menandakan berakhirnya tarik tali di antara Cameron dan Brown untuk mendapatkan kerjasama parti ketiga Britain, parti Liberal Demokrat berikutan pilihan raya yang tidak memberi majoriti kepada mana-mana parti.

Dalam beberapa minit saja, Cameron, yang berusia 43 tahun, dilantik ke Nombor 10, Downing Street, pejabat dan kediaman Perdana Menteri, untuk menjadi Perdana Menteri paling muda dalam tempoh hampir 200 tahun, sejak Lord Liverpool memegang jawatan berkenaan pada usia 42 tahun.

Pemimpin Parti Liberal Demokrat, Nick Clegg kemudian diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri, selepas beberapa hari mengadakan perbincangan dengan bekas musuh politiknya. Empat ahli parlimen Liberal Demokrat lain juga dilantik sebagai menteri.

Cameron dan Clegg bersetuju mewujudkan kerajaan campuran selepas parti Konservatif menang kerusi terbanyak dalam pilihan raya nasional Britain pada 6 Mei lalu, tetapi tidak memperoleh majoriti di Parlimen. Persetujuan itu dicapai berikutan rundingan tegang sebanyak lima kali, berjaya menghasilkan kerajaan campuran penuh pertama di Britain sejak Perang Dunia Kedua.

“Nick Clegg dan saya adalah pemimpin politik yang ingin mengetepikan perbezaan parti dan bekerja keras untuk kebaikan dan kepentingan nasional,” kata Cameron.

Presiden Barack Obama menghubungi Cameron melalui telefon untuk mengucapkan tahniah dan mempelawanya melawat Washington musim panas ini, menurut Rumah Putih. Obama memberitahu Cameron beliau berharap dapat mengadakan pertemuan pada sidang kemuncak ekonomi yang akan diadakan di Kanada bulan depan.

Dengan kerajaan baru itu, Britain mungkin akan menyaksikan perubahan dalam perhubungannya dengan negara asing.

Kedua-dua Cameron dan Clegg memberi isyarat bahawa mereka lebih suka mempunyai perhubungan longgar dengan Washington berbanding zaman Brown dan pemimpin sebelumnya, Tony Blair. Cameron dan Clegg menyokong misi Afghanistan tetapi Cameron berharap dapat mengundurkan pasukan Britain dalam tempoh lima tahun. Clegg berkata beliau tidak selesa dengan angka kematian yang semakin meningkat.

Perhubungan dengan jiran mereka di Eropah juga mungkin bermasalah. Parti Cameron agak ragu-ragu berhubung kerjasama di Eropah dan menarik diri daripada pakatan dengan parti Angela Merkel di Jerman dan parti pimpinan Nicolas Sarkozy di Perancis. Clegg, yang pernah menjadi ahli parlimen Eropah, sejak itu berpendirian pro-Eropah.

Parti Konservatif berkata bekas pemimpinnya, William Hague akan memegang jawatan Setiausaha Luar, ahli parlimen kanan, George Osborne sebagai ketua perbendaharaan dan ahli parlimen, Liam Fox sebagai Setiausaha Pertahanan. Jawatan lain sedang dikemas kini.

Kerajaan campuran itu mencapai persetujuan untuk menetapkan tempoh Parlimen selama lima tahun, kali pertama Britain menetapkan tarikh pilihan raya akan datang lebih awal. – AP





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails