Oleh - Abd Jalil Ali (Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian)
Setiap kali ada pilihan raya kecil, kita melihat beberapa kelucuan. Adat orang berkempen, terutama dalam pilihan raya kecil, kalau boleh hendak didedahkan apa sahaja keburukan calon atau parti lawan – termasuk hal-hal dalam kain, dalam kelambu, hatta dalam seluar dalam – yang bersifat amat peribadi.
Walaupun peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan serangan peribadi ke atas mana-mana calon, pentas ceramah sepanjang kempen akan dihangatkan dengan sindiran, cemuhan dan maki-hamun terhadap batang tubuh calon.
Malah, sebahagian besar yang datang mendengar ceramah memang mengharapkan ada benda-benda dalam kain yang akan disingkap dan didedahkan. Mereka akan bertepuk tangan, bersorak, dan menjerit berapi-api. Soal betul atau tidak apa yang didedahkan, itu belakang kira!!













