Selasa, April 27, 2010

Projek Pertanian Kedah Dirancakkan Untuk Kesejahteraan Rakyat


ALOR SETAR, 26 April - Program pembangunan pertanian di negeri ini akan berjalan lancar tanpa dibayangi pengaruh politik, selain mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Kerajaan Pusat.

Exco Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Belakan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, pihaknya mendapat jaminan daripada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom bahawa projek pertanian di negeri ini tidak akan dianaktirikan semata-mata kerana perbezaan ideologi politik.

“Saya sendiri telah berbincang dengan beliau mengenai projek pertanian di Kedah, dan saya diberi jaminan, kita akan mendapat kerjasama sewajarnya untuk membangunkan program pertanian untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ahad, April 25, 2010

Nilai Dan Harga Yang Tidak Dapat Dibeli


Bila kita kaya, kita boleh membeli apa sahaja yang kita mahu. Kereta mewah, rumah banglo seperti istana, pakaian mahal-mahal, makanan yang beraneka jenis dan mahal, tanah atau ladang yang luas, pangkat tinggi, jawatan dan kerja bagus, dan macam-macam lagi yang menjadi keinginan kita. Bila kaya, mungkin juga ada yang berkeinginan mahu berbakti kepada ibu ayah dengan membawa mereka pergi menunaikan haji dan sebagainya, bila kaya nanti mahu memberi wakaf, bersedekah, membantu anak-anak yatim dan orang fakir miskin, dan lain-lain lagi.

Hari ini hari pembuangan undi pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor. Pelbagai janji dan tawaran ditabur ibarat segala kesenangan yang turun mencurah-curah dari langit bukan?? Rakyat Malaysia yang berada di kawasan lain pasti cemburu dengan segala kesenangan dan kemewahan yang bakal dijanjikan oleh setiap parti dan kerajaan yang bertanding, kepada penduduk Hulu Selangor. Calon PKR mewakili gabungan Pakatan Rakyat, kerajaan yang memerintah negeri Selangor, dan calon MIC pula mewakili gabungan Barisan Nasional, kerajaan yang memerintah Malaysia. Kerajaan Negeri vs Kerajaan Pusat. Apakah kesudahannya?? Apakah implikasinya kepada yang memberi undi kepada mereka??

Jumaat, April 23, 2010

'Minyak' Yang Kekeringan (Kebetulan Juga Bersempena Hari Buku)



Sebuah motor pasti tidak akan mampu bergerak jika tangki minyak motornya itu kosong. Walhal semua komponen yang lain seperti enjin, plug, bateri motor dan semuanya berada dalam keadaan yang baik. Hanya kerana minyak!! Ternyata, tanpa minyak, motor tersebut sudah tentu tidak dapat dipacu untuk sampai ke destinasi yang dimatlamatkannya.

Saya tertarik apabila membaca suatu cerita dari sebuah majalah, ceritanya begini; ada seorang penulis Zionis telah menulis sebuah buku tentang segala perancangan dan modus operandinya untuk menghancurkan dunia Islam. Perbuatannya itu dikritik oleh rakan seperjuangannya kerana ia boleh membuka rahsia perancangan mereka. Penulis Zionis tersebut dengan selambanya menjawab kritikan itu dengan katanya, “Jangan takut…orang Islam tidak akan membaca buku saya!”

Benda Lucu Setiap Kali Pilihan Raya



Oleh - Abd Jalil Ali (Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian)

Setiap kali ada pilihan raya kecil, kita melihat beberapa kelucuan. Adat orang berkempen, terutama dalam pilihan raya kecil, kalau boleh hendak didedahkan apa sahaja keburukan calon atau parti lawan – termasuk hal-hal dalam kain, dalam kelambu, hatta dalam seluar dalam – yang bersifat amat peribadi.

Walaupun peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan serangan peribadi ke atas mana-mana calon, pentas ceramah sepanjang kempen akan dihangatkan dengan sindiran, cemuhan dan maki-hamun terhadap batang tubuh calon.

Malah, sebahagian besar yang datang mendengar ceramah memang mengharapkan ada benda-benda dalam kain yang akan disingkap dan didedahkan. Mereka akan bertepuk tangan, bersorak, dan menjerit berapi-api. Soal betul atau tidak apa yang didedahkan, itu belakang kira!!

Khamis, April 22, 2010

Kerajaan Negeri Beri Geran Hak Milik Tanah Untuk Rakyat

Disediakan oleh : Faiz Hj. Othman

ALOR SETAR, 22 April 2010 - Peneroka Felcra dan Felda yang mengusahakan tanah di kawasan mereka bakal mendapat geran hak milik tanah apabila Kerajaan Negeri Kedah bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak semalam telah memutuskan untuk memberikan geran hak milik tanah tersebut kepada peneroka yang akan dikenalpasti.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, hak milik itu membabitkan sembilan kawasan rancangan Felcra dan tujuh kawasan Felda yang akan diproses dalam masa terdekat.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco semalam, antara tanah rancangan Felcra yang telah dikenalpasti akan diberikan geran hak milik tanah termasuk Weng, Iboi dan Tiak (Baling), Belantik (Sik), Belimbing, Tolak dan Bukit Tampoi (Padang terap) serta Bukit Selambau I dan II (Kuala Muda). Manakala bagi kawasan Felda pula melibatkan Laka Selatan, Bukit Tangga, Bukit Tembaga, Lubok Merbau, Gunung Pongsu, Teloi Timor dan Teloi Kanan.

Selasa, April 20, 2010

Osama Bin Laden : Hidup Atau Mati?


Oleh : NOOR AZAM SHAIRI

WASHINGTON DC jadi tumpuan baru-baru ini apabila 47 ketua kerajaan, dan sesetengahnya hanya menghantar wakil, berhimpun untuk Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear. Sembilan daripada mereka mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tumpuan media di serata dunia sepanjang sidang kemuncak itu – seperti mana yang dilihat – adalah kepada pemimpin negara masing-masing serta isu-isu serantau yang berkaitan. Satu isu yang barangkali terlepas daripada radar media minggu lalu ialah kenyataan tegas Perdana Menteri Pakistan, Yousuf Raza Gilani mengenai Osama bin Laden.

“Osama tidak ada di bumi Pakistan,” katanya dalam satu wawancara dengan CNN, sehari menjelang sidang kemuncak itu. Tambah Yousuf, kalau sekalipun Osama berada di Pakistan, dia tidak akan terlepas daripada asakan tentera republik Islam itu di Lembah Swat dan Waziristan Selatan.

Rabu, April 14, 2010

Sokong Hasrat Parlimen Mahasiswa Dilaksana



(Artikel ini diterbitkan dalam Berita Harian, 19 April 2010, boleh rujuk & search dengan kata kunci 'Parlimen Mahasiswa' di laman Arkib Akhbar Pusat Sumber BTP, KPM)


Apabila hasrat Parlimen Mahasiswa ingin dilaksanakan baru-baru ini, ia bakal mencetuskan fenomena dan impak yang besar kepada mahasiswa di seluruh negara dalam menyuarakan pendapat mereka, dan secara tidak langsung ia sebenarnya menjadi salah satu saluran suara rakyat yang inginkan suatu perubahan positif, dalam penambahbaikan urusan pemerintahan dan pentadbiran negara.

Ianya seakan-akan mengiktiraf golongan mahasiswa ini untuk menjadi agen semak dan imbang kepada kerajaan, atas kapasiti mereka sebagai golongan yang berpelajaran dan berpendidikan tinggi. Selayaknya mereka juga mempunyai hak dan ruang untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat, akan tetapi melalui cara dan medium yang berbeza.

Dengan jumlah bilangan anak muda dan golongan belia di seluruh negara kini semakin bertambah, Parlimen Mahasiswa diharap dapat menjadi medium untuk wakil pimpinan mahasiswa seluruh negara untuk menyatakan pandangan, memberikan kritikan membina dan melontarkan idea segar mereka, demi memperjuangkan agenda rakyat terutamanya golongan muda seperti mereka yang akan menjadi pimpinan negara juga pada suatu hari nanti.

Jumaat, April 02, 2010

Program Lambaian Menara Gading 2010 Peringkat Negeri Kedah

Assalamualaikum..

Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) dengan kerjasama Urusetia Belia Kerajaan Negeri akan menganjurkan Program Lambaian Menara Gading 2010 Peringkat Negeri Kedah..

Sedikit pindaan dari poster yang pertama dari sudut bayaran Yuran..

PERCUMA!!!

Untuk makluman, kerajaan negeri Kedah telah pun membuka ruang yang sangat baik kepada kita untuk terus mengadakan program sebegini..

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Kedah yang diwakili oleh Ustaz Musoddak, Pegawai Khas Urusetia Belia Kerajaan Negeri, telah pun memberikan sumbangan yang agak banyak kepada program ini, demi masa depan anak-anak muda di negeri ini.

Khamis, April 01, 2010

SADA - Tumpuan Untuk Mengatasi Masalah Air Di Negeri Kedah



ALOR SETAR: Ketua Pegawai Esekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA) Dato’ Adzmi Haji Din menjelaskan bahawa tumpuan untuk mengatasi masalah air di negeri ini dijalankan dengan serius di semua daerah.

Antara projek yang giat dilaksanakan sekarang ialah membina loji dan laluan paip di Padang Sanai Baru dengan kapasiti 50 mld (million liter per day – juta liter sehari) bernilai RM50 juta meliputi kawasan bekalan Padang Sanai, Kubang Pasu dan Universiti Utara Malaysia di Sintok serta Bukit Kayu Hitam.

Dato’ Adzmi berkata, dua lagi loji yang sedang dalam pembinaan ialah di Sik (25 mld) mampu membekal air untuk pengguna di seluruh Daerah Sik dan loji di Lubuk Buntar (20 mld) bagi penduduk Daerah Bandar Baharu.

Isnin, Mac 15, 2010

Derita Bekalan Air Terputus 28 Tahun di Negeri Sembilan

Mahzan menadah air sebagai persediaan menghadapi bekalan air yang
sentiasa terputus di Felda Palong 8, Negeri Sembilan semalam.


(Petikan dari Akhbar Kosmo, laporan muka surat 11, laman bahagian 'Negara')

JEMPOL - Ketika kebanyakan rakyat di negara ini menikmati kemudahan asas yang sempurna, lain pula ceritanya bagi 1,200 penduduk di Felda Palong 7 dan Palong 8 di sini yang terpaksa berhadapan dengan masalah bekalan air terputus hampir setiap hari.

Masalah tersebut dipercayai berpunca daripada tekanan air yang rendah sekali gus menyebabkan air gagal disalurkan secara berterusan kepada kira-kira 500 buah rumah di kawasan terlibat.

Sabtu, Mac 13, 2010

Manifesto Dunia & Akhirat, Ingatan Buat Pemimpin Rakyat


Saya tertarik melihat gambar muka depan akhbar Sinar Harian dan berita mengenainya pada muka surat kedua, berita tentang Menteri Besar Kelantan yang mengimamkan solat hajat memohon hujan atau solat sunat Istisqa di Padang Perdana, Kota Bharu. Lebih 2000 rakyat Kelantan, bersama-sama pemimpin Kerajaan Negeri dan pegawai tinggi kerajaan menunaikan solat itu, berikutan keadaan kemarau yang berpanjangan di seluruh negara sekarang.

Solat tersebut yang bermula pada jam 8.30 pagi itu diimamkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Padang Perdana yang bersebelahan dengan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, dekat Kota Bharu. Apa yang menginsafkan kepada lebih 2000 hadirin yang turut serta untuk solat sunat memohon hujan tersebut ialah ketika mana solat sunat Istisqa awal pagi tersebut baru sahaja rakaat pertama dilakukan, hujan mula turun membasahi bumi.

Khamis, Mac 11, 2010

Isu Air Dipolitikkan?? - Sekadar Secebis Analisis


Akhir-akhir ini, banyak isu yang melatari cerita-cerita dan menghiasi media-media semasa seringkali membuatkan kita gusar dan resah. Apatah lagi jika kita sebagai rakyat biasa yang hanya 'menerima', mendengar dan mendongakkan kepala di hadapan televisyen semata-mata. Bagi yang lebih baik sedikit, mungkin akan menatapi dada akhbar juga sebagai rujukan tambahan. Malah yang lebih baik, ada yang berinisiatif mencari medium-medium alternatif lain seperti internet dan sebagainya. Saya sebagai salah seorang anak muda mahasiswa, menyeru kepada rakan-rakan yang lain agar kita lebih berinisiatif dan berusaha membuka minda dengan membaca semua berita dan maklumat dari pelbagai sumber, biarlah ianya dari sumber kerajaan Barisan Nasional atau kerajaan Pakatan Rakyat, ataupun penulisan yang tidak memihak kepada mana-mana pihak sekalipun, asalkan ia dapat dijadikan sumber sebelum dibuat perbandingan dan ditimbang tara oleh diri kita sendiri.

Isu setempat di Kedah sedang panas dengan beberapa isu sebenarnya, namun saya mahu isu tersebut diatasi atas dasar untuk kepentingan rakyat dan bukan untuk dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Sebagai contohnya isu air yang sebenarnya melanda seluruh negara dengan adanya beberapa negeri telah pun diarahkan untuk dibuat catuan air. Negeri-negeri lain seperti Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Kelantan sudah melaksanakan catuan air. Syabas di Selangor adalah antara operator air terbaik negara waktu ini juga menghadapi masalah hingga terpaksa mencatu bekalan air. Namun di Kedah, kita disajikan dengan pelbagai kritikan terus kepada kerajaan Negeri berkenaan isu air terutama dalam media arus perdana kini. Benarkah dakwaan tersebut? Pernah media menyiarkan jawapan sekurang-kurangnya jawapan balas seorang wakil bagi pihak kerajaan negeri Kedah untuk menjawab isu tersebut?? Malulah sedikit bagi yang mahu membuat demontrasi tentang isu air jika tidak mengetahui fakta sebenar..

Rabu, Mac 03, 2010

Bukan Sekadar Teori


Sudah lama 'menyepi' dari 'mengisi' laman blog sendiri. Banyak perkara dan pengalaman yang dilalui sepanjang tempoh 'uzlah' ataupun menyepikan diri ini. Bukan apa, ada sahaja 'halangan-halangan' yang tidak dapat dielakkan. Walaupun ada sudah saya nukilkan tulisan tentang tajuk sebelum ini yang ada tulisan sambungannya, namun tulisannya berada di dalam laptop saya yang sedang 'cuti sakit' sudah sekian lama. Betapa 'kehilangannya' memberi impak besar dan mengajar saya erti sebuah kehilangan. Bukan mudah. Namun perlu bersyukur kerana ia bukan kehilangan yang selama-lamanya. Ada sahaja rakan-rakan kita yang kehilangan orang yang tersayang seperti ibu, ayah, adik, dan ada juga yang kehilangan barang peribadi seperti laptop dan sebagainya. Lagilah terasa akan kehilangannya. Ringkas ceritanya, mungkin saya sendiri tidak mampu 'cover' segala merba cerita, ilmu, pengalaman dan seumpamanya sepanjang 'sepinya' blog ini. Akan tetapi saya ingin berkongsi sedikit pengalaman dan ilmu yang dipelajari buat anda kali ini, antaranya ialah tentang satu ilmu 'bergelar' teori mikro sosiologi.

Pertamanya dalam teori mikro sosiologi ini, termaktub teori pertukaran yakni difokuskan hal-hal yang berkaitan dengan idea ataupun fikiran kita. Teori ini menghuraikan bahawa setiap individu saling mempercayai antara satu sama lain apabila berlaku proses sosiologi. Teori kedua ialah teori interaksi simbolik, yang boleh juga dikaitkan dengan bahasa. Teori ini menyatakan bentuk komunikasi memainkan peranan yang sangat penting dalam hubungan sesama manusia. Teori ketiga pula ialah teori etnomethodologi yakni perkaitan dengan persekitaran kita. Ertinya bagaimana kita dapat memahami fenomena dan sesuatu keadaan melalui persekitaran dan suasana. Teori keempat pula ialah teori positivisme iaitu perkaitan dengan nilai. Bagaimana fenomena sosial boleh diukur secara objektif.

Isnin, Februari 01, 2010

Cahayakan Hati, Tinggalkan Dengki.. Syurga Menanti..



ANAS bin Malik berkata, kami berada di dalam masjid bersama Nabi SAW, tiba-tiba Baginda bersabda, "Akan masuk kepadamu seorang ahli syurga sambil memegang kedua-dua sandalnya dengan tangan kirinya"

Maka tiba-tiba masuk seorang sebagaimana yang disabda Nabi itu. Sesudah memberi salam ia duduk bersama kami.

Kemudian esok harinya, Rasulullah SAW bersabda sama seperti sebelumnya. Masuk lelaki berkenaan dan hari ketiga Nabi SAW bersabda dan peristiwa sama berulang. Ketika lelaki itu bangun untuk pulang, Abdullah bin Amr Al-Ash mengekorinya sambil berkata, "Terjadi pertengkaran sedikit antaraku dengan ayahku sehingga aku bersumpah tidak akan bertemunya selama tiga malam, maka jika engkau tidak keberatan maka saya akan bermalam di tempatmu selama tempoh berkenaan. Jawabnya, " Baiklah".
Related Posts with Thumbnails