Selasa, November 17, 2009

Tahniah Kerajaan Kedah, Syabas E-Idaman




”Syabas, syarikat kontraktor, E-Idaman yang baru saja mengambil alih tugas kerja pelupusan sisa pepejal di daerah Padang Terap yang sebelum ini di bawah tanggungjawab MDPT. Nampak perbezaan yang amat ketara, harap tingkatkan lagi mutu perkhidmatan.” - IDRIS HUSAIN


Begitulah kenyataan salah seorang rakyat Kedah yang memberi reaksi di dalam ruangan Interaktif Sinar Harian Edisi Utara baru-baru ini. Selain itu, saya ada juga menghubungi kenalan dan saudara saya yang menetap di kawasan berhampiran bandar raya Alor Setar, dua tiga hari selepas sahaja saya mengetahui tentang pengambilalihan syarikat ini, lantas bertanyakan mereka perkembangan tahap kebersihan dan prestasi Syarikat E-Idaman di sana. Responnya juga positif. Bertambah baik dari sebelum ini. Alhamdulillah.

Berikutan artikel di dalam blog saya sebelum ini memaklumkan mengenai pengambilalihan operasi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam oleh Syarikat Environment Idaman Sdn. Bhd. (EISB) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Kedah berkuatkuasa mulai 1 November lalu, maka saya mahu ’melampirkan’ sedikit perkembangan di Kedah sekarang buat tatapan dan makluman kita. Moga perubahan ini akan berkekalan dan bertambah baik dari masa ke semasa, bukannya hanya seperti ’hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.

Pengambilalihan operasi sepenuhnya secara interim sebagai permulaan awal itu melibatkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Majlis Daerah Kubang Pasu, Majlis Daerah Padang Terap, Majlis Daerah Sik dan PBT Taman Teknologi Tinggi Kulim.

Mungkin komentar dan reaksi positif di atas merupakan pendapat salah seorang penduduk di daerah Padang Terap yang turut menjadi kawasan pengambilalihan syarikat tersebut di peringkat awal ini. Semoga rakyat Kedah tidak cepat melatah mahukan perubahan yang mendadak dari aspek kebersihan, namun berilah masa kepada Syarikat E-Idaman untuk menyesuaikan diri dalam tempoh percubaan ini, sama ada dari aspek perjalanan operasi, komitmen tenaga kerja dan perkhidmatan yang diberikan, seterusnya membuktikan kemampuan mereka.

Jadi, apapun sekalung tahniah dan syabas buat Kerajaan Negeri Kedah atas perubahan positif ini. Mudah-mudahan imej Kedah selepas ini akan kembali ’bersih’ dan pulih. Terima kasih dan syabas juga buat Syarikat Environment Idaman Sdn. Bhd. ataupun kini lebih dikenali dengan Syarikat E-Idaman oleh rakyat Kedah. Teruskan kecemerlangan demi kesejahteraan rakyat Kedah keseluruhannya.


1 ulasan:

Related Posts with Thumbnails